Showing posts with label TEMPE. Show all posts
Showing posts with label TEMPE. Show all posts

Saturday, March 23, 2013

Jantung Pisang sijantung hati

Bibik bundo pelik bila tengok bundo bawak balik jantung pisang.
Dia tanya buat apa dengan mendaalah tu. Bila bundo cakap untuk buat lauk, lagilah dia pelik sebab di kampung dia jantung pisang tu dicampak je bagi kerbau makan.

Bibik bundo yang dulu dulu yang datang dari semarang pelik bila bundo masak pucuk paku. Dia kata pucuk paku banyak tumbuh di sawah kat kampung dia tapi tak pernah dibuat lauk. Yang makan pucuk paku, kambing.

Mula-mula memang diorang tak makan walaupung dah terhidang depan mata. Biasalah dengan benda-benda yang dianggap pelik ni.  Tekak mengembang tak mau nak menelan. Tapi lama-lama dibelasah juga. Hah.. tau kau sedap.

Orang selalunya jantung pisang ni dibuat kerabu. Sedap kerabu jantung pisang ni. Dapat maakan tengahari lagilah sedap. Tapi bundo semalam masak dengan tempe. Uish.. sedap jugak.




1 biji jantung pisang
1/2 bungkus tempe (dalam plastik)
10 biji cili api
1/2 genggam ikan bilis
1 inci lengkuas diketuk
2 batang serai diketuk
2 ulas bawang putih diketuk
6 ulas bawang merah ditumbuk kasar
6 helai daun limau purut dibuang tulang dan dikoyak-koyak
200 gm santan siap
1/2 cawan air
1 sudu kecil serbuk stok ikan bilis
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
garam secukupnya




- Jantung pisang dibelah dua dan direbus sehingga empuk. Bubuh sedikit garam dalam air rebusan.
- Jantung pisang yang telah direbus ditoskan dan dipotong pendek anggaran satu inci pendeknya.
- Tempe dipotong dadu besar.
- Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga kuah agak pekat.
- Siap.



Sesekali makan masakan kampung ni "monciyeh" peluh dibuatnya. Monciyeh tu vocab orang nisemilan kehkeh...


ibundo

Wednesday, February 27, 2013

Tempe goreng sotong berkunyit

Salam.
Setelah seminggu dapur ini terbiar baru hari ini tergerak untuk menulis sedikit. Kurang sihat beberapa hari lepas. Menu kali ini pun simpel sahaja. Bila badan letih, selera kurang, masak pun cincai-cincai.

Ada masa-masanya bundo ni rasa malas masuk dapur. Tengok ini tak kena, itu tak kena.  Akhirnya ambil kunci kereta dan beli lauk yang sudah sedia masak di kedai makan.  Tapi seringnya yang dibeli itu tidak berapa kena pula dengan tekak.  Dah balik rumah, dah masukkan ke dalam mangkuk, dah rasa mulalah komplen 'aku masak lagi sedap'.

Ada sekali tu bundo beli gulai pucuk ubi. Sampai rumah tengok kuahnya cairrrr sangat.  Bundo repair. Bubuh santan, masak lagi sampai daun ubi betul-betul empuk dan masukkan tempoyak dua sudu besar .  Hah.. baru malatop.
Selalunya macam tu lah kan?  Buat sendiri lagi bagus.  Tapi kalau dah sesekali malas, memang rasa macam nak bergolek-golek saja atas tilam sambil layan drama korea. Ooopss bundo tak layan drama korea ni. Kalau dah malas, beli je lah  ye tak.  Lepas tu jangan heboh nak komplen apa-apa.



Masak cincai macam ni bundo buat masa bundo malas jugak.

Bahan:
6 ekor sotong dipotong bulat
1 bungkus tempe didadu sederhana besar
2 biji kentang didadu sebesar saiz tempe
1/2 capsicum merah didadu kasar
1/2 capsicum hijau didadu kasar
1 biji bawang besar dibelah 6
2 ulas bawang putih dicincang halus
1/2 sudu kunyit
garam



- Tempe digaul sedikir garam dan kunyit.  Goreng lembut (jangan garing).  Ketepikan.
- Kentang digoreng sehingga masak.  Ketepikan.
- Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan agak sesudu besar.  Tumis bawang putih sehingga wangi.  Masukkan bawang besar, kemudian sotong.
- Kemudian masukkan kesemua bahan lain.



Sekian.

ibundo

Wednesday, August 29, 2012

Tempe Bakar Berempah

Jarang bundo terjumpa tempe yang dibungkus dalam daun dan yang berbentuk segitiga. Selalu yang banyak terjual adalah yang sedia dibungkus dalam plastik. Mungkin dari segi rasa ia tidak banyak berbeza tapi yang dibungkus dalam daun pisang lebih berunsur nostalgik. Teringat zaman semasa kanak-kanak dulu dimana rata-ratanya tempe semuanya dibungkus dalam daun.

Tempe boleh dipelbagaikaan cara memasaknya.  Yang penting, ia enak. Hanya kebelakangan ini bundo amat menghadkan pengambilannya kerana tahap uric asid yang agak lebih daripada paras normal. Terpaksa kurangkan pengambilan kekacang.

Mahu mencuba resepi yang ini?





Bahan:
Tempe dipotong (kalau yang dibungkus dalam plastik, potong 6 bahagian)
1 biji bawang putih ditumbuk halus

1 genggam bawang goreng diramas-ramas
1 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
4 sudu besar kicap manis
1 sudu besar kicap masin
1 sudu besar minyak zaitun/minyak jagung

Tempe dikukus sebentar ( 5 - 10 minit).  Ketepikan.
Campurkan bahan-bahan lain di dalam mangkuk.  Masukkan tempe yang telah dikukus.  Biarkan lebih kurang 1/2 jam.
Panaskan grill pan atau kuali tanpa lekat. Bakar tempe sehingga masak.

Nota:
Bahan perapan tempe boleh dijadikan sos untuk tempe. Tambahkan sedikit air (2 sudubesar), ketukkan 2 cili api, perahan sebiji limau kasturi, dan jerang sebentar.

Sekian.


ibundo


Wednesday, June 27, 2012

Burger Temtahu Roti Telur

Untuk beberapa tahun, bundo amalkan low-grain diet dan low sugar diet. Dalam satu minggu bundo makan nasi beberapa kali sahaja.  Itupun bundo makan brown rice. Sebabnya, triglyceride bundo tinggi dan bundo perlu turunkan.  Nasib baiklah juga hasben bundo mahu temankan bundo amalkan diet macam tu.

Bundo cuma minum air kosong.  Kalau nak perisa, bundo perahkan lemon. No cakes.  No cookies.  No ice-cream. Benda yang manis-manis semua tak ambil termasuklah kuih muih.
Untuk menggantikan nasi, bundo makan ikan panggang, rebus atau kukus. Makan dia saja-saja bersama dengan sayur mentah atau rebus.  Dan bundo banyak makan tempe dan tahu.

Dalam setengah tahun bundo amalkan diet macam tu, bundo pergi buat check up dan memang tahap triglyceride bundo turun betul-betul ke tahap normal. Dan berat badan pun turun berkilo-kilo sehinggakan bila berjumpa kawan mereka akan tegur; apasal kau kurus.  kau sakit ke...


 



Oleh sebab tahu dan tempe dah menjadi makanan utama, bundo kena pelbagaikan cara mengambilnya. Kalau gorenggggggg saja, pastilah muak.  Ohya.. bundo goreng guna extra virgin olive oil dan guna sikit-sikit saja.

Jadi, apa kena mengenanya dengan berger temtahu yang bundo tempel di sini?
Ini adalah salah satu menu yang bundo cipta semasa berdiet dulu. (Sekarang ni diet dah banyak di langgar.  Hancusss..) Dan jangan tak tahu.  Nama temtahu itu adalah gabungan tempe dan tahu hehe..
Berger ni selalunya bundo makan dengan roti gandum tetapi kali ni bundo gabungkan dengan roti telur.


roti telur


Okay.  Mula-mula kita buat berger dulu.
Bahan:
1 bungkus tempe dalam plastik, potong 4 dan rebus sebentar.
1 biji tahu
1 biji bawang besar didadu kecil
1/2 sudu teh lada sulah
1/2 sudu teh garam
1 biji telur
3 tangkai daun sadri dipotong halus
2 sudu besar tepung gandum
sedikit serbuk stok ayam kalau suka

 


Cara:
1. Biar tempe sejuk sedikit.
2. Dalam lesung batu, tumbuk halus tempe.
3. Tumbuk halus tahu.
4.  Masukkan tahu dan tempe ke dalam mangkuk dan campurkan dengan segala bahan yangn lain.
5.  Gaul rata dan bentukkan seperti berger.
6. Untuk adunan ini, anda akan mendapat 2 berger yang gedabak atau 3 berger yang agak comel.  Bundo pilih yang gedabak.
7..Panaskan kuali tidak melekat.  Bubuh sedikit minyak dan goreng dengan api perlahan sehingga masak.
(Bundo goreng dalam grill pan. Nampak cantik bergaris-garis gitu....)






Sekarang kita buat roti telur pula. Sebelum bagi bahan, bundo nak bagitahu yang adunan ni adalah untuk 2 keping roti saja.  Kalau lebih daripada 2 keping, you all adjustlah sendiri ye..

Bahan:
2 keping roti sandwich
3 biji telur
3 tangkai daun sadri dipotong kecil
1/2 biji bawang besar ditumbuk halus
1/2 sudu teh lada sulah
1/4 sudu teh jintan manis
secubit (hujung jari) jintan putih
1/4 cawan susu segar
secubit garam
2 sudu besar majerin



Cara:
1. Di dalam  mangkuk, campur semua bahan dan kocok sebentar sehingga sebati. Bahagikan kepada 4 bahagian agak-agak sama banyaknya.
2. Panaskan sedikit majerin dalam kuali leper berdiameter kecil. Tuang 1 bahagian telur.  Letak sekeping roti di atasnya. Kemaskan tepi tepinya supaya berkumpul di tepi roti.
3. Angkat roti dengan spatula dan masukkan 1 bahagian lagi telur ke dalam kuali. Letak semula roti di bahagian atas ke bawah pula. Jadinya sekarang, kedua-dua permukaan roti telah disalut dengan telur.  Angkat bila sudah kekuningan.
4. Buat perkara yang sama dengan sekeping roti lagi.
5. Ketepikan.






Untuk menjadikan roti berger:
Ambil sekeping roti telur.  Letak salad, tomato dan timun. Kemudian letak berger temtahu di atasnya.  Letak lagi salad, tomato dan timun di atas berger. Lepas itu tutup pula dengan sekeping roti telur lagi.
Bundo tak letak cheese atau mayonis atau sos sebab begitulah yang bundo selalu makan dulu.




Tapi ada orang dalam rumah ni yang suka makan berger temtahu ni begitu saja cicah dengan sos cili dan mayonis. Dua keping berger gedabak yang bundo buat salah satunya telah dilarikan.




Ngap begitu saja tanpa roti. Sebenarnya kan, roti telur tu sedap dimakan macam tu saja. Tak perlu ada berger.  Tak percaya cubalah. Hujung-hujung minggu kita ada banyak masa untuk bersantai-santai buat breakfast kan. Pasti ramai orang dalam rumah yang suka.



Akhir sekali, bundo tak kesah kalau you all nak ambil resepi ni dan mencubanya.  Tapi pastikan bagi kredit pada bundo sebagai pencipta asalnya dengan membubuh link ke blog bundo ni ya...

Sekian.

Kasih daripada
ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...