Latheefa's Muslimah Collections

Thursday, February 14, 2013

Cendawan tiram tengiri masak lemak podeh

Banyak kali bila tiba musim hujan, cendawan 'busut' tumbuh dengan banyak sekali. Tidak payah pergi jauh, emak kelihatan terbongkok-bongkok di belakang dapur memetik cendawan yang tumbuh melata. Maka pada hari-hari seperti itu kami akan berpesta dengan lauk cendawan lemak cili api.  Sungguh enak tak terkata. Abah makan tanpa menoleh dan bundo menjilat-jilat jari kesedapan.

Emak pandai memasak walaupun masakannya cuma itu itu saja yang dia tahu. Kuah kuning yang kadang-kadang bundo hirup begitu saja kesedapan. Cukup dengan pedas.  Cukup dengan lemak.  Cukup dengan asam.  Cukup dengan masin.  Cukup serba serbinya.

Ada waktu-waktunya bundo sangat sangat merindui air tangan emak. Memang banyak tahun sebelum permergiannya, emak sudah tidak gah lagi di dapur. Kesihatannya yang merosot membuatkan dia seperti diikat di kerusi roda. Namun begitu bundo sentiasa teringat akan keenakan masakannya. Walaupun hanya dengan cendawan tiram, bundo cuba mengimbau kembali rasa yang menjadi kegilaan kami satu waktu dulu. Cuma bundo ubahsuai sedikit mengikut perkembangan masakini.



Bahan:
2 keping ikan tenggiri
2 peket cendawan tiram
2 ulas bawang putih *
1/2 inci kunyit hidup*
2 ulas bawang merah*
400 gm santan siap
15 ulas cili padi kampung
1@ 2 keping asam gelugur
Garam secukup rasa





Tumbuk dengan lesung batu bahan yang bertanda *.
Masukkan ikan tenggiri, santan dan bahan tumbuk dalam belanga (periuk tanah).  Kalau tak ada, pakai periuk biasa..
Masak sehingga mendidih. Tambah garam dan asam keping.
Masukkan cendawan.
Masak sehingga cendawan empuk dan kuah pekat.




Walaupun rasanya hanya seakan-akan air tangan emak, tapi bundo lihat abah makan dengan berselera sekali.
Semuga emak tenang di sana. Kami sentiasa merinduimu.


ibundo

10 comments:

Gee® said...

Ada lagi tak Bundo...nk tumpang semangkuk!

KY said...

KY tak boleh makanlah Bonda cendawan ni, dah cuba tapi tak boleh telan tak tahulah kenapa

Marsita yahya said...

Saya pun teringat dulu bila musim hujan, kutip cendawan busut kat sekitar kebun getah...tapi buat sop jer.

ady said...

as-salam
mengecurkanlah..Yum yummm.

hazila said...

Saya pun macam Marsita, kutip cendawan busut sampai berguni lepas tu selalu masak sup atau goreng macam tu je.

Nooriah Abdullah said...

sedapnya Bundo belum pernah masak macam ni boleh try kena beli tiram dulu lah...

Amie said...

Aduhai Bundo... cerita tentang cendawan yang tumbuh melata mengingatkan Amie masa bersama keluarga.. waktu hujan memang cendawan bertebaran di mana, tambah lagi ada pucuk paku... masya-Allah! memang pesta betul setiap keluarg di kampung kami dengan hidangan cendawan & pucuk paku!
Sekarang nak makan cendawan, kenalah kutip di pasar...he he heh.

MaDiHaA a.k.a Ratna said...

betul lah bundo.. cendawan busut mmg mudah didapati bila tiba musimnya... nak pulak di kebun sawit.. mmg byk sgt ia tumbuh.. aduhaii.. tiba2 rindu nak mkn cendawan busut tu.. keluarga kami panggil cendawan tahun.. masak tumis2 bodo pun dah sedap...

aziezd said...

masak cendawan tiram gan udang pun sodap yo......,

aziezd said...

masak cendawan tiram gan udang pun sodap yo......,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...