Latheefa's Muslimah Collections

Friday, September 30, 2011

Ayam Lemak Merah

Adik anak bongsu bundo smbil spm tahun ni. Malam tadi pihak sekolah anjurkan solat hajat di surau al Khautsar. InsyaAllah berkat usaha dan doa ibu bapa anak-anak yang mengambil peperiksaan tahun ini akan mencapai kejayaan cemerlang.

Selesai solat isya' dan tazkirah pendek, kami dijamu dengan nasi minyak yang disediakan oleh pibg. Kami ambil bawak balik makan di rumah. Bundo tengok lauk yang dikawankan dengan nasi minyak itu adalah lauk ayam masak merah. Cara kebetulan juga pagi ni bundo nak letak resepi ayam masak merah tetapi bezanya masak merah bundo ni 'lemak merah'

 A
Santan dari 1 biji kelapa
1 senduk gulai cili giling (cili kering). Kalau mahu pedas, lebihkan.
1 tin kecil kacang peas
3/4  tin kecil tomato puree

B
1 ekor ayam digaul sedikit kunyit dan garam *
3 biji ubi kentang dibelah enam setiap satu bentuk wedges*
1 batang carrot dipotong anggaran 2 inci kemudian dibelah kasar memanjang *
(Goreng bahan di atas yang bertanda * itu)

C Bahan kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang kecil
1 cm halia


- Goreng ayam (jangan garing), kentang dan carrot.  Ketepikan.
- Keluarkan minyak menggoreng tadi dan tinggalkan sedikit untuk menumis bahan kisar. Apabila bahan tumis sudah berbau wangi, masukkan cili. Masak sehingga garing.  Lepas itu masukkan tomato puree.  Gaul rata.
- Masukkan pula santan dan biar mendidih.
- Masukkan ayam dan apabila kuah hampir pekat, masukkan kentang, carrot dan kacang peas.
- Padamkan api bila kuah sudah pekat.


Ayam lemak merah ini sedap dimakan dengan nasi briyani juga.

Sekian.

ibundo

Thursday, September 29, 2011

Chicken Meatballs Spaghetti

Selalu macam tu. Mula-mula rasa macam tak cukup. Tapi bila dah di depan mata, tak terabis.
Tengahari tadi bundo ada hal di PJ.  Habis urusan, bundo dan usen anak bundo singgah jumpa uncle Kenny di Amcorp Mall. Kami oder quater sorang satu.  Lepas tu bundo tambah dengan kek choc indulgance seketul.
Makan muffin sebiji dan minum satu mug capucino dan terasa perut terisi. Ditambah pula dengan ayam dan sampingan. Adei..

Pandang kek macam dah tak larat. Tapi sebab dah oder, bundo makan jugaklah.  Sedap.  Cair terus bila masuk mulut. Paksa-paksa lama-lama habis juga tapi I tell you sampai sekarang menyesal tak habis sebab melanggar pantang larang.

Uncle Kenny ada jual spageti juga tapi lidah kami ni suka spageti yang ada rasa melayu.  Sebab tu jarang yang amat sangat oder spageti bila makan di luar. Kalau buat sendiri di rumah, dah tentu tahu dan buat apa yang kita nak dan apa yang kita suka.  Kan gitu?



Bahan:
1 bungkus spageti di rembus lembut
500 gm daging kisar
3 sudu besar cili kering yang sudah diblender
1 sudu kecil lada hitam kasar
1/2 tin kecil tomato sos
1 botol sos spageti kimball perisa mushroom
1 tin mushroom soup kimball
10 biji cendawan butang dihiris
20 biji chicken balls
2 biji bawang merah didadu
1/2 biji capsicum merah didadu
1/2 biji capsicum  hijau didadu
1 biji tomato didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus.
Air secukupnya


-Panaskan minyak.  Tumis bawang putih sehingga naik bau.  Masukkan cili dan goreng sehingga masak. -Masukkan pula bawang merah.  Masak hingga layu.
-Masukkan pula daging kisar dan masak sehingga airnya kering.
-Masukkan sos tomato, lada hitam, sos spageti dan sup cendawan. Tambah air secukupnya.
-Biarkan mendidih dan masukkan chicken balls, cendawan dan capsicum.
-Masak sehingga kuah pekat.


ibundo

Wednesday, September 28, 2011

Vegetables Prawn Fritters

Kita buat cekodok lagi. Senang di masak sedap dimakan. Di rumah bundo ni cekodok memang laku tambah-tambah lagi bila masih panas. Ia dimakan begitu saja atau cicah dengan sos cili. Apa-apa pun, sedap sampai menjilat jari. Ini feedback dari hubbgy dan anak-anak lah. Siapa lagi yang nak bagi moral support kalau tak keluarga sendiri, betul tak.

Hubby kata sedap.  Dah tulis resepi ke.  Bundo kata nantilah kita tulis kat blog biar ingat sampai ke anak cucu. Blog kita ni agak-agak bertahan sampai bila ye? Patutnya kita ni mesti ada back up file juga kan. Mana tahu tiba-tiba hilang... habis lah..


Bahan:
2 1/2  cawan tepung gandum
15 ekor udang dibuang kulit dan kepala, dibuang juga tali hitam di belakang dan hiris kecil
2 kelopak kubis dihiris halus
1/2 batang carrot diparut halus
1/2 cawan daun bawang + daun sup yang telah dihiris
2 genggam tauge diramas kasar
1 biji telur
1 cawan santan pekat
garam secukupnya

bahan kisar - blender dengan sedikit air:
1 biji lada merah dibuang biji
3 sudu besar udang kering
segenggam nasi sejuk



Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas.  Gaul rata. Sekiranya adunan nampak cair, tambah sikit tepung.  kalau adunan nampak pekat, tambah sikit air.
Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.
Hidang panas.  Kalau sejuk pun, ia tetap lembut. Tapi gerenti tak sempat nak sejuk.


 Sekian.  Selamat mencuba.


ibundo

Tuesday, September 27, 2011

Arab in the pool

Dah lama tak pergi swimming. Kaki pun dah tak larat nak mengayuh. Baju swimming entah kemana. Pernah anak ajak beberapa kali tapi bundo ada je alasan nak bagi. Kawan yang duk di putrajaya tu pun dulu selalu sms ajak pergi. Oleh sebab selalu je bagi alasan, lama-lama diorang pun dah tak ajak-ajak lagi dah. Bukan apa.  Swimming tu is a kind of exercise that is good for your heart. Di putrajaya ada pool yang khas for ladies.

Ada kena mengena dengan tajuk? Mestilah ada. Ni bundo nak cerita pasal arab yang kena rendam dalam pool. Ceritanya bermula banyak tahun dulu bila bundo pergi jalan raya ke rumah kawan.  Dia hidangkannya kacang pool yang dimakan dengan roti arab. Haha.. roti arab.  Bukan orang arab. Rasa boleh tahan dan dia siap bagi resepi lagi. Masalahnya nak cari kacang pul tu kat kedai manyak susah. Bundo pun asek terlupa nak tanya dia beli kacang pul di mana. Sampailah akhirnya ada kawan lain pula yang cakap, kalau tak ada kacang pul, pakai sajalah bake beans. (Ada sesiapa yang dah tengok johnny english? Bundo nampak dalam iklan astro muka mr bean nampak chubby)



Kalau nak tahu, yang belakang tu arab.  Sebelah depan tu pool.  Nak ceburkan arab dalam pool tu caranya, koyak-koyakkan arab dan celet sama itu pool dan ngap.  Makan bersama telur dan bahan sampingan macam yang dalam gambar.

Okaylah.  Pagi ni bundo banyak memain pulak.  Bundo bagi resepi tapi resepi ni bundo tak bubuh minyak sapi sebab bundo ni agak fobia dengan minyak sapi.  Kepada sesiapa yang nak guna minyak sapi, silakan.


Roti arab (beli di kedai)
Kacang pool:
2 tin kacang foul (ganti dengan baked beans kalau tak ada)
500 gm daging kisar
100 gm butter (boleh tambah kalau tak cukup) atau 1 tin kecil minyak sapi
3 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
2 cm halia*
4 sudu besar rempah briyani
Bahan sampingan:
beberapa biji telur digoreng mata kerbau
2 biji bawang besar didadu
5 biji cili besar hijau dihiris (buang biji)
limau kasturi




1. 1 tin kacang foul/baked beans di kisar bersama airnya.  1 tin lagi dilenyek kasar.
2. Blender bahan yang bertanda*
3. Panaskan butter.  Tumis bahan kisar.  Bila wangi, masukkan rempah briyani dan daging kisar.  Kacau dan biarkan air daging kering.
4. Masukkan baked beans. Rasakan garamnya.
5. Kuah jangan terlalu cair. Padamkan api bila rasa kepekatan dah cukup.  Jangan terlalu pekat.
6. Siap. 

Hidangkan kacang pool bersama roti arab, telur goreng, bawang yang didadu dan cili potong.  Cara makan: masukkan kacang pool ke dalam pinggan, letakkan telur di atasnya, taburkan dengan bawang dan cili dan nikmati bersama roti arab.  Ada orang suka curahkan minyak sapi yang telah dicairkan ke atas kuah. Takoooot weh.


Sekian.

ibundo

Monday, September 26, 2011

aku, perempuan dan apam dot..dot..dot..

Kalau nak ikut, memang cerita lama.  Orang dah berkurun-kurun buat, kita baru terhegeh-hegeh cari resepi. Halnya, memang mulanya tak berminat. Pertama sebab bundo bukan peminat apam.  Kedua, diorang  kat rumah ni pun memang bukan peminat apam. Dairpada buat dan terbazir, bundo diam je tengok orang lain pampang apam dot sana apam dot sini.

Tapi bila tengok apam dan resepi di blog gee, entah macamana tergerak pula nak copy resepi. Terima kasihlah gee sebab gee telah membuka hati bundo ini untuk membuat apam yang banyak dot ni. Tapi kan, oleh sebab terlampau ghairah sangat dengan projek ni, bundo sudah terlebih taruk colouring ma. Yang hijau tu cukuplah hijau dengan kehijauannya. Yang pink tu pun dah naik jadi merah.


Sekali kelibat memang penuh keceriaan.  Sungguh bewarna warni hehe..
Gee, sedap gee.  Bundo yang tak suka makan apam ni pun habis ku bedal lima nam ketul.


Oleh kerana ni pertama kali buat, dikira masih di peringkat eksperimenlah, boleh gitu? Next time (sudah pasti ada next time), kena kurangkan kaler.


Gee izinkan bundo CnP resepi apam pokaldot gee kat sini ye.  Terima kasih juga pada puan rafidah kasim adik ipar gee yang telah memberi resepi beliau pada gee.

Resepi asal: Gee / rafidah kasim


APAM POLKA DOT

Bahan2
1 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
2 biji telor
2 sudu kecil baking powder
1 susu kecil ovalette
100ml susu segar
Pewarna
Filling/jem yg digemari

Cara-cara

1.Masukkan semua bahan apam ke dalam mangkuk mixer dan pukul kelajuan maxima selama 6 - 8 minit.
2.Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian & titiskan pewarna mengikut citarasa.
3.Masukkan setiap warna ke dalam piping bag (atau beg plastik yang bersih).
4.Picitkan sedikit adunan ke dalam mangkuk kertas yang telah disusun didalam acuan lompang.
5.Picitkan blueberry filling secukupnya.
6.Picitkan lagi adunan yang berlainan warna sehingga ¾ penuh.Kemudian dot dot kan dengan warna pilihan.
7.Kukus didalam kukusan yang telah dipanaskan selama 10-15 minit. Guna api sederhana. Jangan gunakan api besar semasa mengukus untuk mengelakkan apam ni jadi merekah/mekar. Balut tudung periuk dengan kain bersih untuk mengelakkan air wap kukusan menitis jatuh ke atas apam dan menyebabkan apam tidak cantik.


Kepada sesiapa yang belum pernah buat, buatlah. Sedap.

ibundo

Sunday, September 25, 2011

Udang goreng nestum

Lebih kurang dua tahun dulu, resepi udang goreng nestum ni meletup-letup di alam maya. Skodeng sana, ada udang goreng nestum.  Skodeng sini ada udang goreng nestum. Bundo pun ikut skodeng kat tepi tingkap dapur orang.  Nak masuk, takut. Lagipun bundo sendiri tak ada dapur. Bundo bawa balik resepi. Bundo buat untuk makan keluarga dan semuanya suka.  Semua puji sedap.  Dan udang goreng nestum ini telah menjadi antara menu kegemaran keluarga sejak itu.

Oleh kerana bundo main skodeng dan resepi pun bawak balik pakai ingat-ingat gitu je dalam kepala, bundo tidak tahu siapa sebenarnya pencetus idea ini.  Pujian patut diberikan kepada pemunya resepi asal dan bundo minta maaf banyak-banyak kerana tidak dapat meletakkan linknya di sini sebab bundo tidak tahu siapa.  Apa-apa pun, bundo minta izin menyiarkan kembali resepi ini untuk panduan anak-anak dan sesiapa yang berminat untuk mencuba. (Kalau sesiapa tahu asal usul resepi ini, tolong bagitahu bundo)


20 ekor udang yang agak besar
10 helai daun kari
3 ulas bawang putih dicincang halus
3 sudu besar butter
3 biji cili api dihiris kasar
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1/2 cawan nestum ( nak lebihkan pun, boleh juga tapi kena tambah butter)
minyak untuk menggoreng udang

Udang digaul dengan sedikit garam.  Panaskan minyak dan goreng jangan sampai garing. Angkat dan toskan.
Panaskan butter. Masukkan bawang putih, daun kari dan cili api. Masak sehingga berbau wangi.
Masukkan pula nestum dan serbuk stok ayam. Gaul sehingga nestum nampak garing.  Matikan api. Masukkan udang yang telah digoreng ke dalam kuali.  Gaulkan dia bersama nestum hingga sebati.  Angkat dan hidangkan panas.

Kepada sesiapa yang belum pernah mencuba resepi ini, cubalah.  Sedap.

ibundo

Saturday, September 24, 2011

Nasi goreng sardin sosej perisa tomyam

Tengahari tadi ramai orang tak ambil lunch.  Sebabnya, lepas balik dari tesco, bundo, imah dan kirin pergi minum-minum di old timer. Masa tu dah pukul sebelas. Perut memang tengah kebulur sebab breakfast pukul 6.30. Makan mee rebus semangkuk  memang rasanya terlebih muatan.

Sampai rumah bibik dah siap masak. Angkat tudung saji tengok dah terhidang ayam masak asam pedas dan sayur goreng. So, yang makan cuma anak-anak yang lelaki dan abah  bundo. Hasben pun tak makan sebab ada open house yang dia kena pergi.

Petang tadi bila jenguk dalam periuk, nasi tengahari masih ada setengah periuk. Buat menu simpel je petang ni. Bundo teringat yang satu hari haritu semasa bundo melawat ke dapur kengkawan, bundo ternampak menu nasi goreng sardin. Tapi bundo masa tu tak ambil note tentang menu tu.  Memang bundo terlupa dapur siapa.  Puas bundo cari sana sini tapi tak terjumpa. Jadi, berbekalkan idea kawan itu (tolong sesiapa yang berkenaan dan sesiapa yang tahu bagitahu bundo ya), bundo buat nasi goreng sardin gaya bundo sendiri.

(tambahan kemudian: Tadi semasa menyelak-nyelak helaian buku resepi, bundo terjumpa resepi nasi goreng sardin ni. Rupanya yang bundo jumpa haritu tu ialah resepi shila rusli dari buku masakannya.. hehe..)


 6 cawan nasi sejuk
1/2 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih dicincang halus
1 tin kecil sardin di lenyek halus bersama kuahnya
6 batang sosej ayam dipotong menyerong
5 ulas cili padi dihiris kasar
2 sudu besar paste tomyam
8 batang kacang buncis dipotong
segenggam mix veges
garam secukupnya



Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang putih, bawang besar dan cili api.  Kacau sehingga wangi.
Masukkan sardin.  Biar sehingga masak.
Masukkan paste tomyam.  Gaul.  Masukkan kacang buncis dan sosej. Tambah garam secukupnya.
Kemudian masukkan nasi dan gaul rata.
Sebelum dimatikan api, masukkan mix veges.


Sekian.

ibundo

Friday, September 23, 2011

Ayam rendang

Rendang ni bundo buat masa ajak staff datang makan haritu. Dah muak mandang rendang? Mahu dua tiga bulan tak buat rendang dah ni agaknya. Tapi raya haji nanti mesti nak merendang jugak kan?

Siapa yang tak pandai buat rendang? Jangan tak tahu, ada yang tak pandai buat sebab mereka ni pandai makan je. Tu termasuklah anak bundo. Nanti kalau bundo tak ada tahulah nasib, haha. Di bawah ni bundo perturunkan ilmu pada anak-anak bundo. Cuma satu bundo nak bagitahu kat diorang ni yaitu asas buat rendang ni sama.  Tambahan-tambahan lain yang dipelbagaikan itu yang memberi rasa yang berlainan. Bundo suka tukar-tukar rasa.


1 ekor ayam
1 kilo santan
2 biji bawang besar*
5 ulas bawang putih*
2 cm halia*
2 cm lengkuas*
1 inci kunyit hidup* (atau lebihkan kalau tak cukup kuning.  Boleh juga guna kunyit serbuk)
1 senduk cili kering yang dikisar  (boleh kurangkan kalau takut pedas)
10 ulas cili api * (boleh kurangkan kalau takut pedas)
3 batang serai *
2 batang serai dititik
1 sudu kecil ketumbar*
1 sudu kecil jintan manis*
1 sudu kecil jintan putih*
6 biji buah keras*
10 helai daun limau purut
sehelai daun kunyit dicarik-carik
1 bungkus kecil kerisik
sedikit air asam jawa atau perahan lemon

Masukkan kesemua bahan yang bertanda* ke dalam blender dan kisar halus.
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.  Tumis bahan yang dikisar dan cili kering sehingga garing dan wangi. Masukkan serai yang dititik.
Masukkan pula ayam dan masak sehingga air ayam kering.
Apabila air ayam kering, masukkan santan dan garam. Tunggu sehingga kuah pekat baru masukkan kerisik, daun limau dan daun kunyit. Perahkan sedikit asam lemon atau masukkan air asam jawa.  Rasakan garamnya.

Sekian

ibundo

Sup Penne

Kelmarin hati ada sedikit 'down' sebab buat satu resepi rekaan tak berapa menjadi.  Rasa dia okay tapi tang rupa ada sikit kalah. Silap silap tengok ada rupa macam lempeng. Tapi kalau diambil gambar dari sudut yang bersesuaian, tak adalah nampak teruk sangat. Masalahnya petang tu hujan. Pukul enam dah macam nak maghrib. Flash kamera pula dah habis bateri. Snap gambar betul-betul benda tu macam baru kena panah petir.
Nantilah buat lagi sekali sebab resepi tu kena tulis kat sini.  Kalau main letak dalam kepala, sah-sah tahan dua tiga minggu.

Harini dah Jumaat? Beruntung siapa yang bernama Jumaat.  Tiap-tiap hari , hari Jumaat... haha apa bendalah yang bundo bebelkan pepagi ni.

Jom tengok resepi sup penne ni.  Elok untuk emak-emak yang dah tak tahu apa yang nak dimasak untuk anak-anak.

1 mangkuk penne yang telah siap direbus empuk
2 ketul ayam yang bertulang, potong kecil
10 biji? batang?(hantam sajalah laboo) kacang peas
1/2 batang carrot
sedikit capsicum merah dipotong ikut suka
2 ulas bawang putih dicincanng halus
1 biji bawang besar di dadu kasar
1/2 cawan susu cair
1 cube stok ayam
air secukupnya



Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang putih.  Setelah berbau wangi, masukkan bawang besar. Kacau.  Masukkan ayam dan gaul.  Masukkan pula air secukupnya.  Agak-agaklah.  Jangan sampai pula banjir periuk tu. Apabila mendidih masukkan stok ayam, penne. Tambah dengan susu cair. Biarkan mendidih lagi baru masukkan sayur-sayuran. Rasakan garam.


Ada rasa lemak-lemak berkrim sup ni.

Sekian.

ibundo

Thursday, September 22, 2011

Bergedil ayam

Banyak tahun yang lalu anak-anak bundo mengekek-ngekek ketawa bila ternampak satu menu yang terpampang di sebuah restoren di lapangan terbang sukarnoe hatta. Bila bundo tengok, bundo pun mengekek sama sebab tak pernah ada satu menu pun di mesia yang bernama sup buntut sapi. Lepas tu puaslah bundo menerangkan pada mereka apa makna sebenar perkataan tu. Ye lah.. masa tu anak bundo dua orang yang ngikut tu baru darjah satu dan darjah dua.

Cerita di atas tu tak ada kena mengena dengan cerita seterusnya.  Cuma bundo ni ada sedikit musykil dengan perkataan bergedil ni sebab ada orang sebut pergedil.  Mana satu yang betul ya? Walau apa-apa pun bergedil ni bibik bundo yang buat. Bila tengok bergedil bundo teringatkan bibik. Bila teringatkan bibik, bundo teringat indon. Bila teringat indon, tu yang teringat balik cerita kat atas tu.

Dia ni cukup suka dengan bergedil. Kejap-kejap buat bergedil.  Kejap-kejap buat bergedil.  Anak bundo pulak suka meratah. Buat sikit tak jadi lauk sebab habis kena ratah. Bibik bundo kena buat banyak-banyak. Selalunya kalau ada lauk ayam yang tak habis, bibik akan buat 'make over' jadi bergedil pulak.



 Ni resepi bergedil bibik.

500 gm ubi kentang
100 gm daging ayam kisar atau dicincang halus
1/2 cawan bawang goreng
1/4 cawan daun sup + daun bawang dihiris halus
garam secukup rasa
 2 biji telur


Ubi kentang dipotong kecil dan digoreng. Tumbuk sehingga lumat.
Masukkan bahan-bahan lain kecuali telur ke dalam bekas ubi kentang yang telah ditumbuk. Gaul dan bentukkan.
Telur dikocok. Celup adunan ke dalam telur dan goreng.

Sekian.

ibundo

Wednesday, September 21, 2011

Lawa Terung

Siapa yang lawa? Terung yang lawa. Orang negeri semilan panggil lauk macam ni lawa terung. Orang negeri lain panggil apa ek? Masa kecik dulu mak bundo cukup suka buat lauk ni. Kadang-kadang terung diganti dengan timun. Lawa timun.  Lawa timun pun rasanya lawa macam terung jugak.

Sebenarnya masa bundo mula-mula buka blog masak ni, ada bundo buat posting pasal lawa terung. Tapi masa tu bundo tak berapa serius lagi dengan dapur bundo ni.  Buat n3 pun bila teragak. Itupun cuma untuk rujukan anak-anak. Sejak dua menjak ni je bundo rajin nak update. 



Di sini bundo tulis resipi. Pada yang dah tahu, tengok gambar je lah. Orang negeri semilan, tak payah tengok langsung.. hehe

4 biji terung panjang
4 ulas bawang merah dihiris nipis
2 biji limau kasturi
1 cawan santan pekat
2 ulas cili padi warna merah dihiris
2 ulas cili padi warna hijau dihiris
garam secukupnya


Terung dibakar hingga empuk.  Sejukkan dan buang kulitnya.  Isinya di koyak-koyak dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan bawang, cili yang telah dihiris, santan dan garam.  Perahkan limau. Gaul dan rasakan masam, pedas dan masin. Biar secukup rasa.

Makan segera, jangan disimpan sebab santannya santan mentah yang tidak dimasak.  Kalau perah sendiri, gunakan air panas.

Selamat menjamu selera.

ibundo

Tuesday, September 20, 2011

Macaroni goreng

Mula-mula ingat nak buat macaroni bakar tetapi last minute tukar rancangan.  Jadilah macaroni goreng. Harini bundo nak cakap dua tiga baris je sebab banyak benda yang belum setel.


Bahan:
1 bungkus macaroni direbus empuk. 
400 gm daging kisar ramlee
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 biji bawang besar didadu
2 biji tomato didadu
1/2 tin kecil tomato puree
1 botol sos spageti kimball perisa cendawan
1 tin cendawan butang dihiris nipis
1 senduk gulai cili kering yang dikisar
beberapa tangkai daun sup dan daun bawang dihiris kasar



Tumis bawang putih hingga naik bau.  Masukkan cili kering. Goreng sehingga garing. Masukkan daging cincang dan masak sehingga air daging kering.  Masukkan bawang, tomato puree dan sos spageti. Gaul. Rasakan garam. Kemudian masukkan pula cendawan dan spageti. Gaul hingga masak.  Akhir sekali masukkan tomato yang didadu dan daun sup.  Angkat.  Kalau nak lebih terangkat, lebihkan cili.  Lidah melayu bundo ni memang suka pedas.

Sekian.

ibundo

Monday, September 19, 2011

Fruit Cocktail

Hujung minggu yang panjang dan langkah pun panjang juga kan? Tiga hari cuti habis dengan acara makan-makan? Alhamdulillah.  Rezki jangan ditolak tapi mintak-mintak janganlah habis syawal ada perut yang nampak macam mengandung 3 bulan. Haha.. bundolah tu..

Semalam bundo masak-masak dan makan-makan di rumah je. Ada beberapa kawan bundo dan kawan anak-anak datang. Antara menunya, fruit cocktail sebagai pencuci mulut. Ada yang minta resepi dan di sini bundo turunkan ilmu. Bukannya susah sangat sebab semuanya main campur dan cebur.


Bahan-bahan ini untuk lebih kurang 20 orang makan.  Kalau nak buat untuk makan sendiri, sesuaikanlah bahan. Satu pesan bundo.  Kebanyakan bahan adalah bahan dalam tin. Pastikan beli yang ada bertanda halal jakim ataupun islamic council dari negara yang mengimport.

2 tin besar cocktail buah-buahan
2 tin susu cair
1 tin laici atau longan
1 bekas besar nata decoco berwarna hijau (berat dlm 400gm kot) *
1 kotak puding segera jenama nona perisa strawberi *
1 kotak puding segera jenama nona perisa mangga *
1 kotak puding segera jenama nona perisa kiwi *
2 sudu besar susu pekat
1/2 cawan whip cream
nota: untuk bahan bertanda *, ia boleh ditukar dengan apa jua perisa lain tapi pastikan warnanya pelbagai.



- Masak ketiga-tiga puding ,masukkan ke dalam bekas dan biarkan sejuk.  Apabila sudah keras, potong kecil.
- Dalam bekas lain masukkan satu tin cocktail berserta dengan airnya dan satu tin tagi ditapis dan masukkan isinya sahaja.
- Masukkan laici atau longan berserta airnya.  Kalau buah laici besar, belah dua.
- Tapis nata decoco dan ambil isinya sahaja.  Masukkan isi bersama bahan lain.
- Masukkan dua tin susu cair, susu pekat dan whipping cream.  Kacau.  Apabila sudah sebati, masukkan puding yang telah dipotong tadi.
- Simpan dalam peti ais dan hidangkan dingin. Boleh juga diletak ketulan ais.



Cubalah.  Pasti sedap dan nyaman ditekak.

ibundo

Friday, September 16, 2011

Cekodok Bangi

Bundo namakan cekodok bangi sebab ipar duai kalau nak makan cekodok mesti datang ke bangi rumah bundo untuk menikmati cekodok ini yang dikatakan mereka teramatlah lembut walaupun sudah sejuk. Dah berkali-kali diorang mintak resepi, dah bagi pun tapi masih nak makan cekodok bangi jugak sebab dorang buat tak jadi macam yang bundo buat.

Kadang-kadang masak ni ikut tangan kan. Kalau main campak-campak, menjadi je.  Kalau ikut resepi betul-betul ada kalanya tak menjadi pulak. Bundo tengok ramai kawan-kawan bolger  yang buat cekodok sedap-sedap. Dan bundo tengok bahan-bahannya lebih kurang saja dengan cekodok bundo ni.
Anyway, untuk rujukan anak-anak dan ipar duai yang buat cekodok tak jadi-jadi tu, bundo tuliskan resepinya di sini.


2 1/2  cawan tepung gandum
2 biji ubi kentang sederhana besar di parut halus
1 batang carrot sederhana besar diparut halus
1 tangkai daun sup dihiris halus
2 helai daun bawang dihiris halus
2 sudu penuh majerin (penuh maknanya bila kita kaut majerin tu satu sudu, tak payah diratakan)
2 biji telur
1 sudu kecil serbuk stok ayam
garam secukup rasa
segenggam ikan bilis (kalau genggam korang kecik sangat, lebihkan) *
1 bijji bawang besar yang sederhana saja besarnya *
1-2 biji cili merah *
1 cawan nasi sejuk*


Blender bahan yang bertanda * ditambah dengan sedikit air.  Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaul rata. Tambah air secukupnya, tidak terlampau cair dan tidak terlampau pekat. Kacau terus dalam dua minit.
Panaskan minyak dan sudukan batter ke dalam minyak yang panas di atas api perlahan sehingga kekuningan.
Sedia untuk dimakan dicicah dengan sos cili atau ngap dengan cili api.

ibundo

Thursday, September 15, 2011

Sosej Sos Cili Thai

Masak sosej lagi. Kalau masak sosej ni bundo cuit-cuit sikit je.  Tak berapa gemar makan.  Tapi anak-anak suka makan.  Lagipun masak sosej ni kira macam lauk emejensi.  Dah tak tau apa nak masak, kalau ada sosej, masak je la sosej. Kalau dipelbagaikan rasa, tambah warna warni pada masakan, tentu nampak menyelerakan.



 Bahan:
1 bungkus sosej lada hitam, dipotong ikut citarasa
3 biji ubi kentang dipotong dadu besar 
5 sudu besar sos cili thai
1 biji bawang besar dipotong bulat
2 ulas bawang putih dicincang halus
2 ulas bawang merah dicincang halus
10 batang kacang peas
1 biji tomato dipotong dadu besar
3 sudu besar jagung adabi
1 sudu kecil lada hitam yang ditumbuk kasar
sedikit daun ketumbar dipotong kasar sebagai hiasan



-  Ubi kentang digoreng sehingga masak.  Ketepikan.
-  Gunakan minyak menggoreng kentang tapi keluarkan sehingga cukup-cukup untuk menumis bawang merah dan bawang putih.
-  Apabila wangi masukkan sosej.
-  Masukkan kacang peas dan bawang besar
-  Masukkan ubi kentang, sos cili thai, lada hitam dan jagung. Agak-agaklah banyak mana nak bubuh sos cili.
-  Gaul rata, padamkan api dan masukkan tomato dan daun ketumbar. Gaul dan hidang.




Sekian

ibundo

Wednesday, September 14, 2011

Ayam Masak Merah Mentega Kacang

Majalah rasa bulan Oktober banyak resepi hasil chef-chef terkenal. Kalau boleh bundo nak cuba semua dan kongsi di sini rasanya bersama geng-geng masak.

Petang tadi bundo cuba resepi chef muluk ini dan memang rasanya ada kelainan.  Kebetulan pula kirin bawa balik bawa lemang. Bundo makan dengan lemang.  Boleh tahan juga makan dengan lemang ni. Nak tau sedap ke tidak, cubalah buat sendiri. 


500 gm isi dada ayam dipotong kecil (bundo guna 5 ketul dada ayam dan potong kecil)
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan maggi Cukup Rasa ( bundo tak bubuh. Ganti dengan sedikit garam)
Minyak untuk menggoreng

Bahan A(dikisar halus)
1 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
3 cm halia
5 ulas cili api (bundo tambah)

Bahan B
500 ml air (bundo guna 300)
2 sudu makan mentega kacang
1 bungkus perencah masak merah Maggi

BahanC
Kismis secukupnya (bundo terlupa nak bubuh)
Daun sup secukupnya
1 biji tomato dipotong berbaji (bundo guna beberapa  biji tomato ceri)



 - Perap isi ayam dengan kunyit dan Maggi Cukup Rasa (garam)
- Goreng dalam minyak panas sehingga masak.  Angkat dan toskan.
- Tumis bahan A sehingga kekuningan
- Masukkan bahan B dan masak sehingga kuah menjadi pekat
- Akhir sekali masukkan ayam dan sebatikan
- Sebelum diangkat, masukkan bahan C. Gaul rata dan padamkan api.


Sedia untuk dimakan panas dengan nasi panas. Lupa pulak.  Bundo tambah dengan beberapa batang kacang peas.  Nak bagi penambah rasa dan penambah warna.
Cubalah....

ibundo

Tuesday, September 13, 2011

Nasi lobak cendawan shitake

Harini puasa macam-macam benda teringat nak makan. Godaan sungguh. Teringin nak makan trifle tapi dah tertidur sampai nak masuk asar. Tak jadiklah buat trifle sebab dah sibuk nak masak untuk makan malam. Makan malam kat rumah bundo ni pukul 6 petang. Maka bundo buatlah nasi spesel sikit untuk berbuka puasa.


Idea ni datang semasa dalam kereta nak beli barang dapur.  Puaslah mikir nak masak nasi apa. Teragak kat cendawan shitake ni.  Agak-agak kalau buat nasi rasa sedap tak. Kebetulan kat giant ada jual cendawan shitake yang fresh. Lagilah  bagus, kan.

Seeloknya nasi ni guna beras basmathi atau beras siam wangi.  Bundo ingat stok beras tu ada lagi kat rumah.  Rupanya dah habis.  Bundo guna beras biasa.  Nampak kontot-kontot je lah nasi tu.

Bahan
A
3 pot beras basmathi atau siam wangi
1/2 tin susu cair
Air secukupnya
B
3 sudu besar majerin
1 inci halia muda *
1 biji bawang besar *
2 ulas bawang putih *
1 tangkai daun ketumbar *
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pala
C
12 biji cendawan shitake di potong ikut suka
1 batang lobak diparut kasar
1 genggam kismis
2 sudu besar serbuk stok ayam
1 sudu kecil garam


1. Bersihkan beras dan masukkan ke dalam rice cooker.
2. Blender bahan bertanda *. Panaskan majerin dan tumis bahan yang diblender dan rempah 4 sekawan sehingga wangi. Masukkan ke dalam periuk beras.  Masukkan susu cair  dan air secukupnya.
3. Masukkan cendawan shitake, serbuk stok ayam dan garam.
4. Apabila nasi 3/4 masak, masukkan lobak dan kismis.  Kacau dan biarkan sehingga masak.
5. Hmm.. yummy..

Untuk lauk, korang pandai-pandailah nak buat lauk apa.  Ayam masak merah. boleh.  Rendang, boleh.  Kari ayam atau daging, boleh.  Ah.. macam-macam. Bundo makan dengan ayam kampung masak minang.

Sekian.

ibundo

Monday, September 12, 2011

Jelatah Timun Tempoyak

Tempoyak ada.  Timun ada.  Ikan pun ada.  Bila bundo terjumpa resepi chef Arm ni terus bundo perkenan. Lagipun bahan semua lengkap. Sesiapa yang  suka tempoyak tu, cubalah buat jelatah ni.  Memang sedap diratah macam tu saja.


Bahan:
Dua biji timun dibuang kulit dan diparut kasar
3 sudu makan tempoyak
2 ekor ikan kembung, dibakar dan diambil isinya
5 biji cili api ditumbuk
2 biji bawang merah di hiris
1 sudu teh garam


Campurkan tempoyak, cili api, garam dan isi ikan kembung.  Gaul sebati. Masukkan timun dan bawang.  Gaul rata.
Siap untuk dihidang.




Kalau semasa proses mengaul kelihatan kering, jangan dibubuh air kerana timun itu sendiri akan mengeluarkan air.

Selamat mencuba.

ibundo

Mee ladna

Mee ladna ni feveret ayahndo.  Kalau berpuasa dia selalu minta bundo buatkan mee ladna. Kalau tak mee, kuetiau. Tapi kalau ikut selera bundo , bundo akan hiriskan cili api dan masukkan dalam kicap. Mee ladna makan dengan kicap bercili.  Lagi berderap derup cili tu kena gigit, lagi meresap rasa pedasnya di lidah dan ditekak, lagilah sedap.



Bundo rasa buat mee ladna ni pun ada cara yang berbeza-beza.  Ikut tangan dan selera sendiri. Resepi yang bundo letak ni ikut tangan dan selera bundo.

1 bungkus mee kuning
6 ekor udang sederhana besar
2 ekor sotong dipotong bulat
1 ketul dada ayam dipotong nipis
1 keping fish cake
5 biji fish balls dibelah dua

2 helai kobis cina
setangkai sawi
sedikit cauliflower
sedikit capsicum hijau dan merah dipotong dadu
(kalau tak ada, bubuh cili merah dihiris)
1 sudu teh lada putih
2 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
2 cawan air
1 cube stok ayam
2 sudu besar sos tiram



Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan mee kuning  dan sos tiram.  Goreng sebentar sehingga sos sebati dengan mee.  Angkat. dan masukkan ke dalam mangkuk.
Tambah sedikit minyak lagi di dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Bila naik bau, masukkan ayam.  Goreng sebentar dan masukkan udang, sotong, fish balls dan fish cake.
Masukkan dua cawan air dan biarkan mendidih. Bubuh stok ayam dan lada putih.
Masukkan pula sayur-sayuran dan tepung jagung.  Rasakan garam.
Kalau kuah kurang pekat, tambah sedikit lagi tepung jagung.  Kalau air terlalu sikit, tambah air.  Ikut selera sendiri.
Bila masak, curahkan ke atas mee di dalam mangkuk tadi. 

Makan dengan kicap bercili atau cili jeruk atau makan begitu saja tapi mesti makan panas-panas.  Kalau lambat makan, nanti mee menyerap kuah dan jadi lembek dan kembang. Tak sedap dah.

ibundo

Sunday, September 11, 2011

Oat Muesli

Salam raya.
Nama pun hari raya. Macam-macam dah masuk dalam perut. Kalau tak kontrol, takut nanti semua benda naik mendadak. Kalau tak berat badan, kolesterol.  Kalau tak kolesterol, darah tinggi.  Kalau tak darah tinggi, fatty liver.  Adei.. macam-macam boeh jadi.

Sebaik-baiknya, bila makan tu makanlah ala kadar. Kalau agak-agak nak jaga kesihatan, cubit-cubit je lah sikit. Bila tak reti nak ambil sikit-sikit tu, cubit pipi tu kuat-kuat biar tersedar haha..

Apa kata kita tukar menu sarapan.  Bundo dapat resepi ni dari chef sabri.  Selak-selak majalah rasa, terjumpa dengan resepi yang sungguh baik untuk kesihatan kita.  marilah cuba!!!






Bukan sahaja berserat dan bagus untuk menyerap kolesterol tapi kaya vitamin.  Membuatnya juga mudah tak sampai 10 minit. Yang penting, bahan semua ada.  Buah-buahan pula pula diganti-ganti dengan apa yang ada dalam peti ais.



 Bahan:
35 gm oat segera
210 ml susu segar
1 sudu makan perahan jus oren
1 sudu makan madu lebah
1 sudu makan kismis
1 sudu makan anggur merah dihiris (bundo bubuh anggur hijau)
1 sudu makan buah epal hijau (bundo bubuh blue berry)
1 sudu makan mangga atau buah nangka (bundo bubuh buah naga)

Masukkan oat ke dalam mangkuk kemudian masukkan susu dan kacau hingga kembang.
Selepas itu masukkan bahan-bahan lain dan kacau hingga rata.
Siap untuk dihidang.




Memang sedap.

ibundo

Friday, September 9, 2011

Mee kari

Walaupun namanya satu, rasa adalah berbeza-beza.  Kalau makan mee kari de kedai yang ini, rasanya tak sama dengan mee kari di kedai yang itu. Namun yang jelas, rasa karinya mesti terasa.

Mee kari yang bundo buat juga ada dua jenis.  Satu yang berkuah pekat dan satu lagi yang kurang pekat. Bahannya sama cuma yang pekat itu, bundo bubuh kentang ataupun keledek. Mee kari yang bundo tunjuk ini yang berkuah pekat.


Masalah besar bila kita makan mee ini adalah rasa mee yang terlebih kapur.  Susah nak dapatkan mee yang benar-benar sedap dan memenuhi citarasa kita.  Kita ni kalau boleh mesti nak cari mee yang orang kita hasilkan tapi kadang-kadang mee mereka ini juga tak berapa menjadi. Bila kita curah kuah, selalu mee berubah warna menjadi merah menandakan terlebih bahan pengawet.  Takut nak makan. Yang kurang bahan pengawet pula, meenya lembik dan tak tahan lama. Susah kan. Pada bundo lah.  Dulu rajin juga bundo buat mee sendiri. Tapi lama dah mesen buat mee tu terperok dalam stor.



Bahan:
A
2 bungkus mee kuning dibasuh dan di siram air panas sebentar.

B (kuah)
1 biji kelapa diambil santan
1 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 cm halia *
beberapa helai daun kari
5 sudu besar rempah kari dibancuh dengan sedikit air
2 sudu besar cili kering yang sudah diblender
1/2 kilo kerang direbus dan diambil isinya
beberapa ketul ayam dipotong kecil
10 ekor udang sederhana besar
1 peket bebola ikan
2 keping fish cake di hiris
6 keping tauhu  pok dipotong 2 setiap keping
1 ketul keledek sederhana besar direbus empuk dan diblender halus.
(kalau tak ada keledek, gantikan dengan 3 atau 4 ketul kentang)
1 sudu kecil serbuk stok ayam
air asam jawa

C
5 biji telur rebus dibelah dua
taugeh dicelur sebentar
sawi dipotong dan dicelur
daun sup dan daun bawang dihiris nipis
cili merah dihiris
bawang goreng
limau kasturi dbelah dua



Blender bahan bertanda *. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bahan yang diblender dan daun kari.  Apabila harum, masukkan rempah kari dan cili. Biarkan masak.
Masukkan ayam. Gaul rata.  Kemudian masukkan santan dan keledek. Apabila mendidih, masukkan pula bahan-bahan lain. Rasakan garam, asam jawa dan biar kuah pekat.

Makan dengan bahan pelengkap.

Kalau dah habis idea nak masak apa untuk tetamu yang datang berjalan raya, bolehlah buat mee kari.

ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...