Kadang-kadang bundo cuba juga buat sendiri tapi hasilnya kurang memuaskan. Mula-mula goreng, ia rangup tetapi bila dah sejuk dan disimpan, lama-lama dia jadi lemau juga.
Satu hari bundo terdengar petua chef zamri di corong ikim. Petua bagaimana nak bagi bawang goreng itu rangup. Bonda tak lengah lagi terus beli bawang kecil dan buat seperti yang disarankan oleh chef zamri. Alhamdulillah... Bawang goreng itu masih rangup hingga sekarang walaupun bundo dah buat tiga hari yang lalu.
Di sini bundo kongsikan dengan kamu.
Bawang merah dihiris nipis. Letak bawang yang sudah dihiris di dalam dulang dan biarkan selama 30 minit supaya air bawang keluar dan kering. Air bawang inilah yang menyebabkan bawang goreng menjadi tidak garing. Kemudian gaulkan bawang dengan beberapa sudu tepung jagung. Kita agak-agaklah.
Panaskan minyak yang agak banyak supaya bawang tenggelam. Taburkan sedikit garam di dalam minyak. Tunggu sehingga minyak benar-benar panas baru masukkan bawang. Goreng sehingga masak dan garing.
Itu sahaja petuanya. Senang kan?
ibundo