Friday, August 10, 2012

Ayam kari

Dalam rasa tak sehat, sempat juga tambah lagi satu n3.  Tadi lepas zohor, cepat-cepat masak dan cepat-cepat juga snap gambar lauk ni. Lauk ni lauk kari biasa-biasa saja yang semua orang tahu macamana nak buat. Cuma bundo tambah itu sikit ini sikit.  Menu bundo petang ni, nasi lemak pandan. Sambal dah siap. Cuma hasben cakap buatlah sikit lauk yang berkuah.  Bundo suggest kari ayam dan semua orang okay je.  Oleh sebab dah ada kari, cadangnya nak buat sikit roti jala.




Bahan:
1 ekor ayam
santan dari satu biji kelapa 
5 sudu besar rempah kari
1 sudu besar pes cili kering
1 cube stok ayam
3 biji kentang dipotong 4
rempah 4 sekawan secukupnya
daun kari secukupnya
1 sudu besar air asam jawa

Blender:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1cm lengkuas
1 batang serai
5 helai daun limau purut dibuang tulangnya.


Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan blender, daun kari dan rempah 4 sekawan sehingga wangi.
Masukkan rempah kari. Tumis sehingga garing.
Masukkan ayam.  Tunggu sehingga air ayam keluar dan kering baru masukkan santan.
Apabila ayam hampir empuk, masukkan kentang.
Tambah air asam bila kentang empuk.
Jangan lupa garam. Dan masak sehingga kuah pekat.




 Sekian.  Selamat berbuka.


ibundo

Peanut butter cups

Sana sini kedengaran lagu-lagu raya berkumandang.  Ramadhan sudah hampir ke penghujung. Terasa sayang sangat untuk meninggalkan ramadhan. Semuga apa yang kita cari dalam bulan ini dapat kita temui.

Bundo tidak berapa sihat hari ini.  Di luar nun panas dengan pancaran matahari tetapi entah kenapa badan terasa macam seram sejuk. Minta Allah berikan bundo kekuatan untuk menyediakan juadah berbuka untuk famili petang ini.





Peanut butter cups ini bundo buat beberapa waktu yang lalu.  Bagi peminat peanut butter, pasti suka akan kelemakan rasa kacang yang disaluti dengan coklat. Kalau berminat, lihatlah resipinya di link yang bundo sertakan.

Lihat resepi di sini.   





Bolehlah dikeluarkan semasa tetamu datang bertandang hari raya nanti.




Sekian. 


ibundo

Wednesday, August 8, 2012

Ayam Minang

Kalau ke tanah seberang dan makan di restoren padang, mesti dihidangkan dengan ayam masak padang. Sepupu bundo yang berasal dari daerah minangkabau memberi bundo resepi ayam masak minang ini. Aroma ketika memasak ayam ini memenuhi setiap ruang di dalam rumah.

Realitinya tidak banyak perbezaan di antara masakan kita dengan masakan mereka.  Bahan yang digunakan adalah sama.  Apa yang mereka ada, kita pun ada.




Kalau di restoren padang, ayam yang digunakan bersaiz kecil dan bukannya seperti ayam yang selalu kita beli di pasar. Jadi, untuk masakan ini bundo beli ayam organik yang pastinya bersaiz kecil seakan-akan ayam kampung. Oleh sebab kecil, bundo masak 4 ekor.  Ya.. famili bundo besar. Ada 17 orang termasuk bibik dan dua anak kecil yang sama-sama sibuk di meja makan semasa berbuka.  Itu belum masuk baby yang masih belum boleh menyarap.



Resepi ini adalah untuk 4 ekor ayam. Sila downsizekan mengikut keluarga masing-masing.

4 ekor ayam
2 inci lengkuas*
2 inci halia*
seketul kunyit (agak-agaklah) *
4 biji bawang besar (sederhana besar)*
6 ulas bawang putih*
8 biji buah keras*
6 biji cili merah* (tambah sekiranya mahu pedas)
12 biji cili api* (tambah sekiranya mahu pedas)
8 batang serai *
2  helai daun kunyit *
8 helai daun limau purut dibuang tulangnya *
2 biji kelapa di asingkan santan pekat dan santan cair
1 cube stok ayam
garam secukup rasa
2 keping asam gelugur
1/4 cawan minyak untuk menumis




Cara:
Bersihkan ayam daan toskaan airnya.
Blender semua bahan yang bertanda *.
Panaskan minyak dan tumis bahan blender. Masak sehingga bahan tumisan masak dan airnya kering.
Masukkan ayam.  Biarkan air ayam keluar dan kering.
Masukkan separuh santan cair.  Kemudian masukkan santan pekat garam dan cube ayam.
Masukkan asam gelugur apabila kuah mendidih.
Masak sehingga kuah pekat.
(nota: santan cair guna separuh sahaja)


Sekian.  Sedap dimakan dengan ketupat.


ibundo

Tauhu goreng liplap berinti

Salam pagi rabu.  Pejam celik pejam celik dua per tiga ramadhan sedang berlalu. Masa untuk kita  kelebihan ramadhan yang bersisa. Suasana nak menyambut raya pun sudah berbahang.  Sana sini berkumandang lagu idilfitri. Banyak rumah yang sudah berbau dengan kukis yang harum mewangi. Baju, langsir, kerusi meja baru perlu dibeli? Perlukah?.. kita tanyalah diri sendiri.

Tau fu pok goreng berinti ini enak sekali.  Bundo sudah membuatnya berkali-kali. Sedap dimakan begitu saja atau dimakan dengan sambal bercili.



  Nak tahu cara membuatnya, jengahlah ke  SINI.


Cuma kali ini sebelum digoreng bundo golek tahu berinti dalam telur yang telah dipukul dan golekkan pula dalam serbuk roti. Serbuk roti yang bewarna keemasan ini.


Sambal cili?
8 biji cili merah*
1 biji bawang besar (sederhana besar)*
3 ulas bawang putih*
1 tangkai daun ketumbar*
1 sudu besar gula
3 sudu besar sos cili
4 biji limau kasturi diambil jusnya
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1 cawan air

Blender bahan yang bertanda *.  Masukkan ke dalam periuk kecil dan campurkan bahan-bahan lain. Jerang sehingga mendidih. Adjust semua rasa.

Sekian.


ibundo


Monday, August 6, 2012

Kari Bebola Ikan

Ramadhan ramadhan yang lepas bundo buat menu berbuka untuk satu bulan. Dari satu hari puasa hinggalah petang raya.  Dan petang raya menu berbuka semestinyalah ketupat, rendang dan yang sewaktu dengannya.
Ramadhan tahun ini, bundo tak sediakan menu.  Semuanya ikut selera bantai sajalah labu!!!

Selalunya semasa sahur bundo akan tanya ahli rumah nanti berbuka nak makan apa. Suara yang paling ramai itulah menu untuk hari itu. Tapi ada juga masanya yang menu cadangan itu terbabas. Sebabnya bila pergi ke pasaraya, benda lain pula yang bundo jumpa haha.. Nasiblah kan.

Satu hari bundo buat kari bebola ikan. Anak-anak yang tengok, nampak macam pelik bila bundo buat fishballs masak kari. Tapi bila makan, rasanya sedap.  Betul. Tapi bebola ikan yang bundo beli tu memang besar-besar.  Bukan macam yang kita selalu bubuh dalam mee goreng tu. Setiap biji besarnya lebih kurang macam bola pimpong.



Masak kari semua orang tahu kan?  Tak payahlah bundo bagi resepi. Cuma bundo masukkan serai sebatang yang diketuk dan beberapa helai daun limau purut.  Bundo campurkan juga dengan 7 atau 8 batang kacang panjang dipotong anggaran 2 inci.

Kalau dah kehabisan idea nak masak lauk apa, cubalah masak kari bebola ikan.  Cari yang besar besar.  kalau tak silap bundo, bundo beli jenama KAMI.




Sekian.  Selamat berbuka puasa.

ibundo

Sunday, August 5, 2012

Udang Mabeles

Salam pagi Ahad. Hari bersantai-santai dengan famili.  Mungkin orang yang bekerja di selangor ramai yang balik kampung memandangkan besok adalah hari cuti. Cuti memang cuti tapi masak tetap kena masak.

Amacam perancangan berbuka untuk hari ini.  Hari cuti takkan nak pergi pasar ramadhan jugak kot!!

Kalau belum ada idea, apa kata jadikan udang mabeles ini salah satu menu berbuka.  Makan nasi putih pun okay. Makan dengan nasi yang ada rasa pun okay juga tapi kenalah buat lauk lain yang bersesuaian dengan nasi.

Dalam bulan puasa ni, bundo dah buat udang goreng nestum ni dua kali. Bundo suka buat sebab semua orang suka makan.



Bagi mereka yang belum tahu resepi dan cara nak buat, bundo letak sekali lagi di sini.  Dulu dah pernah letak tapi kali ni bundo adjust sikit.

1/2 kilo udang besar
minyak untuk menggoreng udang
5 sudu besar butter/majerin (boleh tambah kalau rasa tak cukup)
segenggam penuh daun kari
1 1/2 cawan nestum
6 tangkai cili kering dipotong kasar
8 biji cili api dihiris kasar
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1/2 sudu garam (atau secukupnya)

-Udang dibuang kepala dan bersihkan.  Goreng sehingga bertukar warna.  Angkat dan ketepikan.
-Panaskan butter.  Goreng cili kering sehingga separuh garing. Masukkan daun kari.  Goreng sehingga kedua-duanya garing. Masukkan cili api.  Goreng sebentar lagi.  Kemudian masukkan nestum, serbuk stok ayam dan garam. Goreng sehingga nestum kelihatan rangup.
-Masukkan udang ke dalam kuali.  Gaul-gaul rata bersama bahan goreng sebentar dan padamkan api.


Bagi mereka yang mempunyai famili kecil, adjustlah bahan itu ya...



Sedap diratah-ratah begitu saja.  Terima kasih tidak terhingga kepada yang empunya resipi asal.


ibundo

Wednesday, August 1, 2012

daging gulai ibundo

Pagi tadi nampak macam hujan nak turun lebat.  Pagi-pagi subuh angin bertiup kuat sehinggakan sejuknya masuk ke dalam tulang.  Rupa-rupanya hujan tak jadi.  Cuaca seharian ini panas.  Bundo keluar sekejap tengahari tadi sebab ada urusan dan terasa macam tenaga disedut dek panas yang membahang.  Bila ternampak tembikai yang sudah siap terbelah semasa membeli sayur, terus bundo tangkap dua potong besar kerana tak tertahan dengan godaan warnanya dan isinya yang nampak penuh berair.



Petang ini cadangnya mahu memasak daging kari tetapi sedang memotong daging, kepala merancang benda yang lain. Faham-faham sajalah idea orang dapur yang tak mahu terlalu terkongkong dengan cara masakan sedia ada.



Sudahnya jadilah lauk daging yang namapun tak tau nak dipanggil apa. Perasan tak cili tu bewarna ungu?  Benihnya kakak bundo yang bagi.  Bundo tanam di belakang rumah dan elok pula tumbuhnya. Cilinya seperti cili api biasa hanya warnanya purple.  Tapi pedasnya bukan main.  Pedas yang amat.

Okay resepi:
1 kilo daging dipotong cube
3 ulas bawang merah dihiris nipis.
1 ulas bawang putih dihiris nipis.
3 sudu besar pes cili kering
3 biji ubi kentang dibelah
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
2 inci kunyit *
2 batang serai *
2 ulas bawang putih *
1 biji bawang merah*
2 sudu besar rempah kari
2 sudu besar rempah briyani
2 sudu besar kerisik
1 biji kelapa diambil santannya
1 cube stok daging
2  sudu besar air asam jawa
garam




Blender bahan yang bertanda *. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan campurkan dengan rempah kari. Gaul rata bersama daging.  Perap di dalam peti ais sekurang-kurangnya 1 jam.

Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih yang dihiris sehingga wangi.  Masukkan rempah briyani dan pes cili. Tumis sehingga masak.  Masukkan daging dan biarkan sehingga air daging kering.
Masukkan santan cair dan masak sehingga kuahnya pekat.  Tambah santan pekat, kentang, kerisik, stok daging. Masukkan air asam apabila kentang sudah empuk.

Mak bundo bagi petua.  Kalau masak kentang, jangan masukkan asam sebelum kentang empuk.  Nanti kentang tu tak empuk-empuk. Bundo selalu ikut petua emak.

Sekian.

ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...