Tuesday, November 29, 2011

kerabu mangga

Salam.  Macam dah lama bundo tak masuk sini.
Bundo balik kampung bundo di kuala pilah sempena cuti awal muharram dan kebetulan pula line internet tersangatlah lembab.

Mangga muda ni bukannya bundo dapat di kampung tetapi di kedai sini semasa bundo mencari sayur.  Nampak mangga muda ni terus bundo teringatkan kerabu mangga yang adik ipar bundo buat semasa kenduri di rumahnya hari raya haji lepas. Terus meleh-leleh air liur ni mengenangkan kejadian kerabu mangga yang teramat sedap itu.

Ada sesiapa yang sukakan kerabu mangga?  Tak semua orang suka makan kerabu mangga ni sebab ia agak masam.


Bahan:
4 biji buah mangga muda (sebiji mangga yang bundo beli ni dah bewarna kuning)
2 kuntum bunga kantan sederhana besar.
1biji bawang besar
3 sudu besar penuh kelapa parut
2 sudu besar udang kering
10 biji cili api dihiris nipis (kalau suka pedas, bubuh 20 biji pun  tak apa)
garam secukupnya


Cara:
-kelapa parut dan udang kering digoreng tanpa minyak hingga kekuningan. Blender kering atau ditumbuk.
-mangga diparut halus
-bawang dibelah dua dan dihiris nipis
-bunga kantan dihiris nipis
-gaul rata semua bahan. Rasakan garam.  Ada orang suka bubuh gula.  Bundo tak bubuh. Kalau suka bubuhlah gula atau bahan perasa.



Siapa yang tak suka makan kerabu mangga, maka rugilah orang itu haha..

ibundo

Saturday, November 26, 2011

Laksa Nyonya

Haritu semasa pergi beli-beli barang, perut pulak buat hal menyanyi-nyanyi.  Terus ajak bestfriend sebelah  singgah makan di food court. Bundo oder mee bandung. Hubby pulak teringat nak makan bakso.
Bila food sampai dan makan, terasa frust sangat sebab rasa kedua-dua hidangan tidak menepati citarasa.

Dua tiga hari bundo tak nyenyak tidur malam sebab teringat-ingat mee yang tak berapa sedap tu (hehe). Baik buat sendiri ye tak. Tapi bundo buat  laksa nyonya.



Bahan
Mee kuning atau meehun

Kuah:
1/4 ekor ayam dipotong kecil
Beberapa ekor udang (bundo tak bubuh sebab terlupa nak beli)
Santan daripada satu biji kelapa
4 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih *
5 biji buah keras *
10 tangkai cili kering *
5 batang serai dihiris *
sebesar ibu jari belacan *
2 cm kunyit hidup *
1 sudu besar udang kering *
2 cm lengkuas *
2 kuntum bunga kantan
3 tangkai daun kesum
3 keping asam keping

bahan sampingan:
Beberapa biji telur direbus dan dibelah 2
Tauge
Timun dihiris kecil memanjang (dalam gambar tak ada sebab lupa nak letak)
sambal belacan


Blender bahan yang bertanda * sampai halus.
Panaskan sedikit minyak di dalam periuk dan tumis bahan yang diblender tadi sampai terbit minyak.  Masukkan ayam dan udang.  Gaul.  Masukkan santan. 
Apabila mendidih, masukkan bunga kantan dan asam keping.
Masukkan pula daun kesum bila kuah masak dan pekat. Jangan lupa rasakan garam.  Boleh masukkan sesudu kecil gula kalau suka.



Hidanngkan dalam mangkuk bersama bahan hias. Sambal belacan itu adalah wajib ada.


Selamat bercuti.
ibundo

Wednesday, November 23, 2011

Sardin goreng labu air

Kadang-kadang bila bibik tanya nak masak apa, bundo garu kepala. Bukan sebab gatal tapi tak dapat nak pikir apa benda nak dibuat lauk. Bila hari-hari pikir nak masak apa nak masak apa, ada kalanya berlaku juga mental block.

Sebab tu harini bundo nak tayang lauk sadin. Sadin yang selalu menjadi mangsa kepada keadaan mental block ni. Sadin ni senang nak dipelbagaikan cara masak. Kau buatlah apa saja, gerenti laku.



bahan:
1 tin kecil sardin
1/2 biji labu air dipotong dadu besar
1 labu bawang merah dibelah dua dan dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 cm halia dipotong nipis dan dihiris panjang
1 biji tomato dibelah enam, dibuang biji dan dipotong dadu
5 biji cili api diketuk sedikit
4 helai daun limau purut
1 batang serai dititik
1 atau 2 sudu kecil perahan air limau nipis



Masukkan labu air ke dalam periuk. Tambah air secukupnya dan sedikit garam.  Rebus hingga empuk. Angkat dan toskan.


Asingkan sardin dan sosnya. Panaskan minyak secukupnya untuk menggoreng sadin. Hati-hati apabila menggoreng sadin ini sebab dia akan meletup-letup.  Pastikan sebaik saja dimasukkan ke dalam minyak, cepat-cepat tutup dengan penutup periuk. Goreng seketika. Angkat dan ketepikan.

Gunakan minyak menggoreng sardin tadi dan tumis bawang, halia dan cili api. Apabila wangi, masukkan sos sardin, daun limau dan serai. Gaul rata.

Masukkan sardin, labu air, tomato dan asam limau. Rasakan garam




Sodap weh...


ibundo

Tuesday, November 22, 2011

Strawberry Yogurt Pudding Cake

Salam.  Dari tempat bundo duduk ni nampak titis titis hujan gugur ke bumi. Pagi-pagi lagi bumi disimbah hujan rahmat. Alhamdulillah. Adik, anak bundo yang ambil spm tidak ada kertas peperiksaan harini.  Bundo tengok dia berlengkar bawah selimut menyambung tidur selepas subuh tadi. Bundo biarkan.

Pagi-pagi sejuk seperti ini sememangnya belum ada mood nak makan puding. Puding yang dibuat petang semalam masih berbaki di dalam peti ais.

Terpesona dengan gambar?  Sebab terpesonalah bundo buat puding ni.  Bundo ambil dari buku Pudding Cake by Jamie Jong. Banyak puding yang nampak cantik-cantik dan menimbulkan keinginan bundo untuk menerai.  Tapi bundo terlupa kalau nak mencuba, buat setengah adunan saja.  Bundo buat satu adunan.  Tu yang tak habis tu.

Bundo letak resepi di sini.


1 mini swiss roll, di hiris 1 cm tebalnya.
300 gm strawberries (bundo beli satu peket.  Adalah dalam 10 biji)

bahan A
3/4 sudu teh serbuk agar-agar
300 ml air

bahan B
14 gm agar-agar
150 gm gula
300 ml air
1000 ml strawbery yogurt drink
150ml fresh cream



-Masak bahan A. Masukkan ke dalam tin pembakar roti atau apa-apa saja mould. Susun swiss roll di atasnya. Biarkan hampir beku.
-Masak bahan B kecuali fresh cream. Apabila masak, biarkan sekejap sehingga panasnya berkurangan.
 -Ambil 350 ml campuran bahan B dan campurkan fresh cream. Gaul rata dan curahkan ke atas swiss roll. Biarkan sehingga hampir beku.
-Susun buah strawberi di atas agar-agar dan curahkan agar-agar yang selebihnya sehingga menutupi strawberi tadi.




Pada gambar yang ada dalam buku itu, buah strawberinya tersusun cantik. Tapi bila bundo letak buah strawberi atas agar-agar bundo ni, dia terbalik lintang pukang hehe..


ibundo

Monday, November 21, 2011

Beef Horn

Tiap kali masuk dapur ros sinaran menu pasti ada resepi yang memikat hati. Terpulang pada kita je rajin ke tak rajin nak mencuba. Bundo dah jumpa resepi tanduk ni lama dah dan nak membuatnya pun dah lama tapi belum ada kesempatan.  Bila kesempatan tu sampai, selongkar dalam kabinet dapur tuna pula tak ada.  So nak minta maap pada ros sebab tuna horn awak dah bertukar menjadi beef horn.

Di bawah ini bundo letak resepi yang bundo dah putarbelitkan (hehe).  Untuk resepi sebenar dan original sila ke dapur ros yang letaknya di sebelah dapur bundo ni.



Roti pratha secukupnya
200 gm daging hancur
1 biji kentang diparut halus
1/2 biji bawang besar didadu
sedikit daun bawang dan daun sup dihiris halus
2 sudu besar mayonis atau lebih
1 biji telur
1/2 cawan mozarella cheese parut
sedikit butter untuk menumis
garam dan pepper sebagai perasa


Panaskan butter, masukkan bawang.  Masak hingga layu.  Masukkan daging dan masak sehingga air daging kering. Masukkan kentang. Tambah sedikit garam dan pepper.Bila masak, angkat.
Masukkan ke dalam mangkuk. Pecahkan sebiji telur.  Gaul rata. Tambah cheese dan daun sup/bawang.  Gaul rata.
Ambil sekeping roti pratha, potong dua sama bahagian.  Ambil satu bahagian, gulung seperti cone. Masukkan sedikit  inti (lebih kurang separuh cone).  Letak mayonis. Penuhkan cone dengan inti lagi. Susun cone atas dulang dan buat seperti itu sampai habis.
Bakar dalam oven 180 deg selama lebih kurang 20 minit atau sehingga masak.



Cik hubby suka.  Bundo pun suka.  Terima kasih ros.  Banyak lagi resepi awak yang kita nak cuba.

ibundo

Thursday, November 17, 2011

Ayam lada hitam

Bundo masih di penang tapi kejap lagi dah siap-siap nak balik.  Tak sabar rasanya nak berkinja-kinja dalam dapur yang sudah ditinggalkan sejak hari senin. Kesian anak bundo yang tengah ambil spm kena tinggalkan lama-lama. Tiap-tiap hari bundo telefon bagi perangsang dan tanya kabar. Tapi tau-tau jer lah anak-anak ni.  Bila kita tanya semua dia jawab okay je.

Ayam masak lada hitam ni dah terlupa bila bundo buat.


1/2 ekor ayam potong kecil , gaul dengan kunyit dan sedikit garam
1cm halia dihiris nipis dan dipotong halus memanjang
2 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
2 biji cili merah dihiris
1 biji bawang besar dipotong bulat
1 sudu kecil lada hitam ditumbuk kasar
2 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap masin
sedikit air
daun bawang dan daun sadri dihiris



Goreng ayam separuh masak.  Ketepikan.
Panaskan minyak.  Tumis halia, bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
Masukkan ayam. Bubuh sos tiram, kicap dan sos lada hitam.  Gaul rata.
Tambah sedikit air. Gaul.  Masukkan lada hitam dan cili. Masak hingga kuah pekat.
Akhir sekali masukkan bawang besar, daun bawang dan daun sadri.  Tutup api.


ibundo

Wednesday, November 16, 2011

Jemput-jemput jagung ikan bilis

Jemputlah makan jemput-jemput. Macamanalah datangnya nama jemput jemput ni ye..
Jemput-jemput atau cekodok, senang nak disediakan. Salah satu lagi menu imergensi. Kalau minum petang tak sempat nak mengukus ke membakar ke, goreng jer lah jemput-jemput.  Pasti menjemput selera orang yang makan hehe...

Haritu adik dan beberapa orang kawannya datang study ramai-ramai untuk spm mereka. Kali ni bundo buatkan jemput-jemput je untuk diorang. Lepas tu jemput mereka makan.


 
1 tin jagung yang berbiji.  Tapis airnya. Separuh diblender dan separuh lagi dibiarkan begitu saja.
4 cawan tepung kek
1 genggam ikan bilis
1/4 cawan santan
1 biji telur
1/2 cawan carrot yang diparut
daun bawang dan daun sadri dihiris kecil
1 ulas cili merah dicincang halus
air secukupnya
sedikit garam


Blender ikan bilis dan setengah tin jagung.
Masukkan ke dalam mangkuk bersama-sama bahan lain.
Goreng.


Bundo hidangkan sepinggan besar jemput-jemput ni untuk adik dan kawan-kawan.  Cicah bersama sos cili thai.  Habis.

ibundo

Monday, November 14, 2011

Telur Dadar Aneka Rasa

Lawak mega minggu lepas ada cerita pasal telur. Bundo kenapa ntah tak suka sangat kalau telur dibuat bahan lawak sebab otak ni selalu kaitkan telur yang dibuat bahan lawak itu dengan kaler biru.  Tak suka.

Tapi telur dadar ni bundo suka buat dan yang penting orang suka makan. Apa tah lagi kalau isinya dipelbagaikan. Taruk macam-macam supaya rasa tak adalah plain sangat.



5 biji telur
8 ekor udang sederhana besar dibuang kulit dan dipotong kecil
4 batang jejari ketam dipotong kecil
1/2 biji tomato dibuang biji, dihiris dan dipotong dadu
sedikit capsicum merah didadu kecil
sedikit capsicum hijau didadu kecil
sedikit daun bawang dan daun sadri dihiris kecil
2 sudu besar fresh milk
segenggam cheese mozarella parut
garam secukupnya




Masukkan kesemuanya ke dalam mangkuk dan kacau sebati .
Panaskan kuali leper saiz kecil. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan goreng menggunakan minyak yang sedikit agak-agak setengah sudu besar.




Sediakan untuk dimakan. Dengan nasi boleh, makan dengan sos pun boleh.

ibundo

Sunday, November 13, 2011

Rainbow Agar-agar Pudding

Dalam masa yang sedikit terluang ini bundo masukkan satu resepi mudah untuk dikongsi.  Semuga anda yang datang menjenguk sentiasa berada di dalam dakapan kasih sayangNYA.




Recipe by Jamie Jong

Bahan A:
10 gm agar-agar
200 gm gula castor ( bundo kurangkan 150 gm)
1000 ml air
4 helai daun pandan
Pewarna merah, hijau, kuning, biru

Bahan B:
10 gm agar-agar
200 gm gula castor (bundo kuranngkan 150 gm)
1000 ml air
1 peket serbuk santan
4 helai daun pandan
Pewarna merah, hijau, kuning, biru

1. Didihkan bahan A kecuali pewarna sehingga gula dan agar-agar larut.
2. Didihkan bahan B kecuali pewarna sehingga gula dan agar-agar larut.
3. Ambil 250 ml bahan didih B, bubuh pewarna kuning dan masukkan ke dalam acuan.
  Biarkan sehingga hampir beku.
4. Ambil 250 ml bahan didih A, bubuh pewarna kuning . Tuang ke atas lapisan pertama. Biarkan sehingga hampir beku.
5. Buat langkah yang sama dengan warna seterusnya.
6.  Apabila sudah habis melapis, biarkan benar-benar beku baru terbalikkan ke dalam pinggan.



Kesilapan bundo:
1. Masukkan lapisan kedua terlalu awal menyebabkan lapisan pertama masuk sedikit ke dalamnya.
2. Acuan agak pendek dan bundo tidak dapat masukkan lapisan biru sebab dah melimpah.  Jadi, warna biru bundo masukkan ke dalam acuan kecil saja.

Sekian.  Selamat berhujung minggu. Acara hujung minggu bundo padat dengan kenduri kendara.

ibundo

Wednesday, November 9, 2011

Sotong goreng tempe

Masa bundo sekolah dulu bundo ada kawan orang jawa.  Namanya Jum.  Jum binti Sukaimi. (Kat mana lah kau sekarang ni Jum). Bundo tanya kenapa nama dia Jum. Dia jawab sebab dia lahir hari jumaat.  Pak sukaimi lantas bagi dia nama Jum. Tapi bundo panggil dia Jumishita Sukaimimura sebab terpengaruh dengan satu lagu jepun yang amat popular pada masa itu. Apa nama lagu tu, bundo dah lupa.

Yang nak bundo cerita sini ialah, Jum ini tersangatlah suka makan tempe. Dia ni orang JB.  Emak dia dengan pakcik sukaimi ni boleh kata tiap-tiap weekend datang jenguk dia di asrama. Tiap-tiap kali datang mereka akan bawa makanan. Tempe memang tak mis. Yang kami ni tumpang tengok dan tumpang hidu.  Nasib baik, kena pelawa makan. Selalunya nasib tak baik.

Tapi bundo tak suka tempe. Pada masa tu lah. Pada bundo tempe ni satu makanan pelik dan rasanya pun pelik sehinggalah satu hari ada kawan yang bagi bundo makan tempe goreng bersalut tepung. Terus bundo jatuh cinta.

Sekarang ni bundo dah kurang makan tempe.  Bukan tak suka tapi terpaksa kurangkan atas saranan doktor yang  menyuruh bundo kurangkan atau elakkan terus makan kekacang. Jadi, produk kekacang juga bundo kena kurangkan juga sebab paras uric asid bundo ni dah agak tinggi.



Sotong goreng tempe:
bahan:

5 ekor sotong besar di potong
1 bungkus tempe dipotong ikut suka, gaulkan dengan sedikit kunyit dan garam
2 biji ubi kentang dipotong wedges
1 biji bawang besar dipotong wedges
1 biji tomato dipotong wedges
2 ulas bawang putih dititik
2 ulas bawang merah dihiris
1 cm halia dihiris memanjang
2 biji cili merah dihiris
1/4 sudu kecil kunyit
garam secukup rasa
sedikit daun bawang dan daun sadri untuk hiasan



Goreng tempe sehingga kekuningan.  Ketepikan.
Goreng kentang sehingga kekuningan.  Ketepikan.
Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga naik bau.
Masukkan sotong, kunyit dan sedikit garam. Gaul sebentar.  Bila sudah agak masak, masukkan tempe dan kentang yang telah digorenng.
Masukkan pula bahan lain kecuali daun bawang dan daun sadri.
Gaul dan padamkan api.
Taburkan daun sadri dan daun bawang dan gaul rata.  Hidang.



Satu lagi masakan mudah. Kalau nak lebih berkhasiat, gunakan minyak zaitun untuk menumis.

p/s
Kepada yang telah memberi komen dalam n3 bundo di bawah, bundo ucap terima kasih.  Bundo agak sibuk kebelakangan ini menyebabkan tidak berkesempatan untuk menjengah dapur kawan-kawan semua dan juga untuk membalas komen.

ibundo

Tuesday, November 8, 2011

Nasi Lemak Pandan

Yang balik ke kampung sudah kembali ke kota.  Yang pulang bercuti sudah balik semula menyambung pengajian. Pinggan mangkuk yang keluar dari almari, sudah masuk semula ke tempatnya. Yang tinggal mungkin sedawa yang masih berbau rendang dan lemang, lodeh dan ketupat, kek cokelat yang masih berbaki dalam peti ais.

Semuga rakan taulan, saudara mara yang menunaikan haji memperolehi haji mabrur.
Kita pula berterusan berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan sebagainya demi menyediakan makanan untuk keluarga tersayang.




Sebut nasi lemak, masing-masing menggelupur nak makan.  Cakaplah yang nasi lemak ni banyak kolesterol, banyak lemak, boleh buat orang gemuk, ia takkan menjejaskan kepopularitiannya.
Di rumah bundo ni, bundo sekali sekala membuat nasi lemak hijau, menyimpang sedikit daripada kebiasaan.  Warna yang cantik akan menambah seri pada nasi tersebut dan juga menambah selera pada orang yang makan.



Bahan
(Ubah suailah bahan ini untuk bilangan keluarga sendiri. Bundo buat banyak sebab keluarga besar)

1 kilo beras basmathi
santan dari 1 biji kelapa
10 helai daun pandan dipotong kasar *
1 inci halia *
4 batang serai dihiris *
1 sudu besar serbuk stok ayam
Air yang cukup untuk mengisar bahan dalam blender
garam secukupnya
sedikit pewarna hijau


1.  Blender bahan yang bertanda * dengan air. Tapis dan ketepikan.
2. Cuci bersih beras basmathi. Masukkan air hasil blender (1), santan, serbuk stok ayam, garam, sedikit pewarna hijau. Sedikit sahaja pewarna tu. Kalau harapkan warna dari daun pandan sahaja, hijaunya akan pucat. Santan pula, agak-agaklah cukup untuk beras yang ditanak.
3. Biarkan masak.



Nasi lemak ini  dimakan bersama iringan nasi lemak biasa. Ada sambal, telur, kacang goreng, timun dan kalau rajin buatlah rendang ayam. Memang sedap dimakan bersama rendang ayam.

Sekian.

ibundo

Friday, November 4, 2011

Cekodok Labu

Pukul 2 petang semalam kawan telefon kata nak datang pukul 3. Otak ligat berjalan nak bagi diorang makan apa.  Takkan nak bagi makan nasi pulak kan.  Selongkar peti ais nampak ada labu tinggal suku lebih sikit. Nak buat apam dah lambat. Bundo decide buat cekodok je.  Belum pernah buat cekodok labu sebenarnya tapi tawakal je lah.

Otak ligat pikir macamana nak bagi itu cekodok lembut. Dan hasilnya... memang memuaskan.  Yang datang tu siap nak resepi lagi haha.. Bundo cakap kau nak resepi kau masuk dalam dapur bundo.






400 gm labu yang telah direbus *
1/2 cawan gula castor *
1/2 cawan Fresh milk *
1/2 cawan nasi sejuk *
1 butir telur ayam *
1 sudu besar majerin *
2 cawan tepung kek



-Blender halus bahan yang bertanda *
-Masukkan ke dalam mangkuk.  Gaulkan tepung sedikit demi sedikit.
-Panaskan minyak dan goreng.  Kalau nak cantik bulat-bulat, cekut dengan hujung jari dan gelek-gelekkan jari tu tepi mangkuk membentuk adunan yang bulat cantik. Kalau tak kesah, ambil dengan sudu je lah.




Semua orang kat rumah ni bagi A siap ada plus  lagi.  Cubalah. Garing di luar lembut di dalam.


ibundo

Wednesday, November 2, 2011

Apam Labu

Pendekkan cerita,, bundo pergi kedai asalnya nak beli barang basah untuk masak tengahari.  Ternampak labu bergolek-golek dalam raga.  Belek belek, terus cekup sebiji dan masukkan dalam bakul bundo.  Beli labu tu sebab teringatkan abah bundo yang gemar sangat makan labu masak lemak. Dah tu pulak sebijik tu bukan main besar.  Kalau masak sebijik takkan habis bermakan. Sebab anak ambil kuah je. Labu, atuk diorang yang makan. So untuk tak membazir, bundo masak suku je. Lebihnya, masuk dalam esbok.

Masuk dapur Yat maria ternampak apam labu yang nampaknya tersangatlah sedap. Masuk rumah chah, nampak serimuka labu. Memang bepinau mata bundo haritu asek nengok labu.  Bila selongkar lemari dapur, bahan untuk buat apam, lengkap. Maka, berlakulah kejadian apam labu ini.  Sedap.... Anak bundo yang kecik yang tak suka makan apam tu pun habis menibai dua ketul.

Bundo kongsi resepi ya.  Asal resepi ni dari madiha.  Bundo ambil dari Yat pula yang telah mengopi (hehe) dari izah.




asal resepi: Madihaa@fotopages
source: Yat Maria

Bahan A:-
2 sudu teh yis segera
1 sudu teh gula kastor
3 sudu makan air suam

Bahan B:-
230 gm labu direbus lembut (asal menggunakan 200gm keledek)
150 gm gula (asal menggunakan 180 gm gula)
1 biji telor
150 ml santan pekat

Bahan C:- (ayak bersama)
200 gm tepung gandum (yat switched to cake flour - works fine - lembut &damp; sedap)
1  1/2 sudu kecil baking powder (asal menggunkaan 1 sk double action b.powder)





Cara Membuat:-
Campurkan bahan-bahan A dan kacau hingga sebati. Kemudian biarkan adunan selama 5 - 10 minit.
Kemudian campurkan semua bahan-bahan B dan kisar halus. Tuangkan ke dalam mangkuk adunan.
Masukkan bahan C ke dalam adunan B yang dikisar sedikit-demi sedikit dan kacau rata.
Masukkan pula bahan-bahan A tadi dan kacau hingga sebati. Biarkan adunan sehingga 1 jam ( tutup mangkuk adunan).
Panaskan kukusan dan bolehlah dituangkan adunan tadi ke dalam loyang besar atau acuan-acuan kecil yang telah disapu dengan sedikit minyak dan kukuslah hingga masak (Ummi guna acuan kecil dan kukus selama 15 - 18 minit).
Hidangkan bersama kelapa muda parut yang digaul dengan sedikit garam dan kukus kelapa sebentar agar kelapa tidak mudah basi.




Tengahari makan nasi lauk labu.  Minum petang makan apam labu. Sebelah malam perut aku dah berputau gaya washing machine. Labu angin ke? Selongkar lemari ubat, terjumpa ubat buang angin yang dah bertarikh tiga bulan. Ngap jugaklah. Nasib baik tak melarat.



Sesiapa yang belum mencuba tu, cubalah.  Sedap. Gerenti sedap.


ibundo

Penkek Oat Bersos Brokoli

Sebut penkek rasa macam glemer.  Padahal ia cumalah lempeng yang orang dulu dah lama mulakan. Masa bundo kecik dulu, mak dan nenek bundo selalu buat lempeng pisang, lempeng ubi, lempeng keledek, lempeng tepung dan berbagai jenis lempeng lagi. Bundo yang memang melempeng masa tu sebab kurus kering, bedal je apa yang mak dan nenek bundo masak.

Dalam majallah sedap bilangan 41 baru ni, ada resepi lempeng oat. Tengok gambar, ia macam menarik.  Lagipun ada dimasukkan oat sebagai salah satu bahan. Tentu bagus untuk orang yang pentingkan diet kesihatan.

Serius cakap, setelah dibuat, rasanya ia bukan sesuatu yang disukai oleh semua orang dalam famili terutamanya anak. Dengan adanya oat, adunan agak likat dan lempeng tidak berapa lembut. Untuk bundo, ia okay sebab bundo memang makan oat.

Anyway, bundo letak jugalah resepi di sini. Sesiapa nak rasa, buat sekeping dua cukuplah.



Bahan:
200 gm tepung gandum
1 sudu makan serbuk penaik
1/4 teh garam
50 gm oat
1 1/2 sudu makan gula
3 biji telur, pukul rengan
125 ml susu cair
35 gm majerin, cairkan

bahan sos keju:
1 sudu makan mentega tawar
2 sudu makan tepung gandum
200 ml susu cair
3/4 sudu teh garam
1/4 sudu teh serbuk lada sulah
50 ml krim pekat
50 gm brokoli, rebus dan potong kecil
25 gm keju cheddar parut



1. Ayak tepung gandum, serbuk penaik dan garam
2. Campur telur dan susu cair.  Kacau rata. Masukkan majerin sedikit demi sedikit sambil kacau perlahan.
3. Tuang satu senduk kecil di kuali rata tanpa disapu majerin. Terbalikkan.
4. Sos keju: panaskan mentega.  Masukkan tepung gandum. Kacau hingga bergumpal. Tuangkan susu cair sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga licin. Masukkan garam, serbuk lada sulah, krim pekat, brokoli dan keju.  Masak sehingga pekat.
5. Hidangkan penkek bersama sos.

Bundo makan sekeping. Ada yang makan setengah.  Ada yang cubit-cubit. Selebihnya bundo tak tau ke mana perginya.

ibundo

Tuesday, November 1, 2011

Chicken Scallop goreng sos thai

Terlalu banyak perkara yang bermain-main dalam kotak fikiran bundo sekarang. Jadi, bundo straight to the point.  Masakan ni masakan mudah. Masakan cincai-cincai. Yang penting habis licin sampai menjilat pinggan.





 Bahan:
1 bungkus chicken scallop brand SAUDI
1/4 cawan sos cili thai
2 sb sos tiram
1 biji bawang besar dipotong separa bulat
2 ulas bawang merah dicincang halus
1 ulas bawang putih dicincang halus
1/2 biji capsicum hijau di dadu kasar
1/2 biji capsicum merah didadu kasar


Goreng scallop ayam sehingga masak.  Ketepikan.
Panaskan minyak.  Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
Masukkan scallop yang telah digoreng tadi. Letak sos tiram dan sos cili thai. Masukkan capsicum dan bawang besar.  Gaul rata.
Bubuh sedikit air sekiranya kuah kering. Setelah capsicum masak (biarkan rangup), padam kan api.
Tidak perlu ditambah garam.




Senang.  Tak sampai setengah jam dah siap.


ibundo