Friday, June 10, 2011

Ayam lada hitam


Ini resepi biasa.  Anak-anak suka makan ayam.  Kalau nak pelbagaikan masakan ayam kamu, ini salah satu daripadanya.

1/2 ekor ayam potong kecil
1 biji bawang besar potong dadu
2 ulas bawang merah hiris nipis
3 ulas bawang kecil hiris nipis
1 inci halia dihiris nipis memanjang
3 sudu lada hitam serbuk kasar
kicap cair, agak-agak
kicap pekat, agak-agak
1 batang carrot di potong memanjang
3 batang kacang panjang  dipotong ikut suka
1 batang celery, dipotong kasar
1/2 biji lada benggala hijau
1/2 biji lada benggala merah
sedikit kacang peas
1/2 cube stok ayam
sedikit air

1. Ayam diperap dengan sedikit garam dan lada hitam.  Goreng 3/4 masak.
2. Panaskan minyak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia
3. Masukkan ayam dan kacang panjang dan carrot. Bubuh kicap dan lada hitam.  Kacau dan tambah air.
4. Masukkan bahan-bahan yang lain.
Siap.


ibundo

Wednesday, June 8, 2011

puding strawberi

Aku tengok dalam peti ais ada beberapa biji strawberi lebih kirin buat tart haritu. Kena pula dengan hari panas, tekak mengidam nak makan yang sejuk sejuk.  So, bila keluar beli makanan untuk dibuat lauk tadi, aku beli susu perisa strawberi sekotak.  Bahan-bahan yang lain dah cukup.



Lapisan bawah:
Agar-agar serbuk satu peket (100 gm)
(Pastikan beli yang ada logo halal jakim)
Susu segar perisa strawberi 1 liter (1 kotak besar tu)
Air 2 liter
Gula  1 cawan.
Strawberi beberapa biji ikut suka

Blender strawberi dengan sedikit air (ambil sedikit daripada 2 liter air itu). Masukkan ke dalam periuk bersama bahan yang lain.  Masak sehingga agar-agar dan gula larut. Matikan api. Apabila agak suam, masukkan ke dalam bekas.

Lapisan atas:
1 liter susu segar
100 gm coklat masakan
2 sudu besar agar-agar serbuk


Masukkan semua ke dalam periuk dan biarkan larut.  Matikan api bila dah masak.  Letak atas lapisan strawberi yang dah keras tu.  Jangan lupa cakar sikit lapisan bawah tu dengan garpu.


 Anak-anak ibundo jangan tau nak makan je.  Sesekali rengankan tangan tu.

 ibundo

Nasi daging

Isnin lepas masak nasi daging.  Biasalah kalau ramai yang berpuasa di rumah ni. Mesti aku buat nasi ala-ala special sikit daripada biasa. Nak buat tak ada lah susah mana pun.




Perlukan:
Daging dihiris nipis. Agak-agak 300 gm.
Beras basmati
6 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia muda di hiris
kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pala
3 sudu mentega untuk menumis
1 sudu besar rempah kurma 
sedikit daun ketumbar
kacang peas
kismis

Rebus daging sehingga empuk. Air mestilah cukup untuk menanak nasi. Bila sudah masak, tapis dagingnya.
Panaskan mentega di dalam kuali.  Tumis bawang, halia, rempah empat sekawan sehingga naik bau. Masukkan rempah kurma.  Ketepikan.

Sediakan beras. Setelah dicuci bersihkan toskan airnya. Masukkan air rebusan daging secukupnya. Kemudian masukkan bahan yang ditumis tadi berserta daging.  Masukkan juga daun ketumbar. Apabila air nasi kering, masukkan beberapa titik pewarna kuning dan gaul. Hiaskan dengan kacang peas dan kismis. 


Selamat mencuba wahai anak-anak.


ibundo

Monday, June 6, 2011

cupcakes

Tangan dah mula gatal nak decorate cupcake. Dah lama sangat rasanya tak main cream.  So, pagi tadi buat cupcake.  Pakai resepi yang simpel dan semua orang dah tahu tak payah bagi resepi.








Kemudian mula main buttercream.








Selamat menjamu mata.

kakpah

Ayam kampung rendang nanas

Dulu mak aku ada bela ayam.  Bila teragak nak makan ayam, pagi-pagi mak tak lepaskan ayam dari reban. Mak tangkap dulu sekor dua, baru mak lepas yang lain-lain.  Menggelupur ayam ayam tu bila kena terkam.

Ayam kampung ni unik rasanya. Kalau yang dah tua, rasanya memang keras yang amat. Terpaksa dimasak berjam-jam lamanya.  Kalau digoreng gerenti gigi yang elok pun boleh tercabut.  Apatah lagi yang palsu. Tapi rasa ayam kampung lebih sedap daripada ayam town.

Nanas, selain daripada menambah rasa pada masakan, mempunyai fungsi melembutkan daging yang keras. Kalau masak ayam kampung, masukkan nanas supaya ayam cepat empuk.




Bahan:
1 ekor ayam kampung
1 biji kelapa, asingkan santan pekat dan santan cair

B.
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 batang serai dihiris
5 biji buah keras
cili api ikut suka pedas
2 sudu besar cili kering
2 sudu besar rempah kari
1 sudu kecil ketumbar
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih

C.
4 sudu besar kerisik
1/2 biji nanas dipotong ikut suka
daun limau purut


Cara:
Blender bahan B. Masukkan ke dalam kuali.  Panaskan. Masukkan ayam dan keringkan air ayam. Masukkan santan cair dan nanas. Masak sehingga kuah hampir kering baru masukkan santan pekat, dua batang serai tambahan yang dititik dan daun limau purut.   Bila kuah hampir pekat, masukkan kerisik.




Matikan api sebelum kuah terlalu kering. Biarkan sedikit berkuah.


kakpah

Sunday, June 5, 2011

Telur sosej

Sebenarnya nak buat telur dadar tetapi oleh sebab kuali melekat tertukar jadi scramble.  Layan jelah.


Bahan:
5 biji telur
1/4 cawan susu segar
garam secukup rasa
lada hitam secukup rasa

Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam mangkuk dan pukul sebentar.
Inti:
5 batang sosej ayam atau daging.  Potong nipis.
1/2 capsicum hijau potong dadu
1/2 capsicum merah potong dadu
1 biji bawang merah didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
1/2 biji tomato didadu
1 batang celery dihiris
3 sudu kacang peas
minyak zaitun untuk menumis (minyak lain pun boleh)

Panaskan minyak.  Tumis bawang besar dan bawang putih. Bila naik bau masukkan sosej.  Kacau sebentar dan masukkan bahan lain kecuali tomato.  Bila hampir masak masukkan tomato dan padamkan api. Ketepikan.
Panaskan minyak atau sedikit butter. Bila panas, masukkan telur. Masukkan pula bahan inti.  Kacau perlahan-lahan sehingga telur kering dan agak garing.  Siap.


kakpah

Saturday, June 4, 2011

Spageti bebola ayam



Makan spageti di rumah lebih puas banding makan di kedai.  Kalau buat sendiri kita boleh bubuh macam-macam.

Bahan:
A
1 bungkus spageti (rebus sampai lembut)
1 botol sos spageti kimball. 
4 sudu besar tomato puri
1 bungkus daging cincang ramli
1 biji capsicum hijau didadu
1 biji capsicum merah didadu
1 biji tomato didadu
2 biji bawang merah didadu
3 ulas bawang putih didadu
1 tin cendawan butang (ada halal jakim)
Bebola ayam ikut banyak mana suka
2 sudu besar cili kering yang sudah diblender (kalau mahu rasa pedas)
sedikit lada hitam
garam


B
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu butter
1 cawan air


Cara:

Buat bahagian B dulu.  Panaskan butter.  Masukkan tepung kacau hingga berbuih. Masukkan air sedikit demi sedikit dan kacau supaya tidak bergentel.  Kalau terlalu pekat, tambah air.  Ketepikan.

Panaskan minyak.  Tumis bawang.  Masukkan cili. Biar cili masak. Masukkan daging dan biarkan sehingga air daging kering.  Masukkan sos spageti kimball dan juga tomato puri. Masukkan bebola. Masukkan capsicum dan cendawan butang.  Tambah satu cawan air.  Biarkan mendidih.  Kemudian masukkan bahagian B.  Tambah garam dan lada hitam.  Masak hingga kuah pekat.

Selamat mencuba.

kakpah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...