Showing posts with label KERABU. Show all posts
Showing posts with label KERABU. Show all posts

Friday, July 27, 2012

Kerabu Mihun

Salam hari Jumaat.  Setiap kali berjumpa hari Jumaat, hati tetap berkata: dah hari Jumaat!. Bagi yang bekerja pula hari Jumaat tetap ditunggu-tunggu sebab Yey!! besok Sabtu.

Dah seminggu kita berpuasa.  Tiap-tiap hari kita berpikir apa yang perlu dimakan untuk berbuka puasa.  Harap-harap apa yang kita sediakan untuk keluarga bukan saja yang enak-enak tetapi juga berkhasiat. Sebenarnya bukan hidangan lazat saja yang perlu kita sediakan tetapi kita juga jangan lupa untuk sediakan santapan untuk rohani kita. Sudah berapa banyak amalan baik yang telah kita lakukan sepanjang seminggu berpuasa?  Sudah berapa banyak ayat-ayat alQuran yang telah kita baca. Sudahkah kita mengurangkan perbuatan yang tidak berfaedah seperti menceritakan hal orang dan sebagainya. Nauzubillah.. semuga kita dihindari daripada perbuatan yang dimurkaiNYA.

Pagi ini bundo letakkan satu resepi bundo yang telah keluar dalam majalah MIDI (keluaran ogos 1 hb). Mungkin ada di antara anda yang tidak atau belum membelinya.  Bundo kongsi di sini.



Bahan:
100 gm mihun yang telah lembut
12 ekor udang besar
50 gm tauge
2 cekak pegaga diambil daun dan batang lembut
4 keping daging salai
2 sudu besar lada hitam ajishio
1 cawan kelapa parut
2 sudu besar udang kering
6 ulas bawang merah
2 sudu besar jus lemon
1/2 sudu kecil garam




Cara:
1.       Udang dibuang kepala dan kulit.  Belah belakang udang.
2.       Masukkan udang ke dalam air mendidih sebentar dan keluarkan segera apabila bertukar warna.
3.       Goreng sebentar daging salai dan potong kepada beberapa potongan kecil.






4.       Sangrai kelapa parut sehingga kekuningan. Keluarkan.
5.       Sangrai udang kering sehingga berbau  wangi.  Keluarkan.
6.       Tumbuk udang kering dan kelapa parut.





7.       Tumbuk bawang merah separa hancur.  Gaul bersama udang kering dan kelapa parut.
8.       Dalam mangkuk besar, gaul bersama daging salai, tauge, pegaga, udang dan mihun.
9.       Masukkan bahan tumbuk, lada hitam dan jus lemon beserta garam.  Gaul rata.
10.   Rasakan asam dan garam dan boleh sesuaikan rasa mengikut selera.




Sekian.  Selamat menjalani ibadah puasa.  Sudahkah anda bersedekah pagi ini?  Mulakanlah hari-hari anda dengan bersedekah. Senyuman manis anda adalah satu sedekah dan anda pasti akan ceria sepanjang hari insyaAllah.


ibundo




Sunday, July 1, 2012

Kerabu Mangga Krap Krup

Salam hari ahad dan selamat berhujung minggu kepada semua.  Bundo habiskan lebih kurang 2 hari satu malam di Melaka.  Malam tadi ada kenduri arwah di rumah adik ipar dan  tengahari tadi kenduri perkahwinan anak kepada sepupu pula.

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, kami singgah sebentar di rumah adik ipar di Ayer Molek.  Ketika duduk berbual-bual bundo terpandangkan buah mangga muda yang sedang bergayutan. Mulalah air liur bundo ni kecur teringatkan kerabu mangga.  Jadi, dengan penuh rasa tak malunya, bundo pun mintaklah dua tiga biji tetapi yang diberi, satu plastik hampir nak penuh.



Bila sampai di rumah, rehat-rehat sebentar dan bundo pun mulakanlah projek membuat kerabu mangga. Bahan-bahan adalah mengikut kesesuaian.  Ada bahan yang tak ada.  Tapi apa nak susahkan hati ye tak.  Kita yang buat dia. Orang kata, belasah je lah.




Bahan:
4 biji mangga muda
1 sudu kecil kapur sirih
1 biji bawang besar
6 biji cili api merah
1 biji cili besar hijau
1 biji cili besar merah
satu genggam daun kesum yang telah dibuang tangkainya
1 cawan kacang tanah
1 sudu besar udang kering
Sejemput ikan bilis
1 sudu besar sos nampla (sos ikan)
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar kelapa disangrai kekuningan




Cara:
1. Mangga diparut kasar. Rendam dalam air kapur supaya rangup.
2. Kelapa disangrai hingga kekuninngan.  Tumbuk kasar.
3. Udang kering dan ikan bilis disangrai dan ditumbuk halus.
4. Kacang tanah disangrai, buang kulitnya dan tumbuk kasar
5. Daun kesum dihiris kasar.
6. Bawang besar dibelah dua dan dihiris nipis
7. Hiris semua cili.
8. Basuh bersih mangga dan toskan airnya.  Masukkan ke dalam mangkuk.
9. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam mangkuk yang berisi mangga.  Gaul rata.



Wala... cukup rasa pedas, masam, masin. Manis takde sebab bundo tak bubuh gula.  Tapi sebab bundo bubuh kacang goreng dengan banyaknya... mmm.. sedap dikunyah-kunyah.




You all tak terliur ke. .....


ibundo


Tuesday, February 14, 2012

Kerabu Kacang Botol Ikan Pekasam

Satu lagi resepi dalam saji feb.
Bundo suka makan kerabu / urap. Bila dikunyah, sayur ni bunyi krap krup krap krup. Bagai muzik pula.



Bahan:
300 gm kacang botol
1 ekor ikan pekasam goreng dan ambil isi
1 batang bunnga kantan, mayang nipis
1 labu bawang besar, mayang nipis
3 tangkai cili api, ditumbuk
5 biji limau kasturi, ambil jusnya
4 sudu besar kelapa parut disangai sehingga kekuningan
secubit garam



Cara menyediakan:
Hiris kacang botol.
Campurkan semua bahan dan gaul rata.
Sedia dihidang dengan nasi putih.



Uniknya, kerabu ni ada ikan pekasam. Pergh!!!!



Sila!..Sila jamah.  Bundo nak pegi keje ni.


ibundo

Tuesday, November 29, 2011

kerabu mangga

Salam.  Macam dah lama bundo tak masuk sini.
Bundo balik kampung bundo di kuala pilah sempena cuti awal muharram dan kebetulan pula line internet tersangatlah lembab.

Mangga muda ni bukannya bundo dapat di kampung tetapi di kedai sini semasa bundo mencari sayur.  Nampak mangga muda ni terus bundo teringatkan kerabu mangga yang adik ipar bundo buat semasa kenduri di rumahnya hari raya haji lepas. Terus meleh-leleh air liur ni mengenangkan kejadian kerabu mangga yang teramat sedap itu.

Ada sesiapa yang sukakan kerabu mangga?  Tak semua orang suka makan kerabu mangga ni sebab ia agak masam.


Bahan:
4 biji buah mangga muda (sebiji mangga yang bundo beli ni dah bewarna kuning)
2 kuntum bunga kantan sederhana besar.
1biji bawang besar
3 sudu besar penuh kelapa parut
2 sudu besar udang kering
10 biji cili api dihiris nipis (kalau suka pedas, bubuh 20 biji pun  tak apa)
garam secukupnya


Cara:
-kelapa parut dan udang kering digoreng tanpa minyak hingga kekuningan. Blender kering atau ditumbuk.
-mangga diparut halus
-bawang dibelah dua dan dihiris nipis
-bunga kantan dihiris nipis
-gaul rata semua bahan. Rasakan garam.  Ada orang suka bubuh gula.  Bundo tak bubuh. Kalau suka bubuhlah gula atau bahan perasa.



Siapa yang tak suka makan kerabu mangga, maka rugilah orang itu haha..

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...