Tuesday, September 25, 2012

Rendang kepayo

Bundo orang negeri semilan.  Asli.  Bukan celup-celup. Masa bundo kecik belum sekolah bundo tak tahu pun wujudnya mendaalah yang bernama betik. Sebabnya semua orang di sekeliling bundo kata buah betik tu buah kepayo. Semua yang berkenaan dengannya disebut dengan kepayo. Batang kepayo.  Buah kepayo.  Pucuk kepayo (pergh!! cicah belacan pucuknya yang pahit-pahit ni alangkah nikmatnya).

Emak bundo semasa hayatnya cukup gemar membuat rendang kepayo ni. Pelik? Sebelum ni bundo pernah buat n3 tentang rendang ni tapi masa tu bundo belum berapa terkenal (hikhikhik...). Kali ni bundo tayang sekali lagi dengan gambar yang lebih menggiurkan ahak.

Kalau tak cuba belum tahu rasanya macamana. Pada bundo, sedap sebab rasa lemak, manis, pedas, berbaur.  Kalau takut nak cuba banyak, buat sedikit saja. Cuba rasa, orang kata.  Tapi bundo agak adik-adik, anak-anak yang asli nisemilan memang tahu masakan ni.



Mula-mula kena cari betik yang mengkal. Jangan yang terlalu muda yang warnanya masih hijau.  Cari yang sudah ada kemerahan tetapi masih keras. Tu yang dikata mengkal. Bundo buat tak sampai sebiji pun sebab buahnya agak besar.  Kalau besar, buatlah separuh.

Bahan:
1/2 atau 3/4  biji betik mengkal
10 ekor udang
1/2 cube stok ayam
1/2 kilo santan (beli santan siap. Tak perlu dicampur air)
1cm  halia *
1cm lengkuas *
5 ulas bawang merah *
6 ulas bawang putih *
12 biji cili api *
2 cm kunyit *
2 batang serai dititik
6 helai daun limau purut dibuang tulang
1 helai daun kunyit dihiris pendek
1 atau 2 keping asam keping




Cara:
1. Betik dicincang/hiris kasar.
2. Blender bahan yang bertanda *
3. Masukkan santan di dalam kuali bersama bahan yang diblender. Jerang sehingga mendidih.
4. Masukkan betik, serai, daun limau purut, stok ayam dan garam.
5. Apabila hampir empuk, masukkan asam keping dan daun kunyit.
6. Padamkan api apabila betik empuk dan kuah pekat.



Berani cuba? Lebih kurang macam masak labu jugalah.

(lima nam hari ni dapur bundo tak akan berasap sebab bundo nak makan angin)

ibundo

Monday, September 24, 2012

Nasi goreng huhahuha

Setelah senyap beberapa hari bundo kembali dengan nasi goreng. Nasi goreng je.
Tapi nasi goreng berasap kepedasan.  Sebab tu huhahuha.. sambil makan sambil kipas-kipas mulut sambil jelir jelir lidah haha. Tak cukup minum air segelas.

Bukan tak sengaja buat nasi goreng pedas.  Sengaja. Saja nak merasai nikmat tersebut.



Nak cuba ke?

3 cawan nasi sejuk 
3 ketul peha ayam dipotong kecil
3 batang sosej dipotong serong
carrot dipotong julien
4 batang kacang panjang dipotong pendek
10 biji cili api
2 biji cili merah
1 biji bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang
1 sudu besar cuka
1 sudu kecil serbuk stok ayam
garam secukkup rasa

1. Tumbuk halus cili api dan cili merah
2. Tumis bawang putih dan bawang merah.  Masukkan cili.  Kacau sehingga masak.Tambah cuka.  Kacau.
3. Masukkan ayam.  Gaul rata. 
4. Masukkan sayur, sosej, garam dan serbuk stok ayam.
5. Masukkan nasi dan goreng sehingga masak.



Pastikan sediakan air secukupnya..hehe..


ibundo


Friday, September 21, 2012

Labu lomak spesel

Nak menghabiskan labu sebiji cukuplah lama.  Beli pun yang kecik je. Bukan besar mana pun.  Tapi oleh sebab sekali pakai guna sikit maka terperuklah selebihnya dalam peti ais.  Apatah lagi bila angin nak buat itu ini agak merudum akhir-akhir ini.

Bila abah buka peti ais mencari dadih yang dah tak ada lagi, dia ternampak akan labu yang tinggal lebih daripada separuh itu. Terus dia meminta supaya dibuatkan gulai labu. 



Gulai labu yang ini lain daripada yang bundo selalu buat.  Cubalah intai-intai resepi ni.

Bahan:
Labu yang didadu besar
15 ekor udang
santan 
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 cm kunyit *
10 biji cili api (kurangkan kalau tak suka pedas) *
2 batang serai diketuk
1 helai daun kunyit dihiris kasar-kasar
Garam
1 keping asam gelugur

Cara:
1. Kisar bahan yang bertanda *.  Masukkan ke dalam periuk bersama santan dan serai. Masak sehingga mendidih. Bubuh garam.
2. Apabila mendidih, masukkan labu.  Masak sehingga empuk. Bubuh asam keping.
3. Masukkan udang dan daun kunyit. Kacau seketika sehingga udang bertukar warna dan masak.  Padamkan api.




Nak tahu rasanya cubalah..


ibundo

Wednesday, September 19, 2012

Jemput-jemput jagung

Jagung lebihan buat campuran nasi goreng tempoh hari ada lagi setengah tin. Macam-macam yang datang di otak untuk dibuat apa jagung itu sebelum tarikh luput sampai.  Dan biasalah.. bundo akan pilih yang senang dan yang tak banyak menggunakan masa bundo ni.
Maka jadilah jemput-jemput ala cekodok basi.



1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung naik sendiri
1/2 tin jagung manis cap adabi
1 tangkai daun bawang hiris halus
1 tangkai daun sup hiris halus
1 biji cili merah cincang halus
1/2 biji bawang besar*
1 kepal nasi *
1/2 genggam ikan bilis *
1 biji telur
air secukupnya



1. Blender bahan yang bertanda *
2. Campurkan semua bahan.  Tambah air secukupnya.  Kacau sebati dan biarkan10 minit.
3. Panaskan minyak dan goreng.



Cara makan:
1. cicah sos cili
2. cicah sambal kicap
3. makan sambil gigit cili api

Bundo pilih yang no 3.

Ha.. jemput.. jemput.. jemput makan!!!

ibundo


Monday, September 17, 2012

Ayam Kicap Briyani Chah

Hujung minggu yang agak panjang memberi peluang kita berjimba lebih lama di dapur. Betul Ke? ataupun makan makanan tersedia siap saja.

Chah menggoda bundo dengan ayam kicap briyaninya. Sungguh berani kau chah sehingga membuat bundo tak lelap tidur malam tapi tidur siang tetap saja lenanya.  Nah!! tengok saja hasil penggodaan tersebut.  Siap juga ayam kicap briyani ala chah hasil tangan bundo yang pastinya telah menerima penderhakaan yang teramat sangat.  Maap chah di atas penderhakaan tersebut.




Nak sonang kojo den, den copy dan paste sajolah resepi dari dapur chah sambil highlightkan tempat-tempat yang telah diubahsuai mengikut kehendak tokak bundo ni.
4 ketul ayam (lumur dengan sedikit garam dan kunyit)
(bundo punya 1/2 ekor)
2 sudu besar cili kisar
2 ulas bawang putih
2-3 ulas bawang merah
1/2 inci halia
1 batang serai - dititik (bundo tak bubuh)
1 sudu besar rempah beriani (bundo bubuh 1 1/2 sudu besar)
1/2 cawan kacang gajus (bundo tambah)
1/2 cawan kismis (bundo tambah)
2 biji ubi kentang dipotong wedges (bundo tambah)
1 sudu besar  dadih natural flavour
satu kelopak daun ketumbar dihiris untuk hiasan
Kicap lemak manis secukupnya
Sedikit sos cili
1 biji tomato



Cara-cara:
  • Gorengkan ayam separuh masak dan ketepikan.
  • Kentang dipotong wedges, goreng dan ketepikan
  • Kacang gajus digoreng.  Kismis digoreng sebentar.  Ketepikan.
  • Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan anggara 4-5 sudu sahaja.
  • Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia. Tumiskan bahan tumbuk tadi menggunakan minyak menggoreng ayam tadi.
  • Masukkan cili kisar .
  • Masukkan rempah beriani yang telah dicampur dengan sedikit air.
  • Masak hingga naik minyak. Masukkan kicap dan sos. Tambah air jika kuah terlalu pekat.
  • Masukkan ayam, kentang , gajus dan kismis. Gaul rata dan biarkan ayam betul-betul masak. 
  • Sejurus sebelum padamkan api, masukkan tomato yang telah dipotong mengikut selera anda.
  • Hidang dan tabur dengan daun ketumbar dan beberapa biji cili api jika suka.





Terima kasih chah. Very d mabeles!!!
Bagi beberapa resepi mengancam lagi dan bundo akan fikirkan secara serius untuk mengambil kau sebagai anak angkat bundo kehkeh...


ibundo

Sunday, September 16, 2012

Air Halia Serai

Kesahnya semalam bundo pergi spa urut-urut kaki yang dah lenguh sampai tahap tak boleh tahan. Sampai situ bundo tengok ada muka baru.  Bundo tanya mana minah indon yang lagi dua orang.  Dia cakap, balik kampung masa raya dah tak balik-balik.

Minah yang ngurut kaki bundo ni cukuplah peramah orangnya. Sampai tak bagi peluang langsung bundo nak berinternet.  Ada saja benda yang nak dicakapnya.  Tapi dia punya urutan... aduuu.. sedap betul. Tau je mana nak picit.  Tau je mana yang sakit.

Buk!.. ibuk ni banyak angin ni.
Ha.. kat sini buk. Keras sangat ni betisnya.

Dia pun bercerita tentang moyang, nenek, maknya yang semuanya mengamalkan jamu.  Moyangnya hidup sampai umur 100 tahun.  Neneknya sekarang berumur 90 tahun tapi masih mikul padi. Biar bener deh!!



Maka dia pun bagilah resepi air halia nak buangkan angin.

3 batang serai dititik
Sebesar tapak tangan halia tua dititik
5 cawan air

Rebus serai dan halia sehingga tinggal sebanyak 3 cawan sahaja.
Bila mahu minum, campurkan dengan madu sesedap rasa.



Ibu kalo mau bikin lebih ya boleh. Asalkan serei nya diganjilin. Bisa 5 batang, 7 batang.  Airnya juga diganjilin deh. 7 cawan, 9 cawan. Gitu...
Minumnya pagi satu cawan, petang satu cawan.




Burppppp... memang satu hari ni asek keluar angin je bundo. Angin dalam perut ni menggelodak nak keluar.

Mau cobak? Silah.... hehe



ibundo


Saturday, September 15, 2012

Sushi serunding ikan

Isnin cuti.  Tak pergi kemana-mana?
Rabu lepas krew satu majalah ni datang ke rumah bundo ambil gambar-gambar laksa yang disuruh buat. Ada 4 jenis laksa semuanya. Walaupun buat-sikit-sikit tapi kalau dah 4 jenis puas jugalah makan sampai ke malam.

Bila ada kuah yang berlebih, tentulah sayang nak buang. Lebihan kuah itu bundo masak sehingga betul-betul kering dan jadilah ia serunding ikan.  Untuk elakkan terasa masin, bundo tambah dengan jus dari sebiji lemon. Bibik makan gaul-gaul dengan nasi panas saja. Sedap, katanya.




Bundo tengok seaweed lebihan buat sushi dulu ada lagi dalam lemari. Timbul pula idea untuk buat sushi serunding ikan sebab banyak kali terlihat dalam majalah orang buat sushi serunding.
Oleh kerana nasi khas untuk sushi tak ada, bundo guna nasi biasa saja.




Bahan:
Seaweed
Nasi
Cuka nasi
Serunding ikan
Carrot dipotong mancis halus memanjang
timun jepun dipotong halus memanjang
cili merah dipotong halus memanjang
beberapa keping sayur salad
Tikar penggulung sushi

1. Nasi yang masih panas dilenyek-lenyek dan dicampur dengan beberapa sudu cuka nasi. Sesuaikan dengan rasa yang dikehendaki.
2.  Bentang tikar penggulung sushi.  Letak sekeping seaweed. Ratakan nasi di atasnya (tinggalkan kosong sedikit di bahagian hujung sebelah depan).
3.  Letak serunding memenuhi atas nasi.
4. Letak kepingan salad di bahagian sebelah tepi berdekatan dengan badan. Susun timun, carrot dan cili di atasnya.
5. Gulung padat.
6. Potong mengikut suka.






Boleh juga buat variasi lain.
Sekian.

ibundo

Friday, September 14, 2012

Gulai Rusa

Semasa bundo berada di dalam darjah 3 disekitar tahun enam puluhan, abah bundo berpindah mengajar di tanah felda ayer hitam Bahau. Masa itu tanah tersebut baru diterokai. Masih banyak hutan dan belukar di sana sini.  Malah di belakang kuarters guru yang yang kami duduki masih tebal dengan kayu kayan.

Ayam denak berkeliaran sampai di belakang dapur. Untuk menangkapnya abah cuma perlu memasang jerat atau menembaknya. Kami mewah dengan daging pelanduk, daging kijang, daging rusa dan daging landak. Ayam denak lagi tak usah dicakap selalunya makan.

Ada kalanya pelanduk ditangkap hidup-hidup dan dimasukkan ke dalam sangkar di belakang rumah. Memang ketika itu abah bundo sering sangat masuk ke dalam hutan memburu binatang-binatang tersebut. Setiap kali pulang dari berburu, ada saja hasil yang dibawa.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan.





Baru-baru ini sepupu bundo membawa daging rusa dan bundo menggulainya mengikut permintaan abah.

Bahan:
1 kilo daging rusa
2 inci lengkuas *
2 inci halia *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
4 biji buah keras *
2 batang serai *
15 biji cili api *
2 inci kunyit hidup *
1 kilo santan
1000 ml air
2 biji kentang dibelah 4
2 keping asam gelugur




1.  Blender bahan bertanda di dalam periuk*.  Perap bersama daging lebih kurang 1 jam. Letak juga garam.
2.  Letak di dapur dan nyalakan api.  Biar ke semua air daging keluar.
3.  Masukkan air dan masak dengan api perlahan sehingga air hampir kering baru masukkan santan.
4.  Tambah kentang apabila daging agak empuk.
5.  Masukkan asam keping bila kentang empuk.

Abah makan dengan berselera.  Bundo makan sikit saja.  Bukan tak suka tapi setiap kali makan daging, mesti nak kena cungkil gigi hehe.

Sekian.

ibundo


Thursday, September 13, 2012

Rozel Lemon

Apa kabar.  Agak lama juga bundo menyepi.  Maaf tak menjawab komen dalam n3 lepas. Bundo ada bizi sikit sebab membuat beberapa projek... haha projeklah sangat.
Kesian juga pada yang lalu lalang tepi dapur bundo ni asek je lah tengok donat keledek. Lagi sekali nak cakap, donat keledek itu sangatlah sedap hokey? Siapa yang masih teragak-agak nak buat ke tak nak buat, baiklah buat.

Kali ni bundo sediakan air ajelah ye.  Dahaga tu jalan kehulu kehilir hehe. Air ni penyedap tekak sesiapa yang tersangat dahaga.

Semasa bundo ke rumah kakak bundo di lembah keramat, dia bagi satu plastik besar bunga rozel.  Dulu bundo ada tanam pokok rozel di belakang rumah tapi sekarang dah mati sebab tumbang ditiup angin kuat. Nak tunggu hidup balik tak taulah bila.

Nak buat jus rozel senang saja.  Cuma rebus bunga rozel dalam periuk dan bubuh gula sesedap rasa.  Rebus sehingga warna-warna rozel itu keluar semuanya.  Hampasnya pula jangan dibuang.  Boleh diblender dan dibuat jem.




Untuk minuman ini, cuma tuang beberapa sudu rozel di dalam gelas dan perahkan dengan lemon sesedap rasa.  Tambah ais. Yumyum..



Silalah.  Kena hirup je sebab bundo terlupa nak letak straw.


ibundo

Monday, September 10, 2012

Donat Keledek

Orang dah lama buat donat ni bundo baru nak terhegeh-hegeh. Jiran bundo ada memberi keledek cukuplah besar.  Bundo dah tak tau dah nak buat apa dengan cik keledek ni. Goreng sudah, pengat sudah, masuk dalam kuah mee sudah tapi masih ada juga yang tinggal. Maka teringatlah pula pada donat ubi kentang kak wan yang telah ditukar-gantikan pada donat keledek yang menjadi satu hidangan hangat tak lama dulu. Bundo tak ingat siapa yang mulakan donat keledek ni. Tapi bundo ingat yang asalnya adalah dari kakwan. So, kakwan.. bundo letak resepi kakwan di sini yang telah diganti dengan keledek.



 Resepi asal :  Citarasawan

400 gm tepung gandum
11 gm ragi instant
200 gm keledek (asalnya ubi kentang)
2 sudu besar susu pekat manis
100 gm gula halus
75 gm mentega
1 biji telur
1/2 sudu teh garam
120 ml air

Gula aising untuk salutan
Minyak untuk menggoreng




Cara:
1. Kupas keledek, rebus empuk dan lenyek hingga halus ketika masih panas, sejukkan.
2. Satukan tepung, gula dan yis.  Gaul rata. Masukkan keledek lenyek dan bahan lain kecuali air. Gaul rata dan masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang elastik (bundo pakai pengandun roti)
3. Rehatkan adunan selama 15 minit dan tutup dengan kain/plastik sehingga mengembang.
4. Canai dan terap dengan acuan donat dan letak di atas dulang yang ditabur dengan sedikit tepung. Rehatkan selama 20 minit lagi sehinga mengembang.
5. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.  Salut dengan gula aising.





Sedap.  Lembut. Orang yang tak ada gigi boleh kunyah pakai gusi aje hehe...

Sekian.


ibundo


Saturday, September 8, 2012

ikan merah masak asam

Pagi tadi sibuk masak sebab anak-anak mengajak kawan-kawan mereka datang makan-makan sempena syawal yang belum berakhir.  Sementelah dah masak, bundo ajaklah juga staff yang tak berapa kerat tu  datang sama.  Bundo masak ala kadar saja dengan bantuan anak-anak dan bibik.

Selesai masak bundo lari sekejap ke pasar seni di kl sebab menemankan sepupu membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke jakarta. Lama sungguh bundo tidak ke sana. Sepupu-sepupu bundo sibuk mencari barang kenangan, bundo sibuk mencari barang untuk bundo jadikan prop untuk fotografi. Yang bundo puas hati sangat, bundo dapat penepuk lalat yang dibuat daripada rotan haha. Sebelum ni bundo beli yang plastik tetapi sekejap dah rosak dikerjakan dek faris cucu bundo.




Lauk ikan ni bundo buat semalam. Sedap dihirup hirup kuahnya dan dimakan bersama nasi panas.  Tapi ikan sekarang ni mahal sungguh. Kalau nak dibandingkan dengan ayam, lebih murah ayam tapi sebab dah muak makan ayam, belilah juga ikan walaupun mahal.  Satu ekor ikan merah ni harganya 32 ringgit.  Ayam sekor baru 12 ringgit.





Bundo masak satu ekor ikan merah sebab yang makannya ramai. Adjustlah bahan ye..
1 ekor ikan merah
1 inci lengkuas sebesar ibu jari kaki *
1 inci halia *
4 biji buah keras *
6 biji cili merah (cili besar) *
2 keping asam gelugur *
6 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
2 batang serai diketuk
1 kuntum bunga kantan dibelah 2
1 helai daun kunyit dikoyak-koyak
6 biji bende
2 biji tomato dipotong dan buang biji




Blender bahan yang bertanda *.  Tumis dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
Masukkan air (pandai-pandailah mengagak).  Masukkan serai, bunga kantan dan daun kunyit.
Apabila mendidih, masukkan ikan.
Masukkan garam dan asam keping.
Masukkan pula bende dan tomato apabila hampir matikan api supaya sayur tidak lembik.



Sekian.

Salam dari,
ibundo

Thursday, September 6, 2012

Sandwich

Pagi tadi panas. Tengahari ni dah mendung macam nak hujan.  Begitulah cuaca sekarang ni kan? Kurang menentu.
Begitu jugalah dengan selera bundo. Juga tak menentu.  Haritu semasa berbuka puasa bundo makan ala kadar tetapi lepas tu teringat sangat nak makan kfc. Bundo ajak anak bundo meredah malam pergi beli ayam goreng.  Mula-mula memang nakkan kfc tetapi separuh jalan bertukar pada ayam goreng mcD.  Bukan nak makan sangat pun.  Makan seketul aje pun dah cukup.






Pagi ni teragak nak makan sanwich telur goreng.
Tengok dalam peti ais ada pula kepingan ayam salai. Bundo bakar roti keping gardenia dan lapis-lapiskan salad, tomato, ayam salai, timun dan letak telur goreng atasnya.  Kalau ada cheese memang dah bundo bubuh dah.



Lepas tu minum dengan kopi halia.  Bundo rebus air, ketuk halia dua tiga keping dan masukkan dalam rebusan air. Biar mendidih beberapa ketika sampai rasa halia keluar.  Kemudian tuang dalam gelas dan masukkan kopi 3 in 1.  Boleh buang angin sampai tak lekat wudhu' hehe..



Bundo suka makan telur yang kuningnya masih meleleh-leleh. Adakalanya berebut-rebut dengan anak-anak nak cucuk telur kuning dan kaut dengan sudu, lepas tu ngap dalam mulut. Nikmatnya makan telur kuning yang masih lembut begitu. Tapi hasben bundo tak bagi makan telur kuning sebab takutkan kolesterol yang tinggi. Jadi, sekali sekal sajalah bundo makan.




Sebelum makan sanwich ni, sempatlah juga dia berposing sana sini depan kamera bundo. Hmmm... nak?


Sekian.


ibundo

Wednesday, September 5, 2012

Rendang Minang

Sudah beberapa hari bundo tidak masuk ke dapur. Agak bizi juga sejak hari Khamis sebab ada sedara mara datang dari jakarta. Hari Khamis datang 8 orang.  Hari Jumaat datang lagi 4 orang. 12 orang semuanya. Tujuan utama mereka kemari kerana sepupu bundo mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada hari Ahad lepas. Begitulah kami.  Kalau ada sedara di sebelah sini yang membuat kenduri kahwin, ada saja yang datang dari jakarta.  Kalau ada anak mereka yang berkahwin, kami pula akan ke sana.

Hari Ahad depan ada seorang lagi sepupu mengadakan majlis perkahwinan anak. Ada di antara  mereka yang sudah pulang kerana urusan pekerjaan tetapi ada lagi 4 orang yang masih menunggu sehingga majlis Ahad depan selesai.

Sebenarnya talian persaudaraan kami agak kuat. Datuk bundo berasal dari tanah minang. Bila datang ke tanah melayu dia berkahwin dengan nenek bundo dan mendapat 7 orang anak termasuk abah bundo. Sedangkan di minang sana datuk bundo juga mempunyai isteri lain dan mempunyai beberapa orang anak. Jadi, abah bundo mempunyai adik beradik lain yang satu bapa.



Pada tahun 1997, bundo ke jakarta mencari sepupu-sepupu bundo yang tinggal di sana berdasarkan surat menyurat yang di hantar oleh bapa saudara bundo iaitu abang kepada abah. Alhamdulillah, jejak kasih itu telah mempertemukan kami dan jalinan pertalian itu kekal sehingga kini dan di harap berterusan sehingga ke anak cucu.
Begitulah ceritanya.




Berbalik kepada rendang minang ini,  setiap kali kemari kak Amismar akan membawa rendang minang.  Abah bundo cukup menggemarinya dan menyuruh bundo belajar membuatnya. Sebelum ini oleh sebab mereka datang untuk jangka waktu yang singkat dan habis dengan menyoping dan muter-muter keliling kl, maka kesempatan untuk menunjukkan secara praktikal tidak berkesempatan. Kak Mis cuma mengajar secara teori saja dan bila bundo praktikkan ia tidak berapa menjadi.

Pagi tadi, oleh kerana masa pun ada, kak Mis menunjukkan cara membuat rendang minang yang betul. Hasilnya... waduh.. sedap banget.

1 kilo daging
4  biji kelapa diambil santan pekat (santan cair diketepikan untuk blender bahan)
2 batang serai dihiris *
4 ulas bawang merah *
3 buku bawang putih *
sebesar ibu jari kaki halia dihiris nipis *
3 kali ganda besar halia, lengkuas dihiris nipis *
8 helai daun limau purut diracik *
1 helai daun kunyit yang agak lebar diracik *
cili api mengikut kepedasan yang dikehendaki *
1 sudu besar lada putih




1. Santan pekat dijerang sehingga agak pekat.
2. Bahan-bahan bertanda * diblender bersama sedikit santan cair dan garam dan digaul dengan daging yang telah dipotong-potong. Perap sebentar.
3. Masukkan daging ke dalam santan dan masak sehingga kering. Rasakan garamnya.

Nota: Apabila kuah pekat dan merecik-recik, ia hendaklah sentiasa di kacau/ aduk supaya tidak melekat.


Selepas rendang siap, bundo keluar mencari lemang.  Rendang ini dimakan dengan lemang, aduhhhh.. tak terkata sedapnya.

Sekian.

ibundo