Saturday, June 29, 2013

Stew bebola daging bersayur

Pada kebanyakan masa, kita suka ambil jalan mudah dan senang. Contohnya kalau mahu makan bebola daging,  kita beli saja yang sudah siap dan senang didapati di pasaraya. Alasan kita memang banyak: nak cepat, senang, malas dan macam-macam. Tapi ada masa masanya kita ketepikan rasa malas dan kita buat sendiri. Selalunya kita pasti akan lebih berpuas hati.

Tak adalah sesusah mana pun nak buat bebola ni.
Kalau nak sedap, kita beli sendiri daging segar yang tidak berlemak dan kisar sendiri.  Itu bagi mereka yang ada pengisar daging. Bagi yang tak ada, beli sajalah daging kisar yang tersedia ada. Cuma negatifnya, daging kisar yang sedia dijual itu banyak mengandungi lemak lemak yang kita tak nak.

Bundo bagi resepi bebola yang mudah.

200 gm daging kisar
2 ulas bawang putih ditumbuk halus
1 sudu teh stok ayam
1/2   sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu besar tepung gandum
1 biji telur
garam secukup rasa

Gaul semua bahan hingga sebati.
Bulat-bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
Panaskan air dalam periuk dan bila mendidih, masukkan beberapa biji bebola ke dalam air. Masak sehingga bebola terapung.
Boleh juga kalau nak goreng. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
(Bundo goreng  sehingga agak-agak kekuningan)



Untuk stew:

Bebola daging
1 tin sup tomato kimball
1 biji bawang besar didadu kasar
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 cube stok daging
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil oregano
1 sudu kecil celery kering
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
Beberapa batang cili api (kalau suka)
3-4 cawan air ( air boleh ikut sukatan yang kita rasa sesuai)

(Banyak sayuran adalah mengikut  selera sendiri)
Baby carrot
Tomato cherry
Celery
Capsicum merah dan hijau
Cendawan chitake


Panaskan minyak zaitun secukupnya.
Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.
Masukkan sup tomato dan air.
Masukkan cube daging, lada hitam, celery, oregano dan garam.
Apabila mendidih, masukkan sayur-sayuran dan bebola.
Pekatkan kuahnya dengan bancuhan tepung jagung.



Macam tu lah.
Selamat mencuba dan selamat berhujung minggu.



Salam dari
ibundo

Thursday, June 27, 2013

Kek Mentega Oreo Strawberry

Mmm alahai. Tersilap masuk loyang. Jadilah kek yang bantut tak cukup ketinggian. Tapi apa ada pada rupa kan? Janji rasanya sedap mengancam.

Resepi asal bundo ambil dari e-book ita masam manis... kek mentega blueberry. Tapi bila sampai pada bundo, nama dah bertukar jadi kek mentega oreo strawberry.
Bundo ubahsuai mengikut bahan yang ada di dapur.  Menurut ita, kek ini rasanya sedap dan lembut. Setelah bundo ubah suai sana sini, rasa sedap tetap maintain.  Begitu juga kelembutannya.



Resepinya:
250 gm mentega
200 gm gula castor
4 biji telur
250 gm tepung gandum
5 gm serbuk penaik
50 ml santan kotak + 50 ml air (kacau sebati)
1 sudu kecil strawberry paste
50 gm biskut oreo yang telah dibuang cream ( kisar kasar)



Putar gula dan mentega hingga putih.
Masukkan telur satu persatu. Pukul hingga kembang.
Tepung diayak bersama serbuk penaik. Masukkan tepung berselang seli dengan santan.

Keluarkan 1/3 daripada adunan tersebut dan campur dengan strawberry paste.
Adunan selebihnya dikaup balik dengan biskut oreo.
Gunakan loyang berukuran 8". Letak adunan oreo terlebih dahulu diikuti dengan adunan berperisa strawberry. Bakar.




Kalau nak rasa, cubitlah sorang sikit.


ibundo

Pais ikan cendawan shitake

Salam dan selamat menjalani puasa sunat kamis bagi yang berpuasa.
Sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan yang bakal menjelang tiba? Mudah-mudahan dengan izinNya kita semua berkesempatan untuk kembali menyambut Ramadhan bulan yang penuh keberkahan.

Apa kata kita jadikan pais ini sebagai salah satu menu berbuka. Untuk menyediakannya takde lah susah sangat. Bahan pun tak perlu bersusah payah.  Pakai apa yang ada di dapur pun kira okay.




Bahan A:
4 ekor ikan cencaru dibuang tulang dan potong kecil. (boleh guna ikan lain.  Ikan ni saja yang ada dalam peti ais)
10 biji cendawan shitake dihiris nipis
50 gm santan pekat
1 sudu teh serbuk stok ayam
1 biji telur
1 helai daun kunyit dihiris halus
6 helai daun limau purut dihiris halus
2 batang daun bawang dihiris halus
garam secukupnya
1 sudu besar  jus lemon

Daun pisang secukupnya

Bahan B:
Bumbu halus (blender)
8 ulas bawang merah
4  ulas bawang putih
3 biji buah keras
2 biji cili merah besar
2 biji cili api (kalau suka)
1/2 inci halis
1/2 inci kunyit
2 batang serai





Blender semua bahan kisar.  Masukkan ke dalam mangkuk berisi bahan A.
Gaul rata. Rasakan garamnya.
Bila dah kira okay, bungkus dalam daun pisang dan kukus sampai masak.

Boleh juga kalau nak buat pais dua dalam 1.
Letak sedikit nasi di atas daun pisang dan letak pula isi ikan bersebelahan.  Bungkus dan kukus.  Jadilah seperti gambar yang ada nasi tu.



Sekian. Bundo ni rasa macam kelamkabut je. Tak reti nak cerita panjang-panjang. Update ni kira okalah jugak kan?


ibundo

Tuesday, June 25, 2013

Lemon Cheese Cake

Semalam sekolah cuti.  Malam tadi ramai juga yang mengharap-harap ada lagi pengumuman tentang sekolah cuti lagi di selangor hari ini. Memang teruk jerebu kali ini. Warna alam sekitar bertukar keperangan. Pandangan juga terjejas akibat  asap tebal. Bagi yang tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, mudah saja akan mendapat perit tekak, batuk dan sebagainya. Mudah-mudahan dengan izinNya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera. Kesian anak-anak.  Kesian kita.



Dalam pada menahan nafas sebanyak mungkin supaya tidak terus menyedut partikel-partikel yang berterbangan di ruang udara (kedai, farmasi kehabisan mask), sempat juga bundo ke kedai peralatan memasak membeli bahan untuk membuat lemon cheese cake ini. Resepi ini bundo ambil dari ita masam manis . Bermilion terima kasih bundo ucapkan pada ita yang tidak jemu-jemu berkongsi rahsia masakan bersama kita.  Nampaknya ita juga bertambah-tambah sibuk dengan pelbagai tempahan dan akitiviti kelas memasak. Semuga Allah membalas jasa-jasa ita dengan menambahkan lagi rezki ita sehingga melimpah ruah. Amin.




Sedap.
Itu yang dapat bundo kata kalau ditanya macamana rasanya. Oleh sebab nama pun lemon, ia tentulah mempunyai rasa lemonish.  Lain kali bundo nak cuba tukar dengan rasa yang lain.




Resepi?
Bundo minta izin ita masam manis CP di sini.

 LEMON CHEESE CAKE

Dasar
150 gm biskut Marie + biskut Oreo
30 gm Almond Flakes ~ panggang dan kisar
90 gm mentega ~ cairkan

Satukan Biskut dan almond flakes, tuangkan mentega panas dan sebatikan. Berhati-hati dengan mentega yang panas. masukkan dalam cup kecil, rata dan padatkan. Ketepikan

Lemond Cheese

400 gm krim keju
3 gm jus lemon
180 gm coklat masakan putih
300 gm krim bukan tenusu ~ di putar hingga kental
12 gm halal gelatin
60 ml air
1 sudu teh parutan kulit lemon
1 sudu teh pes lemon

Cairkan gelatin ~ rujukkan
Cairkan coklat masakan putih ~ kaedah kukusan
Dalam bekas pemutar, pukul krim keju , kulit lemon, pes lemon dan jus lemon lembut
Tambahkan gelatin cair dan terus putar
Tambahkan coklat cair dan terus putar
Kaup balik krim putar dalam keju, rata
Tuangkan dalam bekas dan ratakan, ketepikan

Lemon Jely
2 sudu teh gelatin
200 ml air
2 sudu teh gula kastor
2 sudu teh jus lemon
1 titik pewarna kuning lemon

Satukan semua bahan dan masak dengan api sederhana
Tuang dalam bekas dan dinginkan
Sedia dinikmati dingin




Untuk keterangan yang lebih terperinci, anda pergilah ke blog ita masam manis.
Banyak rahsia masakan di sana.




Thank you  ita. Luv u.

ibundo

Thursday, June 20, 2013

Banana vanilla cupcake

Mood tengah rajin ni bundo letak lagi satu resepi. Masa rajin nilah nak tunjuk. Nanti tiba
malas, terperap lagi berminggu-minggu.
Yang berpuasa hari ini bundo ucapkan selamat berbuka.  Tak lama lagi.  Tak sampai pun satu jam dan agaknya semua kerja di dapur sudah pun selesai. Bagi yang belum habis membayar hutang puasa, cepat-cepatlah bayar. Jangan tangguh-tangguh lagi.



Dalam cupcake ni ada pisang. Bundo sukerr sangat cake yang ada pisang ni dan tak jemu-jemu mencuba resepi berlainan. Resepi ni bundo ambil dari blog omputeh tapi terlupa pula nak ambil linknya. Cuma bundo modified sikit letak ganache di dalam cupcake ni dan ternyata ianya sangat sangatlah mengancam.




untuk cupcake:
2  3/4  cup all purpose flour
1 1/4 tsp baking powder
1 tsp  baking soda
1/2 tsp garam
1/2 cup unsalted butter
1/4 cup vegetable shortening
1 3/4 cup gula castor
2 tsp vanilla extract
2 telur
1 1/2 cup pisang lenyek
1/2 cup butter milk ( 1/2 cup susu cair+1 sudu besar apple cider)

- Ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam bersama.
- Pukul shortening dan butter hingga creamy. Masukkan gula, esen vanilla dan telur. Pukul sebati.
- Masukkan pisang. Gaul rata.
- Turunkan speed mixer pada low.  Masukkan tepung diselangselikan dengan butter milk.
- Masukkan ke dalam acuan cupcake dan bakar pada suhu 150.




 ganache:
100 gm whipping cream
150 gm chocolate masakan (bundo pakai yang bentuk coin)

Panaskan whipping cream. Curahkan ke dalam mangkuk berisi chocolate. Gaul sehingga chocolate cair. Sejukkan.

Cream:
2 cawan cream topping.  Pukul sehingga kembang.




Sejukkan kek setelah masak. Bila sejuk, buat sedikit lubang dipermukaan kek dan keluarkan isinya.  Masukkan ganache ke dalam piping bag, penuhkan lubang yang telah ditebuk tadi dengan ganache.  Memadai memenuhi lubang saja.  Jangan melimpah.
Kemudian, hiaslah cupcake itu dengan cream ikut kreativiti anda.




Pergh... makan dengan ganache yang meleleh.

Sekian dimaklumkan.

Bundo

Puteri Bersiram

Hari-hari panas berdenting. Kalau tengah masak di dapur mesti lencun bermandi peluh. Nasib baiklah siputeri ini, sentiasa berendam dalam air haha..

Abah bundo suka makan pengat.  Buatlah apa pun yang berasaskan santan bergula dan boleh dihirup-hirup, pasti dia suka. Bundo pun suka jugak cuma adakalanya tak suka nak masak aje sebab lebih senang beli. Mood lah kan, mood. Kadang-kadang rajin banyak kadangnya malas.



Dari mana asal usulnya nama ni taklah bundo tahu. Dah dari dulu namanya puteri mandi, kita katalah puteri mandi.  Tapi bundo nak rename jadi puteri bersiram. Maka bersiramlah puteri-puteri itu.
Dalam bulan ramadhan semasa kecik dulu, emak selalu buat buat pengat ni untuk berbuka. Dalam sebulan berpuasa tu banyak kali jugaklah emak buat. Takde siapa yang menyaound kata muak. Tapi dulu kalau nak buat kuih kena kisar beras dulu.  Teka siapa yang jadi mangsa untuk mengisar beras ni.  Tak lain tak bukan, bundolah.  Berlengas ketiak musing pengisar.

Emak dulu selalu campur dengan kelapa muda. Kelapa muda yang agak-agak dah sedikit keras isinya (tapi masih lembut) dikeruk dengan sudu. Bila pengat hampir sampai tahap nak kena matikan api, kelapa keruk itu dimasukkan ke dalamnya. Foohh.. sedap lemak-lemak manis isi kelapa tu.




Bahan:
2 cawan tepung pulut
1 cawan air

warna merah, hijau atau apa saja
santan dari 1 biji kelapa
gula pasir secukupnya
sedikit garam
sehelai daun pandan
1/4 cawan sagu direndam sehingga kembang

Gaul tepung bersama air. Bubuh air sedikit sedikit sehingga mendapat konsistensi yang sesuai. Ia mestilah lebih lembut daripada doh buah melaka.
Bahagikan doh kepada dua atau tiga bahagian dan warnakan mengikut warna yang dipilih.
Bulatkan kecil dan leperkan sedikit di bahagian tengah.
Didihkan air dan masukkan ke dalam air mendidih sehingga ia terapung.
Angkat dan masukkan ke dalam besen yang berisi air sejuk (bukan ais).

Masak santan bersama gula secukupnya, garam dan daun pandan. Apabila mendidih, masukkan sagu. Bila sagu sudah kembang, masukkanlah pula puteri puteri tadi.



Okay.. dah siap satu menu untuk berbuka puasa bulan ramadhan nanti insyaallah.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

ibundo

Tuesday, June 18, 2013

Cheezy egg in potato cup

Assalamualaikum buat semua.  Apa kabar. Sudah sebulan lebih tidak menjenguk dan bertanya kabar. Hendak kata sibuk tidak juga.  Lebih kepada kelesuan daya untuk menulis. Masak tetap masak tapi keinginan untuk mengambil gambar tidak ada.  Begitu juga keinginan untuk membuka laptop. Semuanya malas.

Harap kemunculan harini dapat melepaskan rindu (ahaks).. Rindu bundo untuk menulis lah.
Masakan ni namanya saja yang gempak. Istimewanya takde mana pun. Tapi oleh sebab budak-budak kat rumah ni memang suka telur, makan bundo pelbagaikanlah cara masak telur.



Apa yang diperlukan untuk membuat mendaalah ni:
3 biji ubi kentang diparut halus
6 biji telur
carrot diparut halus
1 biji cili merah dicincang  kecil
1 batang celery didadu kecil
sedikit garam
sedikit lada hitam
mozarella cheese
muffin baking pan




Sapu baking pan dengan sedikit majerin.
Ubi kentang yang telah diparut digaul dengan sedikit garam.  Susun ubi kentang didalam lubang tray dengan cara menyusunnya supaya berupa seperti mangkuk.
Bakar sehingga masak dan garing. (bundo nak cepat dan kentang yang bundo masak tak cukup garing)
Bila masak, keluarkan dan bagi sejuk.
Pecahkan telur dalam setiap  bakul ubi kentang.
Bubuh garam dan lada hitam. 
Taburkan cili, carrot, celery dan cheese.  Lagi banyak cheese lagi kaw.




Kemudian, masukkan semula ke dalam oven.
Bakar sehingga sempurna masak. Kalau suka kuning yang cair cair, tak payahlah masak lama-lama.
Boleh dimakan begitu saja dengan roti atau makan dengan nasi.


Sekian buat kali ini.  kalau rajin kita jumpa esok.  Kalau malas kita jumpalah bila-bila hehe.. Selamat menyambut ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.
Love you all.


ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...