Friday, November 16, 2012

Resoles lagi

Assalamualaikum, selamat bercuti panjang bagi mereka yang bercuti.  Apa kabar.
Lama rasanya tidak menjenguk di sini apatah lagi menjenguk adik2 semua di sebelah sana.
Agaknya hidangan asam pedas kaw dah tak kaw lagi sebab lama sangat terpampang.

Hari ini bundo hidangkan resoles lagi. Bundo memang gemar buat dan makan resoles sebab buatnya mudah dan tak banyak kerenah.  Rasa pun sedap.  Tambah lagi bila digigit-gigit sekali dengan cili api.  Pergh!!



Untuk kulitnya anda perlu:
2 butir telur
375 air
150 gm tepung gandum
1 1/2 sudu besar majerin yang dicairkan
3/4sudu teh garam

Masukkan kesemuanya ke dalam blender. Blend sampai sebati sahaja. Masukkan ke dalam mangkuk.



Untuk resoles ini bundo buat inti udang + jejari ketam.  Sebenarnya inti resoles ini boleh dipelbagaikan.  Buat sajalah inti apa-apa pun.  Inti karipap pun jadi.  Tidak ada had tentang ini.
Untuk inti yang bundo buat ini anda perlukan:



8 ekor udang
5 batang jejari ketam
1 biji bawang besar didadu kecil
1 ulas bawang putih dicincang halus
¼ cawan seleri yang telah didadu kecil
5 biji cendawan butang didadu kecil
1 sudu besar tepung 
1 sudu besar majerin 
1/4 cawan susu cair
1 sudu kecil lada hitam
garam secukupnya


1. Udang dan jejari ketam dipotong kecil.
2. Panaskan majerin di dalam kuali. Masukkan bawang putih dan bawang merah. Gaul rata.
3. Tambah susu  cair. Kacau rata supaya tidak berketul.
4. Masukkan bahan-bahan lain.



Untuk membuat kulit:

1. Panaskan kuali tidak melekat.
2. Masukkan sesenduk kecil adunan tepung. Agak2 supaya tidak tebal dan tidak terlalu nipis.
3. Masak sehingga bawahnya agak kekuningan sedikit. Angkat dan ketepikan.

Anda juga perlukan:
Serbuk roti yang bewarna kuning gold
1 biji telur dicampur dengan sedikit air dan dipukul sedikit.



Untuk jadikan resoles:

1.  Ambil selembar dadar.  Letak inti dan lipat.  Boleh lipat macam buat kuih gulung.  Boleh juga dilipat leper. Boleh lipat tiga segi. Atau nak lipat macam crepe durian pun boleh.
2. Panaskan kuali leper dan bubuh sedikit minyak. Celup gulungan dalam telur dan gulingkan dalam serbuk roti.
3. Masukkan dalam kuali dan goreng sehingga kekuningan.



Sekian.  Cubalah rasa.
Bundo nak siapkan cupcake untuk hantaran bertunang ni.....
Jumpa lagi.

ibundo

Friday, November 9, 2012

Asam pedas kaw

Kalau orang nisemilan tak boleh lari dari lemak cili api, orang melaka pula dengan asam pedas. Kalau mertua datang ke rumah, bundo kena sediakan asam pedas yang kaw.  Kalau tak siaplah kena kritik. Kuah asam pedas tak boleh cair. Mesti pekat.
Mula-mula dulu puas juga nak adjust. Lama-lama dah kira bolehlah. Dan bila dah boleh tu, kita boleh je nak ubah suai sana sini.  Bundo suka versi yang ini.



Bahan:
1 ekor ikan siakap
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
3 biji buah keras *
3 batang serai *
2 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih *
25 biji cili kering *
1 sudu besar belacan *
1 batang bunga kantan
3 tangkai daun kesum diambil daunnya
1 helai daun kunyit
sebesar ibu jari asam jawa digaul dengan setengah cawan air
Air secukupnya (agak-agaklah )
Bende atau terung (bundo tak bubuh sebab stok takde)




Cara:
1. Blender bahan yang bertanda *.
2. Panaskan minyak.  Tumis bahan yang diblender sehingga benar-benar masak dan terbit minyak. (Makan masa dalam 6-10 minit).
3. Tambah air asam jawa.  Gaul rata.  Tambah air secukupnya (jangan cair sangat).
4. Apabila mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan dan daun kunyit.
5. Masukkan ikan dan garam.
6. Masak sehingga kuah pekat.
Nota: rasa pedas, masam, masin kena belance. Tambah mana yang rasa tak cukup.



Jomlah rasa.  Sedap ni, hahaha.....


ibundo

Thursday, November 8, 2012

Jemput-jemput abah

Dah hari kamis. Sekolah tinggal harini dan besok saja untuk sesi tahun ni.  Minggu depan dah mula bercuti.  Tentu perancangan telah dibuat untuk membawa anak-anak berjalan-jalan. Cuma perlu berhati-hati apabila membawa kenderaan sebab sekarang dah mula hujan.  Lebat pula tu.
Bagi yang mempunyai kewangan yang mantap mungkin akan membawa keluarga melancong keluar negara. Seronoknya..





Jemput-jemput ini bundo sediakan untuk minum petang abah. Tengoklah resepinya.  Anak bundo kata boleh tahan sedapnya sebab ada banyak benda yang digigit-gigit dalam jemput-jemput ni.

Bahan:
2 cawan tepung gandum
1 1/2 tongkol jagung manis
2 sudu besar kismis kecil kecil
6 biji kurma didadu kecil
1 cawan susu cair
1 cawan gula merah
1 biji telur
2 sudu besar majerin






Cara:
Jagung dihiris dari tongkolnya.
Gaul semua bahan dalam bekas. Biarkan sekejap.
Panaskan minyak dan sudukan ke dalam minyak panas.




Cucu bundo Hafiy sudah keluar dari hospital semalam. Mulanya doktor mahu mengambil air sumsum di tulang punggung. Namun tak jadi sebab alhamdulillah berkat doa ramai, plateletnya naik mendadak sampai 240 ribu lebih. Semuga ia terus naik dan kekal begitu. Terima kasih atas keperihatinan semua.

ibundo

Wednesday, November 7, 2012

Ayam kesum kantan

Salam.
Bundo kehabisan kata-kata tak tahu nak cakap apa. Banyak benar benda yang nak dipikirkan kebelakangan ini. Jadi, tak payahlah bundo cakap banyak.  Bundo terus sajalah ke resepi bundo pada hari ini.

Ayam ini bundo masak untuk dinner tadi. Cubalah... Mesti ada yang mahu masak berulang-ulang.



Bahan:
1 ekor ayam
1 biji kelapa diambil santan
2 inci lengkuas *
1 inci halia *
1 inci kunyit hidup *
4 biji buah keras *
3 batang serai *
5 ulas bawang putih *
6 ulas bawang merah *
15 biji cili api ( boleh kurang atau tambah) *
4 biji cili besar merah *
1 sudu kecil belacan *
1 1/2 kuntum bunga kantan
4 tangkai daun kesum diambil daunnya sahaja
1 keping asam keping
1 cube stok ayam
garam secukupnya





Cara:
1. Blender bahan yang bertanda *. Ketepikan.
2. Blender kelapa parut bersama air secukupnya.  Tapis dan ambil santan.  Ketepikan.
3. Masukkan minyak masak secukupnya di dalam periuk.  Tumis bahan kisar sehingga wangi.  Masukkan ayam. Gaul sebati sehingga air ayam keluar.
4. Masukkan santan, bunga kantan, daun kesum, cube ayam dan garam.
5.  Masukkan asam keping dan masak sehingga kuah agak pekat.





Pasti menjilat jari.

Sekian.


ibundo

Tuesday, November 6, 2012

Pratha gulung sayuran

Makanan ni bundo buat semalam.  Untuk dinner bundo cuba untuk tidak makan nasi. Cuba banyakkan makan sayur dan buah sahaja.
Yang ini sebenarnya bundo buat untuk bundo sahaja tapi ramai pula orang lain yang mengendeng.




Bahan:
beberapa keping roti pratha
3 tangkai bayam ambil daunnya sahaja
1/2 batang carrot diparut kasar
1/4 batang celery didadu
1/2 tongkol jagung manis
1/2 biji bawang besar didadu
1sudu kecil parsley kering
1/2 sudu kecil lada hitam ajishio
1 sudu besar butter/majerin
1 sudu besar tepung gandum
1/2 cawan air




1. Panaskan butter. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga berbuih.  Tambah air, kacau laju sehingga tidak berketul dan licin.  Sekiranya kurang air, tambah sedikit air.
2. Masukkan parsley kering, lada hitam dan garam.  Kacau rata.
3. Masukkan pula sayuran dan masak sehingga kuah pekat dan sayur masak.
4. Biarkan sejuk seketika.
5. Roti pratha dimasak di dalam kuali tidak melekat.
6. Ambil sekeping roti pratha, bubuh sayur dan gulung.
7. Makan ketika panas kerana roti masih rangup.



Hari ini cucu bundo Hafiy akan masuk ke OT untuk diambil air tulang belakang. Doktor mahu pastikan samada sakit hafiy ada kaitan dengan lukemia atau tidak. Tolong doakan...


ibundo

Monday, November 5, 2012

Sambal gesek ayam dan ikan bilis

Salam hari isnin. Semuga keceriaan memihak kepada anda semua.
Alhamdulillah.  Antara tugas besar yang menanti bundo setiap hujung tahun sudah selesai Sabtu lepas. Bukan maknanya sudah boleh lepas tangan. Banyak lagi kerja yang menanti untuk memasuki sesi baru pada awal tahun depan. Semuga bundo diberikan kekuatan memandangkan bundo ni dah patut pencen goyang kaki saja di rumah sambil goyang-goyang tangan ketuk kuali belanga.



Projek sambal ini bundo buat tengahari semalam. Mulanya nak buat sambal gesek ikan bilis tapi bila tengok dalam peti ais ada mangga sebiji dan ada pula dada ayam kepsi yang tak habis dimakan, bundo beralih ke plan b. Siapa yang selalu makan sambal gesek orang nisemilan memang akan tahu rasa sambal ni. Ada keseimbangan rasa pedas, masin, masam yang menyengat di dalam mulut ketika ia dimakan. Masa bundo kecil dulu, mak bundo selalu buat sambal gesek untuk dimakan bersama pulut tanak.

Okay, yang ini versi tambahan dari bundo.  Enak juga...



Bahan:
15 ulas cili api
1 genggam ikan bilis
1 ketul dada ayam kfc (kalau tak ada, rebus seketul dada ayam)
1 biji mangga
5 ulas bawang merah
3 biji limau kasturi
garam




1. Daging ayam disiat-siat.  Ketepikan.
2. Ikan bilis direndam dalam air panas sebentar.  Tos dan ketepikan.
3. Bawang merah dihiris.
4. Mangga diparut kasar.
5. Cili ditumbuk. Masukkan ikan bilis, tumbuk kasar.  Masukkan pula bawang, tumbuk kasar.
6.  Masukkan ke dalam mangkuk.  Gaul bersama ayam, mangga dan jus limau berserta garam.
7. Seimbangkan kesemua rasa dan tambah mana yang kurang.



Makan dengan nasi panas.  Pergh!!!

Kepada pembaca yang lalu di sini bundo pohon tolong sama doakan cucu bundo Muhammad Hafiy Fakhrullah sehat segera. Ceritanya di sini dan di sini.

Sekian.


ibundo

Thursday, November 1, 2012

Puding Roti Cocktail Bakar

Salam.
Dah satu November hari ni. Dua bulan lagi masuk tahun baru. Sungguh cepat masa beredar.  Antara sedar dengan tidak umur makin meningkat dan muda makin meninggalkan kita.

Dua tiga hari ini bundo rasa kurang sihat. Nak kata demam, tak.  Tapi anggota rasa lesu tak bermaya.  Selera makan pun kurang.  Lauk yang dihidang di meja makan cuma ditenung saja. Tekak nak makan tapi tak tau apa yang nak dimakan.
Namun begitu, sempat juga membuat puding roti cocktail bakar.




Semasa bundo potong potong puding roti tersebut setelah masak dan sejuk, bundo pikir mesti tak habis makan sebab dapat satu pinggan besar penuh melimpah ruah. Nampaknya tekaan bundo itu meleset sebab belum sampai ke senja yang tinggal cuma sosnya saja.  Itu pun sikit. Pudingnya dah tak nampak.



Untuk peringatan bundo dan anak-anak, bundo letak resepi di sini.

Bahan:
6 keping roti gardenia
2 biji telur
2 cawan penuh buah-buahan cocktail
200 ml air buahan cocktail
400 ml susu segar / cair
1/2 cawan gula castor
1 1/4 cawan tepung naik sendiri


1. Koyakkan kecil roti gardenia dan masukkan ke dalam mangkuk. Rendam bersama susu cair.
2. Air buah, telur dan gula dimasukkan ke dalam blender. Putar sebentar. Masukkan tepung dan putar lagi sebentar. 
3.  Masukkan bahan yang telah diblender ke dalam mangkuk berisi roti.  Masukkan buah-buahan.  Gaul rata.
4. Masukkan ke dalam loyang pembakar dan bakar sehingga masak.




Bahan sos:
1 sudu besar tepung kastad
3 sudu besar gula
400 ml susu segar
100 ml air
1 sudu kecil esen vanila

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk.  Masak sehingga kuah pekat.
Hidangkan bersama puding roti.




Rasa? Boleh tahan lah.... Tapi anak kata sedap.  Siapa lagi nak puji kalau tak anak kan?

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...