Tuesday, June 12, 2012

Mee kari bebola daging

Salam.
Dua tiga hari ni badan bundo rasa tak sedap. Lesu semacam. Terasa macam nak terbaring je atas katil. Nak kata demam, tak demam. Cek blood pressure pun okay je. Tapi tu lah.  Bila badan lesu macam ni buat apa pun tak jadi.  Malas.  Semua malas. Tapi life has to go on.  Dapur kena berasap. Kerja tetap kena pergi kerja walaupun sendiri bos.

Harini dalam lesu-lesu tu sempat juga buat mee untuk makan malam. Kalau ikut hati malas buat nasi goreng je senang.  Tapi hasben ada usrah di rumah ni malam ni. Buatlah sikit untuk makan-makan lagipun tak adalah se renyah mana pun. Buat something simple saja.



Di tempat bundo ni ada kedai daging.  Kedai ni khusus menjual daging tempatan beku dan fresh. Selain tu ada juga segala produk hasil daging ni, termasuklah bebola daging yang besar-besar macam dalam kuah bakso tu. Bila besar dan penuh dengan daging baru terasa puas makan.  Jadi, mee yang bundo masak ni memang mewah dengan bebola daging sesuailah dengan nama yang bundo beri tu.



Bahan: (bundo downsize bahan)
2 bungkus mee
1/2 kilo tulang lembu
400 gm daging lembu
20 biji bebola daging (kalau tak ada, beli saja meatballs yang dijual di pasaraya. Bubuh lebih sebab saiznya kecil)
1 bungkus fish cake
Santan dari 1 biji kelapa
2 biji keledek saiz sederhana
4 sudu besar rempah kari
1 cube stok ayam
beberapa helai daun kari

bahan kisar:
1 inci lengkuas
1 inci hali
3 batang serai
5 biji buah keras
4 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
15 biji cili kering

bahan hias:
tauge dicurah dengan air panas sekejap
sawi dicelur
tahu digoreng kemudian dipotong
cili merah dihiris
telur rebus
bawang goreng
daun sup/bawang dihiris



Cara:
1.Rebus tulang dan daging sehingga lembut.
2.Rebus keledek sehingga empuk dan blender hancur/halus
3.Campurkan bahan kisar dan rempah kari dan gaul rata.
4.Di dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan kisar+kari serta daun kari sehingga wangi. Masukkan ke dalam periuk rebusan daging/tulang.
5.Apabila daging empuk, masukkan santan, bebola daging dan juga keledek yang telah diblender.
6.Bubuh cube stok ayam.
7.Tambah air asam jawa dan garam secukupnya.



Bila nak makan, taburkanlah bahan-bahan hiasan.
Nota: rebus tulang tu pastikan daging lembut sehingga tertanggal dari tulangnya.

Sekian.  Jom!!!

ibundo


Monday, June 11, 2012

Sambal goreng hijau bertempoyak

Salam hari isnin.  Harini cuti sekolah dah habis. Apasallah dua minggu rasa macam dua hari je ye. Memandangkan bundo belum besiap lagi ni, bundo buat a quick n3 je lah. Lagipun korang bukannya nak baca sangat bebelan bundo ni.  Bedesup pegi kat resepi je kan hehe..



bahan:
5 biji cili besar bewarna hijau
8 biji cili api hijau (nak pedas, tambah lagi)
1 biji bawang besar dibelah enam
sedikit serbuk stok ayam
sedikit garam
2 sudu besar tempoyak (lebih pun tak apa)
minyak untuk menumis



Cara:
Rebus cili dan bawang hingga lembut.  Toskan.
Kemudian blender kasar bahan yang direbus tadi.
Panaskan minyak. Goreng bahan kisar sehingga masak.  Kemudian masukkan serbuk stok ayam dan tempoyak. Gaul rata. Bila rasanya dah semua okay, padam api.

Itu saja.  Okay.. jumpa lagi.

ibundo


Sunday, June 10, 2012

Jala Hijau

Assalamualaikum.  Dah lama benar rasanya dapur bundo ni terbiar.  Dua tiga hari ni bundo agak sibuk (siapa yang mengaku tak sibuk kan). Tapi sekurang-kurangnya bundo tak menyibuk haha..

Semalam kami adakan kenduri kecil-kecilan aqiqah cucu bundo yang baru berumur sebulan ni. Jadi dua tiga hari sebelum tu, bundo dan mak sedaranya yang sorang ni beriya-iya menyediakan benda-benda yang nak dimasukkan dalam goodie bag.  Ala.. saja nak bagi gift pada tetamu.  Dalam pada tu cuba promo kek dan coklat oreo pada tetamu.  Mana tahu kok ada yang nak menempah hehe..

Oleh sebab sibuk tu lah bundo tak sempat nak snap gambar dan tak sempat nak update. Terima kasih sajalah pada mereka yang masih setia lalu lalang di tepi dapur ni walaupun tak berasap. Dan maap juga pada rakan-rakan yang tinggal komen tetapi tak berbalas.



Semalam tumbang kambing sekor.
Kambing untuk kekah pun sekarang ni mahal yang amat. Satu ekor kambing siap dengan upah masak dah seribu. Mula-mula nak buat dua ekor tetapi oleh kerana memang nak buat kenduri kecil takut pula tak habis makan. So, buat sekor dulu.  Lagi sekor nak buat kekah di mekah melalui agen umrah dan dagingnya dikendurikan di dewan makan.



Yang sekor ini pun lauknya berbaki sampai ke pagi ni.  Sedap masakan orang ni.  Kata mereka lah.  Sebab bundo tak makan kambing. Kuahnya pun bundo tak jamah. Mengikut kata mereka memang kaw sampai jilat jari.

Sebab kuah masih banyak, daging dan tulang pun masih ada, bundo buatkanlah roti jala sebagai kawannya untuk breakfast pagi ni. Menjala kambing bundo pagi ni haha. Tu yang hijau tu sebab terjala dengan rumput-rumput sekali hahaha..



Tak payah resepilah ya.  Dah ramai sangat orang pandai buat roti jala.  Resepi bundo ni pun resepi campak-campak. Cuma perlu tepung dalam dua cawan, santan pekat dan air pandan, pewarna hijau sikit, telur sebiji dan garam.  Pandai-pandailah adun supaya adunan tak pekat dan tak cair. Nak tau pekat ke cair, kalau pekat nanti dia keluar dari lubang acuan tu tersekat-sekat.  Kalau cair sangat, dia keluar dari lubang acuan macam air.. Kalau masuk dalam kuali leper tu, dia jadi macam lempeng dan tak nampak jaring-jaring tu.  Okay? Pandai-pandai lah agak.

Selamat berhujung minggu.  Besok anak-anak dah masuk sekolah dan mula baliklah episod hantar dan mengambil anak ke/dari sekolah.

Sekian.

ibundo

Wednesday, June 6, 2012

Cake pop

Salam pagi rabu.  Hari ni hari rabu kan? Bila sekolah cuti ni, hari pun dah tak berapa nak ingat haha..
Kat luar sini hujan. Terdengar guruh dan deruan hujan yang turun agak mencurah-curah. Hujan rahmat. Supaya hujan yang turun  menghilangkan sama baki-baki bahang panas semalam.

Petang semalam bundo mengepop. Sama pula dengan si puan ros kita tu ha. Sehati sejiwa pula buat benda yang sama. 
Tapi bundo harini tak ada resipi nak bagi sebab kek yang bundo guna ni adalah kek yang dah tiga empat hari dalam peti ais dan jangka-jangka orang dah tak nak makan lagi dah. Bundo cuma buang deco dan ambil keknya saja.



Sebenarnya nak buat kek pop ni pun sangatlah mudah. Info ni untuk anak-anak yang baru nak jinak-jinak dengan sudu senduk kuali periuk bagai. Apa yang diperlukan adalah:
kek
cream
cooking chocolate
tangkai lolipop kalau ada. Kalau tak ada memadai kertas cupcake yang kecil.
hiasan



Kalau malas nak buat cake, beli saja kek yang dah siap.  Kek biasa yang tak ada cream dan deco.
Kek itu diramas-ramas bagi hancur. Kemudian campurkan dengan sedikit cream (cream hiasan kek tu).  Kalau tak ada cream campurlah dengan jem ke, dengan peanut butter ke, dengan whipping cream ke.  Gunanya supaya bila kita kepal kek tu jadikan bebola, ia tidak berderai.  Agak-agaklah kelembapannya.  Janganlah sampai terlalu banyak cream sampaikan ia jadi lembik.

Kemudian kek yang dah kita hancurkan tu, kita ambil sedikit sedikit jadikan bebola sebesar satu inci atau lebih sikit diameternya. Agak-agak lah.



Bebola ni simpan dalam peti ais beberapa minit.  Sementara tu, cairkan coklat masak.
Bila bebola dah set, keluarkan.  Ambil sebatang tangkai lolipop, celup hujungnya sedikit dalam coklat dan cucukkan bahagian yang dicelup itu ke dalam bebola. Jangan pula cucuk sampai tembus. Agak-agak setengah atau 3/4 bahagian saja.
Buat semua dan masukkan ke dalam peti ais sekejap nak bagi coklat keras.



Keluarkan semula dan celup dalam coklat cair.
Hiaslah ikut selera masing-masing.
Senang je kan? Tapi nak cari masa nak membuatnya tu yang susah. Leceh.



err.. silalah ambil sorang satu.


ibundo


Tuesday, June 5, 2012

Coklat Oreo

Assalamualaikum anak-anak bundo semua. Semuga semuanya berada dalam limpahan rahmat Allah.
Sudah beberapa hari bundo tidak ke dapur kerana berjalan-jalan makan angin ke seberang tambak. Habis satu universal studio bundo dan dua orang anak bundo jelajahi. Jalan-jalan makan angin memang seronok kan? Yang tak seronoknya, sambil makan angin, makan pula nasi briyani segala macamnya. Rasa-rasa macam dah naik dua tiga kilo dah ni.



Coklat oreo ni bundo ambil bulat-bulat dari ita masam manis.  Kali pertama tengok coklat oreo ni di rumah ita, hati bundo telah jatuh cinta. Apa lagi bila tengok cara nak membuatnya cukuplah senang.  Orang kata, buat sambil lelap mata pun boleh.  Tak percaya? Cubalah haha..




Tapi bundo tak berani nak buat sambil lelap mata.  Takut bersememeh.  Dah tu pulak main dengan coklat panas.  Jangan memain.  Ada yang tangan melocot nanti.




You all tak tergoda ke tengok coklat ni. Bundo rasa kan, kalau buat untuk hantaran bertunang atau kahwin pun okay.  Buat untuk gift pun okay jugak. Buat untuk isi perut sendiri lagilah okay.  Letak depan anak-anak, berebut-rebut tak sampai lima menet pun boleh habis. Betul!!!



Errr.. bundo nak bagi pun dah habis ni.  Kalau berkenan, buatlah sendiri ye.  Pergi kat dapur ita masam manis  dan ambil resepi.  Cara-cara macamana nak buat, semua ada ita nyatakan dengan penuh detail sekali. Tak rugi kalau buat.  Yang ruginya kalau tak buat.  Mmmmm... masih terasa kesedapannya ni.





Selamat mencuba ya!!!

ibundo


Thursday, May 31, 2012

Sempoi Olala

Salam pagi khamis. Sudah sarapan? Bundo sarapan nasi lemak pagi ni. Terasa pula beratnya perut bila pagi-pagi dah makan heavy. Tapi mulakan pagi dengan perut yang happy supaya muka terus tersenyum sepanjang-panjang hari haha..

Kali ni bundo sediakan menu sempoi dari dapur terus ke meja. Lepas tu terus cedok masuk pinggan makan dengan nasi ataupun dengan roti.



Bahan:
250 gm daging ayam kisar
2 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
2 biji kentang dipotong dadu besar
1 biji bawang besar dipotong dadu besar juga
1/2 batang carrot didadu
beberapa hiris lobak putih didadu
2 biji cili hijau dihiris kasar
2 sudu kecil cajun
1 sudu kecil serbuk paprika
3 sudu besar cili sos
2 sudu besar tomato puree
1 sudu besar serbuk stok ayam
1/2 tin kidney beans
4 biji telur



Panaskan minyak dalam kuali.  Tumis bawang merah dan bawang putih yang telah ditumbuk. Apabila naik bau, masukkan daging kisar.  Kacau sehingga air daging kering.
Masukkan pula bahan-bahan serbuk dan sos. Kacau.  Masukkan kentang, carrot dan lobak putih. Tambah sedikit air dan masak sehingga empuk.
Sesudah empuk (pastikan tidak berair), masukkan cili dan kidney beans yang telah ditapis airnya. Pastikan anda tidak lupa membubuh garam.
Kemudian masukkan ke dalam bekas tahan panas.
Pecahkan beberapa biji telur dan bakar dalam oven sehingga telur masak.  Boleh juga masak di atas api dapur tetapi bekas mestilah ditutup rapat supaya telur masak cepat dan bahan tidak hangus di sebelah bawah.



Pasti anak-anak suka.  Lebih-lebih lagi kalau ada keju parut yang ditabur di sebelah atas.

Sekian.

ibundo

Wednesday, May 30, 2012

Nasi Tandoori dan Ayam Lemak Tandoori

Cuti sekolah pergi mana? Cuti cuti macam ni kerja-kerja kat dapur sama ada agak slow atau bertambah ligat. Slow sebab memasing sibuk pergi makan angin sampaikan tak ingat nak masak.  Ligat pula sebab yang tak pergi sekolah tu asek menjengah ke dapur atau merungut perut asek lapar. Kejap-kejap buka peti ais.  Kejap-kejap buka tudung periuk sambil gosok-gosok perut dan  memandang siibu dengan pandangan sayu minta simpati..haha..

Semalam birthday anak yang sulung yang masih lagi dalam pantang. Bundo cakap tak payah beli kek sebab nanti mak buatkan sebijik baik punya. Maka jadilah sebijik kek lapis pandan.  Yang teringin sangat nakkan kek lapis pandan ni bukan yang punya birthday tapi bundo yang teragak sangat nak makan. Two in one gitu..



Sebab meraikan birthday orang juga, bundo masaklah nasi spesel sikit.  Cuma masalahnya beras basmati dah habis.  Jadi bundo gantikan dengan beras wangi. Kurang cun lah rupanya tapi rasa tetap mantop sampaikan ada yang makan menambah-nambah.

Bundo tak pernah buat nasi ini sebelum-sebelum ni. Bundo tergerak untuk mencuba bila mata terus menerus landing pada peket pes tandoori yang ada dalam laci. Hati berkata-kata juga nak buat ke tak nak nak buat ke tak nak tapi dalam berkata-kata tu tangan sambar terus dan letakkannya atas kaunter.  Rupanya tak rugi mencuba.  Rasa ada kelainan.

Bahan:
5 pot rice cooker beras wangi/basmati
1 biji bawang besar dibelah dua dan dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
rempah 4 sekawan
3 sudu besar (penuh/bumbung) pes tandoori (bundo beli cap AMAL)
1 cube stok ayam atau 1 sudu besar serbuk stok ayam
1 genggam kismis
3 sudu besar majerin
600ml santan cair
air secukupnya

Panaskan majerin di dalam kuali dan tumis bawang, halia dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau dan kekuningan. Masukkan pes tandoori dan gaul sebati. Apabila sudah sebati, masukkan beras dan goreng sebentar beras bersama bahan tumisan.
Pindahkan beras ke dalam rice cooker.  Tambah santan cair dan air secukupnya untuk menanak beras.
Bubuh stok ayam dan juga sedikit garam. Koyakkan daun pandan dan masukkan bersama beras.
Tabur segenggam kismis apabila air nasi hampir kering.



Makan nasi mestilah berlauk kan..
Bundo buat lauk ayam lemak tandoori.  Jilat-jilat jari makannya tau.


1 ekor ayam
Santan pekat dan 1 cawan santan cair.

Bahan kisar halus:
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
15 biji cili padi
3 batang serai
2 helai pucuk daun kunyit

Bahan campuran:
1 sudu besar cajun
2 sudu besar pes tandoori
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih

4 helai daun limau purut dibuang tulangnya



Cara:
Blender halus bahan kisar (termasuk daun kunyit).  Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul bersama kesemua bahan campuran melainkan daun limau.
Jadikan pes.
Panaskan sedikit minyak.  Tumis pes sehingga wangi.  Masukkan ayam dan daun limau purut.  Biarkan air ayam kering. Tambah secawan santan cair.
Apabila santan agak kering, masukkan santan pekat. Jangan lupa garam dan sekeping asam gelugur.
Masak sehingga kuah pekat.



Kalau tak cuba kita tak tau sedap ke tak, kan...
p/s Tahniah kepada Mas yang telah selamat melahirkan bayi Adam.  Sama birthday dengan anak bundo semalam.

ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...