Setiap kali ke negara seberang, mak akan cari restoren padang. Baru-baru ini semasa mak dengan ayah ke Pekan Baru, kami makan di restoren Pak Nordin, satu kedai makan yang agak terkenal dengan masakan padang.
Dulu semasa makcik Mis datang dari jakarta, mak ada minta resipi masakan padang daripadanya. Mak tidak catat di buku, hanya ingat di minda sahaja. Sekiranya Nuke ada membaca resipi macik ini, tolong perbetulkan sekiranya silap ya. Udah tua deh..
Tapi yang mak buat ini tidak kurang sedapnya.
Bahannya:
A
1 ekor ayam organik dipotong ikut suka (bukan ayam organik pun boleh)
1 biji kelapa - asingkan santan pekat dan santan cair
B
Dua batang serai dihiris
7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
satu inci halia
satu inci lengkuas
1 ketul kunyit hidup sederhana besar
5 biji buah keras
5 ulas cili api yang merah (kalau nak pedas boleh tambah)
2 ulas cili besar yang merah
6 helai daun limau purut dibuang uratnya
2 helai daun kunyit
Blender kesemua bahan B.
Ayam yang sudah dibersihkan, dimasukkan ke dalam periuk.
Masukkan bahan B yang sudah dikisar ke dalam ayam. Perap selama 1/2 jam.
Panaskan api dan jerang ayam sehingga air ayam kering. Masukkan santan cair. Apabila ayam hampir empuk, masukkan santan pekat. Rasakan garam dan asamnya. Gunakan asam daripada sebiji limau nipis untuk rasa lebih enak.
Selamat mencuba wahai anak-anak.
No comments:
Post a Comment