Thursday, September 8, 2011

sayur lodeh goreng


Salam.  Keluar masuk dapur dah banyak kali tapi entah kenapa mood nak ambil gambar belum mari. Bila tak ada gambar, tak adalah n3 baru. Mana boleh buat cerita masak-masak kalau tak ada gambar kan. Gambar sayur lodeh ni pun diambil masa sedara datang haritu.

Sayur lodeh goreng ni tak berkuah. Yang ni makan dengan nasi. Tapi kalau nak makan dengan nasi impit atau ketupat pun boleh juga. Bundo ratah macam tu saja.

1 batang carrrot dipotong jejari
10 batang kacang panjang dipotong menyerong nipis
beberapa keping kelopak kobis di potong kecil
3 keping tahu kering direndam
1 bungkus suun direndam. kalau suka lebih, bubuh lebih
1 bungkus tempe dipotong kecil, bubuh kunyit dan garam, digoreng
2 keping tahu, dipotong kecil dan digoreng
5 tangkai cili merah, dipotong menyerong
1 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
2 batang serai*
20 ekor udang sederhana besar
1/2 cawan santan pekat
2 sudu besar air asam jawa
garam secukupnya

Blender bahan bertanda*.  Panaskan  minyak dan tumis bahan blender hingga naik bau.  Masukkan udang, kacau sebentar.  Masukkan kacang panjang dan carrot. Masak sehingga 1/2 lembut. Kemudian masukkan santan, air asam jawa dan garam. Masukkan bahan-bahan lain. Gaul hingga sebati dan masak.

Foto tu diambil bawah cahaya yang tak cukup.  Sebab tu warna semacam.

ibundo

Monday, September 5, 2011

Ayam asam pedas versi 2

Selamat hari raya.  Lama betul dapur bundo ni tak berasap. Maknanya lama benar bundo tak masuk ke dapur. Selama hampir tiga minggu ni bundo makan guna dapur orang je hehe.  Alhamdulillah bundo dah selamat sampai semula di rumah Jumaat lepas.

Kelmarin, sedara mara datang dari melaka. Bundo tak banyak tenaga lagi nak masak macam-macam. Jadi, bundo masak nasi dan beberapa jenis lauk je.  Antaranya lauk ayam masak asam pedas pakai rempah kari sikit. Orang melaka ada nama untuk masakan macam ni.  Bundo dah lupa apekenamanya. Ada sikit-sikit bunyi migrain.  Haha.. memang migrain dibuatnya kalau masak tak menjadik.



1 ekor ayam
1/2 inci hirisan lengkuas diketuk
1 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih *
2 batang serai *
1/2 inci halia *

3 senduk besar (senduk lauk) cili kering yang telah diblender.
1 sudu kecil kunyit serbuk
2 sudu besar rempah kari daging
1 batang bunga kantan
air asam jawa secukupnya

Blender bahan yang bertanda *.
Di dalam bekas, campurkan cili kering dengan rempah kari dan serbuk kunyit. Gaul.
Panaskan minyak secukupnya di dalam periuk. Tumis bahan bahan yang diblender dan lengkuas sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili dan goreng sehingga masak.
Masukkan ayam. Gaul sehingga air ayam kering.
Tambah air secukupnya. Masukkan bunga kantan. Bubuh air asam jawa dan garam. Apabila mendidih rasakan pedas, masin dan masam elok imbangannya. Boleh bubuh perasa kalau suka.




Sekian.

ibundo

Thursday, August 18, 2011

Nasi daging carrot

Dalam bulan puasa ni macam-macam resepi nasi keluar. Kat rumah bundo ni selang tiga hari ada je request nasi special.  Mintak2 habis puasa kolesterol tak naik melambung. Tapi bundo bila berbuka, makan nasi ambil syarat je. Anak-anak terutamanya yang lelaki tu yang terlebih-lebih.



Semalam berbuka dengan nasi daging carrot. Masak seperiuk.  Habis seperiuk gak haha.. Tapi periuk bundo ni besar sebab jumlah yang nak makan besar.

Bahan:
1 kilo beras siam wangi
300 gm daging dipotong besar (nak kurangkan guna 200gm pun boleh tapi bundo suka rasa daging lebih)
1 inci halia
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
rempah 4 sekawan
1 bungkus sup bunjut
1 buku stok daging
butter untuk menumis
1 batang carrot dipotong memanjang
sedikit pewarna kuning




Blender bawang dan halia.  Panaskan butter.  Tumis bahan yang diblender dan rempah 4 sekawan. Bila wangi, masukkan daging. Biar air daging kering.  Masukkan air, sup bunjut, garam dan stok daging. Biar empuk dan tambah air kalau perlu. Bila daging empuk, keluarkan dan siat-siat.  Ketepikan. Keluarkan juga sup bunjut dari dalam periuk. Buang.

Bersihkan beras dan tos.  Masukkan air daging secukupnya. Masukkan dua helai daun pandan kalau suka. Apabila nasi separuh masak, masukkan daging dan carrot.

Bila nasi masak, renjiskan pewarna kuning dan kacau perlahan-lahan untuk mendapatkan warna yang cantik dan nasi tidak patah.

Kami makan dengan

 Ayam golek.  Elok je bersujudnya ayam tu.






Telur kismis belimbing buluh. Terjumpa belimbing buluh masa beli ayam.  Sedap weh..

dan coleslaw yang tidak ada dalam gambar.


Bundo mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut idilfitri kepada semua pengunjung dapur bundo. Dapur bundo ini tidak akan berasap selama lebih dua minggu. Semuga anda semua mengambil kesempatan menggunakan 10 ramadhan terakhir sebaik-baiknya. Pillihlah masa yang sesuai untuk membuat kukis.


Sekian dari bundo. Assalamualaikum...


ibundo

Tuesday, August 16, 2011

Bakso

Dulu selalu makan bakso beli di pasar malam. Tapi bila tengok orang yang jual tu ambil mee dan bahan-bahan lain main copot dengan tangan je, bundo jadi geli nak makan.
Bila teragak nak makan bakso, bundo buat sendiri tapi tak jadi sedap macam yang orang kat pasar malam tu buat. Tak ada dia punya umph..
Puas cari resepi bakso yang sedap tapi tak jumpa sehinggalah kawan bundo Tiny bagi resepi bakso yang dia buat.  Yang ni memang sedap dan kena dengan tekak bundo.


Siapa yang tak tahu makan bakso angkat tangan. Dulu bundo tak tahu gak apokobondo bakso ni.  Tapi sejak ada bibik jawa, bukan setakat bakso, cakap jawa pun pandai.

Nak buat bakso ni mesti ada pentol.  Tau tak pentol tu apa?  Orang jawa mesti tau.  Orang negeri semilan belum tentu tau. Orang negeri semilan ni pandai masak lomak cili api je macam bundo ni hikhik..
Pentol tu bebola daging. Kat pasar borong ada jual pentol untuk masak bakso ni.  Tapi janganlah susah-susah pulak pergi pasar borong sebab nak buat bakso.  Boleh je buat sendiri.  Kalau malas dan tak tau buat bebola daging, beli je meatballs yang banyak dijual di giant atau di tesco tu. Kat pasaraya lain pun melambak. Tapi awal-awal bundo bagitau ye.  Rasa meatballs tu tak sama dengan rasa pentol. Pentol lagi sedap.



Sekarang bundo nak letak resepi.  Kalau nak cuba buat, buatlah. Kalau taknak buat, bundo letak gak untuk rujukan anak-anak cucu cicit akan datang.

Bahan:
Mee/mihun
1 kilo tulang rusuk
Pentol  (sukalah banyak mana nak taruk)
2 inci halia
2 inci lengkuas di ketuk
6 biji bawang sederhana besar
4 ulas bawang putih
8 biji sengkuang cina (kalau tak jumpa sengkuang cina janganlah menangis pulak. Ganti je dengan sengkuang biasa 1 biji)
2 bungkus sup bunjut tulang
1 sudu teh lada putih
Rempah 4 sekawan secukupnya
daun sup
daun bawang

bahan sampingan:
kobis dihiris halus
sambal cili api
kicap
sili sos
daun sup dihiris
bawang goreng


-Rebus tulang.  Banyak air boleh agak sendiri.  Masukkan lengkuas yang dititik.
-Blend sengkuang, tuang dalam periuk.
-Masukkan sup bunjut, garam dan sedikit daun sup/bawang
-Blend bawang besar, bawang putih dan halia
-Di kuali lain, panaskan minyak. Tumis rempah 4 sekawan dan bahan-bahan yang diblend tadi
-Masukkan ke dalam air rebusan
-Masukkan lada putih
-Bila daging empuk masukkan pentol
-Siap!!

Bila nak makan, masukkan mee atau mihun ke dalam mangkuk. Letak hirisan kobis, daun sup, bawang goreng, cili sos, kicap dan cili.  Tuangkan sup ke atasnya. Makan panas-panas.  Boleh berpeluh-peluh ni bila makan.


Meatballs yang bundo beli ni tak berapa sedap. Kurang lembut. Dulu kawan bundo si Tiny bagi bundo pentol 2 kilo, kawan dia buat.  Sedap sungguh.  Lembut je. Walau papepun, kami berbuka bakso hari ni dengan berselera terutamanya si adik. Bakso ni permintaan anak bongsu bundo si adik. Berpeluh-peluh dia makan.

ibundo

Sambal Udang

Udang sekarang kemain mahal. Nak beli seciput nanti tak cukup. Usahkan udang, barang basah yang lain pun mencanak naik harga.  Semalam bundo beli sotong, bila time nak bayar cashier cakap 35 hengget. Terperanjat beruklah sekejap. Bila tanya dia kata sekilo 19 hengget.

Ini dah turun dah ni kak, dia cakap.
Semalam 22 ringgit, dia cakap lagi.

Ni belum raya lagi ni.  Tengoklah sok dekat nak raya. Ayam sekilo entah berapa henggetlah tu. Kesian kat kita kan? Kita si pengguna ni. Memang selalu dipergunakan. Bundo teringat time bundo kecik-kecik dulu. Ikan kembung baru 70 sen sekilo hehe..

Tapi kita ni macam tak ada pilihan je kan? Harga naik pun kita beli jugak. Kalau duduk kat kampung bolehlah ternak ayam ke, mancing ikan ke, pungut pucuk ubi ke, pungut pucuk paku ke, pungut kangkung ke dan macam-macam ke lagi.  Kat bandar ni? Kalau ada tanah kat belakang dapur kita tu bolehlah tanam sayur sikit-sikit. Nak bela ayam? Kena belasah dengan jiran baru tau...haha..


Panjang pula bebel bundo pagi ni.
Bundo nak letak resepi sambal udang ni ha.  Anak-anak bundo cukup suka makan sambal udang yang bundo buat ni. Sok sok bila bundo dah tak ada bolehlah refer resepi tu kat sini.  Bukannya susah sangat.  Budak-budak ni mengada-ngada lebih.



1/2 kilo udang
2 senduk gulai cili kering yang telah diblender
2 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia *
2 biji bawang besar dihiris bulat
1 1/2cawan santan daripada perahan 1/2 biji kelapa
air asam jawa secukupnya
1 sudu besar gula
garam secukupnya
sedikit serbuk perasa kalau suka

Blender bahan bertanda *.
Panaskan minyak.  Minyak biar banyak supaya cili masak sempurna.
Tumis bahan blender sampai wangi.  Masukkan cili. Goreng cili biar sampai masak. Kita tahu cili masak bila warnanya berubah ke agak gelap.
Bila masak, masukkan santan. Gaul rata.  Masukkan garam, gula dan perasa.  Bila mendidih, baru masukkan udang dan air asam jawa.  Masukkan pula bawang potong.  Gaul sebentar saja supaya udang tidak terlebih masak.  Bila agak-agak udang dah masak, tutup api.



Sekian.  Senang saja.  Tapi nak makan ada sikit susah sebab memasing terkial-kial mengopek kulit udang.

ibundo


Monday, August 15, 2011

Kari tulang dan daging

Semua orang tahu masak kari.  Kalau tak tahu memang nak kena babab.
Bundo tulis resepi di sini untuk mengingatkan bundo jumlah bahan yang diperlukan kalau bundo nak masak banyak. Tapi satu je bundo nak bagi tahu pada mereka yang belum tahu dan belum pernah mencuba. Lauk kari yang dicampur dengan tulang memang rasanya teramatlah sedap dan mengancam. Jadi, pada sesiapa yang nak masak untuk 40 orang, bolehlah cuba sukatan ini.


2 1/2 kilo tulang rusuk
4 kilo daging
3 kilo santan
250 gm rempah kari babas
120 gm yogurt perisa asli
6 biji bawang besar *
2 buku bawang putih *
1 ketul halia sederhana besar *
segenggam daun kari
rempah 4 sekawan secukupnya
1 kilo kentang dipotong 4
air asam jawa secukupnya
garam
air secukupnya untuk merebus

Blender bahan bertanda *.
Panaskan minyak secukupnya untuk menumis.  Tumis bahan yang diblender, rempah 4 sekawan dan daun kari sehingga wangi. Masukkan rempah babas.  Masukkan yogurt. Tumis sampai masak. Masukkan juga garam.
Masukkan tulang dan daging. Tunggu sehingga air daging kering. Kemudian masukkan air ke paras 1/2 periuk, kecilkan api dan tutup periuk.
Rebus sehingga  daging empuk. Selalunya proses ini memakan masa selama 2 atau 3 jam. Sekiranya daging sudah mula menanggal daripada tulang, maknanya daging telah empuk. (Boleh tambah lagi sedikit air kalau perlu)
Masukkan kentang dan santan. Bila kentang empuk, masukkan air asam jawa.

Siap.


Rasa rempahnya meresap dalam daging.



ibundo

Sunday, August 14, 2011

Nasi Briyani Ibundo

Salam.
Semalam bundo bersilat di dapur menyiapkan hidangan untuk lebih kurang 50 orang yang bundo jemput  berbuka puasa. Mereka semua adalah adik bradik hasben, anak-anak buah, beberapa orang staff yang bujang dan kengkawan anak-anak. Penat tak usah nak cakaplah. Bila usia memanjat hingga dah nak sampai ke pucuk ni, buat apa pun rasa penat. Lebih-lebih lagi kaki ni yang tak tahan berdiri lama-lama. Tapi walau macamana penat pun, sesi mengambil gambar masih diteruskan.  Cuma nasi briyani dah orang ramai balik baru teringat yang bundo terlupa nak ambil fotonya. Jadi, bawah sinar lampu yang romantik dan malas nak naik atas ambil flash, maka terhasillah gambar yang agak romantik jugak.


Bundo masak nasi briyani 4 kilo, guna dua rice cooker. Resepi bundo ni untuk 2 kilo.  Kalau ada sesiapa yang nak mencuba, pandai-pandailah adjust ye.

2kilo beras basmathi
3 biji bawang besar dihiris nipis
6 ulas bawang putih dihiris nipis
rempah 4 sekawan secukupnya
2 inci halia dihiris nipis
1 tin kecil minyak sapi
2 peket rempah briyani segera adabi
600 ml air stok ayam
(Kalau tak ada stok ayam, guna 4 sudu besar serbuk stok ayam knorr dibancuh dengan air)
1 tin susu cair
4 sudu besar tomato puri
2 sudu besar yogurt perisa asli
1 cawan kismis
1 tangkai daun ketumbar diambil dengan akarnya sekali (bukan 1 batang je ye. 1 gugus ketumbar bersama akarnya tu)
air secukupnya



-Panaskan minyak sapi.  Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan rempah empat sekawan sehingga wangi dan garing. Matikan api dan masukkan rempah briyani dan kacau perlahan-lahan sehingga sebati.
-Beras dibasuh dan ditoskan.  Masukkan bahan tumis ke dalam beras.  Masukkan juga air stok ayam, tomato puri, yogurt, susu cair, daun ketumbar, air secukupnya dan garam secukupnya.
- Masak sehingga 3/4 masak dan masukkan kismis. Kalau tak mahu kismis tak payah bubuh pun tak apa.



Makan dengan kari tulang+daging.  Pergh!! Makan tk hengat dunya.


resepi kari ni bundo letak kemudian.

sekian.

ibundo


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...