Showing posts with label UDANG. Show all posts
Showing posts with label UDANG. Show all posts

Monday, July 15, 2013

Udang Goreng Kelapa Rangup

Assalammualaikum.  Good morning. Harap sihat sejahtera, amin.
Monday blues? Nak buat camana kan. Dah sedap-sedap cuti hujung minggu dah nak kena pegi keje pulak. Untunglah siapa yang dah pencen dan kerja sendiri err... macam bundo ni. We are taking our own very sweet time. Ada masa lagi kami ni nak gugel gugel apa nak dimasak petang nanti. Jangan jeles!

About my udang goreng ni..
Cerita sikit.
Whenever I visited my cousin in jakarta dia selalu buat ayam goreng ungkep. Well, ayam tu direbus dalam air kelapa dan bahan-bahan bumbu yang lain sampai kering. Lepas tu ayam digoreng dan bumbunya juga digoreng garing. Then mix them all together.
It gives me the idea to do the same to my udang. Only the difference is, the udangs are fried instead.

Care to try?





1/2 kilo udang.

Bumbu:
2 cawan kelapa parut
8 biji bawang merah*
6 biji bawang putih*
1 biji buah keras*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
1 cm ibu kunyit *(boleh ganti dengan 1 sudu kecil serbuk kunyit)
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk stok ayam
2 batang serai dititik
1 cawan air kelapa (boleh ganti dengan air biasa)
sedikit garam

Penumis:
2 tangkai daun kari
10 biji cili api dihiris
2 biji bawang putih diketuk

Bahan bumbu bertanda * diblender.
Masukkan semua bahan bumbu termasuk bahan yang telah diblender ke dalam periuk dan masak sehingga air kering.

Sementara menunggu air kering, udang digoreng.  Ketepikan.

Dengan menggunakan minyak gorengan udang (tambah minyak kalau sedikit. Untuk menggoreng bumbu minyak mesti ada lebih kurang 2 cawan), goreng daun kari, cili api, dan bawang putih yang telah diketuk sampai wangi. Kemudian masukkan bahan bumbu dan goreng sehingga benar-benar garing. Kita boleh lihat melalui warnanya.

Toskan bahan bumbu yang telah masak di dalam penapis sehingga semua minyak keluar dan kering. Kemudian barulah digaul dengan udang yang telah digoreng.



Kalau nak tau rasanya, cubalah.
I like the bumbu bila digaul gaul dengan nasi.  Udang pula rangup nak makan kulit pun boleh.




well.. enjoy your Monday.
You have udang goreng kelapa rangup to do for berbuka petang ni.


ibundo


Monday, January 21, 2013

sambal udang

Tenggelam timbul, tenggelam timbul.   Ish.. susah betul nak maintain update blog ni. Nak buat macamana ek?  Masa mengejar kita.  Dan kita pula mengejar masa.
Buat je lah mana yang sempat ye tak.

Sambal udang ni bundo buat beberapa hari lepas.
Sambal yang tak pedas bagi mereka yang tak berapa gemar makan yang pedas-pedas.  Boleh dimakan dengan nasi biasa atau boleh juga dimakan dengan nasi lemak.




Untuk memudahkan orang yang makan, bundo buang kulit udang siap-siap.  Tapi kulit udang bundo tak buang.  Bundo bersihkan dan rebus dengan sedikit air untuk mendapatkan stok.  Stok udang boleh digunakan untuk masakan lain.  Jangan buang.  Sayang.  Sebab manis udang banyak di kulitnya.




20 ekor udang saiz besar dibuang kulitnya
6 tangkai cili besar merah *
2 tangkai cili kering dipotong kecil dan rendam dalam air panas*
2 biji bawang besar bersaiz kecil dihiris bulat
2 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
1 cm halia*
1 sudu besar jus lemon
garam
1/2 sudu kecil gula

- Blender bahan yang bertanda *
- Panaskan minyak secukupnya.  Tumis bahan kisar sehingga masak dan terbit minyak.
- Masukkan udang , bawang hiris, garam, sedikit gula dan jus lemon.
- Sesuaikan semua rasa.
- Siap.





Sedia untuk dimamam.

ibundo

Friday, September 21, 2012

Labu lomak spesel

Nak menghabiskan labu sebiji cukuplah lama.  Beli pun yang kecik je. Bukan besar mana pun.  Tapi oleh sebab sekali pakai guna sikit maka terperuklah selebihnya dalam peti ais.  Apatah lagi bila angin nak buat itu ini agak merudum akhir-akhir ini.

Bila abah buka peti ais mencari dadih yang dah tak ada lagi, dia ternampak akan labu yang tinggal lebih daripada separuh itu. Terus dia meminta supaya dibuatkan gulai labu. 



Gulai labu yang ini lain daripada yang bundo selalu buat.  Cubalah intai-intai resepi ni.

Bahan:
Labu yang didadu besar
15 ekor udang
santan 
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 cm kunyit *
10 biji cili api (kurangkan kalau tak suka pedas) *
2 batang serai diketuk
1 helai daun kunyit dihiris kasar-kasar
Garam
1 keping asam gelugur

Cara:
1. Kisar bahan yang bertanda *.  Masukkan ke dalam periuk bersama santan dan serai. Masak sehingga mendidih. Bubuh garam.
2. Apabila mendidih, masukkan labu.  Masak sehingga empuk. Bubuh asam keping.
3. Masukkan udang dan daun kunyit. Kacau seketika sehingga udang bertukar warna dan masak.  Padamkan api.




Nak tahu rasanya cubalah..


ibundo

Sunday, August 5, 2012

Udang Mabeles

Salam pagi Ahad. Hari bersantai-santai dengan famili.  Mungkin orang yang bekerja di selangor ramai yang balik kampung memandangkan besok adalah hari cuti. Cuti memang cuti tapi masak tetap kena masak.

Amacam perancangan berbuka untuk hari ini.  Hari cuti takkan nak pergi pasar ramadhan jugak kot!!

Kalau belum ada idea, apa kata jadikan udang mabeles ini salah satu menu berbuka.  Makan nasi putih pun okay. Makan dengan nasi yang ada rasa pun okay juga tapi kenalah buat lauk lain yang bersesuaian dengan nasi.

Dalam bulan puasa ni, bundo dah buat udang goreng nestum ni dua kali. Bundo suka buat sebab semua orang suka makan.



Bagi mereka yang belum tahu resepi dan cara nak buat, bundo letak sekali lagi di sini.  Dulu dah pernah letak tapi kali ni bundo adjust sikit.

1/2 kilo udang besar
minyak untuk menggoreng udang
5 sudu besar butter/majerin (boleh tambah kalau rasa tak cukup)
segenggam penuh daun kari
1 1/2 cawan nestum
6 tangkai cili kering dipotong kasar
8 biji cili api dihiris kasar
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1/2 sudu garam (atau secukupnya)

-Udang dibuang kepala dan bersihkan.  Goreng sehingga bertukar warna.  Angkat dan ketepikan.
-Panaskan butter.  Goreng cili kering sehingga separuh garing. Masukkan daun kari.  Goreng sehingga kedua-duanya garing. Masukkan cili api.  Goreng sebentar lagi.  Kemudian masukkan nestum, serbuk stok ayam dan garam. Goreng sehingga nestum kelihatan rangup.
-Masukkan udang ke dalam kuali.  Gaul-gaul rata bersama bahan goreng sebentar dan padamkan api.


Bagi mereka yang mempunyai famili kecil, adjustlah bahan itu ya...



Sedap diratah-ratah begitu saja.  Terima kasih tidak terhingga kepada yang empunya resipi asal.


ibundo

Thursday, June 28, 2012

Sajian laut henti sejenak

Henti sejenak.
Masing2 terintai-intai apa yang bundo masak. Ada yang menarik nafas dalam-dalam menyedut aroma yang memenuhi setiap ruang dapur.

Henti sejenak.
Melihat masakan yang telah sedia masak dalam kuali sambil tangan mencopot seketul udang yang sedang terbongkang berposing maut.  Dan udang bertukar dari tangan ke mulut sambil mata terpejam-pejam tak tahu samaada menikmati kesedapan atau menahan kepanasan udang yang masih berasap-asap.



Ah.. nikmatnya kalau masak dan orang suka apa yang kita masak. Terasa diri seperti seorang genius dalam bidang kedapuran . Ada kau kesah? haha..



Asalnya nak goreng fish filet saja tapi bila dicongak-congak takut pula tak cukup untuk satu famili. Sebabnya bila fish filet tu dibeli nampak besar besar dalam bungkusan.  Tapi bila sampai rumah dan di defrost rupanya yang besar itu hanyalah ketulan ais. Isinya ciput dan nipis pula.



So, tukar ke plan B. Selongkar peti ais, ada udang dan sotong.
Semasa membersihkan udang, bibik bertanya; nak masak apa ni buk.
Bundo cakap, projek.. hehe.
Bundo suruh bibik pergi belakang dapur ambil daun limau purut, ambil daun kunyit.
Serai mana? bundo tanya bibik
Serai habis buk.  Haritu buat masak ayam.
Kat belakang?
Kan dah lama tak ada buk..masa wak robi buat pagar dulu.
Oo ye ke.  Tak per.. tak per.. tak payah serai.



Bundo siapkan;
3 keping fish filet potong cube besar
6 ekor sotong potong gegelang
10 ekor udang besar dibuang kepala dan dibelah belakang
1 biji bawang besar dipotong bulat
2 ulas bawang putih dicincang kasar
2 ulas bawang merah dicincang kasar
1/2 biji capsicum merah didadu kasar
8 helai daun limau purut dibuang uratnya dan dikoyak kasar
1 helai daun kunyit muda dihiris kecil
2 tangkai daun ketumbar dipotong kasar
1 sb sos ikan
1 sb sos plum
1 sb kicap masin
1 sb kicap manis
1 sb sos tiram
3 sb sos tomato
1 sb stok ayam pekat maggi (dalam botol)




Kemudian;
Fish filet digaul dengan secubit garam dan secubit kunyit.  Goreng sehingga kekuningan dan bundo letak tepi.
Bundo panaskan minyak sikit.  Tumis bawang merah dan bawang putih cincang sampai naik bau.
Bundo masukkan daun limau purut dan daun kunyit. Goreng sehingga baunya semerbak.
Masukkan pula semua sos.  Gaul rata.
Bila nampak dah okay, baru bundo masukkan udang. Masak sampai bertukar kemerahan dan masukkan daun ketumbar dan capsicum.
Lepas tu bundo masukkan pula sotong.
Masak sekejap saja sebab tak mahu udang dan sotong tu over-cooked. Sotong tu kalau terlebih masak nanti akan keluarkan air dan jadi keras.
Bila agak-agak dah masak, baru masukkan fish filet yang digoreng tadi dan terus padamkan api.
Gaul rata semuanya.
Siap.



Bila dah siap, bundo berhenti sejenak menenung hasil air tangan bundo hikhik..
Teruslah datang nama...... sajian laut henti sejenak.

Sekian dimaklumkan.

ibundo

Monday, February 13, 2012

Udang garing daun kesum

Menyelak majallah saji februari, bundo terjumpa dengan satu resepi goreng udang yang nampak sedap. Bila bundo mencubanya, ternyata memang sedap.  Di sini bundo nak kongsi resepi ni terutamanya bersama mereka yang belum membeli saji februari.



 Bahan:
500 gm udang

Bahan perap:
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kari
1/2 sudu kecil lada hitam
1 sudu besar tepung jagung
sedikit garam





Bahan cincang:
6 ulas bawang putih
3 cm halia
1 tangkai besar daun kesum
1 tangkai kecil daun selasih
1 tangkai kecil daun kari
1 biji cili merah
1 biji bawang besar (bundo tambah)

minyak untuk menggoreng



 Cara:
1. Kelar bahagian belakang udang dan bersihkannya
2. Gaulkan udang bersama bahan perap dan biarkan seketika. 
3. Panaskan minyak dan goreng udang sehingga garing.  Angkat dan toskan minyaknya.
4. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja.  Tumis bawang putih, bawang besar  dan halia sehingga agak garing.
5. Masukkan cili merah diikuti daun kesum, daun selasih dan daun kari.
6. Sentiasa kacau supaya tidak hangus. Goreng sehingga garing.
7. Masukkan semula udang dan gaul rata.



Bila makan udang ni, tak payah buang kulit sebab rangup dan boleh digigit dan dikunyah-kunyah begitu saja.



Mahu cuba?  Cubalah.....

ibundo


Sunday, September 25, 2011

Udang goreng nestum

Lebih kurang dua tahun dulu, resepi udang goreng nestum ni meletup-letup di alam maya. Skodeng sana, ada udang goreng nestum.  Skodeng sini ada udang goreng nestum. Bundo pun ikut skodeng kat tepi tingkap dapur orang.  Nak masuk, takut. Lagipun bundo sendiri tak ada dapur. Bundo bawa balik resepi. Bundo buat untuk makan keluarga dan semuanya suka.  Semua puji sedap.  Dan udang goreng nestum ini telah menjadi antara menu kegemaran keluarga sejak itu.

Oleh kerana bundo main skodeng dan resepi pun bawak balik pakai ingat-ingat gitu je dalam kepala, bundo tidak tahu siapa sebenarnya pencetus idea ini.  Pujian patut diberikan kepada pemunya resepi asal dan bundo minta maaf banyak-banyak kerana tidak dapat meletakkan linknya di sini sebab bundo tidak tahu siapa.  Apa-apa pun, bundo minta izin menyiarkan kembali resepi ini untuk panduan anak-anak dan sesiapa yang berminat untuk mencuba. (Kalau sesiapa tahu asal usul resepi ini, tolong bagitahu bundo)


20 ekor udang yang agak besar
10 helai daun kari
3 ulas bawang putih dicincang halus
3 sudu besar butter
3 biji cili api dihiris kasar
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1/2 cawan nestum ( nak lebihkan pun, boleh juga tapi kena tambah butter)
minyak untuk menggoreng udang

Udang digaul dengan sedikit garam.  Panaskan minyak dan goreng jangan sampai garing. Angkat dan toskan.
Panaskan butter. Masukkan bawang putih, daun kari dan cili api. Masak sehingga berbau wangi.
Masukkan pula nestum dan serbuk stok ayam. Gaul sehingga nestum nampak garing.  Matikan api. Masukkan udang yang telah digoreng ke dalam kuali.  Gaulkan dia bersama nestum hingga sebati.  Angkat dan hidangkan panas.

Kepada sesiapa yang belum pernah mencuba resepi ini, cubalah.  Sedap.

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...