Latheefa's Muslimah Collections

Friday, December 30, 2011

AYAM MERINDU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semuga anda semua sihat sebagaimana sihatnya bundo di sini. Rindu.. memang rindu. Rindu untuk masuk di dapur ini tapi apakan daya.  Terlalu  banyak tugas yang perlu dilaksanakan dan masa juga mengekang. Namun hati memang mengelintin untuk menulis sesuatu.

Tahun 2011 akan berlalu dan pasti kita akan merindui banyak perkara yang telah kita lalui. Doa kita semuga tahun yang akan datang ini menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Semuga segala cabaran yang kita hadapi sepanjang tahun ini menjadi satu pengalaman mahal yang boleh kita jadikan sebagai panduan.

Resepi kali ini? Bundo namakan ayam merindu (sila jangan muntah). Bundo gunakan ayam leftover.  Anak-anak tidak berapa gemar makan bahagian ayam yang berdaging. Bahagian yang tidak habis dimakan ini selalunya bundo akan jadikan satu hidangan lain.  Peliknya, anak-anak akan makan sampai habis.

Walau bagaimanapun, anda boleh saja gantikan dengan ayam yang fresh.


Bahan:
200 gm daging ayam di kisar halus (boleh guna ayam kisar ramli kalau malas nak kisar sendiri)
2 keping tahu dihancurkan halus
1 biji bawang besar bersaiz sederhana didadu halus
segenggam daun saderi dan daun bawang yang telah dihiris halus
1 sudu besar serbuk stok ayam knorr
1 sudu besar lada hitam ajishio
2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
sedikit garam

bahan salut:
1 biji telur dikocok
1 cawan nestum  dikisar



Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk.   Gaul rata. Bentukkan melonjong.
Susun di dalam kukusan dan kukus selama lebih kurang 10 minit.
Keluarkan dari kukusan dan panaskan sedikit minyak dalam kuali leper tidak melekat.
Golekkan satu persatu di dalam telur dan salutkan dengan nestum. Goreng sebentar sehingga kekuningan.




 Ank-anak bundo suka makan.  Tentunya anak-anak anda pun suka juga.

Sekian.  Selamat menyambut tahun baru 2012.






ibundo

Monday, December 19, 2011

Nasi kasih ibundo

Petang semalam selepas majlis pertemuan bloggers, bundo dengan 3 orang anak ke metro kajang untuk mencari sesuatu. Bila parking di basement metro plaza, kejadian kajang banjir berlegar-legar dalam ingatan. Takut jugalah sekiranya berlaku sekali lagi semasa kami tengah seronok berlegar dalam metro.  Tapi bila tengok langit tak mendung sikit pun, lega rasa hati.

Selepas selesai tujuan, anak-anak mengajak beli iceblended di coolblog. Bila tiba time nak bayar budak yang di kaunter tu tanya ' bayar sekali ke'.
Bundo jawab, 'ye lah dik.  Takkan nak bayar dua kali pulak'.  Bundo tengok budak tu macam jeling-jeling je haha.. Agaknya dalam hati mesti dia cakap, apalah makcik ni buat loyar buruk pulak.

Sebenarnya nak cerita pasal nasi tapi melalut ke  lain pulak.
Haritu bundo buat nasi ayam.  Ada lebihan air rebusan ayam dan bundo simpan dalam freezer. Setelah berpikir dan berpikir nak buat apa dengan air rebusan ayam tu, akhirnya terciptalah nasi kasih ibundo. Wargh... sila jangan termuntah tengok nama nasi ni.



Sepatutnya bundo gunakan beras basmathi tapi sebab tak ada stok, bundo guna beras wangi.

Bahan:
7 cawan beras wangi (sila guna beras basmathi)
1 ekor ayam dipotong ikut suka
10 cawan air rebusan ayam (atau boleh ukur sendiri ikut sukatan beras)
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 cm halia dihiris
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1/2 tin kecil tomato puree
3 sudu besar yogurt perisa asli
2 sudu besar serbuk stok ayam knorr
1 sudu kecil parsley kering
satu pokok daun ketumbar
1 botol jus apple kanak-kanak ( atau pun 1 cawan jus apple perisa asli)
1/2 cawan kismis
3 sudu besar butter / majerin

 ni rupa apple jus yang bundo guna.




cara:
-Panaskan butter atau majerin di kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah penumis sehingga naik bau.
-Masukkan ayam dan masak sehingga air ayam kering.
-Tambah jus apple, yogurt, tomato puree, stok ayam knorr, parsley, daun ketumbar dan kismis. Tambah sedikit garam dan masak sehingga ayam 3/4 masak.
-Padamkan api dan keluarkan ayam (ayam sahaja.  Kuahnya tinggalkan dalam kuali) dan letakkan di atas baking tray.  Bakar ayam sehingga masak.
-Nyalakan semula api pada kuali tadi.  Masukkan beras ke dalam sos ayam yang ada dalam kuali. Gaul rata beras sehingga sebati dengan sos.
-Kemudian pindahkan beras ke dalan rice cooker dan masukkan air rebusan ayam secukupnya. Rasakan garam dan bubuh setangkai daun ketumbar lagi kalau suka.



- Apabila nasi kering, susun ayam yang telah dibakar tadi di atasnya dan curahkan juga air ayam yang ada di dalam tray ke atas ayam.



hmmm... yummy yummy. Nasi bundo ni nampak tak cantik sebab guna beras wangi.  Kalau beras basmathi mesti kelihatan panjang dan menarik.  Anyway, cubalah.  Berbaloi.

Nota:
Nak buat air rebusan ayam kalau tak ada, rebus jelah tulang-tulang ayam, leher ayam, kaki ayam.... Untuk menaikkan rasa.
Jus apple tu kalau tak jumpa, blend je apple hijau sebiji dengan air secawan.

Sekian.

ibundo

Sunday, December 18, 2011

Puding coklat

Salam pagi sabtu.  Lama betul tak masuk dapur. Masak.  Bukan tak masak.  Tapi yang dimasak tu terus di ngap takde mood langsung nak snap gambar atau letak resepi di sini.  Biasalah kan kita ni. Alangkan dalam setahun ada musim tengkujuh apatah lagi kita manusia ni kan. Mood kita ni tak menentu, ada pasang surut.

Sadisnya, dalam mood tak elok tu makan tetap makan. Mood nak makan tak pernah pulak surut-surut. Bundo ni lagi susah hati lagi banyak makan.. ish.. tak patut.

Puding ni puding hentam keromo. Masuk itu masuk ini, semua main campak-campak. Tapi bila dimakan sedap pula rasanya.  Mungkin sebab ada coklat.




Bahan:
1 bungkus (sederhana besar) agar-agar tali
1200 ml air
200 ml whipping cream
60 gm gula castor (tambah kalau suka manis)
80 gm coklat masakan (cairkan)
30 gm milo



Rebus agar-agar dengan gula sehingga larut.
Masukkan whipping cream.  Kacau dan padamkan api.
Bahagikan kepada tiga bahagian.  Satu bahagian dicampur dengan coklat masakan, satu bahagian dicampur milo dan satu bahagian lagi warna asal.
Masukkan bahagian bercoklat ke dalam bekas kesukaan.  Biarkan hampir keras. Cakar sedikit dengan garpu pada permukaan coklat dan tuang bahagian berwarna asal. Biarkan hampir keras dan cakar dengan garpu sebelum menuangkan campuran milo.



Makan dengan aiskrim satu scoop sedap ni.  Masa bundo ambil gambar ni aiskrim tak ada. Kalau tak pasti ada yang meleleh air liur.



Untuk menjawab soalan izahdaut, bundo sehat.  Bizi memang bizi. Kalaulah hidup ni boleh relek-relek dan goyang kaki je, alangkah sedapnnya. Orang yang goyang-goyang kaki duit masuk ni, tukang jahit je. Eh.. ada ke mesen jahit yang pakai goyang-goyang kaki sekarang ni...

ibundo

Tuesday, December 13, 2011

Ayam ketumbar

Dulu pantang ada cuti panjang pada hujung minggu.  Pasti kami sekeluarga berdesup balik kampung dan sama-sama berdedai-dedai dengan orang lain memenuhi lebuhraya. Itu dulu.  Semasa arwah emak masih ada. Semejak pemergian emak kami jarang sekali berebut-rebut balik kampung. Apatah lagi abah bundo tinggal di sini bersama bundo.  Rumah kampung sudah kosong. Cuma dihuni waktu siang oleh abang sulung yang sukarela menjaganya.

Begitu jugalah cuti panjang hujung  minggu ini. Kami tak kemana-mana.  Kami hanya memenuhi jemputan kenduri. Satu kenduri kami pergi tersalah waktu.  Kenduri dibuat sebelah malam, kami pergi tengahari.  Dan satu kenduri lagi memenuhi jemputan kawan lama yang memang sudah terlalu lama tidak bertemu muka.



Masakan kali ini adalah masakan simpel.  Bundo letak di sini buat rujukan anak-anak yang ingin sangat nak tahu 'emak masak ni macamana'.

Bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil.
2 biji bawang besar dihiris*
2 ulas bawang putih *
6 biji cili api *
2 batang serai 
2cm halia dipotong julien halus
1 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
1 1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu besar cajun
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar jus lemon
1 cawan air
garam secukupnya
beberapa batang baby carrot
1 biji tomato dibuang bijinya dan didadu kasar



-Tumbuk cili api hingga lumat. Masukkan bawang besar dan bawang putih dan tumbuk kasar.
-Serai dipotong anggaran satu inci dan ditumbuk kasar.
-Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan tumbuk dan halia sehingga wangi. Masukkan jintan manis, jintan putih, serbuk ketumbar dan cajun.  Gaul rata.
-Masukkan ayam.  Goreng sebentar sehingga berubah warna. Tambah sos tiram dan sedikit garam. Gaul lagi dan masukkan pula air.
-Masak sehingga kuah pekat. Masukkan baby carrot dan jus lemon.
-Akhir sekali sebelum diangkat, masukkan tomato.  Gaul rata.



Sekian.
Bundo nak tutup dapur kejap.  Banyak hal nak diuruskan harini.


ibundo

Sunday, December 11, 2011

Betik Goreng Belacan

Anak bujang bundo minta buatkan rendang betik. Orang nisemilan tahulah rendang betik ni. Orang negeri lain mungkin dengar pelik.  Masa pergi tesco haritu bundo beli sebiji betik yang masih hijau kulitnya.  Bukan apa, betik ni cepat masak.  Kalau beli siap yang dah mengkal, nanti tiba masa nak buat gulai, dia dah jadi betik masak.

Oleh sebab belum bersedia nak buat lauk, bundo simpan dalam peti ais.  Pagi semalam pepagi lagi bundo dah keluarkan sebab rancangannya nak masak tengahari. So, bila tiba masa nak masak, bundo kupas  tetapi betik tu masih muda benau. Isinya tawar hebeh (tahu tawar hebeh?). Jadinya, tergendalalah rancangan nak buat rendang betik sebab kalau nak buat gulai tu, kena guna betik yang mengkal.

Bibik cakap, takpe buk.  Nanti saya goreng buat sayur.
So, betik goreng belacan ini adalah resepi bibik bundo.  Dia cakap orang jawa tempat dia selalu buat masak ni.  Rasa? boleh tahanlah.


Sebiji betik muda yang agak kecil saiznya, diparut kasar
6 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
10 ulas cili api * (boleh lebih atau kurang)
1 sudu besar udang kering *
1 sudu besar belacan
1 sudu besar sos tiram

Tumbuk dengan lesung bahan yang bertanda *.
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan yang ditumbuk.  Bila naik bau, masukkan belacan dan sos tiram.  Gaul sebentar dan masukkan betik. Goreng sehingga betik masak.


Kalau nak cuba, cubalah.


ibundo

Saturday, December 10, 2011

Srimuka keledek

Salam semua. Pertama sekali nak mintak maap sebab tak sempat nak membalas komen di ayam ponggeng di bawah. Bundo tak nak bagi alasan. Kalau bagi alasan mesti bundo cakap sibuk, terlalu bizi. Err.. boleh ke pakai alasan tu.

Sebenarnya bundo ni teramatlah macam nak menyorokkan muka bawah selimut dek malu menayangkan kue yang tak berapa nak jadi ni. Bundo nak menyorok terutamanya daripada chah.  Malu sangat bundo ni kerana telah menjahanamkan resepi srimuka labu adiwarnanya. Kejadian yang asli telah bundo cacat-celakan. 

Pertama, bundo telah gantikan labu dengan keledek memandangkan keledek ada berketul-ketul tapi labu tak ada.  Kedua, oleh kerana sangat konfiden yang tepung jagung ada dalam stok, bundo tak adalah beli tepung jagung. Oleh sebab tak ada dan bundo dah tak kuasa nak keluar ke kedai semata-mata nak beli tepung jagung, tak adalah bundo bubuh tepung jagung.  Lagipun, alahai... apa sangatlah se sudu je tu kan. Ketiga, bibik bundo yang terlalu sangat nak menolong telah memblender bahan lapisan atas sehingga berbuih-buih. Terkial-kial jugalah bundo nak menghapuskan buih yang tidak dikehendaki itu. Keempat, agaknya bundo dah terlebih bubuh santan.

Rupanya kerana penderhakaan ini, lapisan atas tu tak berapa nak jadi.  Lembek je macam mamat aw.. aw..
Tapi untuk pengajaran, bundo letak juga lah gambar kue yang tak cun langsung ni.  Kepada sesiapa yang nak mencuba, silalah tengok kue yang asli di dapur chah.

Chah!!! bundo copy n paste resepi dari dapur kau je ya?  Bundo dah tak ada semangat ni..haha..



Lapisan pulut (bawah)

2 cawan pulut putih
Santan pekat (anggaran 2 1/2 cawan * tak perlu habiskan jika pulut sudah lembut)
Sedikit garam
Secubit gula
Daun pandan
Pewarna yang disukai (saya gunakan hijau, pink dan biru muda)




Cara-cara:
  • Basuh pulut dan rendam pulut kira-kira 1 jam.
  • Jika lebih lama direndam, pulut akan lebih cepat masak.
  • Kukus hingga masak.
  • Semasa sedang mengukus pulut, masak santan dengan garam dan secubit gula.
  • Masukkan daun pandan yang telah dikoyak-koyakkan terlebih dahulu.
  • Biar mendidih kecil dan tutup api.
  • Bila pulut telah masak, keluarkan dari pengukus.  Masukkan santan sedikit demi sedikit. Kacau hingga pulut menjadi agak lembut dan santan menjadi sebati dengan pulut.
  • Masukkan semula dalam pengukus dan kukus lagi hingga pulut lembut dan berkilat. Jika agak-agak masih keras, percikkan dengan sedikit santan dan kacau rata.
  • Ambil dua sudu pulut untuk setiap warna yang dikehendaki dan letakkan pewarna pilihan. Tidak perlu gaul rata.
  • Campurkan pulut yang telah diwarnakan ke dalam bahagian pulut asal (putih). Gaul sedikit saja.
  • Tekan dalam spring form hingga padat. 


Bahan-bahan untuk lapisan atas:

2 cawan santan pekat
1/2 cawan labu -direbus dan lenyek * sukat yang telah dilenyek (bundo ganti dengan keledek)
Gula putih secukupnya (saya masukkan 5-6 sudu)
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar tepung jagung
3 biji telur
Sedikit garam


Cara-cara:

Masukkan semua bahan dalam pengisar. Kisar hingga halus dan sebati. Tuang perlahan-lahan dalam loyang yang telah diisi dengan bahagian pulut tadi. Kukus hingga masak. Pastikan penutup pengukus sentiasa dilap untuk mengelakkan air menitis atas kuih.


Sekian,

ibundo

Friday, December 9, 2011

Rosemary grilled chicken

Salam buat semua.  Mula-mula sekali nak ucapkan terima kasih kepada mamasya yang telah berkongsi resepi ayam panggang yang amat mabeles ini. Resepi ini pemilik asalnya potret kasih@blogwana. Sebaik saja bundo jenguk rupa dan resepi dari dapur mamasya, terus bundo jatuh cinta sehingga tidak menahan-nahan lagi bundo nak membuatnya.

Bundo pilih ayam yang agak kecil dan masak 3 ekor. My goodness.. tiga ekor? Pertama sebab ayam tu kecil.  Kedua sebab keluarga bundo besar.  Kalau buat 1 ekor memang gerenti ramai yang jilat tulang je.
Resepinya bundo paste saja dari dapur mamasya.  Minta izin ye mamasya bundo nak kongsi di sini.



bahan
1 ekor ayam - guna peha ayam pun boleh
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar (bundo ganti dengan rempah allspice)
2-3 sudu besar gula perang
2 sudu kecil garam
sedikit perasa - guna kiub ayam dihancurkan (bundo guna serbuk pati ayam knorr)
2 sudu besar jus limau- guna limau nipis (bundo guna lemon)
3 sudu besar olive oil ( minyak zaitun)
5 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby carot-guna karot biasa dibelah pun boleh
sedikit mentega - utk sapu atas ayam




 Cara penyediaan

1. Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
2. Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.
3. Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.
4. Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.
5. Masukkan lebihan minyak zaitun ( masa menggoreng bawang putih ) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6. Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam petisejuk beberapa jam. (Bundo masukkan dalam bessen dan tutup dengan foil)
7. Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak . Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
8. Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.- bakar sampai masak guna api atas bawah...




Bila ayam itu dipanggang, ia akan mengeluarkan banyak air.  Jangan dibuang.  Bundo gunakan air ayam yang penuh dengan rempah ratus itu sebagai sosnya. Masukkan air ayam di dalam periuk dan tambah dengan satu atau dua sudu besar tepung jagung.  Masak sehingga kuah pekat.

Ayam panggang ni memang sedap.  Daging bahagian dadanya sangat lembut.  Selalunya bahagian ini tak laku kerana orang yang dalam rumah ni tak berapa suka makan bahagian yang berdaging.  Tapi oleh sebab lembut, bahagian yang ini pun licin kena makan.


Sekian.

Thursday, December 8, 2011

Nasi jagung

Dah hari khamis dah hari ni? Cepatnya masa berlalu.

Semalam bundo masak nasi jagung untuk dinner. Haritu beli jagung dua tongkol sebab ingat nak buat pengat tapi jagung tu duk terperap dalam peti ais. Oleh sebab semalam teringin sangat nak buat lauk spesial maka nasi pun kenalah spesial jugak. Spesial tahap bundo lah. Tapi tetap 'sapan' dimakan anak-anak dan bapa anak-anak.



 Bahan:
5 cawan beras wangi
2 tongkol jagung manis dihiris ambil bijinya
1/2 cawan kismis besar
1/4 cawan kismis kecil hitam atau coklat gelap
1/2 cawan gajus disangai
2 sudu butter
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 cm halia dihiris
rempah tumis empat sekawan
1 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar yogurt perisa asli
1/2 tin susu cair
1 cube stok ayam
air secukupnya
garam



-Panaskan butter.  Tumis bawang, halia dan rempah 4 sekawan sehingga wangi. Masukkan rempah kurma. Gaul hingga masak.
-Masukkan susu dan yogurt.  Kacau sebentar dan masukkan beras.   Gaul beras sehingga rempah sebati.
-Pindahkan ke dalam rice cooker dan masukkan air secukupnya, jagung, garam, cube ayam dan kismis besar.
-Tanak sehingga nasi masak.  Masukkan kismis kecil dan gajus.  Gaul rata.



Bundo padankan dengan ayam panggang ini yang resepinya bundo ambil dari dapur mamasya.  Besok cerita pasal ayam panggang pula.



Alamak... masih teringat-ingat lagi akan kesedapannya.  Anak bundo si adik siap tanya lagi masa breakfast tadi, nasi dan ayam semalam ada lagi tak?

ibundo

Wednesday, December 7, 2011

Sambal Gesek

Di kampung bundo ada pokok buah kundang. Pokok kundang ni berada dalam kawasan rumah maktua berhadapan dengan rumah bundo. Seingat-ingat bundo pokok ni dah wujud sejak bundo kecil lagi. Mungkin umur pokok ni dah hampir seratus tahun.

Bila bundo balik kampung baru-baru ni bundo tengok rumah peninggalan aruah maktua sudah banyak yang reput.  Rumput-rumput liar tumbuh memenuhi kawasan rumah. Pokok-pokok kecil telah menjadi pokok besar menambahkan semak samun.  Sayang. Sungguh sayang sekali melihatkan rumah yang dulu semasa bundo kecil begitu cantik dan meriah bertukar menjadi seperti itu.

Di tengah-tengah semak samun itu kelihatan buah kundang berjuntai-juntai melepasi pagar. Terliur bundo melihatnya.  Dulu bundo teramat suka makan buah kundang yang telah masak ranum dicicah dengan kicap bercampur gula dan cili api. Sedap.  Rasa masam pedas masin berbaur di dalam mulut.  Nikmatnya.




Bundo ambil buah kundang yang masih muda beberapa tangkai.  Buahnya sudah tidak cantik seperti dulu malah kellihatan seperti muka yang dipenuhi dengan freckles kerana sudah lama tidak membuat facial.  Realitinya, pokok ini sudah bertahun-tahun terbiar tidak diperdulikan.




Kundang muda boleh dibuat macam-macam.  Dijeruk boleh.  Dimasukkan ke dalam masakan lemak cili api boleh.  Sebagai asam untuk sambal goreng pun boleh.  Macam-macam. Tapi kali ni bundo buat sambal gesek ikan bilis.  Selalunya bila buat sambal gesek ini bundo akan bubuh asam limau tetapi bila dibubuh asam kundang rasa umpphhnya tetap sama malah lebih sedap.

Ada yang tidak tahu sambal gesek?  Orang negeri sembilan memang dah pasti tahu.....



bahan:
dua genggam ikan bilis yang  berkualiti baik
6 ulas bawang merah dihiris
10 biji cili api (kalau tak mahu pedas, kurangkan.  kalau nak lebih menyengat, lebihkan)
10 biji buah kundang dihiris dan dibuang bijinya.
sedikit garam

cara:
-ikan bilis dicuci bersih dan direndam sebentar dalam air panas.
-tumbuk cili api dalam lesung sehingga lumat. Masukkan ikan bilis dan tumbuk hanya untuk memecahkannya.
-masukkan bawang dan kundang.  Tumbuk untuk memecahkannya.  Jangan hancur.
-keluarkan dan masukkan ke dalam bekas.  Tambah garam secukupnya.  Rasakan cukup rasa pedas, masin  dan masam.
-hidangkan bersama nasi panas.


Sesiapa yang ada buah kundang bolehlah cuba.  Kalau tak ada, asam kundang boleh digantikan dengan perahan asam limau.

Sekian.


ibundo

Tuesday, December 6, 2011

Ayam Gerang Asam

Bundo yang menempekkan gambar di sini sendiri terliur bila mengingatkan kesedapan masak asam pedas style nyonya melaka ni. Tak tahulah anda semua.
Resepi gerang asam ini bundo ambil dari chef florence semasa dia menunjukkan cara-cara membuat gerang asam di masterchef malaysia.  Chef florence masak gunakan ikan jenahak. Bak kata chef florence, bukan nak cakap bese (besar) tapi memang sedap!!!!
Rugi kalau tak cuba.



A
1 ekor ayam

B
Bahan blender
30 biji cili kering (bundo suka pedas)
5 biji bawang sederhana besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
5 biji buah keras
2 batang serai
1 inci kunyit hidup
2 sudu besar serbuk belacan (belacan biasa pun boleh kalau tak ada yang serbuk)

C
70 gram asam jawa + 1300 ml air
sehelai daun kunyit dicarik-carik
1 batang bunga kantan dibelah dua
beberapa helai daun limau purut
beberapa batang daun kesum
2 sudu besar serbuk ikan bilis



-Panaskan minyak.  Tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.  Lamanya proses ini agak-agak 10 ke 15 minit.  Pastikan bahan tumis benar-benar masak.
-Masukkan ayam dan gaul sehingga air ayam kering.
-Masukkan air asam jawa bersama bunga kantan, daun kesum, daun limau purut, daun kunyit, serbuk ikan bilis dan garam.
-Tambah sesudu gula kalau suka.  Bundo tak bubuh.
-Masak sehingga kuah pekat. 



Kalau tidak suka masak ayam, masaklah gunakan ikan.  Ikan jenahak boleh, ikan merah boleh, ikan pari pun boleh.  Ikan kembung rasanya kurang sesuai.



 Makan dengan nasi panas masa tengahari panas. Boleh tumbang wa cakap...

Monday, December 5, 2011

Mee Rebus

Sebenarnya dah lama teragak nak makan mee rebus. Bila tengok chef wan buat mee rebus dalam astro 703 lagilah kehendak tu membuak-buak. Kebetulan semalam ada pasar tani di seksyen 8 belakang bangunan pkns. Bundo pergi cari daging tetel, keledek oren dan bahan-bahan lain.

Dulu di kawasan bangkok bank di kl ada satu restoren mamak yang buat mee rebus cukup kaw. Sampai sekarang bundo masih teringat-ingat akan kesedapannya.  Tapi restoren tu dah tak ada dan diganti dengan bangunan lain.




Bahan:
Mee kuning
1/2 kilo daging tetel
3 sudu besar rempah kari
1 bungkus sup bunjut
500 gm keledek bewarna oren
400 gm ubi kentang
1 liter air
1 sudu besar gula
100 gm udang kering*
10 tangkai cili kering*
4 ulas bawang putih*
1 cm halia*
1 cm lengkuas*
2 batang serai*
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
garam secukupnya




Bahan hias:
taugeh
cili hijau dan cili merah dihiris
4 keping tahu digoreng dan dipotong dadu
bawang goreng
5 biji telur direbus dan dibelah dua
beberapa tangkai sawi dipotong dan dicelur lembut




cara:
-blender halus bahan yang bertanda *
-rebus keledek dan ubi kentang sehingga empuk dan kisar hancur.  Ketepikan.
-panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan hingga naik bau.  Masukkan bahan kisar dan masak hingga garing.  Masukkan rempah dan masak sehingga naik minyak.
-masukkan daging.  Gaul hingga sebati.  Masukkan pula air, garam, gula dan sup bunjut.  Rebus sehingga daging empuk.  Tambah air sekiranya perlu.
-apabila daging empuk, masukkan keledek dan kentang yang telah dikisar.
-masak sehingga kuah pekat.
 




Hidangkan dengan bahan hiasan.
Selamat makan.  Burp.... bundo dah kenyang.  Alhamdulillah.


ibundo

Thursday, December 1, 2011

Ayam Nanas

Salam pagi kamis.
Bulan december adalah bulan yang teramat bizi bagi bundo di antara bulan-bulan sepanjang tahun. Walaupun sekolah bercuti panjang, bundo tidak dapat bercuti kerana sibuk dengan persiapan untuk menyambut sesi persekolahan baru. Macam-macam yang hendak disiapkan. Macam-macam yang hendak dibuat.

Bundo tidak banyak masuk ke dapur pada bulan ni. Tidak juga dapat melawat kawan-kawan dapur mahupun meninggalkan sepatah dua komen.

Lauk ayam nanas ini bundo masak minggu lepas. Abah bundo suka makan lauk nanas terutamanya pajeri nanas.  Anak-anak bundo pula tak berapa suka.  Mereka lebih gemar makan ayam. Kiranya lauk ni dua dalam satu.  Siapa yang tak suka makan nanas, kuis-kuis je nanas tu dan ambil ayam.  Begitulah kaedahnya.



 bahan:
1/2 ekor ayam atau lebih dipotong kecil
1/2 biji nanas dipotong kecil
1 biji kelapa diambil santannya
4 sudu besar penuh rempah kari ayam
1 sudu besar penuh cili kering giling
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
3 sudu besar kerisik
1 sudu besar gula
3 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dicincang halus
2 cm halia dihiris nipis dan dipotong panjang
rempah menumis 3 sekawan
2 sudu besar air asam jawa


-Panaskan sedikit minyak di dalam periuk.  Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah 4 sekawan. Setelah garing dan wangi, masukkan pula rempah kari, kunyit dan cilli kering.  Goreng sehingga masak.
-Masukkan ayam dan masak sehingga air ayam kering. Masukkan santan dan nanas.
-Setelah mendidih seketika, masukkan pula kerisik, gula dan garam.
-Masak sehingga kuah pekat.



Sekian dari bundo.  Sehingga berjumpa lagi.

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...