Monday, October 20, 2014

Puff mudah le sangat

Salam.
Bangun tidur pagi semalam dah pasang angan-angan nak buat cheese cake. Ada resepi ciskek yang macam dah jadi viral kat fb. Nak jugak cuba nak tau kesedapannya tahap mana.
Tapi habis breakfast, selongkar peti ais cari creamcheese aku entah ke mana. Habis semua benda dalam peti ais aku keluarkan. Tak jumpa.  Pandangan dari sudut positifnya, kemaslah nampaknya
peti ais aku jadinya.

Tanya bibik, dia tanya aku balik.. krimcis tu apa buk. Aku explain gitu gini.
Dia tanya lagi.. tauhu ke.
Sudahnya aku give up. Decided buat puff sajalah sebab hari sebelumnya aku ada beli puff pastry.
Bukak freezer nak ambil pastry, aku ternampak ceamcheese aku enak je tertonggok di situ.
Sambil keluarkan creamcheese yang dah jadi air batu, aku terbebel-bebel menyalahkan orang yang meletakannya di situ dan bibik aku  mandang terkebil-kebil untuk memahamkan apa yang aku cakap.
Argh...




Puff pastry jenama kawan aku beli ni. Beli pack kecik isinya rupa-rupanya hanya 10 keping. Jadi, dapatlah 10 bijik je. Sepuluh bijik tu ibarat pejam mata sekelip, bukak balik dah licin pinggan. So, kalau famili besar, dan kena hari cuti hujung minggu, pastikan buat banyak banyak.




 Bahan untuk inti:
8 batang jejari ketam
1 biji bawang besar
1 biji tomato
1 tangkai daun ketumbar
2 sudu besar cheezy mayonis
sedikit garam
sedikit parsley kering
1 biji telur




 Cara:
1. Jejari ketam dipotong pendek
2. Bawang didadu kecil
3. Tomato dibuang isi dan dadu kecil
4. Daun ketumbar dipotong pendek
5. Masukkan kesemuanya ke alam mangkuk,  gaul bersama cheezy mayonis dan garam.
6. Ambil sekeping pastry, letak inti di tengah, tabur sedikit parsley dan lekatkan hujung pastry yang bertentangan.
7. Telur dipukul dan sapukan ke atas pastry.
8. Bakar.



Sekian. Nak cuba, cubalah. Kena cari cheezy mayo tu dulu. Mayo yu yang buat inti tu sedap.

ibundo

Thursday, October 16, 2014

Buang toksik

Siapa yang taknak buang toksik dalam badan. Semua orang nak.  Cuma yang tak waras saja yang tak endah. Almaklum sajalah, dengan umur yang macam ni macam-macam benda yang dah tersangkut dalam setiap ruang dalam bahagian dalaman anggota ni.
(Membuat aku teringat yang sinki aku petang tadi aliran air keluar agak tersekat-sekat.  Mesti ada lemak dan sisa makanan yang dah menyumbat saluran batang paip. No..no..no.. panggil plumber kat sini dah seratus ringgit. Aku buat sendiri saja.  Insyaallah tau.)

See, saluran paip tersumbat kita kena lancarkan perjalanannya balik. Kalau boleh dengan kos yang paling minima. Tak payah keluar ratus-ratus.
Saluran darah tersumbat?
Urat temurat yang tersumbat?
Be careful... cegah sebelum parah adalah lebih baik.



Ada kawan mengesyorkan apple cider dengan honey.
Aku buat.
Pagi-pagi semasa perut kosong aku bancuh segelas air dengan satu sudu besar apple cider dengan 1 sudu besar madu. Tak boleh guna sudu besi.  Mesti guna sudu plastik atau kaca. Apa hujahnya kenapa tidak boleh, tidak pula aku bertanya. Aku percaya kesannya akan berkurangan.
Petang sebelum aku dinner aku minum lagi satu gelas air campur apple cider dan madu.
Sudah dua bulan aku amalkan.
Kesannya?
Nak kata sakit sendi aku berkurangan, ia macam tu jugak. Nak kata letih letih aku hilang, ia masih ada. Cuma yang aku perasan nature's call aku pagi pagi tersangat mudah.  Tak adalah payah duduk termenung lama-lama.
Dan dua kali doktor memeriksa tekanan darah aku dalam masa dua bulan ni, bacaannya 120/80. Muahh... teramatlah cantik.




Masalahnya kita ni, masyarakat kita lah, sukaaa sangat benda yang manis-manis. Air nak yang manis. Kuih suka yang manis. Kadang-kadang masak lauk pauk pun tambah gula begitu punya bersudu sudu sampai terasa sangat kemanisannya.
Kalau dah sakit, takde manisnya lagi hidup kita ni.
Bukan tak boleh. Boleh. Tapi biarlah moderate.
Aku pun tau yang tekak kita ni suka benar benar nak rasa yang sedap-sedap. Kalau dah tawau habau mana ada sedapnya ye tak. Mmm..kena pandai kotrol la.

Macam air ni. 
Lemon memang dah terkenal dengan khasiatnya. Bila kena gaya, air lemon ni bukan saja boleh menghilangkan dahaga, malah boleh mempunyai daya kesan pada kesihatan kita juga.
Jom buat lagi bersama bundo..

1. Lemon-pudina-green tea

I mug besar air
1 uncang  teh hijau
1 biji lemon
beberapa helai daun pudina

1. Teh  hijau direndam dengan sedikit air panas. Masukkan teh hijau ke dalam mug dan ditambah air kosong sehingga 3/4 mug.
2. Potong melintang 1/2 lemon.  Perah 1/2 ke dalam air. Setengah lagi dihiris nipis dan masukkan ke dalam mug.
3. Masukkan daun pudina.  Kacau rata.
nota: kalau ingin rasa sedikit manis, bubuh 1 sudu kecil madu ke dalam air.




2. Lemon-peach pudina

1 mug air
1 1/2 biji buah peach
1/2 biji lemon
Beberapa helai daun pudina

1. Blender satu biji buah peach dengan air
2. Hiris nipis separuh  peach
3. Masukkan air peach yang telah diblender ke dalam mug.
4. Masukkan jus lemon daripada 1/2 biji lemon
5. Tambah dengan hirisan peach dan daun pudina.
6. kacau rata.



Minuman ini boleh diambil segera atau simpan dalam peti ais sejam dua untuk mendapatkan rasa sejuk dan segar apabila kita meneguknya.



Sekian.

ibundo


Monday, October 13, 2014

Daging Salai Lomak Nisemilan

Salam.
Zaman kanak-kanak aku adalah zaman dapur kayu, teropong buluh. Dapur mak aku dibuat daripada bata yang bersimin ala-ala table top yang menempatkan dua tungku dapur. Di sebelah bawah ada ruang yang ditinggal kosong untuk emak aku meletakkan kayu yang telah dipotong-potong buat umpan api. Di sebelah tepi tungku ada bakul kecil tempat letaknya getah segerap atau getah tayar basikal sebagai bahan untuk mempercepatkan proses pembakaran.
Masih aku ingat, setiap kali emak menyalakan api, emak akan menggunakan batang buluh yang telah dipotong pendek untuk meniup bara api supaya api cepat marak. Setiap kali itu juga aku lihat ada debu berterbangan. Nenek aku panggil ia teropong buluh. Emak aku panggil teropong buluh. Aku panggil teropong buluh sebab dari aku kecil itulah yang disebut-sebut.



 Di sebelah atas tungku dapur tergantung para dari dawai berjaring. Di situlah emak meletak ikan, daging atau ayam yang di salai.  Zaman kecil aku bukan zaman petik tepi tengah menyala.  Aku orang kampung. Tak ada api letrik.  Yang ada cuma pelita dan lampu gas untuk menerangi malam. 
Tak ada tv. Peti ais jauh sekali. Oleh itu cara menyimpan makanan adalah dengan cara menyalai. Bila dapat ikan sawah berbaldi, emak masak cili api dan selebihnya di salai. Bila abah beli daging dan tidak kesemuanya dimasak, emak akan menyalainya dan biar terus di asap di para atas tungku dapur.
Makanan yang disalai berbau wangi apabila dimasak.



Semalam Rosemah masterchef datang ke rumah aku. Orang sekampung. Dia sekarang ada membuat bisnes daging salai. Aku memesan beberapa bungkus dan dia datang sendiri ke rumah aku membuat delivery. So, apa yang sebenarnya yang aku nak cerita ni ialah, aku masak daging salai lomak cili api tapi kenangan aku pada masa lalu membuat aku ter off track sikit.
Tell u what, daging salai ni memang power betul. Bau dia power.  Rasa lagi power. Bila makan boleh jilat jilat jari.



Nak bagi sedap, kuah kena pekat.  Cili kena terasa pedas. Asam terasa. Garam apatah lagi.  pendek kata semua kena belen. Kalau ada asam belimbing buluh ganti asam keping lagi lah perghhh..

Okay,
250 gm daging salai
1/2 kilo santan
1 cawan air
20 biji cili api ditumbuk halus
2 inci kunyit hidup ditumbuk  halus
3 ulas bawang putih dititik
4 batang serai dititik
1 inci lengkuas dititik
2 keping asam keping
2 biji kentang 
garam secukupnya

Masukkan kesemua bahan selain asam keping, kentang dan santan ke dalam periuk. Rebus sehingga air hampir kering. Masukkan santan dan kentang.  Bila kentang empuk, masukkan pula asam keping.
Masak sehingga kuah pekat.



Sodapppppppp...
Sekian.

ibundo



Tuesday, September 30, 2014

Ayam Goreng Oats

Salam.
Jumpa lagi.
Sekejap ada sekejap hilang.
Seperti juga mood masak yang sekejap ada sekejap tak ada.

Harini teragak nak mengangkat kamera untuk menangkap hasil di dapur.  Lama mendalah tu terperosok saja. Skill pun dah makin merosot nampaknya. Sama merosotnya skill masak..err..



Untuk masakan ini, resepinya:

1/2 ekor ayam dipotong kecil
(gaul dengan garam dan kunyit)
2 sudu besar penuh mentega
10 helai daun limau purut dihiris hiris
10 biji cili api dipotong (lebihkan kalau mahu pedas)
2 batang serai ambil bahagian yang lembut, dihiris nipis
1 cawan oats (tambah kalau mahu lebih)



Cara:
-Panaskan minyak.  Goreng ayam, angkat dan toskan minyaknya.
-Panaskan mentega.  Masukkan daun limau purut, serai dan cili api.  Goreng sehingga layu dan naik bau.
-Masukkan pula oats. Goreng sehingga kekuningan dan oats rangup.
-Masukkan ayam goreng tadi. Gaul rata sekejap dan padamkan api.




Resepi ni lebih kurang macam udang nestum.  Yang beza cuma dibubuh daun limau purut dan hirisan serai. Harum semerbak bau daun limau semasa ia digoreng.
Sedap jugaklah. Memang sedap pun.  cubalah.



Sekian.  Tak taulah untuk berapa lama  gambar ni akan tersadai di sini hiii...

ibundo

Wednesday, August 20, 2014

Ayam lemak briyani

Salam.
Selamat hariraya idulfitri yang masih lagi berbaki beberapa hari.
Selamat berpuasa sunat Syawal bagi mereka yang masih menyelesaikan puasa sunat.
Rasanya masih ramai juga yang sibuk dengan rumah terbuka dan kenduri kahwin yang datang silih berganti pada hujung minggu.

Resepi ayam lemak briyani.
(Ketika menulis ini, aku teringatkan ayam kampung yang emak bela semasa hayatnya.  Ketika itu mak masih sihat. Nasi lebihan, hampas kelapa mak tabur di depan reban ayam dan bertebaranlah ayam ayam itu berlari mendapatkan emak dan mematuk-matuk makanan yang bertabur di atas tanah. Ada kalanya kaki mak dipatuk dan emak menjerit geli.
Sekiranya aku anak beranak pulang ke kampung, sudah pasti dua tiga ekor ayam tumbang disembelih abah. Masak ayam cili api emak adalah yang terbaik di alam maya ini.
Betapa aku rindukan emak......)


Okay....terbawa-bawa sebentar dek emosi.

Bahan:
1 ekor ayam
1 kotak santan kara (atau santan sebiji kelapa)
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 cm halia diketuk
1 cm lengkuas diketuk
2 batang serai diketuk
3 sudu besar pes cili kering (gaul dengan sedikit air dan jadikan pes)
8 biji cili api ditumbuk halus
2 sudu besar rempah briyani
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam keping





Panaskan sedikit minyak.
Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
Masukkan pes cili kering dan cili api. Biarkan betul-betul masak.
Masukkan halia, lengkuas dan serai. Gaul sebentar.
Letak pes rempah briyani dan kunyit.  Gaul rata.
Masukkan ayam dan biar air ayam kering.
Masukkan santan, garam dan asam.






Sekian. Tulis pendek je sebab masih dalam mood raya..hihi..

ibundo




Wednesday, July 23, 2014

Mee Kari Bakso Jumbo Bundo Style

Hati masih terkesan dengan kejadian yang menimpa mh17. Hiba yang berpaut belum terungkai. Bertambah-tambah hiba melihat saudara kita dibedil hari demi hari di Gaza. Anak-anak yang tidak berdosa bergelimpangan akibat kegilaan zionis. Sedihnya.. Itu sajalah senjata kita disamping doa-doa yang tidak berkesudahan kita untuk mereka. Sedangkan ketua-ketua negara besar dan gah cuma memerhati dan tidak kurang yang bertepuk tangan melihat umat islam yang dianggap terrorist diganyang sebegitu rupa. Marilah kita terus berdoa.  Berdoa disepanjang ramadhan yang masih lagi berbaki.

Agak beberapa kali juga aku cuba membuat posting baru tetapi kesedihan itu membuatkan aku tidak sanggup untuk menulis.  Tambah tambah lagi menulis tentang keriangan kita menghadap makanan dan bersiap-siap untuk menemui idulfitri tidak lama lagi. Sedangkan mereka? Pastinya keluarga nahas mh17 akan menyambut idulfitri dengan tawar. Mereka yang diGaza sudah tentu pula bermakankan peluru dan darah manusia. Bilalah akan hilangnya kerakusan manusia.




Mee kari bundo style ditambah dengan bakso jumbo.  Ada telur rebus tapi terlupa diletakkan dalam mangkuk semasa difoto.

Bahan:
2 bungkus mee kuning
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 batang serai
3 biji buah keras
4 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
(Bahan di atas kecuali mee, diblender halus) Cili merah boleh diganti dengan pes cili kering sepedas mana anda mahukan.
1 bungkus bakso jumbo
beberapa ketul daging ayam dipotong kecil
4 sudu besar kari daging
4 biji kentang saiz besar direbus empuk dan diblender
1 kotak santan

Bahan hiasan:
Sawi direbus
Tauge di celur
Tahu digoreng dan dihiris
Telur direbus
Bawang goreng
Cili merah dipotong





-Panaskan minyak dan tumis bahan blender sampai berbau wangi
-Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air
-Masukkan ayam, gaul sehingga air ayam kering.
-Tambah santan. Bila mendidih, masukkan kentang blender, garam, sesudu stok ayam. Kalau suka taruk gula, bubuhlah gula sikit.
-Bila mendidih lagi sekali, masukkan bakso jumbo.
-Done.



Sekian.  Rasanya memanglah berbeza daripada mee kari biasa.  Dah namanya pun bundo style kan..

ibundo


Thursday, July 17, 2014

Sotong Sumbek Percik

Dah buat kue raya?
Kalau jumpa kawan mesti diorang tanya dah buat kue raya ke belum. Tak ada pulak yang menanya dah qatam quran ke belum. Hmmm..
Aku tak buat kue raya. Malas. Nanti dah penghujung-penghujung puasa aku pergi la tunjuk tunjuk je kat kedai. Beli cookies dalam dua tiga jenis. Lebihnya beli kerepek dan kacang-kacang je. Itu yang laku.

Bagaimana anda.
Alhamdulillah atas rezki yang melimpah ruah untuk sahabat yang berniaga kue raya. Ada sedara yang mengeluh barang bahan yang naik harga. Betul ke.  Aku dalam bulan ramadhan ni tak ada sekali pun ke kedai yummy yang menjual bahan kek/cookies tu. Sebabnya yang pertama, memang aku tak ada benda nak cari di situ. Kedua, kedai penuh sesak dengan orang.  Nak cari tempat parking pun susah. So, aku tumpukan pada masak untuk berbuka je lah dan sekali sekali buat kuih tradisional sebagai pemanis mulut semasa berbuka.



Sotong sumbek ni cakap orang nisemlan.  Orang kelumpo cakap sotong sumbat. Aku kekalkan keaslian bahasa ibundoku hiii..

Bahan:
4 ekor sotong
Beberapa batang kacang buncis potong panjang

Bahan inti:
2 biji kentang dipotong dadu
10 ekor udang dihiris halus
2 ketul dada ayam dipotong dadu
1 labu bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 batang daun sup dihiris halus
1 batang daun saderi dihiris halus
2  biji lada merah besar didadu halus
1 sudu besar rempah kari
garam secukup rasa


1. Tumis bawang merah dan putih
2. Tambah rempah kari.  Gaul rata.
3. Masukkan kentang dan ayam. Masak sehingga kentang empuk.  Tambah sedikit air.
4. Akhir sekali masukkan udang, cili, daun bawang, daun saderi. Jangan lupa garam.
5. Ketepikan biar sejuk





Bahan kuah:
2 cm lengkuas
2 cm halia
2 batang serai
3 biji buah keras
2 biji bawang besar yang sederhana
3 ulas bawang putih
4 biji cili merah
5 biji cili api
* Blender semua bahan di atas
1 kotak santan
1 kiub serbuk ikan bilis
Beberapa helai daun limau purut dibuang tulangnya
1 keping asam keping

1. Sumbat sotong dengan bahan inti. Masukkan kepala sotong dan cucuk dengan toothpick.
2. Panaskan 3 sudu besar minyak.  Tumis bahan kisar sehingga masak.
3. Masukkan santan, kiub ikan bilis dan daun limau.
4. Masak sehingga kuah agak pekat. Tambah asam keping dan garam.
5. Masukkan sotong dan kacang. Masak sotong jangan terlalu lama. Nanti overcook dan sotong jadi liat.





Sekian.
Selamat berpikir pikir apa yang hendak dimasak untuk berbuka petang ni.
Aku rasa macam nak buat mee kari je.

ibundo


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...