Thursday, May 31, 2012

Sempoi Olala

Salam pagi khamis. Sudah sarapan? Bundo sarapan nasi lemak pagi ni. Terasa pula beratnya perut bila pagi-pagi dah makan heavy. Tapi mulakan pagi dengan perut yang happy supaya muka terus tersenyum sepanjang-panjang hari haha..

Kali ni bundo sediakan menu sempoi dari dapur terus ke meja. Lepas tu terus cedok masuk pinggan makan dengan nasi ataupun dengan roti.



Bahan:
250 gm daging ayam kisar
2 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
2 biji kentang dipotong dadu besar
1 biji bawang besar dipotong dadu besar juga
1/2 batang carrot didadu
beberapa hiris lobak putih didadu
2 biji cili hijau dihiris kasar
2 sudu kecil cajun
1 sudu kecil serbuk paprika
3 sudu besar cili sos
2 sudu besar tomato puree
1 sudu besar serbuk stok ayam
1/2 tin kidney beans
4 biji telur



Panaskan minyak dalam kuali.  Tumis bawang merah dan bawang putih yang telah ditumbuk. Apabila naik bau, masukkan daging kisar.  Kacau sehingga air daging kering.
Masukkan pula bahan-bahan serbuk dan sos. Kacau.  Masukkan kentang, carrot dan lobak putih. Tambah sedikit air dan masak sehingga empuk.
Sesudah empuk (pastikan tidak berair), masukkan cili dan kidney beans yang telah ditapis airnya. Pastikan anda tidak lupa membubuh garam.
Kemudian masukkan ke dalam bekas tahan panas.
Pecahkan beberapa biji telur dan bakar dalam oven sehingga telur masak.  Boleh juga masak di atas api dapur tetapi bekas mestilah ditutup rapat supaya telur masak cepat dan bahan tidak hangus di sebelah bawah.



Pasti anak-anak suka.  Lebih-lebih lagi kalau ada keju parut yang ditabur di sebelah atas.

Sekian.

ibundo

Wednesday, May 30, 2012

Nasi Tandoori dan Ayam Lemak Tandoori

Cuti sekolah pergi mana? Cuti cuti macam ni kerja-kerja kat dapur sama ada agak slow atau bertambah ligat. Slow sebab memasing sibuk pergi makan angin sampaikan tak ingat nak masak.  Ligat pula sebab yang tak pergi sekolah tu asek menjengah ke dapur atau merungut perut asek lapar. Kejap-kejap buka peti ais.  Kejap-kejap buka tudung periuk sambil gosok-gosok perut dan  memandang siibu dengan pandangan sayu minta simpati..haha..

Semalam birthday anak yang sulung yang masih lagi dalam pantang. Bundo cakap tak payah beli kek sebab nanti mak buatkan sebijik baik punya. Maka jadilah sebijik kek lapis pandan.  Yang teringin sangat nakkan kek lapis pandan ni bukan yang punya birthday tapi bundo yang teragak sangat nak makan. Two in one gitu..



Sebab meraikan birthday orang juga, bundo masaklah nasi spesel sikit.  Cuma masalahnya beras basmati dah habis.  Jadi bundo gantikan dengan beras wangi. Kurang cun lah rupanya tapi rasa tetap mantop sampaikan ada yang makan menambah-nambah.

Bundo tak pernah buat nasi ini sebelum-sebelum ni. Bundo tergerak untuk mencuba bila mata terus menerus landing pada peket pes tandoori yang ada dalam laci. Hati berkata-kata juga nak buat ke tak nak nak buat ke tak nak tapi dalam berkata-kata tu tangan sambar terus dan letakkannya atas kaunter.  Rupanya tak rugi mencuba.  Rasa ada kelainan.

Bahan:
5 pot rice cooker beras wangi/basmati
1 biji bawang besar dibelah dua dan dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
rempah 4 sekawan
3 sudu besar (penuh/bumbung) pes tandoori (bundo beli cap AMAL)
1 cube stok ayam atau 1 sudu besar serbuk stok ayam
1 genggam kismis
3 sudu besar majerin
600ml santan cair
air secukupnya

Panaskan majerin di dalam kuali dan tumis bawang, halia dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau dan kekuningan. Masukkan pes tandoori dan gaul sebati. Apabila sudah sebati, masukkan beras dan goreng sebentar beras bersama bahan tumisan.
Pindahkan beras ke dalam rice cooker.  Tambah santan cair dan air secukupnya untuk menanak beras.
Bubuh stok ayam dan juga sedikit garam. Koyakkan daun pandan dan masukkan bersama beras.
Tabur segenggam kismis apabila air nasi hampir kering.



Makan nasi mestilah berlauk kan..
Bundo buat lauk ayam lemak tandoori.  Jilat-jilat jari makannya tau.


1 ekor ayam
Santan pekat dan 1 cawan santan cair.

Bahan kisar halus:
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
15 biji cili padi
3 batang serai
2 helai pucuk daun kunyit

Bahan campuran:
1 sudu besar cajun
2 sudu besar pes tandoori
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih

4 helai daun limau purut dibuang tulangnya



Cara:
Blender halus bahan kisar (termasuk daun kunyit).  Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul bersama kesemua bahan campuran melainkan daun limau.
Jadikan pes.
Panaskan sedikit minyak.  Tumis pes sehingga wangi.  Masukkan ayam dan daun limau purut.  Biarkan air ayam kering. Tambah secawan santan cair.
Apabila santan agak kering, masukkan santan pekat. Jangan lupa garam dan sekeping asam gelugur.
Masak sehingga kuah pekat.



Kalau tak cuba kita tak tau sedap ke tak, kan...
p/s Tahniah kepada Mas yang telah selamat melahirkan bayi Adam.  Sama birthday dengan anak bundo semalam.

ibundo

Monday, May 28, 2012

Bebola Daging Telur Puyuh

Salam hari isnin.  Memandangkan bundo dah beberapa hari tak masak, bundo hidangkan je lah lauk minggu lepas. Tak payahlah nak mintak seketul sebab dah habis haha.. memang dasar kedekut.

Sebenarnya bundo jalan-jalan makan angin sampai kembung hingga tak ingat nak balik rumah sejak hari sabtu. Petang-petang kang baru nak balik.  Rindu dah rasanya nak berlari-lari anak dalam dapur. Berkungfu dengan periuk kuali sudip bagai. Apalah agaknya sibibik masak dua tiga hari ni.  Pandai-pandai kau lah bik.



Selalunya kalau bundo beli telur puyuh, bundo buat sambal je. Dah gerenti laku.  Tapi haritu bundo mimpi apa ntah teragak pula nak main balut-balut dengan daging cincang. Sebab beberapa kali tengok dalam buku resepi dan dalam majallah. Nampak glemer je telur puyuh tu bila berposing terbelah. Terguda tau.. Tapi tercabar keimanan jugalah bila bundo goreng dia merekah.  Daging mengecut dan menampakkan telur yang di dalam tu.

Rupanya cara untuk menjadikan proses penggorengan berjaya ialah, pastikanlah anda balut tebal-tebal dengan daging. Kalau balut asal balut je, alamatkan menangislah korang.



Bahan:
20 biji telur puyuh direbus dan buanglah kulitnya

400 gm daging cincang ramli.
1/2 biji bawang besar
1 sudu kecil lada hitam
1 biji telur
sedikit serbuk stok ayam/daging
sedikit garam
1 sudu besar tepung gandum
1 tangkai daun sup dicincang halus halus.

Campurkan kesemua bahan di atas. Ambil sekepal daging dan leperkan di tapak tangan.  Masukkan telur di dalamnya dan bungkus kemas. Pastikan daging yang membaluti telur tidak terlalu nipis. Nanti bila digoreng habis terbukak, menangis tak berlagu pula nanti.
Buat seperti itu sehingga habis.
Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.



Untuk kuah:
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar dipotong bulat
2 biji cili hijau/merah
2 biji ubi kentang dipotong wedges
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar tepung jagung dibancuh sedikit air

Goreng ubi kentang.  Ketepikan.
Tumis bawang merah dan bawang putih. Masukkan sos-sos.  Tambah sedikit air dan masukkan tepung jagung.
Masak hingga pekat.
Sebelum dipadamkan api, masukkan bawang besar, cili, kentang dan bebola telur puyuh.

Selamat menjamu selera.


ibundo

Friday, May 25, 2012

Puding Mangga Sos Srawberry

Salam jumaat.  Dah hari jumaat kan? Kejap je masa berlalu.
Minggu depan dah cuti sekolah. Mungkin anda telah membuat perancangan untuk berlibur bersama anak-anak. Ataupun duduk-duduk saja di rumah sambil mempertingkatkan aktiviti masa memasak.



Apa yang nak dipot pet pot petkan harini? Terpaksa dikurangkan sebab masa sungguh-sungguh tidak mengizinkan. Dari pagi sampai ke petang dan sampai ke hujung minggu, ada-ada saja yang nak dilakukan.
So, layan je lah puding ni ya..



Bahan:
500 gm mangga , blender.
400 ml jus mangga
3 sudu kecil serbuk agar-agar
100 ml whipped cream

sos:
200 gm buah strawberi 
1/2 cawan air
80 gm gula
1 sudu teh tepung jagung dilarutkan dengan sedikit air



Cara:
Campurkan mangga yang telah dihaluskan, jus mangga dan agar-agar ke dalam periuk.  Masak sehingga larut.
Di dalam bekas lain, pukul whipped cream sehingga kembang.
Apabila adunan mangga sudah hilang wap panasnya, massukkan whipped cream. Gaul rata.
Tuang ke dalam mold.

Sos:
Strawberry diblender halus bersama air.
Masukkan ke dalam periuk dan rebus bersama gula dan air tepung jagung.  Masak sehingga pekat.



Sekian.  Silalah ambil sepotong.


ibundo

Wednesday, May 23, 2012

Tulang Lembu Lemak Cili Api

Siapa boleh bagi petua macamana nak bagi pokok cili api berbuah lebat? Bundo tanam pokok cili api belakang rumah hidupnya macam nak tak nak. Dahlah buahnya cekeding, belum sempat nak pungut hasil banyak-banyak dah mati.

Dulu bundo ada bibik dari semarang.  Dia ni kalau tanam apa-apa mesti menjadi punya. Kalau tanam cili api, buahnya sampai tak termakan-makan dek banyaknya. Pokok pun elok rimbun. Bundo yang tanam? Cekeding. Taruk baja pun tak menjadi juga. Apehal ya? Tangan bundo ni panas kot.



Dulu, tersangat lama dulu, bundo ada bibik dari sumatra. Dia ni pelik sikit. Bundo lagilah pelik sebab tengok dia makan nasi berlaukkan cili api. Nasi putih sesaja.  Takde kuah.  Tak ada lauk. Sambil suap nasi, sambil gigit cili api. Bundo tengok selamba je dia makan.

Mungkin orang indon ni memang suka gigit-gigit cili api.  Bundo cakap macam tu sebab kalau diorang hidang cekodok ke, karipap ke, mesti letak cili api di sebelahnya. Mulanya memang heran sebab kita kat sini mana ada letak cili bulat-bulat macam tu dengan kue. Tapi kan, bila bundo cuba.. makan karipap segigit. lepas tu gigit hujung cili api.. hehe.. sedappp.  Bagi orang yang tahan pedas sedaplah. Bagi yang tak tahan, jangan kau buat kerja.  Mahu berasap-asap keluar tang hidung dan telinga tu.



Tulang lembu ni pulak, orang selalu buat sup je kan? Selain tu bundo buat masak kari.  Bundo buat masak lemak cili api. Rasanya sedap sebab ada rasa lemak-lemak gitu.  Tapi tak boleh diamalkan selalu makan tulang lembu ni.  Kolesterolnya..hmm tahu-tahu sajalah. Buat sesekali saja ye anak-anak ye.

Cuba perhatikan sup tulang ni kalau sejuk pasti lemaknya melekat di sudu, di pinggan, di senduk, di periuk.  Ha.. macam tu jugalah rupanya dia melekat kat dalam badan kita ni. Takut?



Jom tengok cara bundo masak lemak tulang lembu ni:

2 kilo tulang yang berdaging (kalau sekilo je nanti kita makan tulang je, daging tak ada)
Santan dari sebiji kelapa
15 biji cili api *
1 inci kunyit hidup*
5 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 inci lengkuas diketuk
1 inci halia diketuk
3 batang serai diketuk
1 cube stok daging
beberapa helai daun limau purut dibuang tulangnya
3 biji ubi kentang dibelah 4
1 keping asam gelugur

Cara:
Asingkan santan pekat dan santan cair.
Bahan yang bertanda* ditumbuk lumat atau diblender.
Masukkan tulang ke dalam periuk dan bubuh bahan kisar. Tambah air sehingga paras tulang.  Bubuh garam,  dan rebus. Tulang mestilah diebus sehingga benar-benar empuk. Apabila air berkurangan, masukkan santan cair.  Masukkan juga halia, lengkuas dan serai yang diketuk.
Apabila daging empuk (sekiranya belum empuk, boleh tambah sedikit air lagi), masukkan santan pekat.  Juga kentang, cube stok daging dan daun limau purut.
Bubuh asam keping apabila kentang empuk.
Angkat apabila kuah pekat.



Kadang-kadang bundo kurangkan tulang dan bundo tambah dengan daging. Misalnya 1 kilo tulang dan 1/2 kilo daging. Bagi yang belum tahu, janganlah terperanjat kenapa bundo selalu masak banyak.  Famili bundo besar. Masak banyak ni pun, sekali ngap saja habis.

Sekian.


Ibundo

Tuesday, May 22, 2012

Nasi kurma dan ayam kurkar

Nasi sempoi sebab simpel yang teramat sangat tetapi yang makan tambah sampai dua tiga kali. Bezanya, cuma bundo gunakan sup nasi ayam yang terlebih bajet dan dibekukan dalam freezer.  Memang bundo dah niat nak buat nasi gunakan sup nasi ayam tu sebab tu bila bibik suggest nak gunakan untuk buat mihun sup, bundo kata jangan. So, moral of the story, kalau tak ada sup nasi ayam yang berbelen, tak payahlah buat nasi ni.  Nanti tak jadi haha..



Apa-apa pun untuk peringatan diri sendiri dan juga anak-anak kalau teringin nak makan makanan hasil air tangan sendiri, bundo letaklah sini macamana nak membuatnya.

1 labu bawang putih dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 inci halia dihiris nipis
2 sudu besar rempah kurma
rempah 4 sekawan secukupnya
sup nasi ayam secukupnya untuk menanak beras
2 sudu besar mentega

Panaskan mentega.  Tumis bawang dan rempah empat sekawan sehingga wangi dan perang. Masukkan rempah kurma yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tumis hingga masak.
Tuang ke dalam periuk nasi yang telah berisi beras basmati. Tambah air sup secukupnya.
Bundo tidak bubuh garam sebab sup sudah cukup terasa garamnya.



Mana pula datangnya ayam kurkar?
Nasi ni bundo buatkan lauk ayam.  Ayam kurkar. Pelik? Kurkar tu maknanya kurma kari haha..

Mari kita lihat bahannya pulak.
2 ekor ayam kampung (ayam kampung kecik sebab tu masak 2 ekor)
santan dari 1 biji kelapa
3 biji kentang dipotong 4 setiap satu
5 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar rempah kari
3 sudu besar pes tomato puri
2 sudu besar pes cili giling (cili kering)
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih
1 inci  halia dihiris mancis
2 batang serai dititik

Masukkan rempah kurma, kari, pes tomato dan cili ke dalam mangkuk.  Tambah sedikit air dan jadikan pes.
Panaskan minyak.  Tumis bawang merah, putih dan halia sehingga wanngi.  Masukkan pes rempah dan serai titik.  Tumis sehingga masak dan berbau wangi.
Masukkan ayam dan masak sehingga air ayam kering.
Tambah santan.  Apabila ayam setengah masak, masukkan kentang.
Masaklah sehingga ayam empuk dan kuah pekat.  Jangan lupakan garam. Tak payah bubuh asam sebab tomato puri memang dah ada rasa masam.



Apa rasanya ayam kurkar ni?
Hasben kata ada rasa lain.  Memanglah lain sebab rempah kurma dah dikasi kawin sama itu rempah kari hehe.. Bermadu pulak dengan tomato puree.  Adei.. ada-ada je bundo ni kan?  Janji apa yang dimasak tu habis dimakan.



Sekian.



ibundo

Monday, May 21, 2012

Mee Udon Lemak Tomyam

Salam pagi Isnin. Monday blues? Kalau hari isnin liat je nak pergi keje ye.  Kalau jumaat, berdesup..
Menu simpel je hari ni sebab bundo pun nak bedesup pergi keje.  Nasib baiklah keje sendiri dan bos sendiri.

Hari khamis lepas bundo makan laksa lemak di alamanda. Meenya mee kering yang telah dilembutkan. Kuahnya lemak-lemak.  Rasa tak adalah sedap sangat tapi boleh tahan. Berdasarkan mee tomyam yang bundo makan, bundo reka sendiri kuah untuk mee udon yang telah lama tersimpan dalam peti ais. Bahan pun apa yang ada je.




Bahan:
2 bungkus mee udon
2 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
4 sudu besar (jangan diratakan) pes tomyam
10 ekor udang
2 ekor sotong dipotong gegelang
beberapa kelopak sawi
beberapa kelopak kubis panjang
1 batang celery dipotong-potong
1000 ml air
1000 ml santan daripada 1/2 biji kelapa



Cara:
Tumbuk lumat bawang putih dan bawang merah.  Panaskan sedikit minyak dan tumis.
Masukkan pes tomyam. Tumis sekejap.  Masukkan udang dan sotong.
Masukkan air dan santan.
Apabila kuah masak, masukkan sayur-sayur dan mee udon.  Kacau sebentar dan padamkan api.
Siap. Kalau suka super pedas, titikkanlah cili api sebanyak mana yang mahu.



Perkenalkan Maryam, cucu bundo.


ibundo

Sunday, May 20, 2012

Bebola Tempe Masam Manis

Suka makan tempe tetapi muak dengan cara memasaknya?
Memanglah macam tu kan. Setiap kali makan tempe tetapi tetap dengan cara yang sama, pasti muak.  Sesekali mahu juga kelainan.



Bundo cuba mempelbagaikan cara memasaknya.  Bebola tempe ini adalah salah satu. Mungkin kalau masa mengizinkan, bundo tunjukkan cara lain yang pernah bundo cuba.  Cuma dulu semasa membuatnya tidak pula teringat nak ambil gambar.  Nanti nantilah ...



Untuk resepi kali ini, lihatlah bahan-bahannya:
Untuk bebola
angaran 24 biji

1 bungkus tempe (tempe yang dalam plastik tu)
75 gm daging cincang
1 keping tahu
1 keping roti dibuang tepi dan di rendam dalam sedikit air
1 biji bawang besar yang bersaiz kecil (kalau saiz besar, letak 1/2 biji sahaja)
1 tangkai daun sadri dicincang halus
4 sudu besar tepung
1 biji telur
1 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
secubit garam




Cara membuat bebola:

1. Daging cincang dilembutkan kalau frozen.  Ketepikan.
2. Tempe dihiris halus.
3. Bawang dicincang halus.
4. Tahu diramas.
5. Masukkan tempe, tahu, bawang, telur, roti dan sedikit air ke dalam blender.  Kisar halus.
6. Gaulkan bahan blender bersama daging.  Gaul rata.
7. Tambah daun sadri yang dicincang halus, serbuk lada sulah, serbuk pati ayam, garam dan tepung.  Gaul sebati. Adunan mestilah seperti kita membuat cekodok pisang.  Sekiranya cair sebab terlebih letak air semasa blender, tambah sedikit tepung.
8.  Panaskan minyak dan sudukan adunan ke dalam minyak seperti membuat cekodok.  Kalau nak cantik bulat, copot je dengan tangan. Goreng sehingga kekuningan. Angkat dan tos.




Bahan kuah:

3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris nipis
sedikit halia muda dihiris mancis
1 labu bawang besar dipotong bulat
Carrot
Tomato
1-2 batang cilli merah dihiris
1 batang celery dipotong-potong
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos plum
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
air secukupnya



Cara:
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang. Masukkan semua sos dan tambah air.
Bubuh carrot dulu sebab dia lambat empuk. Apabila hampir empuk, masukkan tepung jagung.
Kemudian masukkan bahan lain termasuk bebola.




Selamat mencuba dan selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang.

ibundo


Friday, May 18, 2012

Ikan dan Peria Goreng Lada Hitam

Peria yang besar ni orang negeri semilan kata 'kambeh' atau cakap sekolahnya 'kambas'. Tak tahulah sama ada perkataan ini ada dalam vokabulari anda. Bundo rasa memang patut ada dua perkataan untuk membezakan peria yang besar ini dengan peria yang kecil tanpa perlu kita menyebut "katak" haha.

Pernah dulu, err.. tahun lepas kot, bundo beli kambas dan bila bundo belah bundo dapati yang bijinya sudah kemerah-merahan tandanya dah masaklah tu. Jadi, bundo semai bijinya.  Tumbuh.  Ajaib betul.  Yang ajaib bukan sebab dia tumbuh.  Ajaib sebab bila pokok kambas yang bundo tanam tu dah besar dan mengeluarkan buah, ia berbuahkan peria katak. Ajaib kan?

Banyak pula buahnya. Budak-budak rumah ni tak suka makan sebab tak tahan rasa pahit.  Diorang kata 'apalah mak ni sayur pahit macam ni pun mak kata sedap?'. Soalan yang serupa juga pernah bundo tujukan kepada emak bundo semasa bundo kecik remaja dulu. Moralnya: memanglah bebudak tak pandai nak menikmati rasa lazat peria atau kambas. Kan gitu?



Selain daripada membuat lauk atau ulam, peria katak ni bundo buat jus jugak.  Bundo masukkan dua biji peria katak dan sebiji epal hijau ke dalam fruit juicer dan extract juicenya. Dapatlah anggaran setengah cawan. Bundo minum sambil lelap-lelap mata dan anak  bundo yang melihat, tetap kehairanan.
Sedap ke mak?
Sedap.
Dan dia cucuk jari telunjuk ke tepi cawan dan  menjilat jarinya.
Bluekkk!!.. mana ada sedap.

Jadi, bila mereka bertanya kenapa bundo suka makan peria dan kambas yang pahit itu, bundo cakap , akan tiba juga satu hari nanti dimana yang rasa pahit itulah nikmat.
Ubat pun pahit kan?
Ubat pun tak sedap kan?
Mana ada ubat sedap.

Di sini bundo turunkan satu resepi mudah dan memang sedap.  Baru buat dua hari lepas. Elok juga untuk makanan orang lepas bersalin.



Bahan:
3 keping ikan tenggiri
1/2 biji peria
2 labu bawang besar bersaiz kecil *
2 ulas bawang putih*
1-2 sudu besar lada hitam*
1 biji buah keras*
1 batang serai*
2 biji cili merah*

1 sudu besar cuka
1 sudu teh serbuk stok ayam

Cara:
Ikan tenggiri dilumur garam dan kunyit dan digoreng.
Peria dibelah dua dan dihiris tidak terlalu nipis dan tidak tebal.
Blender bahan-bahan bertanda * sehingga halus.
Panaskan minyak anggaran 2-3 sudu besar.  Tumis bahan yang telah diblender sehingga masak dan naik bau. Masukkan peria dan serbuk stok ayam.  Masukkan juga garam secukupnya.  Apabila peria sudah lembut, masukkan cuka.  Gaul sebati dan masukkan pula ikan tenggiri.



Makan dengan nasi panas.  Gaul bumbunya dan peria bersama nasi.  Kemudian cubit-cubit ikan tenggiri. Waduhh.. mertua lalu di belakang mesti kita tak perasan.

ibundo


Kaswi Pandan Lemak

Salam pagi Jumaat.  Dah jumaat dah harini.  Cepat betul masa berlalu kan?
Dalam sedar tak sedar, rambut dulu hitam dah tumbuh uban.  Uban yang dulu sikit sekarang dah hampir penuh satu kepala. Anak yang dulu kecik dah besar panjang.
Kalau dulu bila bertembung kawan-kawan mereka akan bertanya: anak dah berapa orang.
Sekarang kalau bertembung kawan-kawan mereka akan bertanya: cucu dah berapa orang.

Begitulah cepatnya masa meninggalkan kita. Harapan kita cuma, setiap detik yang kita tinggalkan itu adalah detik-detik yang tidak tersia-sia. Dan masa datang yang akan kita tempuhi dipenuhi dengan bekalan-bekalan yang akan kita bawa di dunia sebelah sana.




Memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga adalah satu amal. Kita orang perempuan kalau betul caranya memang senang memungut pahala. Masak dan menyediakan makanan untuk suami dan anak-anak pahalanya sebesar membuat umrah.  Orang bijak agama sering berkata, orang perempuan kalau mahukan pahala umrah tidak payah ke mekah sudah boleh mendapatkannya. Masaklah untuk suami dan anak-anak seikhlas-ikhlasnya. Pasti Allah akan memberi ganjaran yang besar.




Janganlah pula merungut-rungut mengatakan penat atau sebagainya. Kerja apa pun tidak ada yang mudah. Dan semasa menyediakan makanan, kita mempunyai banyak masa untuk berzikir. Tangan berkerja dan hati kita mengingati kebesaranNya.  Berzikir dan berselawatlah ketika masak.  Janganlah biarkan hati dan kepala memikirkan perkara-perkara yang menjurus kepada dosa. Mungkin riak dan takbur. Mungkin hati mengata dan mengumpat si polan.  Mungkin hati dikuasai rasa iri hati pada orang yang lebih daripada kita. Elakkanlah.




Janji Allah itu adalah benar.  Janji kita ini yang selalu kita mungkiri.
Semuga hari ini, hari Jumaat ini, membawa segala keberkatan untuk kita.  Semuga hari-hari yang akan datang juga akan kita penuhi dengan perkara yang membawa menafaat pada diri kita dan keluarga.



Bundo mengucapkan terima kasih pada Mas dan secara tidak langsung kepada kak besah kerana telah memberi satu resepi yang tersangat enak ini. Bukan sahaja membuatnya adalah mudah sesangat tetapi rasanya amatlah sedap.

Bundo ambil resepi dari dapur Mas.


Bahan :
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi kayu 
1 cawan santan
1 1/2 cawan air perahan daun pandan - 3 helai - Mas guna 2 cawan air untuk dapatkan kaswi yang goyang2 inul...
3/4 cawan gula pasir
1/2 sudu teh AIR kapur sireh
1/2 sudu teh garam
1 biji telur  - x kira saiz
beberapa titik pewarna hijau.
1 sudu teh pandan paste - Bundo tambah

secawan kelapa parut (putih sj) + secubit garam.
 
 
Cara membuatnya :
Kacau sebati tepung gandum dan tepung ubi kayu dan gula bersama air pandan dan telur. 
Pastu campurkan kesemua bahan2 yang lain. Kacau hingga tidak bergentel. Tapis lah adunan ni
Seterusnye, masukkan adunan ke dalam loyang yang telah disapu sedikit minyak, jgn lah tebal sangat, dalam 3 cm cukup. 
Pastu kukus lah hingga masak.. dalam 20 - 25 minit. (oleh kerana penyediaan x ambil masa lama, eloklah panaskn pengukus sebelum mengadun adunan.)
Bila kaswi dah sejuk, boleh la dipotong dan digolekkan dlm kelapa parut yang telah dicampur dengan secubit garam.





Kepada sesiapa yang belum mencubanya, cubalah.  Mudah dan sedap.

ibundo


Thursday, May 17, 2012

Sup Wanton Sayur-sayuran

Salam hari kamis.  Kepada yang berpuasa sunat diucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan sempurnanya.

Hari ini kita nak mengesup. Sup 'wanton'.  Sebut 'wanton' itu dengan sedikit sengau dan bunyi 't'nya di orang-putihkan..haha.. Atau kalau nak senang, ikut sajalah lidah melayu.. wantan.

Sup ni enak dihirup-hirup dan diratah-ratah begitu saja. Bagus juga untuk dibuat lauk bagi orang yang berpantang. Bukan pantang nampak ya.. Bukan juga pantang jumpa.  Tapi pantang orang lepas melahirkan. Banyakkan lobak putihnya untuk menambahkan air susu. Begitulah kata bidan terjun yang baru terima cucu dua minggu lalu ni.



Untuk buat sup ini, benda pertama yang perlu dibuat ialah pergi beli kulit wantan kerana tapa kulit wantan maka tidaklah juadah ini menjadi seperti namanya. Kan gitu!!!
Maka perlu juga diisytiharkan bahawa kulit popia tidak boleh digunakan ya anak-anak bundo sekelian.



Maka bahan-bahannya adalah seperti berikut:

Untuk wantan
1 bungkus kulit wantan
2 keping ikan tenggiri saiz besar
1/2 labu bawang besar ditumbuk halus
1 biji bawang putih ditumbuk halus
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1/4 sudu kecil garam
sedikit carrot dihiris nipis dan dicincang halus
sedikit daun sup/saderi dicincang halus
1 sudu besar tepung gandum

Caranya:
Ikan diambil dagingnya sahaja dan ditumbuk halus. Ramas-ramas dengan tangan sampai hancur pun okay juga.
Ambil sekeping kulit wantan, letak satu sudu inti di tengah-tengah dan bungkuslah mengikut citarasa anda. Rekatkan tepi kulit dengan air supaya tidak terbuka.  Buat sampai inti habis.
Susun di dalam pengukus yang telah dipanaskan.  Kukus sekejap saja. Apabila nampak inti sudah mengeras, angkat. Lebih kurang 5 minit.
(nota:  bundo kukus dulu supaya segala isi tidak bertaburan sekiranya dimasukkan terus ke dalam sup)



Bahan sup:
(bundo tidak bubuh bahan rempah yang terlalu berat supaya rasa rempahnya sederhana saja)
1 sudu besar rempah sup
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk lada sulah
sayuran seperti:
carrot
lobak putih
kubis panjang
brocolli
etc etc ikut lah apa yang ada dalam peti ais tu.
stok ayam secukupnya (kalau tak ada, gunakan air yang ditambah dengan satu ketul stok ayam)



Tumbuk bawang putih dan bawang merah.  Campurkan dengan rempah sup yang telah digaul dengan sedikit air.
Panaskan minyak di dalam periuk.  Kalau boleh, gunakan extra virgin olive oil.  Kalau tak ada, pakailah minyak apa-apa pun. Bila berbau wangi, masukkan air stok ayam.  Biarkan mendidih.
Kemudian masukkan sayur-sayuran dan wantan. Rebus sebentar saja.  Padamkan api semasa sayur masih lagi rangup kerana proses masak masih berterusan walaupun kita dah padam api.



Sekian.  Mehlah sini bawa mangkuk.  Mangkuk kecit je tau...


ibundo


Wednesday, May 16, 2012

Molen Baby Octopus

Kenapa octopus.  Sebab ada janggut-janggut menyerupai octopus.  Baby, sebab saiznya yang kecil dan boleh dimasukkan ke dalam mulut dengan dua kali gigit sahaja. Bagi yang bermulut besar, boleh ngap terus sekor-sekor.



Selalunya orang buat pisang molen.  Resepi ini popular di indon. Semasa bundo ke jogja baru-baru ini, bundo terjumpa satu resepi (resepi baby octopus ni lah) yang begitu menggoda dan terus menggoda bundo untuk membuatnya.
Dan semasa makan nasi goreng di restoren hotel, di tepi pinggan diletakkan sosej yang telah dibelah-belah dan mengembang apabila digoreng. Cantik.



 Bahan:
15 batang sosej
minyak untuk menggoreng tenggelam

utuk kulit: (bahan untuk satu adunan. Sila bahagi 2 )
100 gm majerin
1 butir telur
40 gm gula castor
300 gm tepung HP
2 sudu makan tepung jagung
1 sudu teh serbuk stok ayam
secubit garam
50 ml air ais



 Cara membuatnya:
1. Adunan kulit: pukul majerin, telur dan gula sehingga sebati.
2..Tambahkan tepung HP, tepung jagung, serbuk stok ayam dan garam. Gaul dengan hujung jari sehingga ia menjadi seperti serbuk roti. Tuang air ais dan gaul rata. Uli sebentar perlahan-lahan.
3. Menggunakan penggiling mee, nipiskan adunan dari ketebalan yang besar sehingga yang paling nipis. Potong adunan yang telah siap dinipiskan dengan ukuran panjang 20cm dan lebar 1 cm.
4. Sosej : Potong sosej kepada dua bahagian. Belah setengah bahagian hujungnya dengan empat belahan.



5. Penyelesaian:  Ambil sepotong sosej, lilit bahagian yang tidak dibelah dengan adunan molen sehingga setengah bahagian. Rekat hujungnya dengan air.
6. Goreng dalam minyak yang telah dipanaskan dengan api sedang sehingga kekuningan. Angkat dan toskan.
7. Bolehlah dimakan dengan sos cili buat minum petang atau untuk parti anak-anak ataupun boleh saja dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi.

Enak deh!. Yang penting, cantik...



Sekian rancangan masak-masak kita untuk hari ini.  Selamat mencuba.


ibundo

Tuesday, May 15, 2012

Ayam Udang Gulung

Bundo sampai di rumah petang tadi dah nak masuk waktu asar. Oleh sebab bundo dah sembahyang jama' bundo terus naik atas rehat-rehatkan badan.  Lagipun bundo tengok bibik dah ada benda yang nak dimasaknya untuk makan malam. Dapatlah bundo rehat sekejap.

Tapi orang perempuan ni (bundo lah tu) kalau ada kat rumah, otak tu ligat je pikir nak masak apa walaupun dah ada orang yang masak. Lama-lama bundo turun juga ke bawah nak merealisasikan apa yang bundo dah rancang nak buat. Lagipun bundo malas nak makan nasi.  Bundo tak makan ratah-ratah je.

Maka bundo keluarkan ayam dan udang dan juga bahan-bahan lain.



Masakan ni bundo namakan ayam udang gulung sebab bahan utamanya ayam dan udang dan digulung pula.
Masa bundo mula buat intinya, bibik dah hampir siap masak.  Bila bundo menggulung, abah bundo dah duduk di meja untuk makan. Bundo pun terkial-kial juga nak menyiapkan memandangkan hari dah dekat pukul 6 petang. Takut nanti hari gelap dan gambar bundo tak menjadi sebab bundo mengharapkan natural lights seratus peratus. Jauh nun di langit kedengaran pula bunyi guruh macam nak menghambat bundo supaya buat kerja laju-laju.




Akhirnya siap juga tetapi abah bundo dah selesai makan dah. Bila tunjuk masakan ni dia cakap; abah dah konyang...


Bahan-bahan:
kulit tahu yang nipis (ada terdapat di tesco/giant/carefour)
2 ketul dada ayam sederhana besar
6 ekor udang saiz agak besar
1/4 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu teh serbuk lada putih
garam secukupnya
1/2 sudu teh serbuk ayam knorr
1 batang daun sadri dihiris/cincang halus
1/2 biji cili merah dicincang halus
2 sudu besar tepung jagung
1 biji putih telur





Cara:
Potong ayam dan udang kecil-kecil.  Masukkan ke dalam blender bersama bawang besar dan bawang putih. Tambah sedikit air.  Blender halus. 
Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul bersama dengan bahan lain.

Potong kulit tahu anggaran 4x5 inci.  Boleh juga ikut saiz sendiri.
Letak inti. Gulung sekali, lipat di bahagian tepinya.  Kemudian gulung sampai habis.





Panaskan kukusan.  Kukus kulit tahu berintikan ayam dan udang yang digulung tadi sehingga masak.
Angkat dan sejukkan. Kemudian dipotong-potong mengikut citarasa.
Bundo cicah dengan sos cili saja sebab masa dah terhad untuk membuat sosnya.







Rasanya? Kena buat sendiri nak tahu rasa macamana.
Jadikan salah satu bahan yong taufu sedap ni. Cicah dengan sos yong taufu versi amie tu pun mesti sedap.
Amie! Bundo dah buat dah yong taufu resepi amie tu tapi tak sempat nak ambil gambar.  Masing-masing dah berebut-rebut nak makan.



Ish... banyak pulak gambar kali ni.  Bundo dah tak tahu nak bebel apa dah ni. Oh ya... dinner bundo tu lah dua ketul yang belum berpotong tu.  Kenyang.



Sekian dari bundo.
Selamat mencuba.


ibundo