Tuesday, May 15, 2012

Ayam Udang Gulung

Bundo sampai di rumah petang tadi dah nak masuk waktu asar. Oleh sebab bundo dah sembahyang jama' bundo terus naik atas rehat-rehatkan badan.  Lagipun bundo tengok bibik dah ada benda yang nak dimasaknya untuk makan malam. Dapatlah bundo rehat sekejap.

Tapi orang perempuan ni (bundo lah tu) kalau ada kat rumah, otak tu ligat je pikir nak masak apa walaupun dah ada orang yang masak. Lama-lama bundo turun juga ke bawah nak merealisasikan apa yang bundo dah rancang nak buat. Lagipun bundo malas nak makan nasi.  Bundo tak makan ratah-ratah je.

Maka bundo keluarkan ayam dan udang dan juga bahan-bahan lain.



Masakan ni bundo namakan ayam udang gulung sebab bahan utamanya ayam dan udang dan digulung pula.
Masa bundo mula buat intinya, bibik dah hampir siap masak.  Bila bundo menggulung, abah bundo dah duduk di meja untuk makan. Bundo pun terkial-kial juga nak menyiapkan memandangkan hari dah dekat pukul 6 petang. Takut nanti hari gelap dan gambar bundo tak menjadi sebab bundo mengharapkan natural lights seratus peratus. Jauh nun di langit kedengaran pula bunyi guruh macam nak menghambat bundo supaya buat kerja laju-laju.




Akhirnya siap juga tetapi abah bundo dah selesai makan dah. Bila tunjuk masakan ni dia cakap; abah dah konyang...


Bahan-bahan:
kulit tahu yang nipis (ada terdapat di tesco/giant/carefour)
2 ketul dada ayam sederhana besar
6 ekor udang saiz agak besar
1/4 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu teh serbuk lada putih
garam secukupnya
1/2 sudu teh serbuk ayam knorr
1 batang daun sadri dihiris/cincang halus
1/2 biji cili merah dicincang halus
2 sudu besar tepung jagung
1 biji putih telur





Cara:
Potong ayam dan udang kecil-kecil.  Masukkan ke dalam blender bersama bawang besar dan bawang putih. Tambah sedikit air.  Blender halus. 
Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul bersama dengan bahan lain.

Potong kulit tahu anggaran 4x5 inci.  Boleh juga ikut saiz sendiri.
Letak inti. Gulung sekali, lipat di bahagian tepinya.  Kemudian gulung sampai habis.





Panaskan kukusan.  Kukus kulit tahu berintikan ayam dan udang yang digulung tadi sehingga masak.
Angkat dan sejukkan. Kemudian dipotong-potong mengikut citarasa.
Bundo cicah dengan sos cili saja sebab masa dah terhad untuk membuat sosnya.







Rasanya? Kena buat sendiri nak tahu rasa macamana.
Jadikan salah satu bahan yong taufu sedap ni. Cicah dengan sos yong taufu versi amie tu pun mesti sedap.
Amie! Bundo dah buat dah yong taufu resepi amie tu tapi tak sempat nak ambil gambar.  Masing-masing dah berebut-rebut nak makan.



Ish... banyak pulak gambar kali ni.  Bundo dah tak tahu nak bebel apa dah ni. Oh ya... dinner bundo tu lah dua ketul yang belum berpotong tu.  Kenyang.



Sekian dari bundo.
Selamat mencuba.


ibundo

Monday, May 14, 2012

Ikan Goreng Cili Api

Salam semua dan selamat menjalankan tugas pada hari isnin yang cerah ini. Bagi surirumah sepenuh masa, kerja-kerja di rumah adalah sama mencabar dengan kerja di opis nun.

Apa rancangan masak untuk hari ni. Bundo dah tiga hari tak masak sebab outstation lagi. Tengahari kang baru balik. Lauk bundo hari ni adalah lauk yang dah selamat dimakan satu ketika dulu. Bundo pun dah tak ingat bila.

Nampak tak cili api yang terbongkang tu. Ha.. podeh.. podeh. Bila makan air hidung moleleh-leleh. Tapi bagi pencinta cili, bila makan pedas ni boleh nampak syurga.  Betul.. syurga dunia..haha.

Semasa di Jogja hari tu, ada satu menu di restoren hotel tempat kami duduk namanya Nasi Goreng Setan Merah.
Bundo tanya kenapa namakan Setan. Budak yang ambil oder tu cakap, sebab rasanya pedas buk.  Pedas banget.

Oleh sebab nak tahu sangat macamana rasanya, bundo pun oder.  Memang pedas. Srett sroott srett sroott bundo tolak tarik tolak tarik air hidung.  Adei..




Bahan:
4 keping ikan tenggiri .  Setiap keping dipotong dua.
2 biji bawang merah dihiris bulat
2 biji bawang putih dihiris nipis
10-15 biji cili api dihiris menyerong (boleh tambah dan kurang ikut suka)
2 ulas bawang merah ditumbuk halus
1 biji buah keras ditumbuk halus
1 cm halia dihiris mancis
1 sudu kecil cuka



Cara:
Lumurkan ikan dengan sedikit kunyit dan garam.  Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
Keluarkan minyak gorengan dan tinggalkan sedikit di dalam kuali.  Tumis bahan yang ditumbuk halus bersama bawang putih dan halia.
Apabila naik bau, masukkan bawang besar dan cili api. Goreng sebentar.  Masukkan cuka dan garam.
Akhir sekali masukkan pula ikan yang telah digoreng tadi.  Balik-balikkan dan angkat.



Sekian.  Selamat meleleh-lelehan..haha.


ibundo

Friday, May 11, 2012

Opor Ayam Tahu

Bertemu kita kembali setelah beberapa hari bundo menghilangkan diri.
Hmm.. tekak bundo ni masih teringat-ingat akan jus alpokat yang sejuk dan enak. Ada sesiapa yang tahu bagaimana nak buat jus alpokat (avocado) yang sedap itu? sebab setiap kali bundo mahu mencubanya sendiri, rasanya tak sama dengan yang selalu bundo minum di negara seberang.

Okay.. kali ini bundo nak kongsi resepi yang bundo dapat semasa bundo ke jogja baru-baru ini. Tahu sumbat seperti ini bundo sering buat cuma kali ini ia berkuah. Agak enak juga.



Ia boleh dimakan bersama dengan nasi atau diratah begitu saja.  Bundo ratah.  Tak payah makan nasi. Hirup dengan kuah-kuahnya sekali.



Bahan:
5 keping tahu
Tahu digoreng dan dibelah dua.  Keruk setengah bahagian dan masukkan bahagian yang dikeruk itu ke dalam bahagian inti.

inti:
200 gm daging ayam cincang
isi tahu
2 sudu makan tepung gandum
1 biji telur
1/2 sudu makan lada sulah
1/2 sudu makan serbuk stok ayam knorr
1/2 sudu garam
1/2 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit daun sadri
Cara membuat inti:
Cincang kecil bawang merah, bawang putih dan daun sadri.
Gaul bersama bahan inti yang lain.



Masukkan ke dalam tahu yang telah dikorek. Masukkan sehingga kembung kalau mahu asal jangan terkoyak.
Kemudian masukkan ke dalam kukusan dan kukus sehingga isi padat dan masak.



Setelah tahu masak, ketepikan.  Siapkan pula kuahnya.

Bahan kuah:
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 biji buah keras*
1 sudu teh ketumbar*
1/2 sudu teh lada sulah*
5 biji cili ap*
1 helai daun salam
4 helai daun limau purut dibuang tulangnya
2 cm lengkuas dititik
1 batang serai dititik
2 sudu besar perahan lemon
1 liter santan dari 1/2 biji kelapa



Kisar bahan bertanda *.
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar.  Masukkan juga lengkuas, serai, daun limau purut dan daun salam. Tumis sehingga wangi dan masak.
Kemudian masukkan santan dan garam. Masak sehingga mendidih.  Masukkan tahu yang dikukus tadi. Bubuh perahan lemon. Masak sehingga kuah pekat.
Angkat dan taburkan bawang goreng. (Bundo tak tabur bawang goreng sebab terlupa nak beli.)



Selamat mencuba.


ibundo


Friday, May 4, 2012

Udang Galah Lemak Tumis

Ni satu n3 yang nak cepat.  Baju belum siap pack.  Besok sebelum subuh nak dah berangkat. So, dapur bundo tak akan berasap untuk beberapa hari.

Lauk ni masak semalam.  Dah lama tak makan udang galah.  Bila tengok harga udang galah sekilo, selalunya terus paling tempat lain. Mahal yang amat. Masa tu lah teringat nak ternak udang galah. Tapi kali ni kuatkan semangat, tutup mata dan terus ambil sepuluh ekor. Kena sekilo lebih kau!!



Bahan:
Beberapa ekor udang galah
Santan dari sebiji kelapa
6 biji bawang merah *
3 biji bawang putih *
1/2 inci halia *
2 sudu besar pes cili kering
5  ulas cili api *
1/2 inci kunyit hidup * (boleh guna kunyit serbuk)
1 batang serai dititik
1 helai daun kunyit
1 keping asam gelugur
 Sedikit minyak



- Bersihkan udang.  Pastikan kantung tahi di kepala udang tu dibuang.
- Blender bahan yang bertanda *. Gaul dengan pes cili kering.
- Panaskan periuk dan tumis bahan blender dan pes cili sehingga cili masak dan wangi.
- Masukkan serai. Tumis sekejap lagi dan masukkan santan.
- Biarkan santan mendidih dan agak pekat baru masukkan udang. Masukkan juga daun kunyit yang telah disiat-siat.
- Masukkan asam keping
- Udang jangan ter over cooked.  Nanti keras.



Sekian.  Kita jumpa lagi insyaAllah.


ibundo


Thursday, May 3, 2012

Ikan sambal udang kering

Di rumah bundo ni mesti ada sambal. Sambal merah, sambal hijau, sambal kuning apa-apalah janji ada sambal. Kalau tak ada sambal adalah yang meroyan mencari bawah tudung saji, dalam tupperware, dalam periuk sambil tarik-tarik rambut bertanya takde sambal ke!!! haha..

Hubby bundo memang tak makan pedas.  Mancis api Cili api tak makan. Cili yang tak berapi pun tak makan. Sebab katanya dulu masa kecik dah puas makan sambal. Hari-hari berlaukkan sambal. Kalau dia bercerita pasal susah dia masa kecik mau meleleh air mata mendengarnya. Anak-anak bertanya kenapa makan sambal.  Tak muak ke. Dia cakap dah lauk lain tak ada.  Itu je yang ada.



Bundo ni pulak memang hantu cili. Kalau tak pedas, tak berasap, rasa tak puas makan. Kalau dapat cili api belakang rumah tu bundo buat ulam je krap krup krap krup hehe.. Kalau makan megi, mesti bundo taruk cili dua tiga biji.  Ambil pedas. Sesekali pekena megi ni nikmatnya tak payah cakap. Kena megi kari bubuh sawi, telur sebijik, cili api tiga biji... heaven..



Bahan A
5 potong ikan tenggiri dibubuh kunyit dan garam,goreng.

Bahan B
20 biji cili api hijau
10 biji cili api merah
5 biji cili besar hijau
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji buah keras
2 batang serai
1 inci halia
2 sudu besar udang kering
1 sudu kecil belacan
2 sudu besar cuka



1. Blender bahan B kecuali cuka.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan yang diblender sehingga masak dan keluar minyak. Bubuh cuka dan garam secukupnya.  Terpulanglah kalau ingin bubuh serbuk perasa.
3. Masukkan ikan yang telah digoreng.
4. Hidang bersama nasi panas.
5. Pergh!!!!



Silakan...


ibundo


Wednesday, May 2, 2012

Nasi Idaman

Hehe.. nak tergelak tengok tajuk nasi ni.  Idamanlah sangat. Tapi yang pastinya bundo akan mengidam nak buat lagi sebab nasi ni sangatlah hokey pada tekak bundo.

Cerita asalnya macam ni.  Ini semalam punya ceritalah ni. Bundo nak buat nasi tomato. Kan semalam isnin.  Ada anak bundo yang berpuasa.  Sebab nak meraikan anak yang berpuasa bundo rancanglah nak buat nasi spesial sikit.  Ala.. setakat nasi tomato je tak de mana lah nak spesial sangat kan. Tapi cari tomato puri kat dalam loker,  takde.  Tomato soup pun tak ada.  Nak pergi kedai dah malas. Cari lagi terjumpa sos spageti kimball perisa mushroom. Terus menyala lampu kat dalam kepala bundo ni.

Begitulah asal kejadiannya.


Bahan:
5 cawan beras basmathi
1 botol sos spageti kimball perisa mushroom
2 sudu besar majerin
200 gm daging ayam cincang (boleh diganti dengan daging cincang)
1 labu bawang besar dihiris nipis
2 ulas bawang putih *
1 inci halia muda*
1 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
2 tangkai daun ketumbar
1000 ml air stok ayam ( boleh ganti dengan air campur 2 sudu besar serbuk stok ayam knorr)
garam secukupnya
air secukupnya
kismis



Cara:
1. Tumbuk lumat bahan bertanda *.
2. Cuci beras, tos dan ketepikan.
3. Panaskan majerin di dalam kuali.  Tumis bahan tumbuk, bawang dan rempah 4 sekawan sehingga wangi dan keperangan. Kemudian masukkan daging ayam cincang. Masak sehingga air daging kering.
4. Masukkan beras ke dalam kuali dan goreng sebentar sambil menggaul rata bahan tumis.
5. Masukkan beras ke dalam rice cooker.  Tambah stok ayam, sos spageti, air secukupnya untuk memasak beras dan juga daun ketumbar. (Kalau bundo ada stok mushroom pasti bundo akan bubuh juga)
6. Apabila nasi 3 suku masak, masukkan pula segenggam kismis. Gaul rata.



Lauk? Pandai-pandai sendiri la haha. Bundo buat dalca daging dan sambal telur.  Makan dengan ayam panggang pun best ni.




Sila lah makan!!!!

ibundo

Tuesday, May 1, 2012

Chicken mayo

Selamat bercuti dan bersenang lenang. Mahunya kita ni para isteri aka ibu nak bersenang lenang. Yang cuti kerja di pejabat tapi yang di rumah ni kerja tetap kerja.

Anak bundo dah lama dah nakkan chicken mayo ni. Beli croissant bawa balik rumah belum sempat nak letak inti dah habis kena makan. Ada tu pulak beli croissant tak berusik-usik tapi bundo pulak yang malas nak buat inti. Padahal bukan susah mana pun nak membuatnya.



Bahan:
Croissant secukupnya (kalau rajin buat sendiri.  Kalau tak rajin beli je yang dah siap)
Beberapa ketul dada ayam. Agak-agaklah.
mayonis
lada hitam ajishio
cheese spread
beberapa biji kentang
kubis
carrot
daun salad
timun dihiris nipis
tomato dihiris nipis


Cara:
1.Rebus ayam dengan sedikit air (paras ayam). Bubuh sedikit garam di dalam air. Bila masak, ketepikan biar sejuk.
2.Kentang dipotong wedges dan di rendam dalam air yang dububuh sedikit kapur dan garam. Kemudian cuci bersih dan goreng sehingga kekuningan.  Kalau malas, beli saja wedges yang dah siap di pasaraya.  Tinggal goreng saja.
3. Potong kecil kubis dan carrot. Gaul dengan mayonis,  black pepper dan garam.
4. Setelah ayam sejuk, koyak-koyakkan kecil dan masukkan ke dalam blender.  Bubuh sedikit air rebusan dan blender halus.  Keluarkan dan campur dengan mayonis secukupnya.  Mayonis perlu banyak sehingga dapat kita rasa sebatinya dengan ayam.  Tambah lada hitam ajishio dan sedikit garam.
5. Belah croissant tidak putus.  Sapukan cheese spread.  Susun daun salad, ayam, tomato dan timun.
6. Hidang bersama coleslaw dan kentang wedges.



Kalau buat sendiri, kita boleh letak inti banyak-banyak.  Macam yang bundo buat ni sampaikan termuntah-muntah isinya.

Sekian.

ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...