Friday, October 19, 2012

Nugget Ayam

Stok di peti ais memang dah banyak yang kurang. Nak pergi kedai, malas. Jadi, jalan short cut adalah membuat nasi goreng ala kadar. Belasah saja apa yang ada.  Asal ada sambal sebagai side dish, dah cukup sangat.

Kelebek dalam freezer terjumpa pula daging ayam hancur satu peket besar. Tiba-tiba pula teragak nak buat nugget untuk dimakan bersama nasi goreng. Cari telur, ada 4 biji.  Cukup.
Selalunya kalau nak makan nugget, kita beli saja yang dah siap. Senang.  Mudah. Bundo pun belum pernah buat nugget sebelum ni. Inilah pertama kali dan resepi pun main hentam keromo mana pikir patut je.  Alhamdulilah  menjadi.



Kalau nak cuba, bundo sertakan resipi budo di sini:

800 gm ayam hancur Ramly
2 biji telur
5 sudu besar penuh tepung jagung
2 sudu besar daun parsley kering
1 sudu kecil lada sulah
1 sudu besar serbuk stok ayam knorr
1 sudu kecil paprika (kalau tak mahu pedas tak payah bubuh)
1/2 biji bawang besar ditumbuk halus
1 ulas bawang putih ditumbuk halus
1/2 sudu teh garam

untuk salut:
2 biji telur dikocok bersama sedikit air
tepung roti bewarna oren


1. Tumbuk bawang sehingga halus. 
2.  Gaul semua bahan sehingga sebati.
3. Panaskan pengukus. Sediakan pan membakar kek dan sapu dengan sedikit majerin.
4. Masukkan sebahagian adunan ke dalam pan.  Jangan tebal sangat. Kukus sekejap lebih kurang 10 minit.
5. Keluarkan dan apabila agak sejuk terap dengan penerap biskut yang disukai.
6. Celup ke dalam telur yang telah dikocok dan gulingkan ke dalam serbuk roti. Goreng.  Kalau tidak mahu menggoreng kesemuanya, boleh disimpan di dalam freezer.




Kalau rajin, buatlah banyak-banyak.  Boleh buat bekal untuk anak-anak ke sekolah. Buat bekal untuk bapak anak pun boleh.



Cucu bundo masih di hospital.  Pagi tadi buat test darah lagi. Pletlet count dah naik sikit tapi masih di bawah tidak normal. Doktor dah bagi ubat.  Besok buat test darah lagi.  Kesian. Dia yang tak tahu apa-apa macam biasa saja.

Sekian.

ibundo

Thursday, October 18, 2012

Puteri Ayu bertukar baju

Salam hari khamis.
Semuga semua berada dalam keadaan ceria. Seceria puteri ayu yang telah bertukar baju warna hijau kepada yang bewarna warni..haha.
Nampaknya bahang pelangi masih belum reda.



Bahan kelapa
100 gm kelapa parut
secubit garam
1 sudu kecil tepung jagung.

Bahan
3 butir telur
125 gm gula
1/4 sudu teh garam
100 gm tepung gandum
50 gm tepung beras
145 gm santan
1 sudu teh ovelet


1. Gaulkan bahan kelapa. Masukkan ke dalam cetakan puteri ayu. Ketepikan.
2. Pukul telur, garam dan gula hingga kembang. Tambah ovelet.
4. Masukkan tepung gandum dan tepung beras dan di gaul rata.
5. Tambah santan.
6. Bahagi adunan kepada beberapa bahagian.  Warnai mengikut selera. Untuk bahagian hijau, tambah sedikit dengan pes pandan.
7. Tuang ke atas kelapa di dalam cetakan.
8. Kukus di atas api sedang lebih kurang 10 minit.


Abah bundo tanya, Ni kue apam ko?
Bundo jawab, tak bah.  Puteri ayu.
Apo pulak lain bona ghoman e. Bukan e puteri ayu warno ijau ko.
Tu versi lamo bah.  Yang ni setolah dilakukan penyelidikan, inilah gayo terkini (hahaha)
Abah bundo tak cakap banyak dah.  Terus makan sambil angguk-angguk kepala.



Cucu bundo yang baru berumur 5 bulan semalam dimasukkan ke hospital pantai kerana masalah Idiopathic Thrombocytopenic Purpura. Tolong doakan cucu comel bundo ini sembuh sepenuhnya.

Sekian.


ibundo

Tuesday, October 16, 2012

Siomay Ayam

Salam buat semua pengujung.
Dah baca majallah kitchen online keluaran Oktober?  Pada yang belum baca, cubalah selak-selak.  Mungkin anda terjumpa sesuatu yang menarik di situ.

Resepi bundo harini nak kata mudah tak juga. Kenalah keluar beberapa titik peluh baru siap. Tu belum campur peluh yang menitik semasa mengambil gambar.
Ha.. terus saja pada resipi ye.  bundo tak pandai nak bercakap panjang. Daripada penat-penat luahkan perasaan tapi orang baca skip skip, baik bundo straight to the point.




Bahan:
Kulit wantan (di tesco ada jual)
300 gm dada ayam, cincang halus
100 gm udang, kupas dan cincang kasar
2 ulas bawang putih cincang halus
2 batang daun bawang hiris halus
1 sudu teh sos ikan
1 sudu teh minyak bijan
1 1/2 teh garam
1/4 sudu teh lada putih serbuk
1 butir telur
50 ml air sejuk
3 sudu besar tepung jagung




Cara:
1. Campur ayam, udang, bawang putih, daun bawang, sos ikan, minyak bijan, garam dan lada putih. Aduk rata.  Masukkan telur dan air sejuk. Gaul.
2. Tambah tepung jagung. Gaul.
3. Ambil selembar kulit, isi dan lipat sisinya. Sembur dengan air di sisinya.
4. Kukus di alas daun pisang yang disapu sedikit minyak lebih kurang 20 minit.



Bundo makan dengan sos cili je.
Sekian.


ibundo

Monday, October 15, 2012

Sambal cincaluk goreng cili hijau

Salam pagi Isnin.
Sejak subuh angin di luar sana bertiup agak kuat. Langit gelap menjanjikan titik-titik hujan akan dicurahkan ke atas muka bumi. Kilat berlegar-legar di kaki langit dan guruh sahut menyahut mengejutkan tidur anak-anak kecil.  Namun sang unggas terus saja mencicip-cicip terbang ke sana ke mari mencari rezki apa yang ada.

Tatap saja hidangan bundo pada pagi ini.




Bahan:
8 biji cili hijau besar
15 biji cili api hijau
1 biji kecil bawang besar bersaiz kecil dipotong kasar
5 sudu besar cincaluk
1/2 biji lemon diambil jusnya

Cara:
1.  Blender kasar cili dan bawang.
2.  Panaskan sedikit minyak dan goreng bahan kisar sehingga masak.
3.  Masukkan cincaluk dan perahan lemon.  Gaul rata sehingga benar-benar masak.
(Kalau suka pedas, boleh tambah cili api)




Sedap dimakan sebagai penambah selera.
Sekian.


ibundo


Sunday, October 14, 2012

Apam bunga

Salam hari ahad. Semuga ceria selalu.

Sudah dua kali buat apam ni.  Resepi berasal dari biras yang ada meniaga apam ni sikit-sikit di ayer molek. Bukan dia yang meniaga sebenarnya pun.  Cuma hantar satu dua adunan ke gerai kawannya yang menjual kue muih.

Kali pertama buat apam ni tak tersengih sikit pun.  Padahal yang dibuat biras ni elok je tersenyum
lebar sampai tiga empat kelopak.  Bundo punya? Alahai.. memang malu nak cakap.  Tapi rasa memang sedap.





Oleh kerana tak puas hati sebab kegagalan kali pertama, bundo cuba lagi sekali.  Bundo tanya Jali, biras bundo itu apasal apam bundo tidak tersengih. Dia tanya sama ada bundo rehatkan adonan tu setengah jam ke tidak.  Bundo cakap bundo terlupa. So, kali kedua tu bundo rehatkan adonan selama setengah jam baru dimasukkan ke dalam cup dan kukus.
Tak menjadi juga. Adalah sebiji dua yang terbelah manja.  Tapi rasa memang maintain sedap.
Lepas gagal kali kedua tu bundo dah malas nak buat. Lama tak buat. 




Semalam bundo ke rumah Jali di Melaka kerana menziarahi adik ipar, suaminya yang baru keluar hospital. Maka cerita pasal apam ini berulang balik. Setelah mendapat petua daripadanya, rasa untuk mencubanya lagi sekali berkobar-kobar.

Pagi tadi bundo hasilkan apam ini.  Elok cantik berkelopak.  Nak petuanya? Baca sampai habis.



Resepi asal : Jali
Hasil air tangan : ibundo
(Kalau ambil resepi ini tolong linkkan semula ke bundo ye. Kesian pada si Jali ni tak dapat kredit nanti.  Dahlah dia takde blog hehe)

3 cawan tepung gandum (ayak)
2 biji telur
1 1/4 cawan gula castor
1 sudu kecil ovelet
1 1/2 cawan aiskrim soda / sprite
1 sudu kecil esen vanila



Cara:
1. Putar telur dan gula sehingga kembang. 
2. Masukkan ovelet dan esen vanila, putar lagi.
3. Masukkan tepung berselang seli dengan aiskrim soda. Kacau rata.
4. Bahagi kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut warna yang disukai.  Rehatkan selama setengah jam.
5. Sementara itu, panaskan kukusan.
6. Sudukan adonan ke dalam mangkuk kertas dan kukus lebih kurang lima minit sehingga masak.




Petua:
1. Air kukusan biar betul-betul mendidih baru masukkan adonan untuk dikukus.
2. Alas petutup periuk kukusan dengan good morning towel supaya air tidak menitis ke atas apam.
3. PALING PENTING jangan masukkan cawan apam terlalu memenuhi kukusan sehinggakan tidak ada ruang untuk apam itu bernapas. Cukup masukkan setakat lima atau enam cawan sahaja supaya ruang untuk wap berputar mencukupi . InsyaAllah akan kembang dengan cantik.

Cubalah.

ibundo

Saturday, October 13, 2012

Peria Sumbat

Peria besar ni kami kat kampung panggil 'kambeh' ataupun 'kambas' bahasa suratnya. Jadi senang nak bezakan dengan peria katak. Bundo kekadang terpikir-pikir juga akan hubungan kambas ini dengan peria katak.

Pernah satu ketika dulu bundo campak biji kambas yang telah masak ke atas tanah di tepi pagar belakang dapur. Alhamdulillah biji itu tumbuh dan pokoknya menjalar subur melilit pagar. Anehnya apabila berbuah pokok itu mengeluarkan peria katak. Pelik kan?



Anak-anak memang tak suka makan. Kalau digulai, kuahnya pun tak mahu dijamah sebab kata mereka pahit.  Memanglah pahit. Emak dulu selalu cakap, ubat mana ada yang sedap. Yang pahit itulah ubat.
Dulu pun bundo tak suka makan. Nak telan pun tak lalu.  Tapi sekarang kalau disuruh ratah buat ulam macam tu saja pun, boleh.



Peria sumbat ini bundo buat untuk diri sendiri dan abah kerana orang lain dah gerenti taknak makan.

Bahan:
1 biji peria besar (kambas)
2 keping ikan tenggiri
10 ekor udang didadu kecil
1 biji bawang besar didadu
1 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu kecil lada putih
1 biji cili merah dicincang halus
1 tangkai daun sup dan daun bawang dihiris halus
1 biji telur putih
garam secukupnya




Cara:
1. Peria dipotong anggaran 4 cm.  Buang biji dan selaput putih di dalamnya dan rendam dengan air garam sebentar.
2. Ikan diambil isinya sahaja. Tumbuk halus bersama bawang besar.
3. Campurkan bahan-bahan lain bersama campuran ikan dan bawang.
4. Panaskan pengukus. Toskan air rendaman peria. Masukkan peria ke dalam loyang kek. Sumbat isi ke dalam peria sehingga padat dan penuh.
5. Kukus sehingga masak



Kalau rajin buatlah sos cili untuk pencicahnya.  Kalau tak rajin, cicah saja dengan cili sos sedia ada dalam botol. Ataupun, makan saja begitu dengan nasi.

Sekian.


ibundo

Friday, October 12, 2012

Ombre Cake

Salam kasih sayang buat semua yang berkunjung. Semuga semuanya sehat sejahtera. Sekarang musim hujan.  Jangan pula main hujan ye.
Petang tadi hujan lebat sungguh.  Bundo di tesco semasa hujan turun dengan lebatnya. Semasa balik terkena jugalah tempias hujan. Teringat dulu masa kecik memang waktu hujan turun ni waktu yang dinanti-nanti. Seronok mandi air hujan.  Terpekik-pekik mak suruh masuk tapi buat dono je. Cuba sekarang kalau anak-anak kita yang main hujan.  Mahu terpekik terlolong juga suruh masuk rumah.



Semasa di Pekan Baru beberapa hari lepas bundo berkesempatan ke toko buku gramedia. Kalau ke kedai buku diorang ni bundo memang asyik masyuk tengok buku resepi mereka yang berbagai-bagai. Kalau boleh nak borong banyak-banyak tapi mengenangkan berat nak bawa balik, bundo beli je lah beberapa.  Antara yang bundo beli adalah majalah 'sedap' edisi indonesia.

Antara resepi menarik yang bundo memang nak cuba semenjak bertentang mata dengan buku ini adalah kek ombre ini. Untuk membuatnya memang leceh macam buat kek rainbow juga dan semestinya memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Kalau nak cuba, bundo letak resepinya di sini dengan bahasanya yang telah bundo olah sedikit.



Sumber: Majalah Sedap Indonesia
Hasil air tangan :  ibundo


Bahan kek:
15 kuning telur
9 putih telur
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu besar ovelet
185 gm tepung protein rendah
30 gm tepung jagung maizena
40 gm susu tepung
3/4 sudu teh baking powder
150 gm mentega tawar, cairkan
75 gm white cooking chocolate, cairkan

Bahan Filling:
200 gm cream cheese
100 gm mentega tawar dingin
50 gm gula castor
175 gm white cooking choccolate, cairkan
125 gm whipping cream

Bahan sapuan:
250 gm butter cream
75 gm butter cream tambahkan 3 titis pewarna ungu.  Aduk rata.
75 gm butter cream tambahkan 7 titis pewarna ungu
75 gm butter cream tambahkan 15 titis pewarna ungu
75 gm butter cream tambahkan 1/8 sudu teh pewarna ungu
Selebihnya biarkan butter cream pada warna asal




Cara buat kek:

1. Kocok kuning telur sampai kental.  Ketepikan.
2. Kocok putih telur dan garam sampai setengah mengembang.  Tambah gula sedikit sedikit sambil dikocok sampai kembang.
3. Masukkan kocokan telur kuning dan ovelet. Kocok hingga mengembang semula.
4. Tambahkan tepung, susu tepung, maizena dan baking powder yang telah diayak bersama. Masukkan sedikit sedikit dan gaul rata.
5. Masukkan mentega cair dan white cooking chocolate cair sedikit-sedikit dan gaul perlahan.
6. Bahagi adunan kepada 5 bahagian.
   Adunan 1 tambah 1/2 sudu makan pewarna ungu
   Adunan 2 tambah 3/4 sudu teh pewarna ungu
   Adunan 3 tambah 1/8 sudu teh pewarna ungu
   Adunan 4 tambah 15 titis pewarna ungu
   Adunan 5 biarkan pada warna asal
7. Tuang adunan ke dalam loyang bulat diameter 20 cm tinggi 3 cm yang disapu majerin dan dialas dengan kertas. Sapu juga kertas dengan majerin.
8. Bakar dengan api bawah pada suhu 190 deg selama 20 minit.






Cara buat filling:

1.  Campur cream cheese dan mentega tawar.  Kocok hingga lembut.  Tambah gula dan white cooking chocolate cair.  Kocok rata. Masukkan krim sedikit sedikit dan kacau rata.





Cara susun kek:

1.  Ambil kek yang bewarna paling gelap. Sapukan filling. Letak kek yang kedua gelap di atasnya.  Lakukan hal yang sama sampai habis mengikut urutan warna yang paling gelap di bahagian bawah.
2.  Tutup keseluruhan kek dengan butter cream putih. Masukkan ke dalam peti sejuk sebentar.
3.  Keluarkan bila cream agak mengeras dan sapu kek dengan buttercream bewarna ungu mengikut urutan paling gelap di sebelah bawah dan paling muda di atas sekali.



Silalah ambil beberapa potong.  Biar cepat habis...




InsyaAllah nanti kalau bundo rajin akan bundo buat resepi yang lain pula dan kongsi di sini.



ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...