Latheefa's Muslimah Collections

Wednesday, July 23, 2014

Mee Kari Bakso Jumbo Bundo Style

Hati masih terkesan dengan kejadian yang menimpa mh17. Hiba yang berpaut belum terungkai. Bertambah-tambah hiba melihat saudara kita dibedil hari demi hari di Gaza. Anak-anak yang tidak berdosa bergelimpangan akibat kegilaan zionis. Sedihnya.. Itu sajalah senjata kita disamping doa-doa yang tidak berkesudahan kita untuk mereka. Sedangkan ketua-ketua negara besar dan gah cuma memerhati dan tidak kurang yang bertepuk tangan melihat umat islam yang dianggap terrorist diganyang sebegitu rupa. Marilah kita terus berdoa.  Berdoa disepanjang ramadhan yang masih lagi berbaki.

Agak beberapa kali juga aku cuba membuat posting baru tetapi kesedihan itu membuatkan aku tidak sanggup untuk menulis.  Tambah tambah lagi menulis tentang keriangan kita menghadap makanan dan bersiap-siap untuk menemui idulfitri tidak lama lagi. Sedangkan mereka? Pastinya keluarga nahas mh17 akan menyambut idulfitri dengan tawar. Mereka yang diGaza sudah tentu pula bermakankan peluru dan darah manusia. Bilalah akan hilangnya kerakusan manusia.




Mee kari bundo style ditambah dengan bakso jumbo.  Ada telur rebus tapi terlupa diletakkan dalam mangkuk semasa difoto.

Bahan:
2 bungkus mee kuning
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 batang serai
3 biji buah keras
4 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
(Bahan di atas kecuali mee, diblender halus) Cili merah boleh diganti dengan pes cili kering sepedas mana anda mahukan.
1 bungkus bakso jumbo
beberapa ketul daging ayam dipotong kecil
4 sudu besar kari daging
4 biji kentang saiz besar direbus empuk dan diblender
1 kotak santan

Bahan hiasan:
Sawi direbus
Tauge di celur
Tahu digoreng dan dihiris
Telur direbus
Bawang goreng
Cili merah dipotong





-Panaskan minyak dan tumis bahan blender sampai berbau wangi
-Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air
-Masukkan ayam, gaul sehingga air ayam kering.
-Tambah santan. Bila mendidih, masukkan kentang blender, garam, sesudu stok ayam. Kalau suka taruk gula, bubuhlah gula sikit.
-Bila mendidih lagi sekali, masukkan bakso jumbo.
-Done.



Sekian.  Rasanya memanglah berbeza daripada mee kari biasa.  Dah namanya pun bundo style kan..

ibundo


Thursday, July 17, 2014

Sotong Sumbek Percik

Dah buat kue raya?
Kalau jumpa kawan mesti diorang tanya dah buat kue raya ke belum. Tak ada pulak yang menanya dah qatam quran ke belum. Hmmm..
Aku tak buat kue raya. Malas. Nanti dah penghujung-penghujung puasa aku pergi la tunjuk tunjuk je kat kedai. Beli cookies dalam dua tiga jenis. Lebihnya beli kerepek dan kacang-kacang je. Itu yang laku.

Bagaimana anda.
Alhamdulillah atas rezki yang melimpah ruah untuk sahabat yang berniaga kue raya. Ada sedara yang mengeluh barang bahan yang naik harga. Betul ke.  Aku dalam bulan ramadhan ni tak ada sekali pun ke kedai yummy yang menjual bahan kek/cookies tu. Sebabnya yang pertama, memang aku tak ada benda nak cari di situ. Kedua, kedai penuh sesak dengan orang.  Nak cari tempat parking pun susah. So, aku tumpukan pada masak untuk berbuka je lah dan sekali sekali buat kuih tradisional sebagai pemanis mulut semasa berbuka.



Sotong sumbek ni cakap orang nisemlan.  Orang kelumpo cakap sotong sumbat. Aku kekalkan keaslian bahasa ibundoku hiii..

Bahan:
4 ekor sotong
Beberapa batang kacang buncis potong panjang

Bahan inti:
2 biji kentang dipotong dadu
10 ekor udang dihiris halus
2 ketul dada ayam dipotong dadu
1 labu bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 batang daun sup dihiris halus
1 batang daun saderi dihiris halus
2  biji lada merah besar didadu halus
1 sudu besar rempah kari
garam secukup rasa


1. Tumis bawang merah dan putih
2. Tambah rempah kari.  Gaul rata.
3. Masukkan kentang dan ayam. Masak sehingga kentang empuk.  Tambah sedikit air.
4. Akhir sekali masukkan udang, cili, daun bawang, daun saderi. Jangan lupa garam.
5. Ketepikan biar sejuk





Bahan kuah:
2 cm lengkuas
2 cm halia
2 batang serai
3 biji buah keras
2 biji bawang besar yang sederhana
3 ulas bawang putih
4 biji cili merah
5 biji cili api
* Blender semua bahan di atas
1 kotak santan
1 kiub serbuk ikan bilis
Beberapa helai daun limau purut dibuang tulangnya
1 keping asam keping

1. Sumbat sotong dengan bahan inti. Masukkan kepala sotong dan cucuk dengan toothpick.
2. Panaskan 3 sudu besar minyak.  Tumis bahan kisar sehingga masak.
3. Masukkan santan, kiub ikan bilis dan daun limau.
4. Masak sehingga kuah agak pekat. Tambah asam keping dan garam.
5. Masukkan sotong dan kacang. Masak sotong jangan terlalu lama. Nanti overcook dan sotong jadi liat.





Sekian.
Selamat berpikir pikir apa yang hendak dimasak untuk berbuka petang ni.
Aku rasa macam nak buat mee kari je.

ibundo


Tuesday, July 15, 2014

Nasi Pandan goreng Tomyam

Sambung cerita semalam.
Hari sebelumnya aku buat nasi pandan.  Nasi yang berlebih tak habis dimakan aku simpan dalam freezer. Jadi, keesokan harinya aku keluarkan nasi pandan tersebut dan aku goreng sebagai dish tambahan.
Rupanya nasi pandan ini bila digoreng tomyam rasanya boleh tahan pergh!!!
Nak buat nasi pandan,
aku guna beras basmathi.
Aku panaskan majerin, tumis bawang putih bawang merah dan rempah 4 sekawan secukupnya.
Masukkan beras dalam rice cooker, tambah santan satu kotak, air pandan, bahan yang ditumis tadi, halia blender satu sudu besar, 2 batang serai ketuk, dan garam.




Bahan nasi goreng:
4 cawan nasi pandan
200 gm daging ayam dipotong kecil
10 ekor udang
4 biji bawang merah hiris
2 ulas bawang putih hiris
2 batang serai dihiris nipis
4 biji cili api dihiris
6 helai daun limau dihiris
beberapa btang kacang panjang dipotong serong
2 sudu besar pes tomyam
1 sudu besar jus lemon
1 cube stok ayam




( Ini air tembikai. Bila pergi kedai tengok tembikai yang dah siap terbelah dan merah pulak tu, hadei...cukup tak tahan. Beli dua slices besar.  Petang blender habis semua buat jus tembikai. kalau nak rasa pudina, bila blend tembikai tu, bubuhlah beberapa batang daun pudia. Very refreshing..)





Cara buat nasi goreng:
Panaskan sedikit minyak.
Goreng udang hingga masak dan ketepikan.
Menggunakan minyak gorengan udang, tumis bawang putih dan bawang merah sampai naik bau.
Tambah serai hiris, cili api dan daun limau purut.
Tambah pula pes tomyam.
Masukkan ayam dan kacau masak
Masukkan kacang panjang.  Gaul.
Tambah jus lemon dan sedikit garam.
Masukkan nasi dan gaul hingga sebati dan masak.
Semasa menghidang, letak udang dan hirisan daun limau purut.
(kalau suka pedas, tambahlah bilangan cili api tu)



Sekian.
Selamat menyambut nuzul Quran.

ibundo


Monday, July 14, 2014

Terung balado

Kalau kerap mengintai dapur orang memang sah sah lah ada saja resepi yang bakal dibawak balik.
Dua tiga hari lepas aku mengintai dapur Jee Fauziah Samad. Singkap bawah tudung ternampak terung berlada yang cukup menaikkan selera. Waduhhhh... dahlah aku ni memang hantu terung berlada. Kalau makan kat restoren wong solo, terung balado tu memang wajib oder. Bersiut-siut pedas pun tetap sedap tahap gaban bak kata budak budak.

Resepi terung balado yang aku buat sebelum ni lain daripada resepi Jee. Aku rasa yang ini lebih mengancam. Mintak maaf Jee, bundo tumpang share dengan yang lain ye.





BAHAN2NYA:

6 biji terung
cili merah dan cili api (ikut suka)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
setengah cawan udang kering (dicuci dan tos)
minyak






 CARANYA:

*Terung dibelah dua. Kemudian digoreng atau bakar setengah masak. Kalau goreng, guna sikit jer minyak. Kemudian ketepikan.
*Goreng udang kering hingga garing atau rangup guna api sederhana. Ketepikan.
*Tumbuk cili merah/cili api, bawang besar dan bawang putih.

*Tumis dalam minyak sama goreng udang tadi. Bila dah naik bau dan garing, masukkan terung. Golek2 sampai rata selama kira-kira lima minit. Pastu sebelum tutup api,  taburkan udang kering yang digoreng tadi dan gaul rata.
Bubuh sedikit saja garam sebab udang kering dah masin.



Sedap berselera masa makan.  Cubalah.

ibundo




Sunday, July 13, 2014

Sup wantan

Salam hari ahad.
Cerita cerita pasal makan dan masak-masak tak sedar harini dah nak setengah bulan kita berpuasa. Cepat benar rasanya masa berjalan. Terasa sayang nak tinggalkan bulan Ramadhan yang banyak membawa barkah ini. Tapi itulah hakikatnya. Masa akan terus berdetik dan berlalu. Kalau kita tidak menafaatkan dia maka selamanya kita berada dalam kerugian.

Seorang kawan pernah bertanya kepada aku ;
Dalam umur aku sekarang apakah perkara yang paling mahu aku lakukan...
Kata aku; Apabila aku menoleh ke belakang aku lihat banyak sangat perkara yang sepatutnya aku buat  tetapi oleh kerana kejahilan, tidak tahu, malas, tidak mahu buat, tidak berkeyakinan dan seribu lain dalih membuatkan perkara-perkara yang patut aku buat aku sisihkan begitu saja.
Sekarang, bila aku memandang ke depan, aku lihat perjalanan aku semakin pendek dan hampir sampai ke penghujung jalan.
Jadi, at this age i have to learn to choose wisely. Have to be selective of what to do. Omit yang remeh temeh dan buat perkara yang boleh menjadi penyuluh sampai ke hujung jalan.

Adik adik yang muda belia, dont ever feel that you are still too young to do good deeds. Ajal maut tidak mengira umur. Jadilah muslim sejati. Paling penting solat lima waktu jangan diabaikan kerana dialah tunjang kepada segala kebaikan.


Okay, pasal makan.
Kita buat sup wantan ya.





Bahan:
Kulit wantan (boleh dibeli dipasaraya)
1/2 rangka ayam (ada dijual dipasaraya juga)
10 biji chicken balls dengan sayuran (kalau tak ada, guna apa-apa balls pun ok)
2 tangkai daun sup
2 tangkai daun bawang
2 cm halia muda
2 siung bawang putih titik
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
2 1/2 liter air

Bahan inti:
200 gm isi ayam dicincang halus
150 gm udang dicincang kasar
5 biji cendawan butang dicincang halus
1 tangkai daun bawang dicincang halus
1/4 sudu kecil serbuk lada sulah
sedikit garam
1 sudu besar tepung jagung




Bahan kuah:
Rebus rangka ayam, halia, bawang putih, daun sup dan daun bawang sehingga naik aroma dan air tinggal anggaran 2 liter.
Tapis ke dalam periuk lain. Buang hampas.  Yang tinggal hanya air sup yang jernih. Ketepikan

Bahan inti:
Campurkan semua bahan inti. Kacau rata. Masak sekejap di dalam kuali leper.
Sudukan inti ke dalam kulit wantan. Lipat dalam bentuk tiga segi. Guna sedikit air untuk melekatkannya. Lipat hujungnya ke belakang dan ketemukan kedua lagi hujungnya.  Lekatkan dengan air.
Buat sampai habis.

Didihkan kuah sup tadi.
Masukkan lada sulah dan garam secukupnya.
Masukkan balls.
Kemudian masukkan pula wantan. Wantan mengambil masa tak sampai 5 minit untuk masak.  Terus padamkan api.

Bila menghidang, taburkan bawang goreng dan hirisan daun bawang.

Sekian.

ibundo



Thursday, July 10, 2014

Herbal Roast Chicken

Malu pulak aku tengok kaki ayam ni terlepas macam tu.
Cantiknya diikat. Tapi semalam cari tali tak jumpa maka jadilah dia berada dalam posisi yang agak memalukan haha. Nasib baiklah kau ayam.

Semalam panggang dua ekor. Licin. Dagingnya lembut. Rasa herbalnya masuk ke dalam. Makan macam tu saja pun dah sedap. Tak payah dengan nasi. Tapi nanti tangan kena babap kalau nak meratah macam tu sesaja. Mau tak cukup dua ekor.





Okay resepi.

1 ekor ayam

bahan perap:
1 sudu besar rempah campuran (mix spices)
1 sudu besar serbuk cajun
1 sudu kecil serbuk pati ayam
3 tangkai herba rosemary
3 tangkai herba thyme
1 sudu kecil serbuk lada hitam
3 sudu besar olive oil (tambah kalau rasa tak cukup)
1 sudu kecil garam
slices of lemon

Lumur ayam dengan bahan perap selama 1 jam atau lebih.
Lumur rata termasuk bawah kulit ayam.
Ambil satu sudu besar mix spice lagi dan lumur dalam perut. Lumur rata juga.
Bubuh dua slices lemon dalam perut.

Aku perap dua jam. Baru rasa dia meresap ke dalam daging.
Kemudian bakar 200 deg F selama  40 minit.  Terbalikkan dan bakar lagi 40 minit atau sehingga warna nampak cantik.



Nanti ayam ni akan meninggalkan jus di dalam bekas bakar. Jus jangan dibuang.  Masukkan jus ke dalam periuk atau kuali dan campur dengan 1 sudu besar tepung yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak sampai kuah tu pekat.  Curahkan atas ayam.

Kalau nak bakar ayam dengan assesori  lain pun boleh. Bubuh ubi kentang, tomato ceri, capsicum dan sebagainya. Ikut kreativiti memasing lah.

sekian.  Tidak rugi mencuba.

ibundo


Tuesday, July 8, 2014

Ayam Kantan

Tengah berpikir-pikir mahu masak apa untuk petang ini?
Cubalah resepi ini. Pasti tidak akan mengecewakan.

Anak-anak aku semua suka makan ayam. Jadi, masak ayam kena dipelbagaikan.
Kalau masak ikan, kuah saja yang habis. Ikan terkebil-kebil dalam pinggan. Nak-nak ikan kembung atau ikan selar. Lagilah tak berusik langsung.

Resepi asal aku ambil dalam saji.  Aku olah sikit sikit untuk memenuhi citarasa tekak sendiri. Alhamdulillah memenuhi citarasa tekak orang lain juga.  Habis licin dimakan sampaikan tidak ada baki untuk aku panaskan semasa sahur.



Bahan ini adalah untuk 1 ekor ayam.  Aku masak 2 ekor.  Pandai-pandailah u all adjust.

Bahan:
1 ekor ayam di belah 4
2 tangkai daun ketumbar
1 batang daun kantan saiz besar (kalau kecil, guna 2 batang)

1 sudu kecil rempah campuran
1 sudu kecil lada hitam yang ditumbuk kasar
sedikit serbuk kunyit
1 atau 2 keping asam gelugur
1 kotak santan (atau santan dari satu biji kelapa)
tomato ceri
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak masak

Bahan kisar:
3 biji buah keras
3 cm lengkuas
3 cm halia
2 batang serai
4 biji cili besar hijau
4 biji cili api hijau (tambah kalau nak pedas)
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar




Panaskan minyak.
Tumis bahan kisar yang telah dicampur dengan serbuk kunyit sehingga wangi.
Masukkan ayam. Masak sebentar sehingga air ayam kering.
Masukkan santan, bunga kantan dan daun ketumbar. Juga lada hitam dan rempah campuran.
Tambah garam. Bagi yang suka gula, bubuhlah satu sudu kecil gula.
Masak sehingga kuah pekat.

Kemudian keluarkan ayam.  Bakar sekejap sehingga keperangan.
Semasa menghidang, curahkan kuah atas ayam.  Hias dengan ceri tomato.



Sekian.
Selamat mencuba.
Selamat berpuasa, selamat beribadah dan selamat membuat juadah berbuka buat orang yang kita sayang.

ibundo


Monday, July 7, 2014

Ayam pandan

Sekitar pertengan Jun, aku ke johor bharu bersama beberapa kawan-kawan sekelas tahun 70han. Kami menginap di rumah kawan di Kempas Baru dan menjadikan rumahnya tunggang terbalik dengan tawa hilai kami. Jelas keakraban yang terjalin sejak 40 tahun lebih dulu tidak mudah terlerai dek perjalanan zaman.
Tiga hari di sana kami sempat bertemu kawan-kawan yang terpisah sejak habis sekolah, menjejak kaki di sekolah lama, bertemu guru besar dan guru-guru yang usianya lebih muda dari kami. Semuanya meninggalkan kenangan indah yang terpahat di hati dan sanubari.

Di antara juadah yang dihidangkan oleh kawan tuan rumah adalah ayam bungkus pandan. Rasanya enak dan aku menikmatinya bungkus demi bungkus. Kawan-kawan yang lain mula menanya resepi dan ianya nyata  begitu mudah. Mudah tapi enak.



Apabila aku merancang untuk membuat nasi pandan untuk berbuka semalam, aku teringatkan ayam pandan ini sebagai juadah sampingan. Untuk mencari kelainan rasa, aku mencari resepi yang berlainan dan aku berjumpa dengan ayam pandan cik mat gebu.
Ayam pandan thai. Aku teliti bahan-bahan dan merasakan bahan yang ada itu sesuai dengan selera kami.  Memang enak.  Memang sedap.
Mohon cik mat, aku turunkan resepi di sini, copy paste dari blog tiffin biru.
 


 BAHAN-BAHANNYA :-)
400 g daging ayam bahagian dada
18 - 20 helai daun pandan yang BESAR
Lidi penyucuk secukupnya
Minyak untuk menggoreng terendam

BAHAN PEMERAP :-)
1 camca besar cincangan bawang putih
1/2 camca besar cincangan halia
2 camca besar santan
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap pekat
1 camca teh minyak bijan
2 camca teh gula
2 camca teh serbuk lada sulah

BAHAN SOS :-)
160 g gula melaka
125 ml cuka makan (mat letak 100ml je)
1 camca teh kicap pekat
1 1/2 camca teh cincangan bawang putih
5 - 6 cili padi, cincang halus
1 camca besar sos ikan (nampla)
1/2 camca teh bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi



 CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci daging ayam, potong kiub 1 x 1 inci dan gaul bersama bahan2 perap dan perap dalam peti sejuk sekurang2nya 1 jam.
  2. Kemudian keluarkan ayam dan bungkus menggunakan daun pandan seperti dalam gambar rajah di atas hingga siap (abaikan tangan dan jari yang montok2 itu yeaa!!). Ketepikan. Panaskan minyak dan goreng hingga masak (goreng 5 - 6 bungkus sekali), kurang lebih 4 - 5 minit. Angkat, toskan dan letak atas paper towel dan biar minyaknya terserap. Buat hingga siap.
  3. UNTUK SOS :- Cairkan gula melaka dengan sedikit air, kemudian tapis. Masukkan semua bahan2 lain kecuali bijan. Kacau rata dan sesuaikan rasa, jika suka boleh tambah sedikit gula. Taburkan bijan sebelum dihidangkan bersama ayam pandan tadi...





 Untuk cara-cara membungkusnya, anda lihat di link cik mat gebu yang aku tinggalkan di atas.



Sekian.
Nak pergi kedai.
Nak intai-intai bahan untuk iftar petang ini.
Nak masak apa ya?

ibundo



Sunday, July 6, 2014

Sambal asam belacan tempoyak

Seorang sahabat  mempunyai dusun durian di gombak. Dusunnya terdapat lebih kurang seratus batang pokok durian musang king. Buahnya juga sedang galak gugur.
Aku mempunyai dusun durian juga di kampung tapi tidaklah sampai seratus pokok. Buahnya juga jenis yang biasa-biasa sebab abah menanamnya semasa anak aku masih kecil-kecil. Yang terkenal pada masa itu durian tembaga. Malangnya kali ini buah tidak berapa menjadi. Musim panas, kurang dibelai, puluhan tupai, semuanya antara faktor yang menyebabkan buah durian aku hanya beberapa biji saja yang mengintai di sebalik dahan dan dedaun. Aku biarkan saja abang dan anak buahku mengutip hasil yang tak seberapa itu.

Kawan aku yang ada dusun di gombak itu berkali-kali mengajak kami kawan-kawan yang lain ke kebunnya mengutip musang king. Keadaan panas, berpuasa, letih, menyebabkan aku tidak sanggup untuk memenuhi jemputan. Kami yang tidak berkesempatan hanya berpesan-pesan supaya disimpan beberapa ulas di dalam freezer sehingga bertemu di hari raya. Dan buatkan juga tempoyak beberapa balang.

Tempoyak memang kegemaran aku sejak kecil. Kalau emak aku dulu membuat sambal daun kayu , aku akan meratahnya begitu saja. Sekarang pun.
Kalau tak pun, emak meletakkan cili api yang telah ditumbuk ke dalam piring. Tempoyak disudu dan diletakkan disebelah cili tersebut. Apabila makan, cili dan tempoyak digaul-gaul mengikut kepedasan masing-masing. Sekarang pun aku buat begitu juga.

Namun, dengan beredarnya masa sambal tempoyak dihidangkan dengan variasi yang berlainan. Digaul dengan budu pun sedap.




Untuk sambal tempoyak ini resepinya:

1 biji bawang besar didadu atau dihiris separa bulat
2 biji tomato dibuang biji dan dadu
beberapa biji tomato ceri dibelah dua
setengah batang timun dibuang biji dan didadu
belacan bakar (lebih kurang selebar sudu besar)
4 biji cili besar merah
4 biji cili api (tambah kalau mahu pedas)
1 biji cili besar hijau dihiris
2 sudu besar air asam jawa
1 sudu besar jus limau kasturi/nipis/lemon
1 sudu besar gula
garam secukupnya
1/2 cawan air masak
2 atau 3 sudu besar tempoyak





Blender cili merah , cili api dan belacan dengan air masak.
Masukkan ke dalam mangkuk.
Masukkan kesemua bahan di atas dan gaul rata.
Kalau nampak terlalu pekat, boleh tambah sedikit air.




Sekian.
Selamat berpuasa.
Selamat mengerjakan ibadah.


ibundo


Saturday, July 5, 2014

Kroket pulut

Assalamualaikum.
Setengah tahun menyepi.
Tiba-tiba aku teringat akan dapur yang sudah sekian lama tidak berasap.
Bukan tidak sayang. Sayang.
Tapi keadaan yang pada mulanya tidak mengizinkan telah menjadi sebati dalam diri sehingga tidak mengizinkan aku terus menerus untuk masuk ke sini.

Beberapa hari lepas aku begitu teragak untuk mengambil foto masakan yang aku sediakan untuk berbuka.  Terkial-kial aku menggunakan kamera yang aku abaikan banyak bulan. Puas aku mencari setting yang betul.  Ada saja yang tak kena.
Practice makes things perfect. Apa lagi aku yang telah berumur ini mudah saja lupa kalau benda tidak dibuat selalu.

Ohya.. apa kabar.
Bagi yang tertanya-tanya, aku sihat. Alhamdulillah.
Awal tahun aku mengalami sakit di tapak tangan kanan. Susah untuk memasak. Susah untuk memegang benda yang berat-berat. Kesusahan itu aku jadikan alasan untuk tidak mengupdate dapur. Apalagi setelah melakukan sedikit operation di tempat yang sakit, alasan semakin bertambah kuat. Alhamdulillah sekarang sudah pulih walaupun masih terasa bila membuat kerja yang berat.




Tidak ada yang istimewa yang hendak aku tunjuk di sini.
Cuma yang hendak aku tekankan ialah kita jangan terlalu membazir ketika berbuka puasa. Ada kalanya makanan yang kita masak terlebih daripada sepatutnya.  Kalau ada yang lebih, jangan dibuang. Daging ayam boleh digunakan semula untuk membuat pegedil. Daging boleh digunakan juga untuk membuat perencah nasi goreng etc etc. Kreativiti mesti ada.

Pulut yang aku guna untuk membuat kroket ini adalah lebihan pulut santan durian untuk manisan semasa berbuka. Santan durian yang berlebih aku bekukan dalam freezer.  Mungkin boleh dibuat pengat pisang atau bubur kacang hijau. Nantilah.
Kroket pulut ini aku buat keesokan harinya sebagai juadah tambahan berbuka.
Aku letak resepi di sini sebagai rujukan.




5 biji ubi kentang potong dadu
1/2 batang carrot potong dadu
1 biji bawang besar potong dadu
2 ulas bawang kecil cincang halus
2 biji cili besar  cincang kasar
1 tangkai daun sup hiris kecil
1 tangkai daun bawang hiris kecil
1/2  sudu kecil lada sulah
pulut (anggaran 2 cawan penuh)
1 sudu besar rempah kari
1 cawan air

bahan untuk salut:
2 biji telur dikocok
golden breadcrumbs


Panaskan sedikit minyak dalam kuali.
Tumis bawang putih dan bawang besar.
Masukkan rempah kari.
Bila naik bau masukkan kentang dan carrot.  Gaul sebati dan tambah air.
Masak sehingga empuk. Sekiranya air kering dan kentang belum empuk, tambah air.
Bila sudah empuk, masukkan bahan-bahan lain berserta pulut.
Gaul sebati. Masak sehingga benar-benar kering.
Angkat dan ketepikan.  Biarkan sejuk.
Bila sudah sejuk, bentukkan lonjong.
Panaskan minyak, gelekkan kroket ke dalam telur, golekkan atas breadcrumbs dan goreng sehingga kuning keemasan.



Sekian.
Salam sekali lagi buat semua.
Rindu kalian.

ibundo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...