Tuesday, October 21, 2014

Sup Keledek Omputih Style

Salam.
Semasa  jenjalan di alam maya aku terjumpa foto yang nampak sangat menarik dan aku tertarik. Ternyata ia hanya gambar semangkuk sup keledek. Tapi kesannya pada aku, aku ingin menghasilkan foto yang hampir serupa.
Lantas aku siapkan beberapa keperluan untuk menghasilkan sup keledek dengan versi aku sendiri. Aku sisihkan beberapa bahan yang tidak perlu dan tambah beberapa bahan lain sesuai dengan selera kita orang melayu.



 

Aku mendapat hasil seperti yang aku mahukan.
Aku meletakkan mangkuk sup di depan anak aku.  Dengan mulut tejuih dia geleng geleng kepala tanda taknak. Aku kata, rasalah sikit.  Dia ambil sikit dan jilat di hujung sudu.
Eee taknak ar. Macam bubur baby je.
Ahak...
Dah namanya pun sup style omputih. Mushroom soup itu pun lebih kurang tu jugak kan.




Bahan:
1 cawan keledek yang telah dipotong cube
1/2 cawan carrot yang telah dipotong cube
6 keping cendawan tiram
6 ekor udang dibuang kulit
3 cawan stok ayam (atau 1 cube stok ayam+3 cawan air)
3 sudu besar santan kotak
1 biji cili api (pilihan)
garam secukup rasa

Cara:
-Rebus keledek, carrot dengan air saja sehingga empuk
-Masukkan cili api, udang dan cendawan tiram
-Masukkan santan dan sedikit garam
-Padamkan api, masukkan bahan ke dalam blender dan blender halus. (boleh juga tinggalkan beberapa ketul kiub keledek di dalam periuk)  Hati-hati kerana ia masih panas.
-Masukkan kembali bahan blender ke dalam periuk.  Jerang semula sehingga mendidih. Padamkan api.
-Semasa menghidang, taburkan dengan sedikit kacang (tak kesahlah kacang apa) dan daun bawang/sup.






Siapa yang nak berdiet tu elok juga makan sup macam ni.  Kenyang dan berkhasiat.

ibundo


Monday, October 20, 2014

Puff mudah le sangat

Salam.
Bangun tidur pagi semalam dah pasang angan-angan nak buat cheese cake. Ada resepi ciskek yang macam dah jadi viral kat fb. Nak jugak cuba nak tau kesedapannya tahap mana.
Tapi habis breakfast, selongkar peti ais cari creamcheese aku entah ke mana. Habis semua benda dalam peti ais aku keluarkan. Tak jumpa.  Pandangan dari sudut positifnya, kemaslah nampaknya
peti ais aku jadinya.

Tanya bibik, dia tanya aku balik.. krimcis tu apa buk. Aku explain gitu gini.
Dia tanya lagi.. tauhu ke.
Sudahnya aku give up. Decided buat puff sajalah sebab hari sebelumnya aku ada beli puff pastry.
Bukak freezer nak ambil pastry, aku ternampak ceamcheese aku enak je tertonggok di situ.
Sambil keluarkan creamcheese yang dah jadi air batu, aku terbebel-bebel menyalahkan orang yang meletakannya di situ dan bibik aku  mandang terkebil-kebil untuk memahamkan apa yang aku cakap.
Argh...




Puff pastry jenama kawan aku beli ni. Beli pack kecik isinya rupa-rupanya hanya 10 keping. Jadi, dapatlah 10 bijik je. Sepuluh bijik tu ibarat pejam mata sekelip, bukak balik dah licin pinggan. So, kalau famili besar, dan kena hari cuti hujung minggu, pastikan buat banyak banyak.




 Bahan untuk inti:
8 batang jejari ketam
1 biji bawang besar
1 biji tomato
1 tangkai daun ketumbar
2 sudu besar cheezy mayonis
sedikit garam
sedikit parsley kering
1 biji telur




 Cara:
1. Jejari ketam dipotong pendek
2. Bawang didadu kecil
3. Tomato dibuang isi dan dadu kecil
4. Daun ketumbar dipotong pendek
5. Masukkan kesemuanya ke alam mangkuk,  gaul bersama cheezy mayonis dan garam.
6. Ambil sekeping pastry, letak inti di tengah, tabur sedikit parsley dan lekatkan hujung pastry yang bertentangan.
7. Telur dipukul dan sapukan ke atas pastry.
8. Bakar.



Sekian. Nak cuba, cubalah. Kena cari cheezy mayo tu dulu. Mayo yu yang buat inti tu sedap.

ibundo

Thursday, October 16, 2014

Buang toksik

Siapa yang taknak buang toksik dalam badan. Semua orang nak.  Cuma yang tak waras saja yang tak endah. Almaklum sajalah, dengan umur yang macam ni macam-macam benda yang dah tersangkut dalam setiap ruang dalam bahagian dalaman anggota ni.
(Membuat aku teringat yang sinki aku petang tadi aliran air keluar agak tersekat-sekat.  Mesti ada lemak dan sisa makanan yang dah menyumbat saluran batang paip. No..no..no.. panggil plumber kat sini dah seratus ringgit. Aku buat sendiri saja.  Insyaallah tau.)

See, saluran paip tersumbat kita kena lancarkan perjalanannya balik. Kalau boleh dengan kos yang paling minima. Tak payah keluar ratus-ratus.
Saluran darah tersumbat?
Urat temurat yang tersumbat?
Be careful... cegah sebelum parah adalah lebih baik.



Ada kawan mengesyorkan apple cider dengan honey.
Aku buat.
Pagi-pagi semasa perut kosong aku bancuh segelas air dengan satu sudu besar apple cider dengan 1 sudu besar madu. Tak boleh guna sudu besi.  Mesti guna sudu plastik atau kaca. Apa hujahnya kenapa tidak boleh, tidak pula aku bertanya. Aku percaya kesannya akan berkurangan.
Petang sebelum aku dinner aku minum lagi satu gelas air campur apple cider dan madu.
Sudah dua bulan aku amalkan.
Kesannya?
Nak kata sakit sendi aku berkurangan, ia macam tu jugak. Nak kata letih letih aku hilang, ia masih ada. Cuma yang aku perasan nature's call aku pagi pagi tersangat mudah.  Tak adalah payah duduk termenung lama-lama.
Dan dua kali doktor memeriksa tekanan darah aku dalam masa dua bulan ni, bacaannya 120/80. Muahh... teramatlah cantik.




Masalahnya kita ni, masyarakat kita lah, sukaaa sangat benda yang manis-manis. Air nak yang manis. Kuih suka yang manis. Kadang-kadang masak lauk pauk pun tambah gula begitu punya bersudu sudu sampai terasa sangat kemanisannya.
Kalau dah sakit, takde manisnya lagi hidup kita ni.
Bukan tak boleh. Boleh. Tapi biarlah moderate.
Aku pun tau yang tekak kita ni suka benar benar nak rasa yang sedap-sedap. Kalau dah tawau habau mana ada sedapnya ye tak. Mmm..kena pandai kotrol la.

Macam air ni. 
Lemon memang dah terkenal dengan khasiatnya. Bila kena gaya, air lemon ni bukan saja boleh menghilangkan dahaga, malah boleh mempunyai daya kesan pada kesihatan kita juga.
Jom buat lagi bersama bundo..

1. Lemon-pudina-green tea

I mug besar air
1 uncang  teh hijau
1 biji lemon
beberapa helai daun pudina

1. Teh  hijau direndam dengan sedikit air panas. Masukkan teh hijau ke dalam mug dan ditambah air kosong sehingga 3/4 mug.
2. Potong melintang 1/2 lemon.  Perah 1/2 ke dalam air. Setengah lagi dihiris nipis dan masukkan ke dalam mug.
3. Masukkan daun pudina.  Kacau rata.
nota: kalau ingin rasa sedikit manis, bubuh 1 sudu kecil madu ke dalam air.




2. Lemon-peach pudina

1 mug air
1 1/2 biji buah peach
1/2 biji lemon
Beberapa helai daun pudina

1. Blender satu biji buah peach dengan air
2. Hiris nipis separuh  peach
3. Masukkan air peach yang telah diblender ke dalam mug.
4. Masukkan jus lemon daripada 1/2 biji lemon
5. Tambah dengan hirisan peach dan daun pudina.
6. kacau rata.



Minuman ini boleh diambil segera atau simpan dalam peti ais sejam dua untuk mendapatkan rasa sejuk dan segar apabila kita meneguknya.



Sekian.

ibundo


Monday, October 13, 2014

Daging Salai Lomak Nisemilan

Salam.
Zaman kanak-kanak aku adalah zaman dapur kayu, teropong buluh. Dapur mak aku dibuat daripada bata yang bersimin ala-ala table top yang menempatkan dua tungku dapur. Di sebelah bawah ada ruang yang ditinggal kosong untuk emak aku meletakkan kayu yang telah dipotong-potong buat umpan api. Di sebelah tepi tungku ada bakul kecil tempat letaknya getah segerap atau getah tayar basikal sebagai bahan untuk mempercepatkan proses pembakaran.
Masih aku ingat, setiap kali emak menyalakan api, emak akan menggunakan batang buluh yang telah dipotong pendek untuk meniup bara api supaya api cepat marak. Setiap kali itu juga aku lihat ada debu berterbangan. Nenek aku panggil ia teropong buluh. Emak aku panggil teropong buluh. Aku panggil teropong buluh sebab dari aku kecil itulah yang disebut-sebut.



 Di sebelah atas tungku dapur tergantung para dari dawai berjaring. Di situlah emak meletak ikan, daging atau ayam yang di salai.  Zaman kecil aku bukan zaman petik tepi tengah menyala.  Aku orang kampung. Tak ada api letrik.  Yang ada cuma pelita dan lampu gas untuk menerangi malam. 
Tak ada tv. Peti ais jauh sekali. Oleh itu cara menyimpan makanan adalah dengan cara menyalai. Bila dapat ikan sawah berbaldi, emak masak cili api dan selebihnya di salai. Bila abah beli daging dan tidak kesemuanya dimasak, emak akan menyalainya dan biar terus di asap di para atas tungku dapur.
Makanan yang disalai berbau wangi apabila dimasak.



Semalam Rosemah masterchef datang ke rumah aku. Orang sekampung. Dia sekarang ada membuat bisnes daging salai. Aku memesan beberapa bungkus dan dia datang sendiri ke rumah aku membuat delivery. So, apa yang sebenarnya yang aku nak cerita ni ialah, aku masak daging salai lomak cili api tapi kenangan aku pada masa lalu membuat aku ter off track sikit.
Tell u what, daging salai ni memang power betul. Bau dia power.  Rasa lagi power. Bila makan boleh jilat jilat jari.



Nak bagi sedap, kuah kena pekat.  Cili kena terasa pedas. Asam terasa. Garam apatah lagi.  pendek kata semua kena belen. Kalau ada asam belimbing buluh ganti asam keping lagi lah perghhh..

Okay,
250 gm daging salai
1/2 kilo santan
1 cawan air
20 biji cili api ditumbuk halus
2 inci kunyit hidup ditumbuk  halus
3 ulas bawang putih dititik
4 batang serai dititik
1 inci lengkuas dititik
2 keping asam keping
2 biji kentang 
garam secukupnya

Masukkan kesemua bahan selain asam keping, kentang dan santan ke dalam periuk. Rebus sehingga air hampir kering. Masukkan santan dan kentang.  Bila kentang empuk, masukkan pula asam keping.
Masak sehingga kuah pekat.



Sodapppppppp...
Sekian.

ibundo



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...