Latheefa's Muslimah Collections

Friday, June 29, 2012

Ayam kuziku

Untuk berbuka petang tadi bundo buat nasi tomato berlaukkan ayam kuziku. Rasa seakan-akan ayam kuzi tetapi sebab ada tambah sana sini sikit-sikit, jadilah ayam kuziku hehe.. memandai jelah aku ni kan?

Perut masih kenyang ni.  Bukan kenyang makan nasi tapi kenyang minum air.  Kalau berbuka puasa, yang laris dulu ialah air. Beregelen-gelen masuk air. Makan seciput.  Lepas tu berlumba-lumba masuk billik air buang balik air yang dah diminum tadi.  Adei..



Rasa?  memang ummph. Betul.. Bundo makan jilat-jilat jari.  Anak makan pun jilat-jilat jari. Makan pula dengan nasi tomato kan. Lepas tu ada pula sambal cencaluk. Bila makan gigit-gigit cili api yang ada dalam sambal cencaluk tu. Walla!.. tapi bundo makan sikit je sebab perut dah penuh dengan air.



Bahan:
A:
1 ekor ayam dipotong 12
4 ulas bawang putih
1 sudu besar rempah all sipce
1 sudu teh garam
1/2 cawan kismis
1/2 cawan kacang peacan
1 cawan minyak

Cara:
1.Masukkan ayam ke dalam mangkuk.
2. Tumbuk halus bawang putih. 
3. Lumurkan ayam dengan bawang putih, garam dan rempah all spice. Perap selama 1 jam.
4. Panaskan minyak dan goreng sebentar kacang peacan. Angkat dan toskan. Ketepikan.
5. Gorang sebentar kismis.  Angkat dan toskan. Ketepikan.
6. Goreng ayam 3/4 masak sehingga kekuningan.  Toskan minyak. Ketepikan.




Bahan B.
2 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih ditumbuk halus
3 biji bawang merah ditumbuk halus
1 cm halia ditumbuk halus
2 batang serai dititik
4 sudu besar rempah briyani dijadikan pes dengan menambah sedikit air
1/2 cawan air
1 tin susu cair (evaporated milk)
1/2 tin kecil tomato puree
1/2 tin besar sup tomato
1 tin kecil kacang peas (asingkan air dan kacang)
3/4 cawan bawang goreng
garam secukupnya

Cara:
1. Ambil sesenduk minyak gorengan ayam.
2. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia yang ditumbuk halus.
3. Masukkan bawang besar dan serai.  Tumis lagi sehingga berbau wangi.
4. Masukkan pula rempah briyani. Tumis lagi hingga wangi.
5.  Masukkan ayam, tomato puree, sup tomato, air, susu cair dan air kacang peas.
6.  Tambah garam secukupnya dan masak sehingga kuah pekat.
7. Sebelum padamkan api, masukkan kacang peacan, kismis, kacang peas dan separuh daripada bawang goreng.
8.  gaul rata.
9.  Semasa menghidang, taburkan separuh lagi bawang goreng di atas hidangan.



Sekian.  Selamat mencuba.


ibundo


Thursday, June 28, 2012

Sajian laut henti sejenak

Henti sejenak.
Masing2 terintai-intai apa yang bundo masak. Ada yang menarik nafas dalam-dalam menyedut aroma yang memenuhi setiap ruang dapur.

Henti sejenak.
Melihat masakan yang telah sedia masak dalam kuali sambil tangan mencopot seketul udang yang sedang terbongkang berposing maut.  Dan udang bertukar dari tangan ke mulut sambil mata terpejam-pejam tak tahu samaada menikmati kesedapan atau menahan kepanasan udang yang masih berasap-asap.



Ah.. nikmatnya kalau masak dan orang suka apa yang kita masak. Terasa diri seperti seorang genius dalam bidang kedapuran . Ada kau kesah? haha..



Asalnya nak goreng fish filet saja tapi bila dicongak-congak takut pula tak cukup untuk satu famili. Sebabnya bila fish filet tu dibeli nampak besar besar dalam bungkusan.  Tapi bila sampai rumah dan di defrost rupanya yang besar itu hanyalah ketulan ais. Isinya ciput dan nipis pula.



So, tukar ke plan B. Selongkar peti ais, ada udang dan sotong.
Semasa membersihkan udang, bibik bertanya; nak masak apa ni buk.
Bundo cakap, projek.. hehe.
Bundo suruh bibik pergi belakang dapur ambil daun limau purut, ambil daun kunyit.
Serai mana? bundo tanya bibik
Serai habis buk.  Haritu buat masak ayam.
Kat belakang?
Kan dah lama tak ada buk..masa wak robi buat pagar dulu.
Oo ye ke.  Tak per.. tak per.. tak payah serai.



Bundo siapkan;
3 keping fish filet potong cube besar
6 ekor sotong potong gegelang
10 ekor udang besar dibuang kepala dan dibelah belakang
1 biji bawang besar dipotong bulat
2 ulas bawang putih dicincang kasar
2 ulas bawang merah dicincang kasar
1/2 biji capsicum merah didadu kasar
8 helai daun limau purut dibuang uratnya dan dikoyak kasar
1 helai daun kunyit muda dihiris kecil
2 tangkai daun ketumbar dipotong kasar
1 sb sos ikan
1 sb sos plum
1 sb kicap masin
1 sb kicap manis
1 sb sos tiram
3 sb sos tomato
1 sb stok ayam pekat maggi (dalam botol)




Kemudian;
Fish filet digaul dengan secubit garam dan secubit kunyit.  Goreng sehingga kekuningan dan bundo letak tepi.
Bundo panaskan minyak sikit.  Tumis bawang merah dan bawang putih cincang sampai naik bau.
Bundo masukkan daun limau purut dan daun kunyit. Goreng sehingga baunya semerbak.
Masukkan pula semua sos.  Gaul rata.
Bila nampak dah okay, baru bundo masukkan udang. Masak sampai bertukar kemerahan dan masukkan daun ketumbar dan capsicum.
Lepas tu bundo masukkan pula sotong.
Masak sekejap saja sebab tak mahu udang dan sotong tu over-cooked. Sotong tu kalau terlebih masak nanti akan keluarkan air dan jadi keras.
Bila agak-agak dah masak, baru masukkan fish filet yang digoreng tadi dan terus padamkan api.
Gaul rata semuanya.
Siap.



Bila dah siap, bundo berhenti sejenak menenung hasil air tangan bundo hikhik..
Teruslah datang nama...... sajian laut henti sejenak.

Sekian dimaklumkan.

ibundo

Wednesday, June 27, 2012

Burger Temtahu Roti Telur

Untuk beberapa tahun, bundo amalkan low-grain diet dan low sugar diet. Dalam satu minggu bundo makan nasi beberapa kali sahaja.  Itupun bundo makan brown rice. Sebabnya, triglyceride bundo tinggi dan bundo perlu turunkan.  Nasib baiklah juga hasben bundo mahu temankan bundo amalkan diet macam tu.

Bundo cuma minum air kosong.  Kalau nak perisa, bundo perahkan lemon. No cakes.  No cookies.  No ice-cream. Benda yang manis-manis semua tak ambil termasuklah kuih muih.
Untuk menggantikan nasi, bundo makan ikan panggang, rebus atau kukus. Makan dia saja-saja bersama dengan sayur mentah atau rebus.  Dan bundo banyak makan tempe dan tahu.

Dalam setengah tahun bundo amalkan diet macam tu, bundo pergi buat check up dan memang tahap triglyceride bundo turun betul-betul ke tahap normal. Dan berat badan pun turun berkilo-kilo sehinggakan bila berjumpa kawan mereka akan tegur; apasal kau kurus.  kau sakit ke...


 



Oleh sebab tahu dan tempe dah menjadi makanan utama, bundo kena pelbagaikan cara mengambilnya. Kalau gorenggggggg saja, pastilah muak.  Ohya.. bundo goreng guna extra virgin olive oil dan guna sikit-sikit saja.

Jadi, apa kena mengenanya dengan berger temtahu yang bundo tempel di sini?
Ini adalah salah satu menu yang bundo cipta semasa berdiet dulu. (Sekarang ni diet dah banyak di langgar.  Hancusss..) Dan jangan tak tahu.  Nama temtahu itu adalah gabungan tempe dan tahu hehe..
Berger ni selalunya bundo makan dengan roti gandum tetapi kali ni bundo gabungkan dengan roti telur.


roti telur


Okay.  Mula-mula kita buat berger dulu.
Bahan:
1 bungkus tempe dalam plastik, potong 4 dan rebus sebentar.
1 biji tahu
1 biji bawang besar didadu kecil
1/2 sudu teh lada sulah
1/2 sudu teh garam
1 biji telur
3 tangkai daun sadri dipotong halus
2 sudu besar tepung gandum
sedikit serbuk stok ayam kalau suka

 


Cara:
1. Biar tempe sejuk sedikit.
2. Dalam lesung batu, tumbuk halus tempe.
3. Tumbuk halus tahu.
4.  Masukkan tahu dan tempe ke dalam mangkuk dan campurkan dengan segala bahan yangn lain.
5.  Gaul rata dan bentukkan seperti berger.
6. Untuk adunan ini, anda akan mendapat 2 berger yang gedabak atau 3 berger yang agak comel.  Bundo pilih yang gedabak.
7..Panaskan kuali tidak melekat.  Bubuh sedikit minyak dan goreng dengan api perlahan sehingga masak.
(Bundo goreng dalam grill pan. Nampak cantik bergaris-garis gitu....)






Sekarang kita buat roti telur pula. Sebelum bagi bahan, bundo nak bagitahu yang adunan ni adalah untuk 2 keping roti saja.  Kalau lebih daripada 2 keping, you all adjustlah sendiri ye..

Bahan:
2 keping roti sandwich
3 biji telur
3 tangkai daun sadri dipotong kecil
1/2 biji bawang besar ditumbuk halus
1/2 sudu teh lada sulah
1/4 sudu teh jintan manis
secubit (hujung jari) jintan putih
1/4 cawan susu segar
secubit garam
2 sudu besar majerin



Cara:
1. Di dalam  mangkuk, campur semua bahan dan kocok sebentar sehingga sebati. Bahagikan kepada 4 bahagian agak-agak sama banyaknya.
2. Panaskan sedikit majerin dalam kuali leper berdiameter kecil. Tuang 1 bahagian telur.  Letak sekeping roti di atasnya. Kemaskan tepi tepinya supaya berkumpul di tepi roti.
3. Angkat roti dengan spatula dan masukkan 1 bahagian lagi telur ke dalam kuali. Letak semula roti di bahagian atas ke bawah pula. Jadinya sekarang, kedua-dua permukaan roti telah disalut dengan telur.  Angkat bila sudah kekuningan.
4. Buat perkara yang sama dengan sekeping roti lagi.
5. Ketepikan.






Untuk menjadikan roti berger:
Ambil sekeping roti telur.  Letak salad, tomato dan timun. Kemudian letak berger temtahu di atasnya.  Letak lagi salad, tomato dan timun di atas berger. Lepas itu tutup pula dengan sekeping roti telur lagi.
Bundo tak letak cheese atau mayonis atau sos sebab begitulah yang bundo selalu makan dulu.




Tapi ada orang dalam rumah ni yang suka makan berger temtahu ni begitu saja cicah dengan sos cili dan mayonis. Dua keping berger gedabak yang bundo buat salah satunya telah dilarikan.




Ngap begitu saja tanpa roti. Sebenarnya kan, roti telur tu sedap dimakan macam tu saja. Tak perlu ada berger.  Tak percaya cubalah. Hujung-hujung minggu kita ada banyak masa untuk bersantai-santai buat breakfast kan. Pasti ramai orang dalam rumah yang suka.



Akhir sekali, bundo tak kesah kalau you all nak ambil resepi ni dan mencubanya.  Tapi pastikan bagi kredit pada bundo sebagai pencipta asalnya dengan membubuh link ke blog bundo ni ya...

Sekian.

Kasih daripada
ibundo

Tuesday, June 26, 2012

Pengat Mi Siput

Ramadhan hampir tiba.
Masih terbayang-bayang di ruang mata bundo ni arwah mak mengisar tepung untuk membuat kuih muih semasa berbuka puasa. Dulu tak ada tepung beras.  Tak ada tepung pulut. Kalau nak buat kuih, kena rendam beras dan kisar.  Kisar pulak kena ada teknik. Kalau teknik tak betul nanti tepung jadi kasar dan kena kisar lagi sekali.
Sekarang ni dah tak payah susah susah.  Dan pengisar tepung tu dah jadi hiasan kat laman bundo ni.

Antara juadah berbuka puasa yang mak bundo suka masak ialah pengat mee siput. Err.. nak buat mee siput ni tak payah kisar tepung.  Cerita kat atas tu hanya intro je.  Mee siput beli siap di kedai. Masa dulu, mee kuning pun susah nak dapat. Yang ada, mee yang cina buat.  Orang melayu kita ni belum ada lagi yang pandai buat mee kuning.




Kelmarin bila nampak mee siput di kedai secara otomatis bundo teringatkan pengat mee siput mak. Mak bundo dulu gandingkan mee siput ini dengan pisang nangka. Tapi sebab pisang untuk dibuat pengat tak ada ketika bundo beli mee siput tu, bundo gandingkan dengan keledek yang ada berbaki seketul dua di rumah.




Bahan:
2 keping mee siput
1 biji keledek
1/4 cawan chacha
1 buku gula merah
2 sudu besar lempuk durian
1 sudu teh garam
800 ml santan
2 helai daun pandan

Cara:
1. Rendam chacha sampai kembang
2. Didihkan air dan rebus lembut mee siput
3. Keledek dipotong kiub besar
4. Masak santan, keledek dan chacha sehingga  lembut. Masukkan daun pandan, garam dan gula.
5. Apabila bahan empuk, masukkan lempuk dan mee siput.
6. Kacau sebentar dan padamkan api.



Mungkin ada yang rasa pelik.
H'a?.. mee dibuat pengat? Tapi rasa dulu baru tahu.
Abah bundo makan bertambah-tambah.  Mungkin mengembalikan memorinya kepada arwah mak.
Abah bundo umurnya dah hampir 90 tahun.  Masih kuat. Masih boleh bawa kereta sekitar kawasan rumah bundo ni.  Ya.. abah tinggal dengan bundo sejak pemergian mak.

Berani mahu mencuba?

ibundo


Monday, June 25, 2012

Cekodok mee maggie

Salam pagi isnin. Apa kabar semua.  Sejak badak mengamuk sakan bundo terus menyorok takut kena sondol dengan badak lagi. Harini ni baru berani nak keluar hehe..
Itupun bawak cekodok je. Cekodok megi.  Siapa yang tak suka megi kan? Dari yang muda sampai ke tua, ramai yang kemaruk dengan megi.



Harini badan tak berapa sehat.  Rasa macam lemah-lemah. Begitulah kan kalau barang yang dah lama pakai ni. Nak kena overhaul selalu. Duduk depan lappy ni lama-lama pun rasa macam berada di awangan je. So, bundo skip la pembebelan yang overdose ya..



Nak letak resepi jugak.  Mana tahu kot kot ada yang berkenan.

bahan:
1 bungkus mee maggie perisa kari.
1/2 cawan carrot yang telah diparut halus
1/2 cawan ubi kentang yang telah diparut halus
3 batang daun sadri dipotong kecil
2 sudu besar majerin
1 biji telur
1 1/4  cawan air
2 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan nasi sejuk*
1/2 cawan ikan bilis*
1 biji bawang besar (sederhana besar)*



Cara:
1.  Mee maggie dipatah-patahkan dan rebus sehingga lembut.  Toskan air dan ketepikan.
2.  Blender semua bahan yang bertanda * dengan 1/2 cawan air.
3.  Gaul tepung bersama majerin, telur dan 3/4 cawan air. Masukkan rempah mee megi dan secubit garam.  Gaul rata.
4.  Masukkan ke dalam adunan tepung itu mee megi, carrot, kentang, daun sup dan bahan blender.
5.  Kacau sebati dan biarkan sekejap selama 10 minit.
6.  Panaskan minyak.  Jemput dengan tangan adunan ke dalam minyak panas. Goreng hingga kekuningan dengan api sederhana besar.



Bundo kalau masak jemput-jemput atau cekodok, suka ambil tepung adunan itu dengan tangan.  Nanti cekodok nampak bulat dan cantik.  Lagipun, bila lagi nak merasa air tangan bundo ni kan?

Ambillah cekodok tu sorang satu.

Sekian.


ibundo


Friday, June 22, 2012

Badak Gemuk Berendam Sakan

Masak apa untuk berbuka harini.  Bundo teringin sangat nak makan badak. Badak yang berendam tu...
Panas berbahang macam ni kalau boleh kita pun nak tumpang berendam sama. Kalaulah rumah bundo ni ada kolam, uish.. memang sampai kecut bundo berendam dalam air.

Tapi apakan daya.  Yang ada kolam plastik empunya cucu bundo tu. Takkanlah nak numpang sama. Yang ada satu lagi tu, kolam ikan. Kolam ikan koi dan ikan tilapia.  Kang berendam dalam tu mau kena ekor dek kucing-kucing sebab satu badan berbau ikan haha..

Apa-apa pun, mehlah makan badak berendam ni.  Badak yang ada dalam gambar ni comel sebab bundo yang gentel. Badak yang bibik buat ya rabbi gemuknya....... Makan sekor je boleh tahan tak payah makan nasi lagi dah.



Macamana nak buat badak berendam ni? Bundo pasti ada anak-anak dara yang tak reti nak buat. Maklumlah, main beli kat pasar malam je.  Kalau nak tau, ha.. meh sini bundo ajarkan.

Mula-mula kena ada inti dulu. Inti ni mudah je. Cari kelapa yang tidak berapa tua.  Parut putihnya saja. Kemudian campur dengan gula merah.  Kalau kat kampung bundo, banyak orang jual gula anau. Gula anau yang asli rasanya sedap dan lemak.  Gula yang dijual di kedai tu kebanyakannya dah ditambah dengan gula pasir.  Dah tak asli lagi dah.
Kelapa, tambah gula merah, tambah santan sikit kalau nak lemak.  Kalau taknak, bubuh air saja dalam setengah atau satu cawan terpulang banyak mana kelapanya.  Koyakkan daun pandan.  Bubuh garam dalam secubit. Lepas tu masaklah sehingga kering.  Kalau ada durian, tambah seulas dua. Dah..



Nak buat badak berendam:
Tepung pulut
Air daun pandan
secubit garam

Campurkan tepung pulut denngan air pandan dan garam. Agak-agaklah sebab bundo pun main campak-campak je. Kita boleh rasa samaada adunan itu lembek, keras atau okay.
Kemudian bahagikan adunan kepada beberapa bola kecil.  Leperkan dan isi dengan inti. Tutup dan bulatkan.
Panaskan air. Bubuh sedikit garam.  Rebus badak yang telah dibubuh inti tadi.  Tunggu sehingga dia terapung di permukaan.  Ha.. tu tandanya dia dah masak.



Untuk kuahnya:
1/2  biji kelapa diambil santannya
1 sudu kecil garam.
1 helai daun pandan dikoyakkan
1/4 cawan sago bewarna hijau.

Rendam sago dalam air pandan sehingga kembang.  Kemudian rebus dalam air rendaman tersebut sehingga kembang.  Kalau tak cukup air, tambah air.
Bila kembang, tapis dan cuci dibawah air menngalir untuk membuang kanjinya.  Ketepikan.
Masak santan dengan garam dan daun pandan.  Selalunya kalau bundo tak bubuh sago, bundo tambah santan dengan 1 sudu besar tepung pulut untuk memekatkan kuahnya.  Tapi oleh sebab kali ni bundo campur dengan sago, maka tak tambah tepung.
Kacau selalu kuah santan supaya tak pecah minyak. Apabila kuah masak, masukkan sago dan padamkan api.

Masak kuah dulu baru rebus badak ya..  Sebab bila badak tu masak, angkat dan terus masukkan ke dalam kuah.  Kalau tak, nanti badak tu melekat sesama sendiri jadi kembar siam.  Susah nak bedah haha..

 Sekian.

ibundo

Thursday, June 21, 2012

Roti Goreng

Selamat berpuasa kepada mereka yang berpuasa hari ini. Cuaca panas di luar sana tu amat mencabar bagi orang yang berpuasa. Panas terik membuatkan tekak kering.  Bertuahlah mereka yang duduk di dalam bilik berhawa dingin sepanjang hari.




Dah ada plan nak buat apa untuk berbuka puasa harini?
Kalau belum ada, cubalah buat roti goreng ni. Tak susah mana pun.  Satu adunan ni dapat dalam 22 (atau 23.. dah tak ingat) biji.  Baru semalam buat, dah tak ingat.  Kalau famili kecil, buatlah setengah adunan.

Mula-mula ingatkan tak boleh  habis roti banyak tu. Kira besar juga setiap biji sebab satu biji bundo timbang 40 gm. Bundo dah berkira-kira nak bawak pergi opis pagi ni bagi staff rasa.  Tapi pagi tadi bundo tengok roti tu dah tinggal dua ketul je di atas meja.



Bahan inti:
2 biji ubi kentang dipotong dadu kecil
1/2 batang carrot dipotong dadu kecil
3  ketul dada ayam dipotong dadu kecil
8 biji cendawan butang dihiris 
1 biji bawang besar dipotong dadu kecil
2 ulas bawang putih dicincang
1  tangkai daun sup dan daun bawang dihiris
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar lada hitam ajishio
1 sudu besar  parsley kering
1 sudu kecil oregano
1 sudu besar serbuk stok ayam
garam secukupnya
2 cawan air




Panaskan sedikit minyak agak-agak dua sudu besar.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.  Masukkan tepung dan gaul rata supaya tidak berketul.
Masukkan ayam, kentang dan carrot.  Tambah 1 cawan air.  Gaul rata.
Masukkan bahan-bahan lain kecuali daun sup/bawang.  Tambah lagi 1 cawan air. Masukkan parsley dan oregano.  Masak hingga kuah benar-benar kering. Gaulkan daun sup dan daun bawang.



Adunan roti:
500 gm tepung High Protin
1 bungkus (11gm) ragi
75 gm gula pasir
secubit garam
250ml susu cair
50 gm majerin
1 butir telur
Minyak untuk menggoreng



Campur tepung, ragi, gula pasir dan garam ke dalam mesen pengadun. Menggunakan speed slow, gaul. Tuang perlahan-lahan susu, telur dan majerin. Uli dengan menggunakan high speed selama 5-10 menet. Tutup dengan towel basah dan biarkan mengembang dua kali ganda.
Kempiskan adunan dengan meninjunya. Timbang adunan seberat 40 gm setiap ketul.
Ambil seketul adunan dan leperkan.  Letak inti dan tutup kembali dan bentukkan lonjong.  Biarkan mengembang sekali lagi.
Sapu adunan dengan sedikit air dan tabur permukaannya dengan biji bijan.
Panaskan minyak dan goreng diatas api perlahan.  Kalau api besar, nanti di luar dah hitam tetapi di dalam belum masak.



Nampak tak roti yang dah kena cubit tu.  Yang tu kerja Faris cucu bundo. Asek merengek nak roti nak roti padahal di dalam tu banyak je lagi. Oleh sebab geram sebab bundo tak layan, dicubitnya roti tu.



Beginilah rupanya roti yang dah kena cubit.

Sekian.


ibundo


Wednesday, June 20, 2012

Kijang masak lomak

Kelmarin sepupu bundo datang ke rumah bawa daging kijang. Sepupu bundo ni selalu dapat daging hutan.  Kadang-kadang pelanduk.  Kadang-kadang rusa.  Kalau dia dapat banyak, dia akan datang hantarkan sedikit ke rumah bundo ni sebab abah bundo suka makan daging macam ni.

Bundo ni masak je tapi tak suka makan. Selain daging lembu, ayam dan puyuh, yang lain-lain memang tak makan.  Daging itik pun tak reti nak makan hehe.



Bundo tanya abah bundo, nak masak apa kijang ni.
Dia cakap, kau buek masak lomak.
Bundo ni memang asli orang nisemilan. Abah bundo nisemilan campur minang.  Jadi, memang tak boleh larilah dari masak lomak tu. Masak lomak tu maknanya masak lemak cili api. Kami orang nisemilan ni dah ada kesefahaman yang 'cili api' tu tak payah sebut dah tahu. Kalau masak lemak yang tak ada cili, tak ada kunyit bagai, kami sebut masak lomak putih..ha gitu..



Masak lomak kijang ni bundo bagi kelainan sikit daripada masak lomak biasa. Bumbunya ada ala-ala rendang.

Bahan:
1 kilo daging kijang
1 biji kelapa diambil santannya.
2-3 biji ubi kentang
1 keping asam keping
garam secukupnya
dua helai daun kunyit disiat-siat
5 helai daun limau purut dibuang tulangnya

Kisar halus:
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
1/2 inci kunyit
3 batang serai
15-20 biji cili api
4 biji buah keras

Cara:
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan yang dikisar halus sehingga naik bau.  Masukkan daging dan gaul rata.  Biar sehingga air daging kering.  Masukkan santan cair. Rebus hingga empuk.
Bila air hampir kering, masukkan santan pekat, ubi kentang, daun limau dan daun kunyit. Rasakan garam dan asam.



Oleh sebab daging kijang ni daging muda, tak perlulah bundo merebusnya lama-lama. Pekat saja kuah, daging pun empuk sama.

Sekian.  Ada sesiapa yang tak pernah makan daging kijang?

ibundo

Tuesday, June 19, 2012

Popcorn Ayam Tomyam goreng ummph...

Apa kabar semua. InsyaAllah sehat hendaknya.  Bundo juga sehat dan ceria. Cuaca pun nampaknya bagus pagi ni.  Dari tempat bundo menulis ini kedengaran burung-burung berkicau riang.

Bagi anda yang berkerja, mungkin sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja.
Pagi ni bundo nak bagi satu resepi mudah terutamanya bagi mereka yang berkerja.  Bundo faham, bila anda semua pulang ke rumah setelah seharian suntuk di ofis, mestilah penat dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat hidangan makan malam.

Bila kita memasak, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai banyak masa di dapur,  banyak masa terbuang untuk membuat bahan-bahan persedian. Salah satu cara untuk menjimatkan masa persedian, adalah dengan menyediakannya awal-awal dan simpan di dalam peti ais. Bawang diblender dan masukkan ke dalam bekas. Cili kering diblender dan masukkan ke dalam bekas.  Cili api diblender dan masukkan ke dalam bekas.  Halia diblender dan masukkan ke dalam bekas.  Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain.  Tutup kedap dan simpan dalam peti ais. Ia akan tahan beberapa hari.

Begitu juga dengan ayam atau ikan atau daging atau apa-apa saja.  Simpan dalam bekas untuk sekali masak. Bila mahu menggunakannya, keluarkan bekas tersebut dan nyah bekukan. Sampai saja di rumah, keluarkan dan letak di sinki. Sementara menunggu ia defrost, bolehlah kita mandi, sembahyang dan sebagainya.



Okay, untuk hidangan hari ini anda perlukan:
1 bungkus popcorn ayam perisa tomyam
1 biji bawang besar
1/2 batang bunga kantan
2 biji cili merah
sedikit ceri tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar bijan
hirisan daun bawang/sadri untuk hiasan



Goreng popcorn ayam sehingga habis.  Ketepikan.
Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan dalam 1 sudu besar.  Masukkan semula popcorn ayam yang telah digoreng tadi.  Letak bahan-bahan lain melainkan daun bawang/sadri.  Gaul rata. Tak perlu lama-lama.  Cukup sampai bawang hampir layu.
Masukkan ke dalam bekas hidangan dan tabur dengan daun bawang/sadri dan juga sedikit biji bijan.
Sedia untuk dimakan panas-panas.



Selamat mencuba.  Sedap ni.  Kalau tak suka yang berperisa tomyam, beli saja yang rasa original.

ibundo


Monday, June 18, 2012

Resoles Ayam

Assalamualaikum dan selamat pagi. Terima kasih pada yang masih sudi datang ke sini walaupun dapur bundo ni kejap berasap kejap tidak.
Pagi ni kita buat resoles, sedap dimakan untuk breakfast ataupun minum petang.  Kalau makan jangan lupa gigit-gigit cili api. Gigit resoles segigit dan gigit cili api.  Kunyah sambil pejam pejam mata untuk menikmati kesedapannya. Jangan kau gigit cili api banyak-banyak.  Mau nampak bintang terus..

Bagi sesiapa yang memang fobia dengan cili api, cicah je lah dengan cili sos.  Kalau tak pun, makan begitu je dah enak.



Jom lah tengok resepi. Bundo ni kelam kabut nak cepat.  Asek nak cepatttt je kan?

Untuk inti:
2 sb majerin
1 biji bawang besar dicincang
2 ulas bawang putih dicincang
100 gm daging ayam didadu kecil
150gm carrot didadu kecil
1 biji  ubi kentang didadu kecil
2 1/2 sb tepung gandum
1 sk serbuk stok ayam
150ml susu cair
3/4 st serbuk lada putih
3/4 st garam
1 batang daun bawang dihiris halus.

Cara:
Panaskan majerin, tumis bawang besar dan bawang putih sampai wangi. Tambahkan daging ayam, kentang  dan carrot. Tumis sebentar.
Masukkan tepung gandum, kacau rata jangan bergumpal. Tambah stok ayam dan susu dan kacau hingga pekat dan rata. Bubuh lada putih, garam dan daun bawang.
Kacau rata dan angkat.  Sejukkan.


Bahan kulit:
2 biji telur
375 ml air
150gm tepung gandum
1 1/2 sb majerin dicairkan
3/4 st garam

Cara:
Pukul telur dan air sebentar. Tambahkan tepung gandum. Kacau rata. Masukkan majerin dan garam.  Gaul rata.
Buat adunan menjadi dadar nipis dengan memakai pan tidak melekat berdiameter 12 cm.  Kalau tak ada, agak-agaklah.  Pakai jelah apa yang ada.



Pelapis:
2 putih telur dikocok dengan 100 ml air
100gr tepung roti kaasar



 Penyelesaian:
Ambil selembar dadar, bubuh 2 sudu makan adunan ayam. Gulung.  Lekatkan tepi dadar dengan sedikit air.
Celup ke dalam campuran telur putih dan air, guling ke dalam tepung roti hingga rata. Simpan sekejap dalam peti ais lebih kurang 1/2 jam supaya balutan melekat sempurna. (Kalau tak sabar tak payahlah simpan. )
Goreng sehingga kekuningan.



Sekian.  Bundo dah lambat dah ni.... Bye.  Jumpa lagi.

ibundo

Friday, June 15, 2012

Urap

Salam hari Jumaat.  Dah hari jumaat lagi kan? Bulan Rejab pun dah nak habis.  Shaaban dah nak menjelma. Dan tak lama lagi masuk pula bulan Ramadhan. Cepatnya masa ni berlalu. Macam dah tak terkejar dah. Apatah lagi macam bundo ni yang dah termengah-mengah dan semput nak main kejar-kejar.

Bila badan dah makin nak dimamah usia, banyaklah spring dan skru yang dah longgar. Sparepart susah nak cari.  Hormon pun dah tak sestabil dulu. Kalau salah makan je, siap kau menanggung azab.

Pagi ni bundo ala-ala zombie. Malam tadi semalaman otak bukan main aktif dan mata tak mahu lelap. Bundo hanya dapat tidur beberapa menet saja sebelum berbunyinya azan subuh. Halnya? Petang semalam semasa berbuka puasa bundo minum air teh ais satu gelas besar gedabak yang bila digelogok airnya perut jadi besar bulat macam ikan buntal. Bundo memang tak boleh minum air teh lewat petang sebab nanti malam tak boleh tidur. Tapi sebab tekak kering punya hal, haus punya hal, bundo boleh terlupa..

Tulah macam yang bundo cakap tadi, bila hormon dah tak stabil ni, bukan boleh makan minum sembarangan. Banyak dah nikmat Allah yang kena tarik balik ni.




Sebab tu kalau boleh nak makan benda-benda yang hijau hijau macam ni je.
Hmm.. bundo mengurap lagi tapi kelapa gorengnya tak berapa nak cukup. Tu yang nampak daun je yang lebih tu.
Bahan urap bundo ni:
Tauge
pegaga
daun selom (selom ek?)
Kelapa sangrai ditumbuk kasar
 air asam limau nipis
garam

Bahan tumbuk halus:
udang kering yang telah disangrai
bawang merah
serai



Bundo takde main sukat-sukat. Sayur tu semuanya mentah.  Kemudian gaul je dengan bahan-bahan yang lain.  Siap. Makan ratah ratah je macam tu krap krup krap krup..

Sekian.  Terima kasih sebab sudi tengok resepi mudah ni.


ibundo

Wednesday, June 13, 2012

Pengat keledek caca merba

Pengat keledek caca merba. Kau nan ado? bak kata hazwan ali, haha.  Bundo gemar gak nengok selebriti-selebriti ni masak. Ada yang betul-betul boleh masak.  Ada yang main bantai je. Kadang-kadang bundo bayangkan yang bundo tengah sama berketuntang dalam dapur masterchef tu. Seronok tak shahariah bila masak dalam keadaan tertekan. Rasanya kalau bundolah dalam situ, baru round pertama dah keluar sebab kepala boleh blank wo tak tau apa nak masak dalam keadaan macam tu. Hah.. beranganlah kau bundo weh..

Tapi dalam rumah sendiri kita memang seorang masterchef.  Kalau masterchef ni tak ada, hah.. makan nasik bungkus lah jawabnya korang.



Masak apa harini bundo.  Macam-macam.  Tapi nak keluar dalam sini kena beratur tunggu turn. Mana-mana yang patut tunggu tu boleh simpan dulu kot kot nanti malas masak boleh je gunakan untuk buat n3 baru.  Ye tak. Bukan tahu pun masak bila kan.

Pengat keledek caca merba ni belum basi lagi.  Masih ada suku periuk kat atas dapur tu. Periuk kecik je. Sesiapa yang tertinjau-tinjau kat tingkap dapur tu kalau nak cedok semangkuk, cedok lah. Halal..

Pengat ni kalau letak aiskrim satu scoop sedap gak ni. Kalau tak pun golekkan durian seulas. Uish.. meleleh air lio den.



Bahan:
2 biji keledek sederhana besar dipotong dadu kasar
1 cawan ca ca direndam dulu 1/2 jam
1/2 cawan sagu mata ikan direndam 1/2 jam
1/2 cawan gula pasir (boleh tambah ikut citarasa)
1 sudu kecil garam
Santan secukupnya (1/2 biji kelapa )
2 helai daun pandan

Rebus caca dalam santan hingga 3/4 empuk. Masukkan daun pandan.
Masukkan keledek.
Bila keledek hampir empuk, masukkan gula, garam dan sagu mata ikan.
Kacau selalu supaya santan tidak pecah.



Lepas tu bolehlah makan. Makan panas boleh. Makan sejuk masukkan dalam peti ais pun sedap juga.

Sekian.

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...