Tuesday, January 22, 2013

chocolate chips banana bread

Pertama kali bundo terjumpa resepi ni, bundo dah jatuh hati.  Pekenan betul di hati.  Bundo suka bila ada kacang walnut di dalamnya dan semestinya bila dikunyah akan tergigit-gigit rasa kacang tersebut.
Lama juga resepi ni tersimpan sampaikan terlupa tempat asal bundo mengambilnya.

Di sini bundo mahu kongsikan pula bersama anda.



Bahan:
3 cawan tepung gandum
2 tsp baking soda
1/2 tsp garam
1/2 tsp cinnamon powder
4 biji pisang yang masak ranum (size agak besar), hancurkan sedikit
1 cawan sour cream ( 1 cawan susu cair dicampur 1 sudu besar apple cider)
2 biji telur
1/2 cawan unsalted butter
1 cawan brown sugar
1 tsp esen vanila
1 cawan chocolate chips
1 cawan walnut, dipanggang sebentar dan cincang kasar



Cara:
1. Panaskan oven 150 deg c. Sapu dua dulang roti 9x5x3 inci dengan majerin dan tabur sedikit tepung.
2. Dalam mangkuk besar, gaul tepung, baking soda, garam dan cinnamon.  Ketepikan.
3. Pukul pisang, sour cream, telur, butter, gula perang dan vanila sehingga gaul rata lebih kurang 2 minit. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit dan pukul dengan speed rendah hanya untuk adunan bergaul rata. Masukkan chocolate chips dan walnuts. Gaul dengan tangan.
4. Bahagikan adunan sama rata dan masukkan ke dalam dulang pembakar. Bakar selama 50 - 55 minit atau sehingga masak.



Sesuai dan enak untuk hidangan minum petang sambil hirup-hirup kopi o panas. Duduk pula di laman rumah bersantai-santai dan bersenda gurauan bersama keluarga.




Selamat menjamu selera.



Monday, January 21, 2013

sambal udang

Tenggelam timbul, tenggelam timbul.   Ish.. susah betul nak maintain update blog ni. Nak buat macamana ek?  Masa mengejar kita.  Dan kita pula mengejar masa.
Buat je lah mana yang sempat ye tak.

Sambal udang ni bundo buat beberapa hari lepas.
Sambal yang tak pedas bagi mereka yang tak berapa gemar makan yang pedas-pedas.  Boleh dimakan dengan nasi biasa atau boleh juga dimakan dengan nasi lemak.




Untuk memudahkan orang yang makan, bundo buang kulit udang siap-siap.  Tapi kulit udang bundo tak buang.  Bundo bersihkan dan rebus dengan sedikit air untuk mendapatkan stok.  Stok udang boleh digunakan untuk masakan lain.  Jangan buang.  Sayang.  Sebab manis udang banyak di kulitnya.




20 ekor udang saiz besar dibuang kulitnya
6 tangkai cili besar merah *
2 tangkai cili kering dipotong kecil dan rendam dalam air panas*
2 biji bawang besar bersaiz kecil dihiris bulat
2 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
1 cm halia*
1 sudu besar jus lemon
garam
1/2 sudu kecil gula

- Blender bahan yang bertanda *
- Panaskan minyak secukupnya.  Tumis bahan kisar sehingga masak dan terbit minyak.
- Masukkan udang , bawang hiris, garam, sedikit gula dan jus lemon.
- Sesuaikan semua rasa.
- Siap.





Sedia untuk dimamam.

ibundo

Thursday, January 17, 2013

Siakap rebus asam sempoi

Bundo suka buat siakap rebus asam ni. Hirup-hirup kuahnya.. fulamak.. boleh lelap-lelap mata menikmati kesedapan. Sendiri masak sendiri pujilah kan.
Anyway, ini memang feveret bundo dan juga hasben. Hasben bundo tak makan pedas. Jadi, bundo akan rebus dulu tanpa cili padi dan bila masak, bundo akan keluarkan semangkuk untuk dia.  Selebihnya bundo bubuh cili api. Takde lah banyak.  Dalam dua biji tapi bila cili tu dipatah-patahkan dan dipenyek-penyekkan, pedasnya akan keluar.

Masakan ni, mesti cukup balance antara masam, masin dan pedas.  Pergh!!! Barulah lupa dunya sekejap.




Resepi.
1 ekor ikan siakap dikerat 2
2 biji bawang besar bersaiz kecil dihiris bulat nipis
2 ulas bawang putih diketuk
1 batang serai diketuk
1 inci halia dihiris nipis
1/2biji lemon diambil jusnya
garam secukupnya
2 biji cili padi diketuk
beberapa batang bende


Untuk membuatnya, cukuplah sempoi. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk bersama air tak kesahlah banyak mana nak bubuh. Janji memadai dengan ikan tersebut.
Bila mendidih, rasa rasakanlah masam masinnya.  Janji belen. Kalau nak bubuh perisa pun, suka hatilah.
Lepas tu, masukkanlah bende.  Masak bende tu sekejap saja sebab proses masaknya akan berterusan walaupun kita dah padam api.



Setengah ekor ni bundo boleh makan sorang saja.
Sekian.


ibundo

Wednesday, January 16, 2013

Ayam kampung sijantung pisang

Salam.
Lama sudah tidak bertegur sapa.
Mula-mula sibuk. Lepas tu malas.  Bila malas, tu yang asek tayang apam balik tak sudah-sudah. Mmm.. masak memang masak tapi bila tiba tang ambil gambar, nak kena buat setting, pasang tripod kelepak kelepuk bagai.. tu yang lama tak berupdate.  Bundo tengok geng-geng masak semuanya lajuuuuu je.

Haritu sibuk teramat sangat sebab maid tak ada. Sekarang ni walaupun dah ada maid baru tapi masih belum pandai buat kerja. Masih blur sangat-sangat. Nak kerja ajar satu-satu. Macam paku dengan penukul.  Sekali pukul, baru masuk. Sabau jer lah aku ni.

Cakap pasal resepi bundo kali ni.
Ada seketul jantung pisang dah lama bersarang dalam peti ais. Hajat mulanya nak buat kerabu je. Tapi teragak pula nak masak dengan ayam kampung. Ayam kampung sekarang ni mudah nak dapat di bandar. Bayar je lah sekor empat belas ringgit.  Dapatlah yang cenonet.  Kalau agak-agak tak cukup, kena beli dua ekor. Tapi ayam kampung ni muda lagi.  Masak sekejap dah empuk. Kalau kena yang tua dan keras, mau liat boleh tercabut gigi palsu bila menggigitnya.






Resepi.

1 ekor ayam kampung
1 biji jantung pisang
1 biji kelapa
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
1/2 inci kunyit hidup*
3 biji buah keras *
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
6 biji cili api * (tambah kaalau nak pedas)
3 biji cili merah *
2 batang serai *
8 helai daun limau purut dibuang tulangnya
1 keping asam keping





- Jantung pisang dibelah 4 dan direbus sehingga empuk.  Biarkan sejuk dan perah airnya. Ketepikan.
- Kelapa di blender dengan air (agak-agak.  Jangan banyak sangat). Tapis.  Blender yang pertama santan pekatnya.  Blender yang kedua santan cairnya. Asingkan santan pekat dan santan cair.
- Blender bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan * yang telah diblender. Kacau sehingga masak dan wangi.
- Masukkan ayam dan daun limau purut. Biarkan air ayam kering. Masukkan santan cair dan garam. Apabila santan agak berkurangan, masukkan pula santan pekat dan asam keping.
- Masukkan jantung pisang bila ayam sudah empuk. Biarkan kuah agak pekat.



Jomlah makan!!!

Ohya sebelum terlupa. Ada resepi bundo yang keluar di majalah wanita januari. Pada yang telah membeli, selak-selaklah mukasurat sebelah belakang .




Terima kasih pada Mas yang telah memberi peluang pada bundo.


ibundo

Tuesday, December 25, 2012

Apam balik

Salam. Lama tidak menyinggah ke sini dan lama juga tidak menyinggah ke sana sini. Sehat?
Bundo, alhamdulillah. Cuma kekangan masa membuatkan bundo tidak berkesempatan untuk menambah koleksi resepi kerap seperti dulu.

Apam balik adalah antara kue kegemaran abah bundo. Bundo tak berapa pandai buat apam balik tapi bila dah jumpa resepi, bundo cuba jugalah. Hasilnya, boolehlah tahan walau tidak sesedap yang dijual di kedai. Yang bundo buat ni teksturnya lembut saja, tidak rangup.

Bundo kongsikan resepinya di sini.



Sumber:  Norzailina Nordin. (Belajar memasak langkah demi langkah)

Bahan:
150 gm tepung gandum
1 sudu teh yis segera
35 gm gula castor
20 ml air suam
2 biji telur
50 ml minyak masak
1/2 sudu teh soda penaik
1/2 sudu teh air
garam secukupnya

Bahan tabur:
100 gm kacang goreng
50 gm gula kasar
100 gm jagung berkrim

1. Campurkan gula castor, garam dan tepung gandum.
2. Masukkan yis dan kacau rata
3. Tuangkan telur dan minyak masak. Gaul sebati.
4. Tambah air dan pukul sebentar.
5. Satukan soda penaik dan air. Tuang ke dalam adunan dan kacau lagi  sehingga sebati.
6. Tutup adunan dan biarkan selama 1/2 jam.  Kacau bila mahu digunakan.
7. Panaskan kuali leper. Lenser dengan sedikit minyak.  Ambil sesenduk adunan dan ratakan di dalam kuali.
8. Bakar atas api perlahan sehingga berlubang-lubang.  Taburkan gula pasir, kacang tanah yang telah ditumbuk kasar dan jagung berkrim.
9. Bila masak, lipat dua dan angkat.



Sekian.
Bundo ucapkan selamat bercuti dan juga selamat menyambut tahun baru 2013 yang akan menjelang tiba beberapa hari saja lagi.

Ibundo


Tuesday, December 4, 2012

Ayam pautan kasih

Masih terpengaruh dengan masterchef. Sebab tu buatkan hidangan untuk hasben yang agak special ala-ala persembahan untuk juri. Gempak gitu kan..

Pendek saja n3 bundo harini.  Seperti selalu jugak.  Pendek. Tak ada benda yang nak dicelotehkan selain daripada keluhan biasa: bizi dan bizi.  Argh!!



Bahan:
ayam
1 ketul dada ayam
1/2 sudu lada hitam ajishio
minyak zaitun xtra virgin
secubit garam
2 batang jejari ketam dibelah tiga memanjang
5 tangkai bayam diambil daunnya
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air.

kentang
2 biji kentang kecil atau 6 biji baby potato
secubit garam
sedikit lada hitam
1 sudu kecil parsley kering

sayur
3 helai kubis panjang
2 batang kacang panjang
1/2 biji tomato dibuang biji dan dadu kasar
1 biji bawang besar didadu kasar
1 ulas bawang putih dicincang halus
2 sudu besar butter
1 sudu besar tepung gandum
1/2 cawan freshmilk
1 cawan air
garam secukupnya




Cara:
Ayam
1.Dada ayam dibelah dua dan diketuk nipis.  Perapkan dengan lada hitam dan garam. Lumurkan dengan minyak zaitun.
2.Daun bayam direbus lembut bersama sedikit air, garam dan serbuk stok ayam. Blender halus. Masak semula dan masukkan tepung jagung.  Masak sehingga pekat.  Kalau kurang pekat tambah sedikit lagi tepung jagung.  Ketepikan dan biar sejuk sedikit.
3. Ambil ayam, bentang.  Sapukan seluruh permukaan dengan pes bayam.  Letak jejari ketam disebelah tepi dan gulung kemas. Cucuk dengan lidi atau toothpick.
4. Bakar di atas grill pan dengan api kecil.



Kentang
1. Rebus kentang sehingga 3/4 masak.
2. Toskan. Gaul dengan garam, lada hitam, daun parsley dan sedikit minyak zaitun.
3. Bakar atas grill pin sehingga masak.

Sayur
1. Potong sayur ikut suka.
2. Panaskan butter.  Masukkan tepung. Kacau rata supaya tidak berketul.  Masukkan bawang putih dan bawang merah.
3. Tambah air dan kacau rata.  Tambah susu dan kacau rata.Masuk garam.  Masukkan kacang dan bila hampir empuk masukkan pula kubis panjang.
4. Padamkan api dan taburkan tomato.



Hidanglah ikut kreativiti anda.

Sekian.

Kelamkabut bundo buat n3 ni sebab nak kena buat benda lain pulak. Mintak maap sebab bundo tak sempat nak ziarah kengkawan di sana.....

ibundo

Sunday, December 2, 2012

Bubur jagung berdurian

Salam.  Pejam celik pejam celik, dah seminggu lebih jugak blog tak berupdate. Sejak maid balik kampung, masa untuk bersantai-santai pun turut terkorban. Masak.  Memang masak. Tapi masak, makan, kemas.. sampaikan nak ambil gambar pun takde masa. Nak buek camno?

Masterchef malasysia 2 dah selesai.  Puas hati dengan keputusan? Memang dah dijangka pun. Kebolehan azyan nampak menyerlah di minggu-minggu terakhir tapi jauh di sudut hati ini mengharap juga supaya along yang memperolehi kejayaan. Ya.. anak muda yang mencari dana untuk menyambung pelajarannya.  Semuga rezki along lebih luas di luar sana.



N3 amie 'bubur jagung durian' memberi bundo idea untuk membuat bubur jagung durian bundo ini pula walaupun resepi bundo ini resepi main belasah saja tak refer pun pada resepi amie.  Maap ye amie.
Memang kebetulan jagung ada satu tin.  Durian pula ada beberapa biji.  Durian kampung yang dibawa anak buah semasa singgah ke rumah tempoh hari.

Biji sagu yang bundo gunakan bewarna hijau.  Bukan sengaja nak bubuh yang hijau tapi yang putih tak ada. Tapi bila ada warna hijau dan warna kuning jagung tu, macam ngam lah pulak.

Cakap pasal biji sagu ni, bundo teringat akan Rosemah masterchef masa sesi kenal bahan. Rosemah ni satu kampung dengan bundo.  Kalau di kampung tu, nak ke rumah dia jalan kaki sepuluh minit dah sampai. Yang bundo nak cerita ni, semasa tiba turn dia mengenal bahan 'biji sagu' ni, dia sebut biji 'mata ikan'.  haha.. memanglah bundo tergelak sakan sebab kalau kat kampung tu sah sah ia nya disebut biji mata ikan.





Okaylah.  Resepi campak-campak bundo ni:

1 tin jagung manis adabi (yang berbiji)
Gula pasir ikut suka manis
1 sudu kecil garam
1 cawan santan pekat
Santan cair ikutlah suka nak kuah banyak mana
1/2 cawan sagu hijau direndam dulu
8 ulas durian (kalau durian besar, kurangkanlah)
1 helai daun pandan.

Masak santan, daun pandan yang disimpul dan gula hingga mendidih.
Sagu yang direndam, toskan airnya dalam tapis teh dan jirus sebentar bawah air mengalir.
Masukkan jagung, durian dan garam dalam santan.
Masukkan sagu.
Siap.



Sekian. Cuti panjang-panjang ni tak ada kemana?


ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...