Thursday, June 16, 2011

Jelawat masak lemak tumis

Ikan jelawat jarang masuk di dapur aku sebab ikan ni jenis yang banyak tulang.  Kalau ikan yang jenis banyak tulang ni, anak-anak aku biasanya diorang kuis-kuis ikan dan ambil kuah je. Tapi ikan ni rasanya sedap lemak-lemak.


Seekor jelawat sederhana besar
1 senduk cili kering yang sudah diblender
1 sudu kecil kunyit
Santan dari sebiji kelapa
10 biji cili api yang ditumbuk (boleh kurangkan kalau tak mahu pedas)
4 ulas bawang merah ditumbuk lumat.
2 ulas bawang putih ditumbuk lumat.
sedikit halia muda dihiris
sehelai daun kunyit (kalau kecil bubuh dua helai)
beberapa batang bendi
1 asam keping

1. Tumis bawang dan halia muda.  Bila wangi masukkan cili.  Goreng hingga cili masak. Masukkan kunyit.
2. Masukkan santan, ikan dan daun kunyit.
3. Biarkan mendidih dan kuah pekat.
4. Masukkan bendi dan asam keping.
5. Rasakan garamnya.

Bubuh sedikit minyak saja bila menumis.  Aku dah terlebih minyak sebab terlupa yang ikan ni sendiri mengeluarkan minyak. Santan juga bila pekat akan berminyak.

Sekian.

ibundo

Wednesday, June 15, 2011

Sosej belado

Kalau sosej ni, masak apa pun mesti anak aku suka makan terutamanya siadik.



Sosej ayam atau daging (sosej yang pendek-pendek) - suka hati nak buat banyak mana. Potong dua menyerong setiap satu.
2 biji ubi kentang dipotong wedges
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
4 sudu besar cili kering giling
2sudu besar sos tomato
1 biji tomato dipotong ikut suka
daun bawang dan daun sup sebagai hiasan.
2 batang cili hijau dihiris

1.  Goreng ubi kentang sehingga kekuningan.  Ketepikan.
2. Tumis bawang.  Apabila wangi, masukkan cili.  Masak sehingga cili masak.
3. Masukkan sosej. Gaul.  Masukkan sos tomato. Gaul.
4. Apabila sosej masak, masukkan ubi kentang.
5. Masukkan cili hijau dan tomato. Kacau sekejap dan padamkan api.
6. Masukkan daun hiasan.




Sekian.

ibundo

Tuesday, June 14, 2011

Sambal daun kayu

Masa arwah mak masih kuat, pasti aku akan meminta dia buatkan aku sambal daun kayu setiap kali aku nak balik ke kampung. Itu pun kalau musim tempoyak tengah banyak. Aku tak tahu orang tempat lain panggil apa.  Tapi kalau di tempat aku, sayur sayur kampung yang dipotong macam bunga rampai dan dimasak menggunkakan tempoyak yang banyak, kami namakan sambal daun kayu.  Cukup rasa pedas, masam, manis, lemak dan terutamanya cukup rasa tempoyak.

Kalau aku makan lauk ni, separuh aku punya sebab suka sangat.  Dan mak aku pun cukup paham.



Kalau di kampung, sayur-sayur senang nak dapat. Di bandar ni nasib-nasib.  Kadang-kadang ada dijual di pasar.  Kadang-kadang tak ada. Kalau tak ada, aku tangkap je apa-apa sayur kampung yang ada.  Tapi nasib baik sekarang ni ada pasar tani.  Selalunya di pasar tani banyak dijual sayur-sayur kampung.

Yang penting mesti ada:
pucuk ubi
serai 3, 4 batang dihiris
daun kaduk(sedikit)
poucuk mangun ( sedikit)
pucuk labu sikit
boleh juga tambah daun tu sikit, daun ni sikit kalau suka (jangan beli daun yang pahit, dah)
petai
tempoyak
udang atau ikan bilis
cili api.  Lagi pedas lagi berdesing
kalau ada terung pipit pun boleh juga bubuh.  Tumbuk sikit supaya dia pecah-pecah.
santan secukupnya.
garam dan gula secukupnya

sayur dihiris macam buat bunga rampai.  Masukkan santan dan bahan lain kecuali tempoyak dan petai. Bila sayur layu, masukkan tempoyak dan petai.  Tempoyak kena banyak, baru ada rasa.

Anak aku adik dan basyir suka makan lauk ni.  Yang lain-lain ada yang suka, ada yang jamah-jamah je.

ibundo

Monday, June 13, 2011

Pisang goreng oat

Pisang goreng ini dah pernah aku tulis dalam secawan kopi panas beberapa bulan lalu.  Aku salin semula di sini supaya resepi aku terkumpul dalam dapur.




Bahan:
6 biji pisang yang sudah boleh digoreng. Potong ikut selera sendiri.
3 sudu besar tepung beras
3 sudu besar tepung goreng rangup
4 sudu besar tepung gandum
sedikit garam
1 biji telur
Oat. Bubuh je oat dalam pinggan. Kalau tak cukup, tambah lagi.
Butter

Telur dikocok dan ketepikan.
Semua bahan tepung dan garam digaul sebati.

Pisang dicelup ke dalam telur. Kemudian digolekkan ke atas tepung. Celup lagi sekali ke dalam telur. Golek pula ke dalam oat. Goreng.

Bila masak, angkat. Belah sedikit di tengah-tengah pisang semasa masih panas dan massukkan sedikit butter. Letak ke dalam pinggan dan makan ketika masih panas.

Sedap dimakan bersama kopi o atau teh tarik semasa minum petang.

ibundo

Udang Goreng Cencaluk

Kalau ada kenduri kendara di rumah aku, cencaluk mesti tak tinggal. Buat sambal cencaluk campur dengan petai, pergh... orang keliling lalu lalang pun tak nampak. Cakap pasal sambal cencaluk yang lengkap rasa masin, manis, masam dan pedas ni pun dah cukup untuk membuat air liur aku berkecur.



Tapi hari ni aku nak cerita pasal sambal petai yang dibubuh cencaluk. Rasanya pun pergh jugak.

Udang saiz besar agak-agak 1/2 kilo
sekuntum daun kantam dihiris
petai.  Lagi banyak lagi ummph
20 tangkai cili api ditumbuk.  Kalau tak tahan pedas, kurangkan
1 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang merah dicincang halus
3 ulas bawang kecil dicincang halus
2 biji limau kasturi. Boleh tambah kalau kurang masamnya.
1/2 mangkuk cencaluk ditoskan airnya
1 sudu gula kalau suka
2 tomato di dadu besar

1. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
2. Masukkan cili dan cencaluk. Masak hingga nampak kering.
3. Masukkan bawang besar dan bunga kantan. Kacau sebentar.
4. Masukkan udang, petai dan perahkan asam limau.  Tak payah bubuh garam kerana cencaluk dah cukup masin.
5. Bubuh air sedikit kalau nampak terlalu kering. Masukkan tomato sebelum diangkat.

Sekian.

ibundo

Sunday, June 12, 2011

ayam asam podeh

Mak mertua aku kalau boleh hari-hari mau asam pedas. Macam mak aku lah dulu, hari-hari mau masak lomak cili api. Bila dah separuh jadi orang melaka aku dah boleh pelbagaikan rasa asam pedas.  Kalau campak bahan tambahan lain, rasanya akan lari sedikit jadi lain.


1/2 ekor ayam di potong kecil
1 atau 2 senduk cili kering yang sudah diblender. (ikut pedas yang suka)
1 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia muda *
1/2 inci kunyit* ( kunyit tepung agak sesudu kecil )
1 sudu kecil halba
1 sudu besar rempah kari
sebatang serai dititik
beberapa helai daun limau purut
asam jawa yang dibancuh dengan air
air

Blender bahan yang bertanda *.  Panas minyak dan tumis bahan yang diblender tadi. Masukkan rempah kari, halba dan serai.  Biarkan cili masak. Masukkan ayam.  Biarkan air ayam kering, baru masukkan air asam jawa. Kacau dan tambah dengan air dan daun limau purut.  Masak sehingga kuah agak pekat. Rasakan garam.

Anak aku kata sedap sebab ada rasa kari sikit.  Bila merasakan  kuahnya, kita boleh agak-agak mana rasa yang belum cukup.  Kalau kurang asam. tambah asam. Aku tidak tambah gula sebab hasben tidak berapa suka rasa manis dalam masakan.

ibundo.

Saturday, June 11, 2011

Puff Gardenia

Ingat dulu aku buat karipap high 5? Kali ni teragak nak buat puff gardenia pula. Malan tadi datang idea ni.  Pagi ni terus buat.


Bahan:
Beberapa keping roti gardenia.  High 5 pun boleh juga.
Inti ikut suka.  Kalau suka sardin, gunalah sardin.  Kalau suka ayam, buatlah ayam. Suka hatilah.
1 sudu tepung gandum bancuh dengan sedikit air untuk buat gam.

1. Buang tepi roti.  Gelek nipis.
2.  Letakkan inti di tengah.


3. Sapukan air tepung di sekeling tepi roti untuk dibuat pelekat.
4. Cantumkan ke empat-empat bucu seperti dalam gambar.


5. Sapu dengan telur yang telah dibancuh dengan sedikit air di permukaan roti kalau roti itu mahu dibakar.  Aku bakar.  Kalau nak goreng, tak payah sapu telur.  Goreng terendam. Sedap lagi digoreng.  Ia lebih rangup.

Makan panas-panas biar berkipas lidah tu kepanasan.

kakpah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...