Tuesday, February 28, 2012

Kimchi

Assalamualaikum..
Bila dah berhenti, susah nak mula semula. Lagipun dah seronok makan tanggung dan melenggang kangkung ke tempat makan. Realitinya, seminggu di korea, kami paling banyak diberi masakan yang direbus-rebus sehinggakan terbawa-bawa apabila balik ke tanah air kerana merasakan cara masakan begitu adalah paling dan teramat sehat. Jadi, belum ada masakan yang meliurkan dan menggiurkan yang mahu dipersembahkan di sini.




Kimchi


Kimci adalah satu makanan yang perlu dan mesti ada. Setiap kali lunch, setiap kali dinner, mesti ada kimci. Dulu aku tidak tahu pun kewujudan kimci kerana aku bukanlah peminat fanatik drama korea.  Juga bukan peminat fanatik hero dan heroin korea. Jadi, apa saja yang berkaitan dengan korea, aku kurang arif. Sehinggalah kami dibawa ke school of kimchi di seoul dimana kami terutamanya aku diperkenalkan dengan kimchi dan cara-cara membuatnya.




Apa sebenarnya kimchi ni.  Kepada yang kurang tahu seperti aku, ia hanyalah kubis cina yang dijeruk menggunakan special paste.


 Bahan A
1 biji kubis cina yang besar
Air secukupnya untuk merendam kubis
1/4 cawan garam kasar

Kubis dibelah dua memanjang. Kemudian kubis yang telah dibelah itu dibelah tiga pula.
Masukkan garam kedalam air dan kacau sehingga garam larut.  Masukkan kubis.  Biar habis terendam. Balik-balikkan setiap satu jam.  Rendam selama 4 atau 5 jam.  Kubis itu akan menjadi layu.



Bahan B.
6 ulas bawang putih didadu halus
2 inci halia, ditumbuk halus
1/4 cawan fish sauce
1/3 cawan pes cili kering atau 1/2 cawan serbuk cili
1 tangkai daun bawang, dipotong kira-kira 1 inci panjang
1 batang radish di parut halus
1 tsp gula atau honey
2 tbs bijan

1. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar. Gaul rata. Ketepikan.
2. Keluarkan kubis yang direndam tadi. Cuci bersih setiap helai kelopak. Keringkan airnya.
3. Dengan menggunakan sarung tangan plastik, sapukan setiap helai kelopak dengan pes yang telah disediakan.
4.  Untuk mengemaskannya, Tinggalkan kelopak yang paling bawah. Kelopak yang lain yang telah disapu dengan pes tadi, dilipat dua.  Kemudian kelopak paling bawah yang ditinggalkan tadi, dibelit keliling kelopak yang telah dilipat.


Masukkan kimchi ke dalam bekas dan dibiarkan di dalam room temperature selama satu atau dua hari. Kemudian barulah dimasukkan ke dalam peti ais. Kimchi sedap dimakan apabila diperap lebih kurang 3 minggu. Caranya?  Potong saja dan makan dengan nasi atau sup sayuran.  Boleh juga dibuat nasi goreng kimchi kalau suka.




Nak tahu rasanya?  Cubalah buat.

ibundo

Friday, February 17, 2012

Pita ayam

Semasa pita kebab memula menyerang pasar malam, anak-anak dan juga aku sendiri cukup teruja. Pertama kali merasanya di dalam mulut, sedapnya sampai tidak terkata. Sejak itu, setiap kali ke pasar malam, mesti akan beli pita kebab.  Kalau tak pergi pasar malam pun, mesti ada seseorang yang akan merajinkan diri semata-mata untuk membeli pita kebab.  Sampailah muak. Sampailah tak terhingin nak membelinya lagi.

Sekarang roti pita melambak-lambak di pasaraya. Terpulanglah pada diri kita ni rajin ke tak rajin untuk membuat sesuatu dengannya.  Ataupun, berselera ke atau tak berselera untuk menjadikannya satu bahan makanan.

Apapun, ia adalah satu menu cepat siap sekiranya dilanda kemalasan untuk memasak.



1 bungkus roti pita, dipanaskan di atas pan dan dipotong dua.
4 atau 5 ketul dada ayam, didadu.
2 lembar daun kubis dihiris kecil nipis
1/2 biji bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu besar rempah kari
1/2 - 1 biji timun didadu kasar
1 biji tomato dibuang biji dan didadu
1 sudu kecil serbuk rasa ayam
garam secukupnya
thousand island
mayonis
cili sos
daun salad


-Ayam yang telah dipotong dadu dimasukkan ke dalam mangkuk. Campurkan rempah kari, garam, bawang putih dan serbuk rasa ayam. Perap sebentar. 
-Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga hampir garing (ikut kesukaan sendiri. Kalau suka garing, gorenglah garing). Toskan dan masukkan ke dalam mangkuk. 
-Masukkan bawang dadu, daun kubis, tomato dan timun ke dalam mangkuk berisi ayam.
-Tambah mayonis, lada hitam secukupnya. Tambah juga garam kalau perlu.  Kalau dah terasa garam, tak payah tambah.
- Masukkan salad ke dalam roti pita yang telah dibelah dua.  Lapiskan dengan inti ayam. Bubuh cili sos dan thousand island di atasnya. Kalau suka boleh selitkankan juga cheese keping dicelah daun salad.



Sekian. Dapur bundo akan bertutup dalam seminggu lebih.
Jumpa lagi.


ibundo

Wednesday, February 15, 2012

Choc Chips Famous Amos

Nenda wat per tu.., tanya sikecil yang sama-sama sibuk di dapur.

I want to make some cookies, jawab aku.

Aish nak enyok, sambil kakinya terjengket-jengket di tepi kaunter dapur untuk melihat dulang yang telah aku isi dengan adunan untuk dibakar.

You grow taller fast, dan aku dukung dia untuk melihat apa yang aku telah buat. Suka sangat dia bila kena dukung.  Padahal lengan aku ni macam dah tak terlarat untuk menampung badannya yang montel.

Aish nak!!..

I havent baked it yet. You have to wait.
Dan dia menunggu sehinggalah aku siap membakar beberapa trays.


Memang dia suka makan choc chips.  Yang rajin membuat choc chips ni maklangnya.  Aku, jarang sekali.  tetapi bila melihat chocolate chips famous amos di beberapa dapur yang aku skodeng, maka keinginan nak mencubanya meluap-luap.


Aku ambil resepi ini dari dapur diana yang mengambilnya dari dapur ct delima yang diambil pula daripada Nadz cute oven.  Nadz pula mengambilnya daripada mr. Namie.  Ohhh.. panjangnya asal usul. Terima kasihlah kerana asal usul yang panjang inilah yang menyebabkan dapur dan seluruh rumah harum semerbak bau cookies.



Resepi di c&p dari dapur diana.
Bahan² Diayak
280 gm ( 2 1/4 cawan ) tepung gandum
10 gm ( 3 tsp ) serbuk koko
2 tbsp tepung jagung
1/2 tsp soda bikarbonate
2 tbsp susu tepung
Secubit garam

Bahan² Lain
250 gm mentega
150 gm gula kastor
1/2 tsp asen vanilla
1 biji kuning telur
100 gm ( 1/2 cawan ) coklat chip _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa
100 gm sebarang kekacang ( walnut, badam, gajus dan lain² yang dicincang ) _ Diana bubuh gajus cincang . Bundo bubuh badam cincang.
Kismis _ Optional  ( boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa ) _ Diana tak bubuh.  Bundo pun tak bubuh.




Cara²
  1. Pukul mentega, gula kastor dan esen vanilla hingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan pukul rata.
  3. Masukkan bahan² ayak dan kemudian kacau hingga sebati dengan spatula atau tangan.
  4. Masukkan coklat chip dan cincangan kacang atau kismis. Kacau rata.
  5. Sudukan adunan ke atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas minyak. 
  6. Boleh juga diuli menjadi bebola² kecil dengan menggunakan tangan.  Susun di atas dulang pembakar. 
  7. PERHATIAN! JANGAN LETAKKAN BEBOLA RAPAT² ANTARA SATU SAMA LAIN KERANA BEBOLA INI AKAN MENGEMBANG DAN MELEPER SEWAKTU PROSES PEMBAKARAN.
  8. Bakar pada suhu 160°C selama 15 - 25 minit bergantung kepada saiz bebola² adunan anda menggunakan api atas dan bawah.
  9. Sejukkan dahulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.



Dah masyak ke nenda.  Aish nak... Tangannya cepat saja mencapai chips yang masih belum berapa sejuk.


Hot.. Tunggu syijuk dulu ye nenda?. Dia menarik balik tangan comelnya bila tersentuh dengan cookies yang masih terasa panas.



Dulu masa anak-anak aku masih kecil, cepat je tangan aku nak membabab tangan kecik yang mencapai sana mencapai sini. Tapi bila anak kecil itu bernama cucu, hati menjadi lembik bagai agar-agar.



ibundo


Tuesday, February 14, 2012

Kerabu Kacang Botol Ikan Pekasam

Satu lagi resepi dalam saji feb.
Bundo suka makan kerabu / urap. Bila dikunyah, sayur ni bunyi krap krup krap krup. Bagai muzik pula.



Bahan:
300 gm kacang botol
1 ekor ikan pekasam goreng dan ambil isi
1 batang bunnga kantan, mayang nipis
1 labu bawang besar, mayang nipis
3 tangkai cili api, ditumbuk
5 biji limau kasturi, ambil jusnya
4 sudu besar kelapa parut disangai sehingga kekuningan
secubit garam



Cara menyediakan:
Hiris kacang botol.
Campurkan semua bahan dan gaul rata.
Sedia dihidang dengan nasi putih.



Uniknya, kerabu ni ada ikan pekasam. Pergh!!!!



Sila!..Sila jamah.  Bundo nak pegi keje ni.


ibundo

Monday, February 13, 2012

Udang garing daun kesum

Menyelak majallah saji februari, bundo terjumpa dengan satu resepi goreng udang yang nampak sedap. Bila bundo mencubanya, ternyata memang sedap.  Di sini bundo nak kongsi resepi ni terutamanya bersama mereka yang belum membeli saji februari.



 Bahan:
500 gm udang

Bahan perap:
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kari
1/2 sudu kecil lada hitam
1 sudu besar tepung jagung
sedikit garam





Bahan cincang:
6 ulas bawang putih
3 cm halia
1 tangkai besar daun kesum
1 tangkai kecil daun selasih
1 tangkai kecil daun kari
1 biji cili merah
1 biji bawang besar (bundo tambah)

minyak untuk menggoreng



 Cara:
1. Kelar bahagian belakang udang dan bersihkannya
2. Gaulkan udang bersama bahan perap dan biarkan seketika. 
3. Panaskan minyak dan goreng udang sehingga garing.  Angkat dan toskan minyaknya.
4. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja.  Tumis bawang putih, bawang besar  dan halia sehingga agak garing.
5. Masukkan cili merah diikuti daun kesum, daun selasih dan daun kari.
6. Sentiasa kacau supaya tidak hangus. Goreng sehingga garing.
7. Masukkan semula udang dan gaul rata.



Bila makan udang ni, tak payah buang kulit sebab rangup dan boleh digigit dan dikunyah-kunyah begitu saja.



Mahu cuba?  Cubalah.....

ibundo


Sunday, February 12, 2012

Tenggiri Berlado Tempoyak

I am a  tempoyak lover and there are bottles of tempoyak in the refrigerator and in the freezer. It was made fresh from the durian taken at our dusun durian a few months ago. Durian yang tak habis makan, buat tempoyak.

My children dont like durian as much as I do. Neither do they like tempoyak, especially the smell. But suprisingly, when I make sambal goreng-added-in tempoyak, habis pulak tu.


 Bahan:
5 keping ikan tenggiri dilumur kunyit dan garam dan digoreng
2 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih dicincang
1/2 inci halia*
6 biji cili merah segar*
15 biji cili api*
3 sudu besar tempoyak
1 sudu besar perahan limau
garam
serbuk perasa kalau suka


Blender bahan yang bertanda*
Ikan digoreng dan ketepikan. Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan anggaran 3 sudu besar. 
Tumis  bawang putih sehingga naik bau. 
Masukkan bahan kisar. Masak sehingga garing.
Masukkan pula tempoyak, air limau, garam dan serbuk perasa.
Apabila masak, masukkan ikan.  Gaul dan angkat.



That'a all for today.

ibundo

Saturday, February 11, 2012

Ayam Tomyam Masak Hijau

Salam.  Another quick n3 for today.  Malas nak goreng banyak-banyak sebab dah janji nak keluar joging dengan anak. Almaklumlah, lemak-lemak sudah bergayutan satu badan terutamanya di pinggang.  Sampaikan nak pakai seluar pun dah kena up beberapa mata anak tangga saiznya.

Nak kabar jugak, piring untuk isi ayam tu piring antik. Satu-satunya yang tinggal. Seingat bundo,kecik-kecik dulu piring tu dah ada dah.



Berbalik pada masakan.  Lauk ayam tomyam ni wa cakap lu, memang membunuh. Ayoyo ama apa.. sedap sampai tak terkata-kata.  Kalau nak tahu kesedapannya, silalah cuba.

Bahan:
1 ekor ayam
1 biji kelapa diambil santannya.
2 biji bawang besar (kalau saiz bawang besar bubuh sebiji saja) *
3 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
1/2 inci halia *
1/2 inci lengkuas *
2 biji buah keras *
6 biji cili besar  hijau *
6 biji cili api *
1 helai daun kunyit *
5 helai daun limau purut *
2 batang serai dihiris *
1 sudu besar perahan lemon
3 sudu besar pes tomyam

Cara:
Blender semua bahan yang bertanda *.
Panaskan sedikit minyak.  (Bundo gunakan kuali untuk memasak). Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.  Masukkan bahan yang telah diblender.  Goreng sehingga keluar minyak.
Masukkan ayam. Masak sebentar sehingga air berkurangan.  Masukkan santan. Masukkan pes tomyam dan garam secukupnya.
Masak sehingga kuahnya pekat.
 


 Walaaa.. makan dengan nasi pun sedap.  Makan dengan nasi empet pun okay.  Cicah roti pun kaw..

Selamat mencuba.  Den nak pegi joging.


ibundo

Thursday, February 9, 2012

Daging kicap lada hitam

Mangkuk biru yang bundo letak lauk ni, arwah moyang bundo yang punya.  Umur mangkuk ni tak dapat nak teka berapa puluh tahun. Yang nyata, ia adalah salah satu barang antik yang bundo kutip setiap kali bundo balik ke kampung.  Ada beberapa biji mangkuk ni yang masih bundo boleh selamatkan.

Ada beberapa biji pinggan yang hand-painted.  Abah bundo cakap umur pinggan tu dah lebih seratus tahun. Sebab sayang nak pakai, bundo simpan saja buat hiasan.



Daging ni masaknya simpel saja.  Yang penting, beli daging tempatan yang lembut. Bundo beli daging ni sekilo 25 ringgit.  Semasa membeli, tak ditanya dulu harganya.  Bila dah di kaunter bayaran, baru tahu harganya 25 ringgit.  Mahal kan? Memang harga daging dah naik ke.



 Bahan:
A
500 gm daging dipotong  nipis
1 sudu kecil lada hitam yang telah ditumbuk kasar
2 sudu besar sos lada hitam
4 sudu besar kicap masin cap kipas (kicap lain boleh juga)
1 sudu kecil gula
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar perahan lemon

B
2 ulas bawang putih dicincang halus
2 ulas bawang merah dihiris nipis
1/2 inci halia di hiris halus panjang
1 atau 2 biji bawang besar didadu kasar
1/2 biji capsicum hijau didadu kasar
1/2 biji capsicum merah didadu kasar
1 biji tomato dibuang biji dan didadu kasar
1 cawan air ( boleh ditambah sekiranya daging belum empuk)
daun bawang dan daun saderi untuk ditabur.



Perap daging bersama bahan A selama 1 jam.
Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga wangi.
Masukkan daging yang telah diperap bersama bahan perapan.  Masak beberapa ketika sehingga air daging keluar dan berkurangan.  Masukkan air dan masak sehingga daging empuk. Tambah kicap dan garam kalau perlu.
Setelah daging empuk dan kuahnya pekat, masukkan capsicum, bawang besar dan tomato. Angkat dan taburkan dengan daun bawang serta daun saderi.




Sekian air tangan bundo.

ibundo

Wednesday, February 8, 2012

Ayam goreng bunga kantan

Anak-anak dan juga hubby kurang meminati bahagian ayam yang berdaging. Yang laku adalah bahagian yang bertulang, yang sedap dihisap-hisap tulangnya. Bahagian daging terutamanya dada ayam akan tinggal tergolek-golek dalam mangkuk.

Selalunya aku akan ketepikan bahagian ini untuk dibuat perencah mee atau nasi goreng, ataupun dibuat pegedil ataupun apa-apa masakan yang tidak berapa menampakkan 'kedagingan'nya. Pasti laku.

Untuk lauk ini, aku gunakan bahagian dada ayam.


4 ketul dada ayam dihiris kecil memanjang
2 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dicincang halus
1/2 inci hali dihiris
1 sudu besar sos ikan
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 kuntum bunga kantan di potong kasar
2 biji bawang besar dipotong kasar
1 biji kecil capsicum hijau
1 biji kecil capsicum merah



Panaskan minyak.  Tumis bawang merah, bawang putih dan halia.  Apabila naik bau, masukkan ayam.  Goreng sehingga airnya kering.  Masukkan sos ikan, serbuk kunyit, bunga kantan dan garam.  Gaul. Akhir sekali masukkan bawang besar dan capsicum.

Sekian.


ibundo

Tuesday, February 7, 2012

Sambal kosong

Sehari balik di melaka kami ambil kesempatan untuk makan ikan bakar di umbai. Kalau balik melaka, memang tak sah kalau tak makan ikan bakar.  Walaupun dah tahu ikan yang dibakar di situ tidak fresh macam dulu-dulu, kami tetap pergi jugak.  Walaupun tahu kadang-kadang ikan bakarnya tak adalah sesedap mana pun, kami tetap pergi jugak. Walaupun tahu cili kicap buat pencecah ikan tak seumphh yang kita buat sendiri di rumah, kami tetap pergi jugak.

Nama pun makan free.  Nama pun orang belanja.  Nama pun tak payah masak sendiri.

Satu keunikan ikan bakar melaka ialah, ia dimakan bersama nasi lemak.  Nasi lemaknya dibungkus kecil-kecil.  Nasi seciput dan sambal juga seciput. Semalam nasi lemak yang aku makan ada sedikit mentah.  Terasa ada beras yang belum sempat menjadi nasi yang sempurna. Sambalnya juga kalau dibandingkan dengan sambal yang aku buat, sedap lagi yang aku buat hiii..

Ha.. sebenarnya nak cerita pasal sambal akulah ni. Sambal yang kami makan bersama dengan nasi lemak shrek haritu. Nak resepi?



3 senduk gulai pes cili kering
4 ulas bawang putih dititik dan dicincang halus
3 biji bawang besar ditumbuk atau diblender kasar
1/2 inci halia ditumbuk halus
2 batang serai dikerat anggaran 1 1/2 inci, kemudian diketuk
1 sudu besar gula
air asam jawa secukupnya
1 sudu besar serbuk ayam knorr


Cara:
Panaskan minyak.  Biar banyak untuk menggaringkan sambal.  Ia boleh dibuang kemudian.
Tumis halia, bawang putih dan serai sehingga wangi. Masukkan bawang besar.  Masak sehingga bawang betul-betul masak dan kering air. Kemudian baru masukkan cili. Masukkan pula garam,gula dan serbuk ayam. Goreng sehingga cili garing. Masukkan air asam.  Adjust rasa supaya semua rasanya lengkap. Apabila masak, buang minyak yang berlebihan.

Sedap sambal yang dibubuh serai ni. Tapi pastikan ditumis dulu bersama bahan tumbuk/blender sebelum masukkan cili. Cubalah. Boleh juga ditambah ikan bilis atau udang kering.

ibundo

Kek Pisang choc chips

Sometimes we want everything fast. Semua nak cepat tapi perut sentiasa mahu di isi. Tu yang selalu terlajak beli fast food sampaikan perut mengelembung dengan lelemak yang tak sehat.

Dah.. ke situ pulak.


Sebenarnya nak cakap yang aku buat kek pisang ni tak guna resepi yang terjegil-jegil biji mata nak tengok.  Mudah le sangat.  Mudah sebab aku cuma pakai cake mix saja haha.  Cuma sediakan pisang, minyak, telur.  Dan aku tambah dengan chocolat chips dua genggam. Jadi gebu ai tel yu....



 Semua orang kata sedap.


 Lain kali nak buat lagi.



Makan dengan kopi panas secawan, pergh!!!


ibundo

Sunday, February 5, 2012

Nasi lemak shrek 2

Hasben ajak kawannya breakfast di laman rumah pagi tadi (ahad) sambil membincangkan hal ehwal negara (ahakss..). Menu, nak makan nasi lemak tapi nak nasi lemak yang spesial.  Yang datang dalam otak adalah nasi lemak hijau yang memang jarang-jarang orang buat. So, another time, another day, aku buat lagi nasi lemak hijau yang sah-sah mereka tak pernah makan.
Cuma kali ni aku adjust sedikit resepi kerana teringatkan nasi lemak tumis si anim. Tenkui Nim akak cilok idea nasi lomak botumih yang asalnya diambil dari rumah Jun.


Bahan:
1 kilo beras basmathi
1 biji kelapa parut*
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 sudu kecil halba
1 sudu besar butter/majerin
6 helai daun pandan *
2 batang serai *
1 inci halia*
1 cube stok ayam
beberapa titik pewarna hijau
garam


-Masukkan bahan bertanda* ke dalam blender.  Tambah air secukupnya. Perah dan tapis. Masukkan bahan yang telah diblender itu ke dalam blender sekali lagi dan tambah air. Kisar dan tapis airnya. Ketepikan.
-Beras dicuci dan ditapis. Masukkan ke dalam periuk.
-Panaskan butter di dalam pan. Tumis bawang merah, bawang putih dan halba sehingga naik bau dan kekuningan.  Bila masak ketepikan.
-Bubuh santan, garam, sedikit pewarna hijau dan stok ayam ke dalam periuk berisi beras. Tambah air sekiranya santan tidak cukup. Bubuh bahan yang ditumis tadi.
-Tanak seperti biasa hingga masak.



Aku buat jugak ayam goreng berempah. Batch yang terakhir masuk dalam deep fryer keluar sedikit legam sebab aku dah terlayan benda lain.  Nasib baik rasa maintain. Tapi yang terover cooked ni orang yang kat rumah ni lah yang makan.  Biasalah kan.. Yang tak cantik takkan nak bagi orang.
Teringat pulak masa kecik kecik dulu kalau menginding mak yang sedang buat kue raya, dapatlah rasa yang tak cantik atau yang terhangus.  Kalau ambil yang cun mau kena lepuk tangan.


Yang ni sambal nasi lemak.  Resepi lenkali ye...

ibundo

Garlic Buns

Sungguh seronok ke Yummy semalam untuk membeli bahan membuat roti kerana keadaan Yummy yang tersangatlah lengang. Kereta boleh parking betul-betul depan pintu masuk.  Kalau tak, dua tiga round keliling blok belum tentu ada tempat parking yang kosong. Memilih-milih bahan pun boleh dilakukan dalam keadaan tenang, tidak berlaga-laga bahu dan asek-asek excuse me tumpang lalu.



Sabtu semalam banyak masa untuk aku berjoget-joget di dapur.  Tengahari tak payah masak lauk sebab kenduri rumah ipar malam sabtu masa baliknya dibekalkan dengan lauk pauk yang cukup untuk lunch. Aku panaskan saja.  Bibik pulak sebab tak payah ke dapur, dia sibuk mencantas pokok-pokok yang dah merimbun di depan rumah. Katanya, berkebun. Pada aku kalau setakat cantas dahan, gunting daun-daun yang dah meliar, cabut-cabut rumput, belum sampai lagi ke tahap untuk dipanggil berkebun. Tapi, apa ada pada nama?  Asal rajin, dah...



Aku? Menyahut seruan anak yang mengatakan aku sudah lama tak membuat roti. Maka terjadilah garlic bun yang sangat sedap ini (uhuk... sila jangan muntah). Aku makan dengan sup. Kalau makan dengan mushroom soup pun aku rasa sedap yang amat.



Bahan Roti:
A
330g tepung HP
60 gm gula castor
10 gm instant yeast
1/2 tsp garam
1/2 tsp bread improver
2 tbs susu tepung
B
1 biji telur
C
120 ml air
D
40 gm butter

Masukkan bahan A ke dalam bowl. Ratakan dengan mixer menggunakan speed 1.
Masukkan B. Gaul sekejap. Masukkan C. Gaul.  Juga menggunakan speed 1.
Masukkan D dan guna high speed sehingga adunan lembut.

Kemudian tutup dengan towel lembap dan biarkan mengembang sekali ganda. Lebih kurang 30 minit.
Lepas itu, timbang aggaran 60 gm setiap satu dan bentukkan menjadi bebola lonjong.  Spray dengan sedikit air. Biarkan ia mengembang agak-agak dalam 20 minit.

Apabila kembang, hiris memanjang permukaannya dengan menggunakan pisau yang tajam.  Gunakan blade pencukur. Sapu belahan dengan garlic butter.  Bakar hingga masak.



Bahan garlic butter:
100 gm butter yang lembut
4 ulas bawang putih
1 sudu besar daun parsley
 Masukkan butter dan bawang putih dalam blender dan kisar hingga lembut.  Keluarkan dan campur dengan daun parsley.



Aku rasa oven aku ni ada problem.  Kalau masak kek, nanti kek aku senget sebelah. Tengah-tengah membakar, aku terpaksa bukak oven dan pusing-pusing kan loyang.  Masak roti ni macam tu jugak. Masaknya tak rata.  Ada bahagian yang dah kecoklatan sedangkan yang lain masih belum. Aku kena cari alasan yang sangat munasabah ni supaya the other half dengan rela hati sudi membelikan yang baru.




Err.. silalah jamah.  Jangan malu jangan segan..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...